Friday, February 26, 2010

Dengan Hampirnya Hari Kiamat, Seorang Itu Akan Binasa Di Tangan Wanitanya, Ibubapanya, Anak Pinak Dan Jiran Tetangganya

     Telah diriwayatkan daripada Abdullah Bin Mas'ud r.'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Masa akan tiba bilamana orang-orang yang beragama mendapati sukar untuk menyelamatkan Iman mereka. Hanyalah orang yang dapat melepaskan diri daripada sebuah gunung kepada yang lain, daripada sebuah hutan kepada sebuah hutan yang lain, daripada satu batu ke batu yang lain yang dapat menyelamatkan Imannya. Masa ini akan muncul pada ketika akhir zaman nanti."
     Pada ketika itu rezeki tidak akan diperolehi tanpa melanggar perintah Allah dan ketika itulah dibenarkan kita tinggal diam di suatu sudut. Pada masa itu jika ada ibubapa yang masih hidup, merekalah yang akan menjadi punca kebinasaannya, kemudian sanak saudaranya dan juga jiran tetangganya.
     Alasan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. ialah bahawa mereka inilah yang akan mencucuk dan menggesa serta mengejeknya lantaran kemiskinan serta pendapatan yang sedikit lalu menyusahkannya dengan menyuruhnya melakukan kerja-kerja yang bertentangan dengan Agama yang dia sendiri tidak dapat kekuatan untuk menolak godaannya.
     Maka orang ini disebabkan gesaan dan ejekan ini terpaksalah melibatkan dirinya untuk melakukan kerja-kerja yang tidak dibenarkan oleh Agama ini. Lantaran itulah dia akan mempercepatkan masa kebinasaan ke atas dirinya.
(Abu Nuaim - Hilyah)


Moral
     Renungilah dengan apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Kita sedang melihat perkara ini berlaku di hadapan mata kepala kita sendiri. Setiap lelaki dan wanita meminta dan menuntut kehendak-kehendak mereka untuk memperolehi keselesaan dan kemewahan, minuman dan makanan, rumah dan kediaman, pakaian yang berbagai-bagai fesyen dan gaya, kerehatan dan masa lapang sehingga tuntutan-tuntutan ini tidak dapat dilayan dan hadapi oleh ketua keluarga.

     Ibubapa, isteri dan anak-anak akan mengejeknya. Ibubapanya akan berkata : "Lihat dengan anak-anak orang ini dan itu. Berapa banyak yang dia perolehi? Dia telah berhijrah ke negara luar dan menghantar deraf-deraf yang banyak setiap masa. Lihatlah di dalam rumahnya ada alat perakam, radio, TV dan segala-galanya dia ada."

     Tetapi malangnya si ibubapa tidak lagi memperdulikan bagaimana cara si anak tadi memperolehi semua itu melalui jalan halal atau haram samada Iman atau keIslaman anaknya terpelihara atau tidak tatkala mengejar rial dan dinar di Tanah Arab.

     Hampir pastilah dia akan menuruti gaya hidup dan fesyen yang merata di kalangan Yahudi dan Nasara yang akibat daripadanya terluputlah rasa hormat dan mulia terhadap Agamanya sendiri. Tidak ada sesiapa yang akan mempedulikannya samada dia makan daging halal atau tidak, mengikut penyembelihan secara Islam. Berapa ramai ibubapa Islam yang betul-betul Islam yang benar-benar mengambil berat akan ehwal anaknya tatkala mereka ke luar negeri?

     Jikalau ibubapanya tidak ada, maka dia akan keluar negeri kerana diejek oleh isterinya walaupun tidak seorang pun yang ada di rumah untuk memelihara isterinya. Apa pula akan terjadi terhadapnya? Setiakah isterinya menunggu tatkala suami ke luar negeri bertungkus lumus bermandi peluh untuk mencari wang.

     Jikalau isterinya suci, maka anak-anaknya pula akan menjadi bahan ejekan ibubapanya menuntut pakaian baru dan benda-benda baru.

     Jikalau si bapa bukan seorang haji dan ahli solat, maka betapa pula keadaan si anak? Mereka juga akan jauh daripada agama. Kecewa dan jijik dengan segala ejekan keluarga dan kata-kata yang menyakitkan hati, seorang itu boleh sahaja melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat dan undang-undang, lalu dengan sendirinya membinasakan Iman dan Islam mereka.

     Jikalau dia mungkin terlepas daripada ejekan keluarga maka dia juga boleh jadi terbinasa menerusi orang-orang kampungnya, jiran-jiran, kawan-kawan dan rakan-rakan yang rosak akhlak. Maka wajarlah Rasulullah s.a.w. menasihati orang-orang yang hidup pada masa itu menghabiskan hayat mereka di tempat-tempat sunyi dan jauh daripada gangguan manusia. Tinggalkan kampung halaman atau bandar lalu ke hutan-hutan yang mana ini lebih sesuai baginya.

     Apabila seorang itu berada di kalangan masyarakatnya dia boleh dapat banyak pahala dengan melakukan kerja-kerja yang baik-baik, tetapi jikalau suasana masyarakat itu sudah rosak, dia akan dapat selamatkan Imannya dengan tinggal bersendirian di dalam hutan. Masa itu belum lagi tiba. Ia akan muncul apabila hampirnya Kiamat, tetapi peringkat-peringkat ke arah itu telah bermula!!!

     

1 comment:

  1. zarzh,
    jazakallah, itulah hak-hak kita terhadap Nabi s.a.w.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...