Showing posts with label Muamalat. Show all posts
Showing posts with label Muamalat. Show all posts

Wednesday, November 21, 2012

Ombak Rindu

TAHUN 2012 tinggal sebulan lebih lagi, mungkin masa ini ramai di kalangan kita masih tercungap-cungap untuk mencapai sasaran kerja tahunan yang perlu disempurnakan berdasarkan arahan pihak atasan. Dan pasti juga pihak atasan akan menekan orang bawahannya untuk menyempurnakan sasaran kerja mereka kerana sasaran kerja orang atas bergantung kepada sasaran kerja orang bawah. Jadi, siapa yang berkerja sebenarnya. 

Orang atas akan arah orang bawah buat kerja, orang bawah akan arah orang bawahnya untuk buat kerja dan orang bawahnya akan arah orang bawahnya lagi buat kerja. Jika orang bawah sekali tidak membuat kerja yang diarahkan pasti keseluruhan pencapaian orang di atasnya tidak akan tercapai dan semua mereka tidak akan mencapai sasaran kerja yang dikehendaki atas kerja yang tidak dibuat oleh orang yang paling bawah sekali.

Mungkin begitulah aliran kerja sebilangan kita, kata orang macam posmen, cuma hantar surat sahaja.

Sememangnya sebilangan besar pekerja yang dibawah merupakan "pelaksana", yang merupakan tunggak kepada turun atau naiknya sesebuah organisasi itu. Kalau dilihat organisasi sebegini umpama "piramid". Ia memerlukan sokongan orang yang dibawah untuk menggerakkan semua aktiviti-aktiviti organisasi dan orang yang di atas berperanan untuk menggalakkan orang bawahannya bergerak berdasarkan idea-diea yang telah mereka wujudkan.

Idea-idea yang diwujudkan oleh orang atasan tidak berguna walaupun bernas jika tiada sokongan pihak bawahan yang melaksanakannya.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada ini, aku rasa kedua-dua pihak harus berkerjasama ke arah untuk mencapai sasaran yang disasarkan dan tolak ansur perlu ada untuk merealisasikan sasaran tersebut.

Tetapi ada juga orang yang bekerja tidak perlu untuk menyempurnakan sasaran kerja tahunannya, cuma yang ingin dinikmatinya hanyalah kepuasan dalam bekerja. Ada tak organisasi yang membuat cara sebegitu, bekerja bukan untuk memenuhi sasaran organisasi tetapi memenuhi kepuasan bekerja.

Salam Maal Hijrah (1434H) bagi yang beragama Islam dan salam akhir tahun 2012 untuk semua. Esok aku sudah bercuti untuk keluar 40 hari (sasaran kerja tahunan aku, hujung tahun keluar 40 hari atau 4 bulan, sasaran bulanan  3 hari, sasaran mingguan buat gast 1 dan 2, sasaran harian buat mesyuarat harian, 2 jam setengah dan taklim masjid dan rumah berserta dengan ibadat khusus, sunnah dan sunat)


Saturday, February 11, 2012

Jawatan Dikosongkan

DATANG dan pergi. Bulan ini seorang staf aku telah meletak jawatan kerana mendapat tawaran jawatan yang lebih tinggi dari jawatannya sekarang. Aku tak dapat nak salahkan dia kerana sekarang pemilihan seseorang dalam pekerjaan berdasarkan gaji dan jawatan yang tinggi.

Faktor logistik juga menghambat untuk seseorang menerima tawaran yang ditawarkan dan juga faktor keluarga juga sering menjadi alasan yang kukuh untuk seseorang melepaskan jawatan tersebut walaupun mempunyai minat yang mendalam atas jawatan tersebut.

Secara faktanya, bidang pekerjaan masih ditentukan oleh gaji, jawatan, logistik dan akhir sekali keluarga. Sekiranya tiada faktor yang berikut sukar untuk seseorang menerima jawatan kerana setiap apa yang dibuat perlu ada ganjaran kerana tiada orang yang akan membuat sesuatu untuk mendapat percuma sahaja.

Minggu depan ini, kami hanya tinggal 3 orang sahaja lagi. Tugas aku sekarang ini memohon agar jawatan tersebut dapat diisikan dengan secepat yang mungkin. Tapi tak pasti bila ianya akan diisi? 

Jika prosedur pengisian bagi jawatan yang ditinggalkan kosong perlu memohon dari JPA lagi untuk prosedur seterusnya dan akan memakan masa yang lama juga. Jika aku punya agensi ini pasti aku akan tampalkan notis untuk kekosongan yang ada ini agar kekosongan tersebut dapat diisi dengan kadar segera.

Dan harapan aku nanti, pegawai yang dilantik nanti bekerja atas minat dan tak terasa nak tukar-tukar jawatan lagi ataupun dengan kata yang mudah, taat dan setia. Tapi mana mungkin di zaman sekarang ini?


Saturday, December 10, 2011

Zakat : Sudahkah Kita Amalkan?

DULU-DULU pernah aku dengar seorang sahabat memberitahu aku, kalau nak maju dalam bidang perniagaan kena pastikan dulu zakat yang nak disumbangkan. Aku pada mulanya agak pelik juga. Apa kaitan zakat dengan maju atau mundurnya sesebuah perniagaan?

Sahabat aku terangkanlah lebih lanjut perkaitan antara zakat dan perniagaan. Zakat merupakan tanda aras bagi kemajuan sesuatu perniagaan itu. Jika kita anggarkan zakat yang akan disumbangkan pada tahun berikut sebanyaknya RM350,000 setahun bererti perniagaan kita telah mencapai keuntungan yang amat bagus dan jikalau zakat yang disumbangkan hanya RM475 setahun bererti perniagaan kita masih di tahap yang sederhana atau belum mencapai tahap yang konsisten. Dan sekiranya tiada zakat dikeluarkan tahun tersebut bererti perniagaan tersebut mengalami kerugian atau masih di tahap yang belum memberangsangkan kerana ketidakmampuan untuk membuat pembahagian dari keuntungan yang diperolehi. Untuk lebih jelas, disediakan contoh penggiraan bagi perniagaan yang maju dan sederhana maju seperti dibawah :


Contoh 1:                                                                                        Contoh 2 :

Pendapatan                                RM              RM                         RM                  RM

xxxx                                                                 10 juta                                               10 ribu
xxxx                                                                 15 juta                                               20 ribu
Jumlah                                                              25 juta                                               30 ribu

Perbelanjaan  

xxxx                                           5 juta                                            10 ribu
xxxx                                           6 juta              11 juta                    1 ribu                  11 ribu                   

Untung Bersih                                                 14 juta                                             19 ribu

Nota:
Pembahagian bagi zakat perniagaan RM14 juta x 2.5% = RM350,000 zakat yang akan dikeluarkan.
Pembahagian bagi zakat perniagaan RM19 ribu x 2.5% = RM475 zakat yang akan dikeluarkan.
(Jika nak menggira zakat perniagaan sila rujuk pihak Baitulmal di negeri masing-masing, penggiraan yang aku buat ini hanya untuk mudah memahami bagaimana peranan zakat atas maju atau mundurnya sesuatu perniagaan. Kemajuan sesuatu bisnes sebuah syarikat bukan atas untungbersih yang diperolehi tapi perlu dilihat dari sudut aset dan liabiliti ).

Maksudnya, semakin tinggi zakat perniagaan yang disumbangkan menunjukkan semakin maju sesuatu perniagaan yang dijalankan oleh individu terbabit.(seperti Contoh 1) Jadi, setiap perancangan yang dibuat untuk memajukan sesuatu perniagaan bergantung kepada tinggi dan rendahnya zakat yang akan disumbangkan kelak. 

Dari situlah peniaga yang akan menjalankan perniagaan akan memikirkan bagaimana sesuatu perniagaan boleh untuk mencapai sasaran zakat yang akan dianggarkan boleh dicapai. Bercambahlah usaha yang akan dijalankan oleh peniaga terbabit untuk memikirkan bagaimana untuk memperolehi zakat yang akan dianggarkan boleh dicapai.

Bukan setakat usaha sahaja yang perlu dilipatgandakan oleh peniaga terbabit, dari sudut perkhidmatan kepada pelanggan, kualiti barangan atau perkhidmatan yang diberi juga akan dipertingkatkan agar menjadi daya tarikan kepada pelanggan. 

Maksudnya, zakat bukan setakat sebagai satu perintah Allah yang wajib untuk kita amalkan malahan merupakan satu tanda aras dan motivasi untuk merpertingkatkan lagi mutu dan daya saing dalam perniagaan.

Seperti yang kita ketahui peranan zakat atas harta juga penting iaitu membersihkan kotoran harta-harta yang kita miliki dan berperanan untuk membantu umat Islam yang tidak berkemampuan selain untuk berkongsi rezeki antara sesama manusia.

Aku tak pasti adakah amalan zakat ini diamalkan dengan penuh rasa kesedaran, insaf dan niat untuk menegakkan hukum Allah atau kerana terpaksa?

Bagi sesiapa yang nak mulakan perniagaaan, anggarkan zakat yang akan disumbangkan dulu baru fikir pasal untung jika tidak perniagaan yang kita usahakan tidak bermatlamatkan agama semata-mata tapi lebih kepada keuntungan yang dikejar.

Thursday, December 1, 2011

Rasanya Siapa Yang Punya Nama?

MENGAPA masih ramai lagi orang bumiputera yang terkebelakang berbanding kaum yang lain dalam bidang ekonomi dan sosial terutamanya? Apa sebenarnya permasalahan yang berlaku dalam diri mereka sehinggakan susah untuk maju seperti mana kaum-kaum yang lain di Malaysia ini. Perkara yang aku nak ketengahkan sebenarnya banyak melibatkan orang bumiputera yang beragama Islam. 

Mungkin kesedaran tentang perkara ini sudah lama wujud dalam pemikiran kita dan pemikir-pemikir yang memikirkan tentang orang bumiputera Islam yang terkebelakang ini. Pelbagai cara dan metod telah digunakan untuk membangunkan keupayaan orang bumiputera Islam agar mereka boleh bersaing dengan kaum-kaum yang lain.

Namun kalibat kemunduran sering dikaitkan dengan orang bumiputera Islam walaupun pemerintahan kita di Malaysia sudah banyak membantu kalangan mereka untuk maju dan bersaing dengan kaum lain. Muncul juga kalangan mereka yang dapat mengapai status orang kaya dan jutawan. Tapi status untuk mereka menjadi orang kaya masih kurang dan boleh dikira dengan jari tangan dan kaki.

Siapa sebenarnya yang perlu untuk kita persalahkan? Golongan itu sendiri atau kerajaan yang memerintah golongan tersebut? Kalau nak salahkan kerajaan payah juga, banyak yang telah disumbangkan oleh kerajaan kepada golongan tersebut agar mereka maju dan berjaya dalam pelbagai lapangan melalui agensi-agensi kerajaan. Ataupun sememangnya golongan ini terlampau banyak diberi kemudahan menyebabkan daya saing menjadi semakin menipis dalam jiwa mereka.

Ataupun juga golongan ini beranggapan bahawa kerajaan yang memerintah sekarang ini adalah kerajaan dari golongan bumiputera Islam jadi tak perlulah dikisahkan sangat kerana kerajaan akan sentiasa menolong walau macamana keadaanpun golongan bumiputera Islam.

Ini mungkin anggapan aku terhadap bumiputera Islam sehinggakan tak perlu dirisaukan sangat kerana ada orang di belakang akan menolong dan paling tidakpun ada orang akan ambil tahu ehwal mereka.

Jika kita lihat apa yang terkandung dalam ajaran Islam sudah cukup untuk menjadikan seseorang yang berpegang kepada ajaran Islam boleh diikhtiraf sebagai bertamadun dan futuristik. Tapi mengapa orang yang mengamalkan ajaran Islam masih tak seperti yang digambarkan(orang Islam di Malaysia sekarang). Adakah juga kerana salahnya Islam itu? Tapi bagaimana dengan pengamal Islam di negara lain adakah mereka juga mengalami apa yang dialami oleh orang bumiputera Islam di Malaysia?

Jika kita nak kaji lebih dalam lagi perwatakan antara Islam dan bumiputera Islam di Malaysia ini, sudah pasti kita akan beranggapan bahawa jika bumiputera Islam ini mengamalkan Islam secara sempurna pasti tidak terjadi begitu iaitu mundur dalam kehidupan dunia. Siapakah yang nak kita salahkan? Islam atau bumiputera Islam?

Namun rezeki itu telah ditentukan oleh Allah sejak azali lagi, dan adakah kita golongan bumiputera Islam hanya berserah pada takdir tanpa ada usaha? Seperti kata pepatah Arab, "Jika ditanam benih padi pasti padi akan tumbuh, jika tidak ditabur benih padi pasti dan pasti rumput akan tumbuh". 

Friday, September 2, 2011

Setelah Ramadhan

HARI ini 4 Syawal sudah berlalu, amalan ziarah-menziarahi di kalangan orang Islam masih terasa lagi.Aku hanya dapat menziarahi ipar-ipar yang terdekat serta sepupu-sepupu yang hampir. Kalau nak diziarahi kesemuanya  yang ada kaitan pertalian persaudaraan memang tak mampu aku. Hari pertama raya, aku serta keluarga hanya menziarahi kedua ibubapa mertua sambil berkumpul bersama iparduai.

Hari raya kedua, aku serta keluarga mula menziarahi adik-beradik serta sepupu sebelah isteri. Itupun hanya 3 buah rumah yang mampu untuk diziarahi kerana anak-anak dah mengantuk termasuklah aku. 

Hari raya ketiga, aku dan keluarga berziarah di rumah kawan-kawan isteriku, kawan-kawan anakku dan saudara sebelah isteriku. Kesemua rumah yang diziarahi meningkat sikit, 7 buah rumah. Cuma, aku tak tahan dengan minuman yang dihidangkan kerana minuman berperisa gas. Apa boleh buat, hari raya.

Hari raya keempat, iaitu hari ini, aku beraya di pejabat aku. Semua staf aku yang lain masih bercuti. Di sini, di pejabat ini aku belum tahu lagi apa yang aku nak buat. Aku di pejabat Limbang ini baru sebulan aku bertugas setelah dipindahkan dari HQ Kuala Lumpur. Terasa sunyi benar setelah berpindah ini, aku di sini hanya mempunyai 4 staf sahaja, termasuk aku sendiri tapi di unit aku semasa di HQ KL seramai 50 lebih orang. Jauh bezanya tapi kurang kerenah, kurang masalah, kurang songehnya dan tenang sikit. Staf aku ini terdiri daripada pemuda-pemuda yang berumur dalam 20'an yang berasal dari Mukah, Sarawak, Selangor dan Melaka.

Semasa pertama kali aku buat mesyuarat pagi, tiga-tiga dah menghantar permohonan nak keluar dari Limbang dan aku beritahu mereka kalau nak keluar dari Limbang ini kena kahwin dulu baru aku approve permohonan nak keluar dari Limbang. Ketiga-tiga tersengih.

Suasana raya yang masih terasa ini membuat mood aku tak berselera nak membuat kerja. Lebih-lebih lagi aku baru berpindah ke pejabat Limbang ini. Walaupun sebelum ini aku memang pernah di sini lebih 14 tahun tapi dah ada perubahan sejak peninggalan aku selama 3 tahun yang lepas. Mungkin juga suasana di KL yang terlampau biasa dengan kerja cepat dan terkini, membuat aku terasa berada di alam yang lain sekarang. Aku tak pasti adakah aku dapat berdamping dengan staf aku di sini dari sudut kerja atau dengan persekitaran kerja yang selamba dan pelanggan yang sentiasa memberi senyuman yang manis! Cuma aku dapat ucapkan kepada aku sendiri selamat kembali ke Limbang.

Saturday, June 25, 2011

Berani Untuk Berubah Sikap

DALAM dunia ini, masih ramai lagi antara kita tidak memahami dan lupa langsung bahawa setiap kejayaan itu kebanyakannya berpunca dari sikap kita sendiri. Sesuatu kegagalan juga bergantung dengan sikap kita sendiri juga. Jadi, kejayaan atau kegagalan seseorang terletak dalam diri kita sendiri walaupun banyak juga faktor-faktor yang boleh untuk mengait atau penambah kepada kejayaan atau kegagalan itu.

Di media massa sering kita mendengar kejayaan dan kegagalan seseorang, syarikat dan banyak lagi perkara-perkara yang berkesudahan dengan nama kejayaan atau kegagalan. Setiap yang hidup di dunia ini akan menghadapi antara kedua-dua ini. Dan anggapan kita kejayaan itu sesuatu yang baik dan kegagalan itu sesuatu tidak baik.

Kadang kala kejayaan itu memberi ketidakgembiraan kepada individu lain atau makhluk lain dan kegagalan itu mungkin juga memberi ketenangan kepada individu lain dan makhluk lain pula.

Terkadang kita tertipu dengan perkataan kejayaan dan kegagalan ini seakan tiada memberi kata penyudah yang infiniti yang sebenar kerana kejayaan dan kegagalan tidak mewakili ketunggalan sesuatu penyudah itu. Ia seakan kabur di penyudahnya.

Membingungkan. Seakan berlaku sesuatu yang tidak adil atas perkataan kejayaan dan kegagalan. Adakah perlu untuk kita memperkatakan kejayaan dan kegagalan tersebut hanya dengan perkataan, ucapan lisan dan ternampak hasil yang kita dapat dan tak terhasil yang diusahakan.

Namun, kejayaan mungkin boleh dirasai melalui hati kita yang riang dan begitu juga kegagalan yang boleh kita rasai dengan peritnya kegagalan.

Dari perenggan yang pertama tadi, aku ingin nak beritahu bahawa kejayaan atau kegagalan kita banyak bergantung dengan sikap diri kita sendiri. Jika positif sikap kita, pasti kejayaan akan mengekori kita dan jika negatif sikap kita pasti kegagalan akan meyelubungi kehidupan kita.

Dalam kita melayari dunia ini, agama merupakan penggerak utama untuk kita mencapai semua ini kerana agama lebih dekat dan mesra dengan nilai-nilai yang positif atau mengajak untuk kita brsikap positif.

Dan semua ini, kadang-kadang kita tak perlu perkatakan kerana sesuatu perkara ada masanya perlu untuk kita katakan dan kadang kala memadai dengan kita fahaminya sahaja sudah cukup untuk kita memperkata sesuatu itu. 


Friday, March 25, 2011

Ibu Atau Ayah?

KERJAYA sebagai seorang surirumah mungkin tiada dalam perjawatan yang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan belum pernah lagi aku dengar kewujudannya di iklan-iklan. Ia tak memerlukan sijil, diploma dan ijazah untuk memikul beban sebagai seorang surirumah. Ia perlukan nilai seorang ibu yang bertanggungjawab untuk mendidik dan menjaga ahli keluarga dalam lingkungannya. Ia tiada dihadkan atas umur, masa, tempat dan bangsa.
Merupakan jawatan yang disediakan khas untuk kaum-kaum ibu untuk mencorak manusia agar sempurna dalam rumahtangga, masyarakat, negara, dunia dan akhirat hanya bermodalkan belaian kasih sayang. Kasih sayang yang lahir dengan spontan dari naluri seorang ibu dan akan memupuk anak-anak samada menjadi seorang yang berjaya atau gagal di dunia dan akhirat. 
Mungkin sekarang peranan wanita sebagai seorang surirumah tidak diperlukan lagi kerana desakan kehidupan yang mendorong untuk wanita-wanita dan ibu-ibu membuat kerja-kerja yang diluar bidang mereka seperti peranan-peranan yang dimainkan oleh lelaki-lelaki. Pemikiran wanita sekarang telah diarahkan untuk memikirkan tentang bebanan yang ditanggung oleh kaum Adam.

Peranan para ibu yang dilantik untuk menyediakan manusia-manusia yang berperanan sebagai manusia yang mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya semakin terhakis dan peranan tersebut telah diswastakan kepada wanita-wanita lain(amah) dan juga badan-badan lain untuk mendidik dan memelihara anak-anak. Kebanyakan peranan “surirumah” yang diswastakan hanya berpaksikan kepada keuntungan dan komersial semata-mata sebab tiada nilai-nilai keibuan yang tulen diteraskan.

Sekarang wanita didedahkan dengan kerja-kerja yang tiada bersangkutan dengan karier sebagai seorang surirumah. Mereka dibebankan dengan permasalahan yang tak dapat untuk mereka selesaikan dengan jiwa yang halus dan lembut. Mereka paksa diri atau dipaksa untuk memikul beban yang keras dan kasar. Jadilah antara mereka yang berjiwa “kebapaan” dan “kejantanan” yang sukar untuk mendidik anak-anak dengan kelembutan yang diwarisi sejak azali lagi.

Sekarang terbukti, hampir tiada lagi lahirnya manusia yang tersohor dan terulung untuk menerajui dunia asbab kesibukan para ibu memajukan keperluan dunia mereka sehingga mengabaikan kemajuan anak-anak dari sudut jasmani dan rohani.

Kebanyakan tokoh-tokoh terhebat lahir dari para ibu yang sepenuh masanya mengabdikan diri mereka sebagai surirumah dan memberi tumpuan ke atas anak-anak sehingga anak-anak mereka terbentuk dengan acuan yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya.

Mungkin ada para ibu yang berkata, “Sekarang ni zaman yang memerlukan wang, semua perlukan wang untuk sesuatu, gaji suami tak mampu nak tanggung semua keperluan semasa”. Sebagai membantu pihak suami, si isteri atau wanita terbabit melibatkan diri mereka dalam kerjaya hanya semata-mata untuk mendapat pendapatan lebih.

Keperluan wanita untuk melibatkan diri dalam lapangan kerjaya hanya bila ada kehendak yang mendesak seperti sesuatu perkara yang perlu wanita untuk mengurusnya, contohnya seorang doktor wanita untuk mengurus seorang wanita yang tengah bersalin, ia satu fardu kifayah(keperluan yang dituntut oleh agama). Ia bukan berkehendak untuk para wanita menjadikan ia sebagai satu sumber pendapatan tapi lebih kepada tuntutan keperluan wanita pada masa tersebut. Jadi, ia lebih kepada keperluan wanita agar mereka diberi pilihan dan hak agar sempadan diri mereka tidak dicerobohi oleh jantina yang berlawanan.

Berbalik kepada tugasan sebagai surirumah tadi, ia seakan dipandang rendah dan kolot oleh kaum wanita sendiri(wanita Islam khususnya) asbab propaganda pihak luar dan asing agar mereka lebih ingin untuk melihat agar wanita-wanita Islam tidak memberi peranan ke atas institusi kekeluargaan. Pihak luar menanamkan, wanita berkerjaya lebih terkedepan berbanding kaum wanita yang berada di empat penjuru sudut rumah.

Sedangkan tugas sebagai seorang surirumah adalah lebih tinggi dan mulia kerana mereka-mereka merupakan penentu dan pencorak kepada manusia-manusia yang hidup di muka alam ini dan di alam selepas kematian. Dan kebanyakan pemimpin-pemimpin yang ada di dunia lahir atas belaian tangan-tangan mereka yang bergelar sebagai surirumah.

Jadi, tinggi tak jawatan sebagai surirumah berbanding dengan jawatan-jawatan yang direbuti dan disukai oleh kaum wanita sekarang?(jawatan-jawatan yang didampingi oleh kaum wanita sekarang fardhu kifayah bila ada keperluaan dan bukan sebagai karier untuk mereka mendapat pendapatan terkecuali atas mereka yang tiada penjaga seperti suami dan ayah yang terpaksa keluar mencari rezeki dengan batasan yang ditetapkan oleh syarak).


P/S ..sekarang lelaki ramai yang gagal dalam pelajaran dan dikuasai oleh kaum ibu pula....?


Friday, February 25, 2011

Bila Aku Menginap Di Hotel

KERAPKALI juga aku menginap di hotel-hotel, samada yang berbintang sehingga yang tak berbintang, atas urusan rasmi atau tak rasmi. Tapi, perasan tak, bila berada di bilik hotel? Bukan kerana kemewahan yang ada dalam bilik yang berbintang atau hapaknya dalam bilik tak berbintang. Cuma perhatikan bila masuk ke dalam bilik hotel, ada tak ciri-ciri Islam ataupun berkonsepkan tentang Islam.

Contohnya dalam bilik air, yang kita nampak hanya mangkuk tandas. Macamana rupa mangkuk tandas tu, mangkuk cangkung atau mangkuk duduk? Kebiasaannya mangkuk duduk. Cuba perhatikan juga, ada tak kepala paip untuk membersih selepas kencing dan buang air besar? Jarang-jarang ada, kalau adapun baru dibuat atau disediakan gayung untuk membersih(itupun kena telefon operator dulu nak minta gayung).

Cuba perhatikan katil juga, adakah kedudukan katil tersebut menyebabkan kaki kita melunjurkan ke arah kiblat? Begitu juga dengan kedudukan mangkuk tandas tadi, adakah ia mengadap atau membelakangkan ke arah kiblat? Dan cuba perhatikan adakah arah penunjuk kiblat tu betul-betul menunjukkan ke arah kiblat yang sebenarnya?

Cuma aku nak beritahu sahaja, adakah pengamalan Islam dari sudut pemakaian terhadap muamalat seperti di hotel ada diketengahkan agar umumiat tentang pemakaian Islam dijadikan faktor untuk pembinaan hotel-hotel di Malaysia ini. Sebab ciri-ciri Islam ini perlu dikembangbiakkan di pemikiran arkitek-arkitek di Malaysia agar ia menjadi panduan untuk pembinaan bangunan dan dekorasi dalam bilik hotel juga.

Jadi, kedatangan kita ke hotel-hotel bukan sahaja untuk kita tinggal semata-mata tapi boleh untuk memberi nilai-nilai sentuhan Islam yang kukuh dari sudut pengamalan dan kesantunan terhadap pengamalan Islam walaupun di mana kita berada.

Paling kurangpun pengamalan Islam dapat dijenamakan secara langsung ataupun tak langsung dalam kita bermuamalat. Tapi bolehkah ia berlaku jika si pembina bangunan tidak memaksikan kecerdikannya membuat bangunan dan dekorasi bilik dengan kaedah Islam sebagai tuntunannya?

Itu baru merupakan fizikal yang perlu untuk kita amati tentang penghayatan Islam dalam kehidupan kita, bagaimana lagi tentang penyediaan makanan di hotel-hotel? Adakah mengikut syarak? Bagaimana dengan tukang masaknya, Islam atau tak Islam? Bekalan makanannya diambil dari pembekal mana, adakah pembekal Islam atau tak Islam, pembuat bekalan makanan itu adakah orang Islam yang buat atau tak Islam? Ditambah lagi dari segi penyediaan makanan, terutamanya proses-proses dari mula makanan itu disediakan, contohnya ikan, adakah dibuang perutnya, dibersihkan dengan air yang mengalir dan banyak lagi.

Jadi, kita orang Islam wajib untuk menceburkan diri dalam bidang ini agar kehalalan dan ciri-ciri Islam dijadikan landasan dan panduan untuk kita menegakkan muamalat dalam kehidupan seharian kita.

Saturday, February 5, 2011

Siapa Nak Kaya?

ADAKAH kita pernah terfikir dan termimpi yang bila kita mempunyai kekayaan, apakah akan kita buat dengan kekayaan yang ada itu?

Biasanya atau sekarang ini mungkin ada yang terfikir di kepala otak, bila mempunyai kekayaan yang banyak tentu kita akan membeli pelbagai barangan yang tak mampu untuk kita beli semasa kita tidak mempunyai wang. Aku rasa yang pertama kali kita nak beli tentunya rumah yang besar, kenderaan yang mahal atau mewah. Kalau takpun, kita akan gunakan kekayaan yang ada untuk kita membuka perniagaan ataupun jika seorang kakitangan kerajaan pasti dia akan berhenti kerja dan hanya goyang kaki sahaja.

Kita beranggapan jika kita mempunyai kekayaan kita berkemampuan untuk membeli apa sahaja yang ada di dunia ini. Adakah betul dengan kekayaan boleh untuk kita membeli segala apa yang kita ingini akan diperolehi?

Kekayaan, banyak yang menafsirkan seseorang yang mempunyai wang yang banyak dan dapat memperolehi apa yang dihajati dengan mudah dengan perantaraan wang yang ada. Ia juga boleh memanipulasikan keadaan dengan perantaraan wang yang dimilikinya. Dengan kata mudah dia boleh buat apa sahaja yang diingininya pasti dapat jika ada wang. Jadi, sebab itulah orang inginkan kekayaan agar apa yang dihajati akan dipenuhi dengan perantaraan kekayaan tadi.

Tetapi bagi seorang yang miskin kekayaan baginya apabila ia memiliki wang RM1,000.00 pun ia sudah merasakan dia sudah kaya sebab baginya ia mempunyai nilai yang tinggi. Dan bagi seorang remaja, jika dia mempunyai wang sebanyak RM100.00 dia beranggapan dia sudah kaya kerana nilai wang itu disisi begitu tinggi dan jika seorang kanak-kanak memperolehi wang sebanyak RM10.00, dia beranggapan dia sudah kaya kerana nilai wang itu disisinya sudah begitu tinggi. Adakah dengan nilai wang atau situasi seseorang mengukur kekayaan seseorang itu?

Mungkin dari segi kebendaan dan jasmani, kekayaan yang ada boleh untuk mewujudkan segala keinginan yang dimahukan dan dinampakkan dengan mata kasar.

Tetapi, persoalannya adakah kekayaan boleh memberi dan memenuhi keinginan dan kehendak yang mutlak dalam diri manusia itu? Ini satu persoalan yang sukar untuk kita fahami dari konteks kepuasan dalaman mahupun luaran.

Mungkin ada di luar sana, beberapa kerat dari manusia yang mempunyai kekayaan yang melimpah-ruah namun kepuasan dalam dirinya masih belum dipenuhi dengan secukupnya, luaran mahupun dalaman. Mengapakah perkara ini berlaku, dari segi logik akal manusia, jika dah kaya seseorang itu mudahlah, senang, tenang, tak perlu nak memikirkan lagi perkara-perkara yang merunsingkan, cuma memikirkan apa sahaja yang diingini dalam hati. Tetapi ia tak berlaku, keadaan sebaliknya sering memburu diri dan kehidupannya.

Bertititk-tolak dari situlah kita ketahui bahawa kekayaan yang ada pada setiap manusia bukan jaminan atau ukuran ataupun tanda bahawa dia berjaya memperolehi semua yang dihajatinya. Kekayaan yang wujud hanyalah bebanan yang perlu untuk kita mengurus dan mentadbir ia agar  lebih sistematik pada ukuran dunia dan memberi ganjaran yang besar di akhirat jika digunakan mengikut kehendak Allah dan Rasul-Nya.

Jadi, ada pula yang mengatakan bahawa orang yang kaya adalah yang tiada mempunyai hutang dengan sesiapapun walaupun tidak mempunyai apa-apa hartapun dan orang yang tidak kaya adalah yang mempunyai hutang dengan sesiapapun walaupun mempunyai harta yang banyak tapi diperolehi dengan hutang. Dalam konteks hutang, barang yang kita miliki seperti kereta, rumah dan pelbagai lagi jika masih ada hutang sebenarnya bukan miliki kita yang sah.

Jadi, siapa sebenarnya yang kaya ni? Orang yang berhutang untuk mendapatkan harta atau yang dihajatinya ataupun orang yang tidak berhutang untuk mendapatkan harta atau yang dihajatinya ataupun yang tidak berhutang dan tidak mempunyai harta dan tidak menghajati sesuatu?(Jika seseorang menghajati sesuatu dia merupakan fakir, orang tidak menghajati sesuatu dia bukan fakir, siapakah fakir sekarang?).

Tetapi banyak juga majalah yang dikeluarkan mengatakan si anu tu paling kaya di dunia, ataupun di asia, ataupun di Malaysia, jadi adalah orang kaya itu? Tetapi kaya macamana ya?

Tetapi kekayaan juga boleh kita rujuk dari sudut kaya anak, kaya dengan senyuman, kaya kasih sayang, kaya dengan pertolongan, kaya isteri(poligamilah tu), kaya dengan umur dan banyak lagi kaya rupanya. Tetapi kekayaan sebegini tiada pengikhtiran dari manusiapun. Mungkin juga ia sukar diukur kerana ia satu yang subjektif dan amalan yang hanya wujud bila seseorang itu mempunyai kekuatan dalaman yang hebat.

Kesimpulannya, kaya atau tak kaya bukanlah suatu yang penting, yang pentingnya kayakan diri kita dengan amalan agama agar kekayaan yang sejati akan datang dalam setiap gerak-geri kehidupan seharian kita.



Monday, April 12, 2010

Aku Sebagai Seorang Kakitangan Kerajaan...

Hujung minggu ini, masa aku banyak di bilik hotel,ingatkan nak habiskan kerja di bilik ni, tapi rasa malas juga bila dah lihat katil dan suasana yang tak mengajak ke arah nak berkerja.(pernah kawan beritahu, kalau bawa kerja pejabat balik rumah ataupun mana-manalah tempat selain dari tempat kerja, terutamanya di rumah cepat tua..orang yang tak bawa kerja pejabat balik rumah sentiasa muda, cuba periksalah wajah di cermin tu, masih muda atau makin muda). Tapi aku gagahkan juga nak buat kerja ni, sebab Isnin ni nanti nak buat kerja lain lagi, sambil kerja ni aku mainkan muzik heavy metal nak naikkan mood berkerja.(sepatutnya aku berzikirlah, ni dengar lagu macam ni)
    
     Dahulu, masa nak buat kerja kena mainkan muzik barulah ada mood nak buat kerja, tapi sekarang bila aku cuba untuk datangkan suasana kerja aku mainkan muzik tak dapat pula. Fikir aku kacau dan tak dapat fokus atas kerja yang nak dibuat. Bila keadaan dan suasana yang tenang dan santai, suasana kerja akan datang dan banyak pula idea-idea yang tak terfikir masa di pejabat.(tapi cuba elakkan bawa kerja pejabat ke rumah, sebaiknya di rumah masa untuk keluarga, bagi yang berkeluarga dan yang masih belum berkeluarga buatlah perkara-perkara yang berfaedah untuk diri, orang sekeliling dan orang yang mengelilingi kita).
  
     Selama aku berkerja(sepatutnya keperluan) dengan kerajaan, banyak masa kerja aku habiskan di waktu kerja dan selepas kerja dihabiskan untuk selain daripada tugasan pejabat. Kadang-kala masa di luar pejabatpun kena curi juga untuk tugas rasmi pejabat dan kadang-kala juga masa pejabat digunakan untuk tugasan tidak rasmi pejabat, berlakukah ini dalam kehidupan kita seharian? Maksudnya curi tulanglah, kalau nak pastikan perkara ini, cuba kita pergi ke restoren, di sekolah(waktu balik sekolah) dan tempat membeli belah, ada tak terjumpa orang-orang kerajaan?(biasanya orang yang kerja kerajaan mudah sikit nak keluar, ada kelonggaran dan yang bukan kerja dengan kerajaan payah sikit) Bagi yang ada tugasan yang di luar ataupun yang sememangnya kerja di luar tak hairanlah, tapi yang tak sememangnya berkerja di luar pun ada di luar juga. Perkara ini mungkin sudah jadi sebagai norma hidup kakitangan kerajaan, mungkin ada juga yang tidak sebegini...hanya segelintiran dikalangan kita(mungkin termasuklah aku sekali).
  
      Cuba kita fikirkan, jikalah, setiap seorang kakitangan yang keluar di waktu pejabat buat begini hari-hari di waktu kerja, adakah ia akan menjejaskan produktiviti negara, ataupun pembaziran wang rakyat, ataupun berlakunya langgar ikrar setia, ataupun sebalik dari itu, memberi keuntungan kepada restoren/gerai-gerai/perniagaan ataupun yang jarang kita fikirkan, berkatkah rezeki aku ini?

Saturday, April 10, 2010

Perniagaan Sebagai Keperluan

    Aku dah seminggu lebih di Miri, Sarawak ini..."bandar minyak" gelaran bagi bandaraya kedua terbesar di Sarawak ini. Di Miri sekarang ini panas sikit, sebab cuaca yang sentiasa panas dan kurang hujan sejak-sejak akhir ini, ditambahkan lagi hampirnya dengan laut. Mungkin bagi orang Miri, ia perkara biasa dengan cuaca sebegini, bagi aku ni, yang jarang dan bukan orang tetap di sini, agak terasa bahang kepanasan yang menggigit kulit aku ni. Kalau nak dilihat persekitaran di "dalaman" dan "luaran" bandaraya Miri, ia seperti bandar-bandar lain di Malaysia yang tengah ataupun pesat membangun dengan pelbagai benda, pelbagai budaya, pelbagai fesyen, pelbagai aktiviti samada yang "nyaman" ataupun "sik nyaman" semuanya membiak dengan cepat dan bugarnya. Lebih lagi dengan kedatangan warga negara Brunei Darul Salam yang membeli belah dengan riang dan ria kerana  dek wang mereka yang nilai berganda dari wang kita ni. Jadi bersukaria lah mereka datang menabur wang di bumi Miri ini.

     Kalau diikutkan dari perspektif ekonomi, ia mendatangkan keuntungan yang tinggi kepada penduduk tempatan yang berniaga atas kehadiran warga Brunei ini, dan ia merancakkan lagi suasana ekonomi yang tengah galak bergerak ke arah yang "sedehana" , walaupun suasana ekonomi dunia sedang suram sekarang ini, namun di bandaraya Miri giat bergerak atau takpun bergerak secara perlahan bagi aktiviti perniagaan yang berskala kecil. Aktiviti perniagaan yang besar mungkin terasa dengan suasana ekonomi yang bergerak dengan lembab..jadi, kalau nak buat bisnes sekarang ni kena cari bisnes yang betul-betul menepati kehendak pelanggan.(ataupun kehendak orang Brunei) Apakah bisnes yang menepati kehendak pelanggan?

     Baru tadi aku nak masuk ke bilik, gunakan lif, terjumpa seorang perempuan muda yang seksi dengan senyum yang manis, dalam lif berdua, bila mata bertemu mata jatuh ke hati....lalu akupun tanya dari mana? jawabnya dari Indonesia, tapi sebenarnya aku dah agak dia ni tukang urut. Aku terus tanya berapa sekali urut, RM99.00 sejam, lumayan...nak bertanya lagi lif dah sampai ke tingkat tempat bilik aku menginap. Tak sempat lagi nak bertanya. Adakah bisnes ini memenuhi kehendak pelanggan?

    Sebenarnya aku baru berjumpa dengan teman sekelas aku tadi, aku panggil teman aku dengan H sahaja, yang dah lama aku tak jumpa hampir 15 tahun dan sekarang baru aku berjumpa...bila lama dah tak jumpa macam-macam lah cerita, pertama topik yang keluar tentang kawan-kawan yang lain, macamana mereka semua, apa yang tahu aku ceritakan, yang tak tahu tak pula aku ceritakan. sebenar H ini dah buka perniagaanya sendiri...tentang perniagaan...perniagaan tentang memberi perkhidmatan seperti pendaftaran, seperti nak buka kedai, dan ia lebih berkaitan dengan urusan perniagaan ...kecantikan(sememangnya perkara yang disukai oleh wanita) jadi H ini seorang wanitalah dan stokist bagi gel pelbagai guna untuk pelbagai masalah tentang sakit. Dan banyak cerita yang dibualkan antara aku  dan H... cuma aku hormat dengan kegigihan yang ada dalam dirinya..dah ada ciri-ciri seorang yang berjaya sebagai seorang yang ingin berniaga. Aku pula cuma nak berangan nak jadi usahawan sahaja tapi belum lagi sanggup menanggung risiko yang dihadapi bila nak berniaga. (kena baca buku berani gagal, baru ada keyakinan nak berniaga) sebelum berpisah tadi H bagi aku gel pelbagai guna (nak promosi dah, biasakan orang berniaga, H bagi free je, jadi aku ambil, boleh sapu kat perut tu nanti katanya). rupanya perut aku ni dah berisi dengan lemak yang tak berkualiti, ni yang kena buang ni.

     H, yang aku kenali dulu seorang yang lembut dan mudah senyum, tak sangka pula dah ada perniagaan sendiri..rupanya best juga jadi seorang usahawan ni tapi kena rajin cari pelanggan macamana nak produk kita dikenali dan diguna oleh orang ramai. Jadi kerja sebagai seorag usahawan ni tak kira masa, tempat dan keadaan...kena fikir macamana nak "lakukan" produk yang ada ni dan kena bersainglah dengan peniaga-peniaga yang lain..sebenarnya banyak lagi aku nak ceritakan tentang H ni tapi hanya yang dibenarkan sahaja, yang selain dari tu tak boleh lah. Jadi, ...aku tengok muka H senyum sahaja tapi dalam hati siapa tahu...cuma aku doakan semoga perniagaan yang dijalankan H berkekalan dan berkembang serta mengikut syariat...dan juga bayar zakat kena buat bagi memberkatkan lagi perniagaan.

     Dan, kesimpulannya...seorang wanita yang dieksploitasi oleh keadaan dan seorang wanita yang mengeksploitasi keadaan untuk mencari rezeki dan kehidupan ataupun boleh juga kita fikirkan macamana seorang wanita yang dieksploitasi oleh agama dan seorang wanita yang mengeksploitasi agama untuk mencari keredhaan Allah di dunia dan akhirat...sebenarnya agama tak perlukan kita ..kita yang perlukan agama untuk terus hidup di dunia dan akhirat..

Saturday, March 6, 2010

Nak Pusing-Pusing Di Mana?

     Jika ke Kuching, Sarawak kita akan tengok begitu banyak sekali "roundabout" atau bulatan, sehingga tak terhitung jumlah sebenar berapa bulatan yang terdapat di bandar Kuching ini. Ada yang besar, yang boleh untuk dibuat sebuah bangunan, rumah, taman bunga dan berbagai lagi dan juga bulatan yang kecil-kecil. Kalau melalui jalan-jalan di bandaraya Kuching ini memang kerap terjumpa bulatan ini, kena tawaflah atau pusing-pusing. Dan tidak salah kita nobatkan Kuching atau mana-mana bahagian di Sarawak ini sememangnya begitu menyukai bulatan-bulatan sebagai Raja bulatan.

    Tak pasti berapa kos yang diperlukan untuk membina kesemua bulatan ini dari segi penyelenggaraannya dan banyak lagi. Tapi, kalau kita berpusing-pusing di bulatan ini seronok juga. Adakah bulatan sebegini dibuat untuk kecantikkan, keseronokan atau memudahkan perjalanan kereta yang berada di jalan-jalan ataupun bagi mengelakkan kesesakan kereta-kereta? Bagi bandaraya Kuching mungkin terdapatnya bulatan yang banyak ini memberi permasalahan dari segi kesesakan lalulintas, dan masih relevenkah bulatan di bandaraya Kuching sekarang ini dengan kenderaan yang semakin bertambah dan pembangunan yang semakin berkembang biak di sini? Kalau kita lihat atau tinjau keadaan geografi negeri Sarawak ia begitu luas terutamanya tanahnya yang masih belum lagi diterokai sepenuhnya. Dari sudut sebegini harus juga bulatan ini dibuat untuk memenuhi setiap inci tanah di Kuching dengan pelbagai landskap yang memungkinkan mendatangkan keindahan dan kecantikan bagi bandaraya Kuching.

     Kalau kita mencari akan sudut yang lain lagi iaitu sudut kos ataupun perbelanjaan atas pembinaan bulatan ini, adakah berbaloi dengan kemasukan wang yang diperolehi atas pembinaan akan bulatan itu? Dengan keluasan tanah yang besar digunakan untuk pembinaan bulatan yang digunakan oleh pemandu kereta, penunggang motosikal, lori, bas dan banyak lagi kenderaan yang sentiasa bergerak. Ia lebih untuk memberi perkhidmatan kepada pengguna-pengguna jalan raya dan belum ada lagi pembayaran yang dikenakan ke atas pemandu-pemandu yang melalui bulatan ini. Namun, adakah ia akan terus dibuat untuk masa akan datang memandangkan apa yang terlihat pada masa kini ia tidak mendatangkan keuntungan dan lebih kepada tanggungan. Dari sudut penjimatan masa bagi pemandu-pemandu mungkin tidak, kerana kesesakan yang berlaku mendatangkan kelambatan dan kelewatan yang menjejaskan kehidupan sediada. Dengan kata lain ia tidak ekonomik lagi dan juga tidak mesra alam dan tidak mesra wang dan banyak lagi kemesraan yang akan terjejas asbab perkara ini.

     Dalam Islam, ada 3 pusingan yag disukai oleh Allah swt : 1. Pusingan para Malaikat di Baitul Makmur; 2. Pusingan jemaah Haji di Baitullah; dan 3. Pusingan orang-orang yang berkunjung dari rumah ke rumah semata-mata kerana Allah swt dan ia menjanjikan kenikmatan yang berpanjangan di dunia dan akhirat. Moral yang ingin diketengahkan di sini adalah buatlah pusingan yang bermanafaat untuk kebaikan di dunia dan akhirat kita.
    

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...