Saturday, July 20, 2013

Salam Ramadhan

RAMADHAN datang menjengah lagi. Puasa tahun ini aku berazam nak berbuka dan bersahur secara sederhana. Tahun-tahun yang lepas aku kurang membeli makanan untuk berbuka di Bazaar Ramadhan.Tahun ini aku sedaya upaya juga, agar berbuka dengan masakan sendiri, masakan isteriku.

Sememangnya juadah berbuka yang dijual di Bazaar Ramadhan begitu menyelerakan nafsu dan boleh untuk membangkitkan selera makan aku. Namun, bila aku fikir-fikirkan, selera sedap hanya terasa di lidah sahaja. Lepas itu, tak terasa lagi. Bila dah kenyang, makanan yang sedap tak terasa sedap lagi kerana dah begitu kenyang.

Bagi aku, suasana yang ada di bulan Ramadhan di negara kita lebih kepada suasana untuk menyuburkan sifat membazir. Sebab apa? Jika kita lihat promosi yang dibuat oleh pelbagai pihak sejak awal Ramadhan lebih kepada menu untuk berbuka puasa terutamanya hotel-hotel, restoran-restoran dan tempat lubuk makanan di Bazaar Ramadhan di pelbagai sudut negara kita.

Seolah-olah kita dibenarkan untuk makan sepuas-puasnya pada bulan Ramadhan ini tapi hakikatnya makanan yang dijamah tak sebanyak manapun. Seteguk air dan sepinggan nasi dengan lauk dan gulaian sudah cukup untuk mengalas perut yang kosong sepanjang hari tadi.

Sebenarnya, di bulan yang mubarak ini kita digalakkan untuk memperbanyakkan ibadat dan dikurangkan perkara-perkara yang tidak mengdatangkan faedah kepada amalan kita dan boleh mengurangkan kualiti amalan kita sepanjang hari kita berpuasa.

Walaupun di bulan yang mulia ini semua syaitan dan iblis dirantai, namun nafsu yang ada dalam diri masih lagi menguasai kita dan kita masih kalah lagi dengan rayuan nafsu kita.

Aku tak pasti juga mengapa masih lagi kita tak mampu untuk membuang sifat membazir dengan lambakan makanan di bulan puasa ini! Mungkin kita boleh periksa puasa kita, adakah mengikuti piawaian yang telah Allah tetapkan. Cuba periksa niat kita, awal, di pertengahan dan akhir niat. Adakah kerana Allah swt ataupun sebab suasana orang berpuasa kitapun berpuasa sama.

Tujuan ibadat puasa lebih mengarahkan kita untuk mengawal keadaan diri kita samada dalaman dan luaran agar kita lebih fokus beribadah semata-mata kerana Allah swt. Dan juga untuk mendatangkan sifat hamba dalam diri kita kepada Allah swt.

Untuk kita pastikan samada berlaku perubahan dalam puasa kita, cuba periksa perkara yang sekecil ini dulu, iaitu adakah menu untuk berbuka kurang dari semalam ataupun semakin banyak dari semalam? Insya Allah, selamat berpuasa untuk semua.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...