Thursday, October 25, 2012

Salam Aidil Adha

ESOK kita akan menyambut kedatangan raya haji, buat keluarga tersayang, teman-teman serta kenalan dan juga untuk anak(Ameer Hariz) yang tersayang yang beraya di Chanlung, Kedah(tolong betulkan jika salah) di mana anda berada semoga dilindungi oleh Allah swt. Salam Aidil Adha.

Saturday, October 13, 2012

Pandang Belakang

SUDAHPUN bulan Oktober sekarang, tinggal dua bulan lagi untuk aku berada dalam tahun 2012. Tahun depan sudah 2013 dan banyak cerita-cerita yang aku dengar tentang tahun 2012. Ada yang mengatakan tahun 2012 banyak kejutan yang akan timbul termasuklah bab Kiamat dan kedatangan Imam Mahadi. 

Ada Al-Quran dan Hadis memperkatakan hal-hal ini, namun tidak ada penetapan tarikh yang tertentu yang diberikan. Cuma Rasulullah s.a.w. menyatakan tentang tanda-tanda dekatnya Kiamat dan kedatangan Imam Mahadi. Bab tarikh tidak langsung disebut oleh Rasulullah s.a.w.

Kadang-kadang cerita yang digambarkan oleh si pencerita tentang perkara begitu signifikan sekali sehingga segenap dunia terasa akan kewujudannya. Kadang-kadang aku berminat juga mendengar cerita sebegini kerana begitu misteri dan mendebarkan akan kehadirannya.

Namun, sejak akhir-akhir ini cerita tentang kehadiran Kiamat dan kedatangan Imam Mahadi semakin kerap diceritakan oleh pelbagai golongan dan agamawan. Aku, kadang-kadang teruja juga dengan penceritaan mereka tentang perkara ini dengan mengaitkan dengan orang sebelah timur akan diangkat menjadi  Imam Mahadi untuk memimpin manusia di akhir zaman nanti.

Terfikir juga aku, adakah aku dan kita semua nanti akan memihak kepada golongan Imam Mahadi? Dengan amalan kita yang cukup-cukup makan serta keyakinan(Iman) yang masih nipis dan sering goyah oleh kehebatan dunia ini, mampukah untuk kita berada pada zaman itu? Sebab pelbagai dugaan dan cabaran yang amat kritikal terhadapiman kita.

Aku dengar pada zaman itu tiada lagi "taskilan" ke arah 1 tahun, 7 bulan, 4 bulan, 40 hari dan 3 hari untuk berjuang di jalan Allah s.w.t., taskilan hanya diminta untuk bagi nyawa! Hebatkan, sekarang ini, kita hanya ditaskil untuk 4 bulan, 40 hari dan 3 haripun masih terkial-kial untuk sempurnakan takaza tersebut. Ini taskil nyawa.

Aku rasa, zaman itu belum tiba lagi dan pasti akan tiba tidak lama lagi dan aku harap jiwa kita ini telah disediakan ke arah itu.

Kita sebenarnya telah disediakan ke arah itu dengan tertib-tertib yang ada sekarang iaitu "kerja makami" bila kita menjadi golongan Ansar dan "kerja baironi" bila kita menjadi golongan Muhajirin. Kita akan menjadi dua  golongan ini sahaja Ansar dan Muhajirin. Iaitu dua golongan para sahabat yang telah sambut takaza untuk penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w.

Golongan yang hijrah adalah golongan Muhajirin dan golongan yang nusrah adalah Ansar. Penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. berserta dengan golongan Muhajirin ke Madinah telah disambut oleh golongan Ansar atas maksud agama. Apabila terjadinya "hijrah dan nusrah' antara orang Islam, barulah bantuan Allah s.w.t. akan turun dalam membantu agama Islam. Jika tiadanya hijrah ataupun nusrah, pasti bantuan dari Allah agak lambat turun dan tiada bantuan dari Allah s.w.t.

Para sahabat Muhajirin dan Ansar telah tunjukkan akan keberkesanan kaedah ini, sehinggakan Madinah telah menjadi sebuah negara kota yang berjaya di dunia dan akhirat, malahan ditakuti oleh golongan yang lain.

Corak kerja telah ditunjukkan oleh para sahabat r. 'anhum iaitu bagaimana untuk menjadikan individu, keluarga, masyarakat, kampung, bandar, negeri dan negara yang berjaya dari sudut Imaniat, Ibadat, Muamalat, Muasyarat dan Akhlak.

Kita bagaimana? Imam Hanafi mengatakan, jika ingin membaiki keadaan umat yang ada sekarang, pandang ke belakang iaitu tiru sebagaimana para sahabat r. 'anhum.







Wednesday, October 3, 2012

Keadaan Manusia Pada Masa Nabi Isa 'Alaihissalam

SEMASA Nabi Isa 'Alaihissalam, bumi dilimpahi dengan buah-buahan, bijirin, sayur-sayuran dan susu yang begitu banyak. Bumi mempamerkan hasil khazanahnya. Tersebut di dalam hadis yang lain bahawa Nabi Isa 'alaihissalam akan hidup selama 7 tahun dan keadaan kasih sayang di antara sesama orang Islam adalah sedemikian rupa sehingga tidak ada nampak tanda-tanda permusuhan sedikitpun di antara dua orang Islam.
(Muslim)

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r. 'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Aku bersumpah dengan Zat yang memegang nyawaku sesungguhnya Nabi Isa 'alaihissalam akan diturunkan di kalangan kamu lalu memerintah dengan penuh keadilan. Setelah turun daripada langit baginda akan mematahkan salib-salib Nasara yang mereka sembah. Yakni berakhirlah agama Nasrani lalu menaikkan agama Islam dan membunuh babi yang telah dihalalkan oleh orang-orang Nasrani untuk dimakan.

Baginda akan menghapuskan cukai yakni cukai-cukai tidak dikenakan lagi terhadap orang-orang bukan Islam kerana baginda akan menyebarkan Islam ke merata-rata tempat. Dan ahli-ahli kitab yang terdiri daripada orang-orang Yahudi akan beriman kepadanya kerana kedatangannya itu. Maka dengan itu tidaklah ada lagi jizyah. Alasan lain ialah pada masa itu harta dan kemewahan yang merimpah-ruah menyebabkan tidak perlunya lagi kepada cukai.

Selanjutnya baginda berkata harta akan mengalir seperti air yang mengalir. Seorangpun tidak mahu menerimanya. Nilai agama begitu tinggi sekali tertanam di hati setiap orang sehinggalah sekali sujud adalah terlebih berharga daripada seluruh dunia dan apa-apa yang terkandung di dalamnya."

Alasan yang ketiga ialah bahawa Nabi yang terakhir telah mengizinkan jizyah sehinggalah kedatangan Nabi Isa 'alaihissalam. Selepas itu tidak ada lagi keizinan diberikan. Dengan ini kata Abu Hurairah r. 'anhu: "Mengenai kebenaran hadis yang aku riwayatkan ini maka bacalah keratan ayat itu, "maka tidak akan satupun ahli kitab yang berada pada zaman Nabi Isa 'alaihissalam yang tidak beriman kepadanya sebelum mati."
(Bukhari)

Di dalam kitab Muslim telah dinyatakan bahawa pada masa Isa 'alaihissalam, harta dan kasih sayang di antara satu sama lain begitu erat sehinggalah untu-unta mereka dibiarkan bebas yang seorangpun tidak ingin mengenderainya untuk tujuan menjual, berniaga, bertani dan sebagainya. Maksudnya ialah mereka tidaklah lagi perlu untuk menunggang, membebaninya dengan barangan ke atas belakang unta.

Rasa permusuhan sebenar akan keluar daripada hati dan tidak lagi bertapak rasa cemburu, hasad dengki. Orang ramai disuruh mengambil wang tetapi tidak seorangpun yang mahu menerimanya. Jadi selepas dikaji sejak zaman Imam Mahadi sehingga Nabi Isa 'alaihissalam masa itu adalah selama 14 tahun yang wujud hanyalah Islam sahaja.

Barangan dan harta benda begitu mewah. Kasih sayang begitu kuat di antara orang ramai sehingga tidak ada sedikitpun rasa permusuhan di dalam hati mereka. Maka mungkin pada masa inilah Rasulullah s.a.w. ada bersabda bahawa tidak akan ada sebuah khemahpun atau rumah yang dibuat daripada tanah liat di permukaan bumi ini yang tidak dimasuki oleh Kalimah Islam. Ada dua cara memasukinya: Pertamanya, Allah Subhanu wa Ta'ala akan mengurniakan kemuliaan kepada orang-orang yang dihormati dengan cara mereka memeluk Islam dan bergembira dengan keislaman mereka. Keduanya, Allah akan menghina terhadap orang yang terhina dan mereka terpaksa menerima Kalimah ini.
(Musnad  Imam Ahmad)

Meniti Debaran Zaman, Bab 80: Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan: Abdul Aziz Bin Abdul Hamid

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...