Wednesday, October 3, 2012

Keadaan Manusia Pada Masa Nabi Isa 'Alaihissalam

SEMASA Nabi Isa 'Alaihissalam, bumi dilimpahi dengan buah-buahan, bijirin, sayur-sayuran dan susu yang begitu banyak. Bumi mempamerkan hasil khazanahnya. Tersebut di dalam hadis yang lain bahawa Nabi Isa 'alaihissalam akan hidup selama 7 tahun dan keadaan kasih sayang di antara sesama orang Islam adalah sedemikian rupa sehingga tidak ada nampak tanda-tanda permusuhan sedikitpun di antara dua orang Islam.
(Muslim)

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r. 'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Aku bersumpah dengan Zat yang memegang nyawaku sesungguhnya Nabi Isa 'alaihissalam akan diturunkan di kalangan kamu lalu memerintah dengan penuh keadilan. Setelah turun daripada langit baginda akan mematahkan salib-salib Nasara yang mereka sembah. Yakni berakhirlah agama Nasrani lalu menaikkan agama Islam dan membunuh babi yang telah dihalalkan oleh orang-orang Nasrani untuk dimakan.

Baginda akan menghapuskan cukai yakni cukai-cukai tidak dikenakan lagi terhadap orang-orang bukan Islam kerana baginda akan menyebarkan Islam ke merata-rata tempat. Dan ahli-ahli kitab yang terdiri daripada orang-orang Yahudi akan beriman kepadanya kerana kedatangannya itu. Maka dengan itu tidaklah ada lagi jizyah. Alasan lain ialah pada masa itu harta dan kemewahan yang merimpah-ruah menyebabkan tidak perlunya lagi kepada cukai.

Selanjutnya baginda berkata harta akan mengalir seperti air yang mengalir. Seorangpun tidak mahu menerimanya. Nilai agama begitu tinggi sekali tertanam di hati setiap orang sehinggalah sekali sujud adalah terlebih berharga daripada seluruh dunia dan apa-apa yang terkandung di dalamnya."

Alasan yang ketiga ialah bahawa Nabi yang terakhir telah mengizinkan jizyah sehinggalah kedatangan Nabi Isa 'alaihissalam. Selepas itu tidak ada lagi keizinan diberikan. Dengan ini kata Abu Hurairah r. 'anhu: "Mengenai kebenaran hadis yang aku riwayatkan ini maka bacalah keratan ayat itu, "maka tidak akan satupun ahli kitab yang berada pada zaman Nabi Isa 'alaihissalam yang tidak beriman kepadanya sebelum mati."
(Bukhari)

Di dalam kitab Muslim telah dinyatakan bahawa pada masa Isa 'alaihissalam, harta dan kasih sayang di antara satu sama lain begitu erat sehinggalah untu-unta mereka dibiarkan bebas yang seorangpun tidak ingin mengenderainya untuk tujuan menjual, berniaga, bertani dan sebagainya. Maksudnya ialah mereka tidaklah lagi perlu untuk menunggang, membebaninya dengan barangan ke atas belakang unta.

Rasa permusuhan sebenar akan keluar daripada hati dan tidak lagi bertapak rasa cemburu, hasad dengki. Orang ramai disuruh mengambil wang tetapi tidak seorangpun yang mahu menerimanya. Jadi selepas dikaji sejak zaman Imam Mahadi sehingga Nabi Isa 'alaihissalam masa itu adalah selama 14 tahun yang wujud hanyalah Islam sahaja.

Barangan dan harta benda begitu mewah. Kasih sayang begitu kuat di antara orang ramai sehingga tidak ada sedikitpun rasa permusuhan di dalam hati mereka. Maka mungkin pada masa inilah Rasulullah s.a.w. ada bersabda bahawa tidak akan ada sebuah khemahpun atau rumah yang dibuat daripada tanah liat di permukaan bumi ini yang tidak dimasuki oleh Kalimah Islam. Ada dua cara memasukinya: Pertamanya, Allah Subhanu wa Ta'ala akan mengurniakan kemuliaan kepada orang-orang yang dihormati dengan cara mereka memeluk Islam dan bergembira dengan keislaman mereka. Keduanya, Allah akan menghina terhadap orang yang terhina dan mereka terpaksa menerima Kalimah ini.
(Musnad  Imam Ahmad)

Meniti Debaran Zaman, Bab 80: Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan: Abdul Aziz Bin Abdul Hamid

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...