Saturday, May 22, 2010

Jika Kau Bercinta Lagi...- Bahagian Kedua

     Cerita aku yang lepas aku terangkan maksud cinta, apa sebenarnya makhluk bernama cinta ni. Kadang-kadang masih terdapat lagi orang perseorangan dan individu yang tersesat makna makhluk bernama cinta ini. Tapi, untuk cerita tentang cinta ni, suka aku nak ambil sebuah cerita seorang hamba yang begitu mencintai Penciptanya sehingga ia lupa akan dirinya sendiri. Tapi tak apa, cuba kita fahami bagaimana cinta seorang makhluk terhadap Penciptanya yang perlu untuk kita teladani dan ikuti..

**********

     Diceritakan oleh beberapa orang salihin, bahawa Abdullah bin Husain r.a. mempunyai seorang hamba perempuan yang berbangsa Rom. Hamba ini terkira seorang wali Allah yang sangat patuh kepada peribadatan kepada tuhannya.
     Pada suatu malam hamba perempuan ini seperti biasanya bangun dari tidurnya, lalu berwudhuk, kemudian bershalat terus-menerus dengan penuh khusyuk. Sesudah habis bershalat, ia berdoa pula dengan bersujud, katanya:
     "Ya Tuhanku! Dengan sepenuh kecintaan-Mu kepadaku, hendaklah Engkau mengampuniku!"
     Abdullah bin Husain yang mendengar doa sang hambanya begitu, lalu membentaknya, katanya: "Celaka engkau, wahai hambaku! Jangan engkau sekali-kali berani mengatakan begitu kepada Tuhan! Akan tetapi katakan begini:
     "Ya Tuhanku! Dengan kecintaanku kepada Engkau, ampunilah aku!"
     Sang hamba tadi lalu marah dan berkata: "Pergilah engkau dari sini, wahai tuan hamba yang bodoh! Kalaulah tidak kerana Dia mencintaiku, niscaya Dia tidak menjadikan engkau tidur nyenyak di atas kasurmu, dan membangunkan aku di tengah malam begini, dan membuat aku berdiri beribadat kepada-Nya dengan penuh khusyuk ini! Dan kerana Dia mencintaiku jugalah, Dia telah mengeluarkan aku dari kumpulan orang-orang musyirikin yang menduakan Dia, dan memasukkan aku ke dalam kumpulan orang-orang yang mu'minin yang menyembah hanya kepada-Nya!"
     Abdullah bin Husain merasa malu apabila mendengar jawapan hambanya itu. Dia dapat merasakan apa yang dikatakan oleh sang hamba itu adalah benar dan tepat sekali. Betapa seorang yang sedang sedap tidur di tengah malam dibangunkan-Nya untuk beribadat kepada-Nya, tentulah itu menunjukkan kecintaan Allah kepada orang itu. Apatah lagi dia seorang hamba perempuan yang begitu lemah dan tidak berdaya, di siang harinya sibuk dengan kerja-kerjanya yang tidak habis-habis, kemudian di malam hari dapat  pula ia bangun membuat sesuatu kebajikan terhadap Tuhan Penciptanya.
     Abdullah bin Husain tidak berfikir panjang lagi, lalu berkata kepada hambanya itu: "Engkau memang tidak patut menjadi hamba sesiapa pun selain Allah Ta'ala. Kini pergilah dari sini, engkau aku merdekakan semata-mata kerana Allah!"
     Selain menyambut baik putusan tuannya, sang hamba itu terus berkata: "Wahai tuanku! Sebelum ini saya mendapat dua pahala, dan kini saya mendapat satu pahala saja." Maksudnya kalau dulu saya bisa dapat dua pahala kerana berkhidmat kepada tuan hamba, dan beribadat kepada Allah.
     "Moga-moga Allah memerdekakan jasadmu dari api neraka!" kata tuannya Abdullah bin Husain lagi.
     "Ini adalah kemerdekaan yang kecil, (yakni terbebas dari belenggu perhambaan). Bagaimana pula nanti dengan kemerdekaan Tuanku yang Maha Agung kelak," jawab hamba perempuan itu.
     Hamba perempuan itu terus tunduk sujud kepada Allah s.w.t. ketika itu juga. Dia tetap tunduk di situ sebagai batu. Melihat keadaannya serupa itu Abdullah berasa bimbang, lalu menggerak-gerakkannya, lalu tiba-tiba ia rebah di tempat itu tidak sedarkan dirinya lagi. Dia telah mati, moga-moga Allah merahmati rohnya yang pergi.
     Demikianlah sifatnya orang-orang yang benar dalam kecintaannya kepada Allah, maka Allah pun benar dalam kecintaan-Nya kepadanya. Apa yang dipinta-Nya tetap diberikan sepontan tanpa tangguh-tangguh lagi.
     Cuba renungkan apa yang dikatakan oleh penyair ini tentang cinta dan khususnya cinta Allah terhadap hamba-Nya :
     
     Cinta itu pasti ada manisnya dan ada juga pahitnya,
     Beribadat dan bermunajat itulah tandanya Tuhan mencintainya,
     Apa yang Dia suka dibuat-Nya kepada sesiapa yang dicintainya,
     Karena hukum cinta itu adalah di tangan siapa yang mencintainya,
     Kalaulah aku ditunjuk kehendak-Nya sebagai orang yang dicintai-Nya,
     Niscaya aku akan bersenang dengan-Nya dan bertunggu malam pada-Nya.

**************************

     Jadi, aku rasa baiklah kita periksa diri kita ini, adakah terdapatnya kejadian yang sama berlaku terhadap diri kita seperti cerita di atas yang dialami oleh hamba sahaya itu. Pernahkah tejadi? Kalau belum pernah, cuba-cubalah belajar macamana nak dicintai...


Petikan cerita dari Untaian Kisah Para Wali Allah - Syed Ahmad Semait


Friday, May 14, 2010

Jika Kau Bercinta Lagi...

     Mungkin semua orang pernah bercinta(termasuk aku juga) dalam hidupnya. Namun adakah cinta itu sentiasa segar sejak kita bercinta dengan orang yang kita cintai. Segar maksudnya sentiasa mekar dengan kata-kata sayang, rindu dan juga sentiasa terbayang orang yang kita cintai. Ataupun sentiasa mengelamun mengenangkan seseorang yang kita cintai.

     Maksud cinta yang nak aku terangkan, mungkin macam ni...ukuran asas pengalaman manusia yang memberikan antaranya, perasaan kasih sayang, tarikan, asas kemesraan dan keserasian antara seseorang, rela berkorban untuk orang lain, perasaan tertarik dan hubungan kepada alam, benda hidup ataupun makhluk lain. Dan ia dapat ditunjukkan atau dizahirkan melalui perasaan, emosi, kelakuan, pemikiran, persepsi dan sikap. Ia mempengaruhi, mendasari dan menentukan pola utama hubungan seseorang dan pengenalan diri.

     Dan kita, sebagai manusia sering menginginkan cinta. Dalam cinta ada suatu ketulusan perasaan yang membuat manusia yang merasainya gembira, sedih, rasa keyakinan, rasa dimiliki dan sebagainya.

     Dalam cinta biasanya tersimpan seribu macam perasaan yang amat sukar digambarkan, bermula dengan rasa suka, hati berdetak, mulut tersenyum tanpa bicara, muka bertambah seri, dan akhirnya cinta itu menjadi milik kita. Kata pujangga, ia amat mudah untuk dilafazkan, tetapi amat mudah juga dilupakan dan cinta yang sejati lahir dari hati yang tulus.

     Dan jika kita lihat, biasanyalah,  hati sentiasa menjadi lambang kepada cinta. Apa kaitannya hati dan cinta? Kata orang...cinta itu tersimpan di hati bukannya pada harta, pangkat, wajah yang cantik/kacak dan mungkin juga kuasa. Kata pujangga juga, ...orang yang bercinta tidak akan bercuti, macamana ya?

     Juga ada perbandingan yang melampau (hyperbola) terhadap orang yang bercinta ni, contohnya....mandi tak basah walaupun badan dah kena air...makan tak kenyang walaupun dah makan dan banyak lagi ciptaan dan luahan yang tercipta kerana termabuk dengan cairan cinta ni.

     Dan sekarang ini, semua orang sedang, mencari dan dicari oleh cinta, samada cinta yang bermusim, cinta berkala, cinta palsu, cinta harta, cinta kuasa, cinta pangkat, cinta suci dan banyak lagi cinta, aku boleh kategorikan sebagai cinta pada dunia ataupun cinta pada mahkluk, sebab yang kita cintai semuanya makhluk ciptaan Allah s.w.t. Eemm..aku pernah terbaca blog seseorang..cantik juga maknanya..iaitu sharing is caring and caring is loving..(aku tafsirkan ia sebagai poligami)

     Dan, yang aku nak beritahu adalah bercinta itu baik jika mendatang manafaat untuk kita dunia dan akhirat(macam kisah Qais Ameeri dan Laila...) dan yang tak baiknya, macam yang kita selalu tengok dan baca kat televisyen dan suratkhabar tu..macam-macam berita yang boleh untuk melakukan suratkhabar kat Malaysia.

     Jadi, aku dan kita semua digalakkan untuk bercinta selagi ada perasaan cinta yang masih belum diberikan kepada seseorang, dan juga tak dapat nak aku sangkalkan bahawa cinta itu buta dan membutakan, memabukkan orang yang sedang bercinta walaupun tak minum air yang memabukkan namun lebih parah dari orang yang minum arak. Cubalah merasai alam cinta, kerana ia boleh melenakan kita dalam sedar , melupakan diri kita dalam jasad, mengaburkan mata yang tak kabur, memaniskan kesusahan yang pahit dan apa lagi..mengadakan yang mustahil(..ingat tak cerita Puteri Gunung Ledang, ia mitos semata-mata tapi penuh dengan sindiran...) ia menghilangkan kewarasan atas orang yang waras.

     Namun, mencintai yang selain dari Allah s.w.t. akan mengalami  kehilangan, kekecewaan, kebimbangan dan akan ditinggalkan ataupun meninggalkan...cinta yang menyeronokkan adalah cinta kepada Pencipta yang mencipta cinta itu sendiri...adakah aku sedang mencintai atau dicintai oleh Pencipta aku?

Thursday, May 6, 2010

Budi Bahasa Amalan Kita

      ....dah makan cik, tengahari nanti kami sediakan makanan untuk kamu semua..takpe...takpe...takpe.. itulah budi bahasa budaya kita..jika kita nak cakap hal budi bahasa ni..ia satu benda yang ganjil nak diperkatakan, apa perlunya budi bahasa? relevenkah ia dalam mencanai ekonomi sekarang...politik macamana pulak, perlukah nak berbudi bahasa nak memerintah negara?
     Jadi, bab budi bahasa semakin tidak ditekankan dalam konteks kehidupan kita sekarang ini, yang aku nak bincangkan adalah persekitaran kita yang makin lesu dan lelah dengan budi bahasa yang tak diendahkan kewujudannya. Kalau dalam Islam ia merupakan cabang syariat yang dituntut dalam kehidupan kita agar kita menjadi manusia yang beradab dengan manusia lain. Ia disebut dengan nama muasyarat iaitu adab kemasyarakatan -cara orang Islam bertingkah laku di dalam bermasyarakat-

     Jika kita lihat kelakuan orang-orang di sekitar kita sekarang ini, aku rasa semakin tak beradab, (yang aku nak tekankan ini orang-orang Islam) sebab Islam mengajar kita untuk menghargai dan menghormati orang lain dengan sebaik-baiknya. Namun peranan kita hendak menonjolkan kehidupan Islam terbantut dengan kerenah-kerenah orang-orang Islam sendiri yang tak tahu untuk berbudi bahasa.
   Sebab, cabang atau bidang ini bersangkutan dengan keharmonian, kecintaan, keamanan dan perpaduan yang menuntut kita untuk menjaga batas-batas yang ada dalam diri kita agar wujudnya ataupun menzahirkan  suatu masyarakat Islam yang sihat.

     Masyarakat Islam, amnya orang melayu lebih releven dengan Islam ataupun sinonim dengan Islam, sebut melayu bererti Islam dan disebut Islam berertinya melayu.(bagi melayu di Malaysia sahaja, tetapi adakah lagi releven?)
     Jika disebut melayu, masyarakat yang sarat dengan budaya yang mementingkan budi bahasa, menghormati dan menekankan kepada kesantunan hati, namun sudah tiada lagi. Ia semakin lenyap dalam kamus kehidupan manusia yang bernama melayu(walaupun aku bukan melayu tapi aku Islam, sebab dalam konteks Malaysia, Islam ialah Melayu dan Melayu adalah Islam), ia semakin melayu.
     Budi bahasa yang semakin jauh untuk diamalkan dan menjadi bahan sejarah ataupun kajian para sejarawan hanyalah sebagai kata-kata yang tiada isinya lagi. Kelenyapan sifat saling cinta-mencintai dan kasih sayang berfaktorkan kepada hilangnyan budi bahasa dikalangan kita(termasuk aku juga) yang mencintai budaya -budaya yang selain dari budaya kita(Islam).

     Mengapa hati-hati kita yang lembut ini(orang-orang melayu) mudah terangsang dengan tingkahlaku yang tak sepatutnya dimiliki oleh kita lalu diamalkan dalam kehidupan. Mengapa mesti kita mengubah budaya kita yang indah dan berseni yang selari dengan Islam untuk kita mencontohi selain dari ini.
     Jelas bagi kita bahawa budi bahasa yang begitu cantik dan menawan amat penting untuk kita melangsungkan kehidupan kita agar boleh dijadikan acuan yang bermutu untuk dijadikan ikutan generasi yang akan datang dan kepupusan budaya yang indah ini akan memberi impak yang besar kepada masyarakat dan dunia umumnya. Kerana, harta, pangkat dan kuasa tidak dapat melahirkan generasi yang bermutu tanpa dipayungi oleh nilai-nilai yang berkonsepkan akhirat. Jadi, apa nak jadi...apa nak jadi..sampai sekarang tak jadi-jadi...nak jadi apa pulak?
  
     Cubalah renung pantun di bawah ini, yang digunapakai oleh generasi terdahulu untuk menggambarkan kemuliaan orang yang berpaksikan budi bahasa yang luhur;
 

Jauh sungguh pergi mandi
Setapak jalan lewatkan huma
Berat sungguh menanggung budi
Seribu tahun takkan lupa

Cindai bercorak penuh berpita
Pakaian anak Panglima Garang
Emas dan perak pengaruh dunia
Budi yang baik dijunjung orang

Tinggi bukit gilang-gemilang
Air laut tenang-tenangan
Budi sedikit tidakkan hilang
Itu menjadi kenang-kenangan

Biarlah orang bertanam buluh
Mari kita bertanam padi
Biarlah orang bertanam musuh
Marilah kita bertanam budi

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...