Wednesday, February 29, 2012

Jangka Hayat Dajjal Di Dunia

TELAH diriwayatkan oleh Nawas bin Sam'an r. 'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. telah menyebut fasal Dajjal : "Jikalau dia muncul pada masaku, aku akan menghadapinya. kamu tidak perlu bimbang. Jikalau aku tidak ada pada waktu itu maka setiap orang mestilah mempunyai keberanian menghadapinya. Dan Allah adalah Pelindung terhadap setiap orang Islam selepasku.

Bentuk tubuh Dajjal itu ialah agak muda, mempunyai rambut kerinting, matanya menonjol dan tinggi. Wajahnya seperti Abdul 'Uzza bin Qat'n. Sesiapa di kalangan kamu melihatnya hendaklah membaca pembukaan surah Kahfi kerana melalui bacaannya akan mengawal orang itu daripada angkaranya. Sesungguhnya dia akan muncul daripada satu jalan antara Syria dan Iraq.

Selepas muncul dia akan menyebarkan banyak kerosakan di setiap kota di kiri kanannya. Wahai hamba-hamba Allah tetap teguhlah kamu pada waktu itu."

Periwayat itu berkata : "Kami bertanya : "Wahai Rasulullah s.a.w. berapa lamakah yang dia akan hidup di permukaan bumi ini?"

Baginda menjawab : "Dia akan hidup selama 40 hari yang satu hari bersamaan satu tahun dan satu hari bersamaan satu bulan dan satu hari bersamaan satu minggu dan hari-hari yang berikutnya adalah seperti mana hari-hari biasa kamu."

Periwayat ini berkata  bahawa mengenai ini kami bertanya : "Ya Rasulullah cukupkah bagi kami bersolat sehari pada hari ini yang panjang sehingga setahun itu?"

Baginda menjawab : "Tidak, kamu hendaklah mengira dan setelah membuat anggaran hari tersebut, maka solatlah lima waktu sebagaimana kamu solat setiap hari."

Periwayat itu berkata : Kami bertanya : "Berapa pantaskah Dajjal berjalan di bumi?"

Baginda menjawab : "Seperti angin yang meniup awan dengan pantas, maka dengan keadaan yang sama dia akan bergerak di bumi."

Yakni mencakup seluruh dunia dan akan membabitkan begitu ramai manusia dalam perbuatan angkaranya. Kemudian dengan memberi gambaran yang terlebih terperinci mengenai angkara Dajjal baginda bersabda : "Dia  akan pergi kepada suatu kaum (masyarakat) dan mengajak manusia mengakunya sebagai tuhan. Orang-orang ini akan percaya kepadanya. Untuk memperkukuhkan kepercayaan orang-orang ini terhadapnya, dia akan mengarahkan langit menurunkan hujan, yang akibatnya buah-buahan dan bijirin akan keluar. Disebabkan hujan dan tanam-tanaman ini, maka binatang-binatang yang bergerak di belakangnya akan membesar dengan bonggol di belakang mereka meninggi, tetek akan membesar dan buah zakar akan membengkak.

Kemudian Dajjal akan pergi kepada orang lain lalu menyeru mereka mengakui ketuhanannya. Tetapi mereka enggan mengakuinya. Maka dia meninggalkan mereka lalu beredar dari situ tetapi mereka akan didatangkan malapetaka. Semua tanam-tanaman mereka akan dibinasakan dan hujan akan berhenti hujan, tidak ada lagi harta yang tinggal dengan mereka.

Sewaktu Dajjal melewati kawasan yang telah binasa ini mengarahkan (tempat ini) memicit keluar segala khazanah dan galian-galian yang tersembunyi yang mana segala khazanah dan yang terkandung di dalam bumi tersebut mengikutnya pergi seumpamalah lebah menurut permaisurinya.

Kemudian Dajjal akan memanggil seorang yang tubuhnya sangat muda. Dia akan membelah dua orang ini dengan pedangnya lalu membuang kedua-dua belahan badan ini. Kedua-dua belahan badan ini akan tercampak jauh sebagaimana jaraknya panah yang dilepaskan daripada busarnya. Kemudian Dajjal akan memanggil orang itu dan orang itu akan datang kepadanya sambil ketawa dan terkinja-kinja.

Begitulah keadaan Dajjal sehinggalah tiba-tiba Allah menurunkan Masih Ibn Maryam 'alaihissalam dari langit. Baginda akan turun dekat dengan menara putih di timur kota Damsyiq memakai dua helai kain kuning sambil meletakkan kedua tangannya di atas sayap dua malaikat. Apabila baginda menundukkan kepalanya, titisan air peluhnya akan jatuh dan ketika baginda mengangkat kepalanya titisan peluhnya seperti mutiara bergemerlapan akan gugur seperti bijirin yang diperbuat daripada  perak.

Ada suatu kuasa di dalam nafas Nabi Isa 'alaihisalam bahawa setiap orang kafir yang terkena nafas tersebut akan mati dan nafasnya akan pergi sejauh mata memandang. Setelah turun daripada langit, baginda akan mencari Dajjal. Baginda menemuinya di Bab Ludd.

(Nota : Negara Zionist Israil telah membina sebuah lapangan terbang di sini yang dikenali sebagai Lyda Airport-Quraisyi atau menurut sesetengah yang lain di tempat tinggal berhampiran Baitul Muqaddis.)

Nabi Isa 'alaihissalam akan membunuhnya dengan tombak atau lembing kecil. Kemudian baginda akan pergi ke tempat orang yang Allah Ta'ala telah selamatkan mereka daripada angkara Dajjal. Baginda akan melalukan tangannya ke muka mereka sebagai berkat lalu memberi berita gembira kepada mereka dengan tingkatan yang tertinggi di syurga."
(Muslim)

Bab 76, Meniti Debaran Zaman - Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan - Abdul Aziz Bin Abdul Hamid




Tuesday, February 21, 2012

Gunung Santubung, Gunung Sijinjang Penjaga Gunung Negeri Sarawak.....

MUNGKIN terdapat juga sahabat-sahabat kita yang di semenanjung belum singgah lagi di Sarawak atau datang ke Sarawak. Kalau yang datangpun ke sini mungkin atas urusan kerja ataupun rasmi dan ada juga yang datang ke sini kerana ingin berehat. Aku tak pasti mereka-mereka yang belum sampai lagi ke Sarawak ini bagaimana gambaran dan kedudukan suasana Sarawak ini mata fikiran mereka.

Dengan adanya penerbangan tambang murah AirAsia mungkin sedikit sebanyak boleh untuk membawa mereka-mereka untuk datang ke Sarawak ini dan bagi yang mampu ia umpama naik bas sahaja untuk datang ke Sarawak ini.

Di Sarawak tak seperti negeri-negeri yang terdapat di semenanjung yang majoritinya orang Melayu, Cina dan India. Di sini terdapat pelbagai kaum dan etnik yang berbeza-beza, kaum yang terbesar Dayak atau Iban, diikuti dengan Melayu, Cina, Melanau dan diikuti dengan pecahan etnik seperti Bidayuh, Penan, Lun Bawang, Bisaya, Merik, Bisaya, Kedayan dan banyak lagi.

Dari sudut budaya, kehidupan, bahasa, agama dan pemikiran amat berbeza dengan sahabat kita di semenanjung. Kadang kala perbezaan yang ada bukan disebabkan "kemodenan" tapi pemeliharaan ke atas nilai masyarakat itu sendiri untuk tidak terkeluar dari batas-batas kebiasaan. Ini hanyalah pendapat aku.

Selagi sahabat kita yang berada di semenanjung tidak merapati jurang yang ada, pasti sukar untuk mengenali masyarakat di Sarawak secara dekat dan mesra kerana perbezaan yang ada itu membataskan komunikasi antara mereka.

Tapi, sejak akhir-akhir ini masyarakat Sarawak terutamanya golongan baru ataupun muda yang belajar dan hidup di semenanjung atau di luar Sarawak sering memberitahu kelambatan, ketinggalan ataupun kemunduran yang masih dikecapi masyarakat Sarawak dari pelbagai sudut berbanding tempat lain. Mungkin yang biasa aku dengar tentang "kemodenan" yang mana Sarawak atau lebih hampirnya masyarakat yang mendiami bumi Sarawak ini masih mengekalkan "kesarawakan"nya. Bagi aku ia sesuatu yang hebat kerana kekebalan nilai-nilai tersebut masih terpelihara.

Tak semestinya kemodenan yang dikecapi harus mengenepikan nilai-nilai tempatan untuk mewajibkan ia digelar sebagai moden dan diikhtiraf oleh orang moden.

Namun, suatu hari nanti kekebalan yang ada pada masyarakat Sarawak akan terhakis juga dengan berkurangannya generasi lama dan diganti dengan genarasi baru yang membawa nilai-nilai baru. Kita tunggu selagi Allah masih kekalkan kita di bumi yang fana ini.




Thursday, February 16, 2012

Dajjal Tidak Boleh Memasuki Mekah Dan Madinah

DAJJAL tidak akan dapat memasuki Mekah dan Madinah kerana Rasulullah s.a.w. telah bersabda : "Tidak ada bandar dan kota yang tidak dimasuki oleh Dajjal melainkan Mekah dan Madinah di mana dia tidak dapat memasukinya."
(Hadis Riwayat Anas dan Bukhari Jld. 2, ms. 1055)

Jelas daripada sini bahawa begitu ramai manusia yang terlibat dalam angkara Dajjal. Di dalam sesetengah hadis terdapat bilangan yang tetap mengenai orang yang beriman dengan Dajjal. Di dalam Muslim dikatakan 70,000 orang-orang Yahudi Isfahan akan taat kepadanya. Di dalam Tirmizi dinyatakan pula bahawa Dajjal akan muncul dari bumi sbelah timur yang dikenali sebagai Khurasan. Banyaklah masyarakat yang berjanji setia dengannya. Muka mereka adalah seumpama perisai yang diletakkan di atas satu sama lain. Yakni wajah mereka lebar.

Hafiz Ibn Hajar r. 'alaihi menukilkan daripada kitab Abu Nu'im Al Hilyah bahawa Hasan bin 'Atiyah telah berkata bahawa di samping 12,000 orang lelaki dan 70,000 orang wanita yang selebihnya akan tunduk kepada Dajjal dan menerima dakwaan ketuhanannya.
(Fathul Zikr Ad-Dajjal)

Bab 75, Meniti Debaran Zaman - Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebraim Bemat
Terjemahan - Abdul Aziz Bin Abdul Hamid

Saturday, February 11, 2012

Jawatan Dikosongkan

DATANG dan pergi. Bulan ini seorang staf aku telah meletak jawatan kerana mendapat tawaran jawatan yang lebih tinggi dari jawatannya sekarang. Aku tak dapat nak salahkan dia kerana sekarang pemilihan seseorang dalam pekerjaan berdasarkan gaji dan jawatan yang tinggi.

Faktor logistik juga menghambat untuk seseorang menerima tawaran yang ditawarkan dan juga faktor keluarga juga sering menjadi alasan yang kukuh untuk seseorang melepaskan jawatan tersebut walaupun mempunyai minat yang mendalam atas jawatan tersebut.

Secara faktanya, bidang pekerjaan masih ditentukan oleh gaji, jawatan, logistik dan akhir sekali keluarga. Sekiranya tiada faktor yang berikut sukar untuk seseorang menerima jawatan kerana setiap apa yang dibuat perlu ada ganjaran kerana tiada orang yang akan membuat sesuatu untuk mendapat percuma sahaja.

Minggu depan ini, kami hanya tinggal 3 orang sahaja lagi. Tugas aku sekarang ini memohon agar jawatan tersebut dapat diisikan dengan secepat yang mungkin. Tapi tak pasti bila ianya akan diisi? 

Jika prosedur pengisian bagi jawatan yang ditinggalkan kosong perlu memohon dari JPA lagi untuk prosedur seterusnya dan akan memakan masa yang lama juga. Jika aku punya agensi ini pasti aku akan tampalkan notis untuk kekosongan yang ada ini agar kekosongan tersebut dapat diisi dengan kadar segera.

Dan harapan aku nanti, pegawai yang dilantik nanti bekerja atas minat dan tak terasa nak tukar-tukar jawatan lagi ataupun dengan kata yang mudah, taat dan setia. Tapi mana mungkin di zaman sekarang ini?


Wednesday, February 1, 2012

Dajjal Melakukan Kerosakan Dan Huru Hara Di Muka Bumi Dan Nabi Isa 'Alaihissalam Membunuhnya Sehingga Mati

HUZAIFAH R. 'ANHU meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Dajjal pasti muncul dan benar ada bersamanya api dan air."

Disebut juga di dalam sebahagian Hadis bahawa Syurga dan Nerakanya juga bersama dengannya. Yang disangka orang ramai akan air sebenarnya itulah api yang menyala-nyala. Yakni orang-orang yang percaya kepadanya akan dibakar api neraka. Dan apa yang disangka oleh orang akan api, sebenarnya adalah air yang nyaman.

Maka mereka yang tidak mahu percaya kepada kata-katanya akan dibakar di dalam api, adalah sebenarnya akan mengecapi air manis dan nyaman di syurga. Dengan ini sesiapa yang hidup pada masa itu hendaklah terjun ke dalam apa yang dia nampak seumpama api kerana sebenarnya itulah air dan taman.
(Bukhari, Jilid 2, m.s. 1055)

Juga disebut di dalam Muslim bahawa huruf KAF.FA.RA---(KAFIR) akan tertulis di antara kedua matanya dan setiap orang Islam yang tahu membaca dan tidak tahu membacanya juga dapat membaca.

Juga disebut di dalam setengah hadis bahawa bersama-samanya bergunung-gunung daging dan roti dan terusan-terusan air. Apabila seorang naik marah terhadap Dajjal dan bergaduh dengannya, Dajjal akan mendakwa lalu muncul dari timur berhasrat ke Madinah. Namun dia tidak boleh memasuki Madinah kerana pada hari itu akan ada tujuh pintu masuk Madinah yang setiap satunya dikawal rapi oleh dua malaikat.

Dajjal akan berkhemah di belakang gunung Uhud. Di sana malaikat akan memalingkan mukanya ke arah Syria. Dia akan ke Syria lalu dibunuh oleh Nabi Isa 'alaihissalam.
(Bukhari Dan Muslim)

Sebuah hadis daripada Hakim sebagaimana dinukilkan daripada Fathul Bari yang menyatakan bahawa orang lelaki dan wanita fasiq juga akan sama-sama meninggalkan Madinah dan pergi bersama-sama dengan Dajjal.

Namun Dajjal tidak dapat memasuki Mekah dan Madinah. Apabila gegaran gempa bumi terasa di Madinah, mereka yang kafir dan munafiq akan keluar daripada Madinah. Pada masa itu seorang yang dikatakan terbaik daripada seluruh penghuni bumi akan muncul daripada Madinah lalu berkata kepadanya : "Aku bersaksi bahawa sebenarnyalah kamu Dajjal yang sama yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w. kepada kami."

Mendengar tuduhan ini, Dajjal akan berkata kepada orang ramai : Apakah kamu semua akan mensyaki akan diriku jikalau aku hidupkan dia kembali selepas aku membunuhnya?"

Orang ramai akan berkata tidak. Lalu orang itu dibunuh oleh Dajjal dan menghidupkannya semula. Selepas hidup kembali dia akan memekik : "Demi Allah pada hari ini aku lebih yakin lagi daripada sebelumnya bahawa kamu adalah pendusta."

Dajjal akan cuba untuk membunuhnya tetapi dia tidak dapat lagi melakukannya.

Peristiwa yang sama diriwayatkan di dalam hadis tersebut. Seorang Islam hendak pergi menemui Dajjal. Askar-askar Dajjal yang mengawalnya bertanya kepadanya : "Ke mana kamu hendak pergi?"

Orang itu dengan marah menjawab : "Kepadanya yang membuat dakwaan palsu."

Pengawal-pengawal itu akan melenting : "Apa! Kamu tidak percaya tuhan kami?"

Dia akan menjawab : "Tidak ada syak untuk beriman dengan Tuhan kami. Jikalaulah Dia tidak dikenali dan jika tidak ada bukti untuk Dia menjadi Rabb kami, maka mungkinlah kami akan mempercayai tuhan kamu."

Mendengar ini pengawal itu mahu membunuhnya tetapi perbezaan pendapat berlaku di antara mereka. Sebahagiannya akan berkata : "Tidakkah kamu tahu bahawa tuhan kamu telah melarang membunuh sesiapa tanpa keizinannya?"

Maka dibawalah orang itu kepada si dajjal, sebaik sahaja matanya bertembung dengan Dajjal orang itu pun memekik : "Wahai manusia, dialah Dajjal sebagaimana yang telah diberitahu oleh Rasulullah s.a.w."

Mendengar pekikan ini, Dajjal mengarahkan orang-orangnya meniarapkan dia ke bumi. Dajjal menyuruh orang-orangnya menyiksanya. Mereka memukul dan memukulnya sehingga pinggang dan perutnya luka parah dan terkoyak. Sekali lagi Dajjal menyoalnya : "Tidakkah lagi kamu mahu beriman kepadaku?"

Dia akan menjawab : "Kamulah Masihid Dajjal itu"

Ketika ini Dajjal langsung mengarahkan orang-orangnya menggergaji orang ini daripada kepalanya lalu terbelah dua. Dajjal akan berdiri di antara dua bahagian badan yang terbelah ini lalu memerintah : " Bangun!"

Orang itu hidup dan bangun. Dajjal akan bertanya orang itu : "Masihkah kamu tidak beriman kepadaku?"

Dia menjawab : "Sekarang aku yakin bahawa kamu adalah Dajjal."

Kemudian orang itu menyeru kepada orang ramai : "Wahai manusia, selepasku, Dajjal tidak akan dapat lagi menghidupkan orang selepas membunuhnya."

Mendengar ini Dajjal cuba membunuhnya tetapi tidak berjaya menyembelihnya kerana dengan pertolongan Allah, leher orang itu akan bertukar menjadi tembaga. Apabila Dajjal tidak lagi boleh menyembelihnya dia akan menangkap kedua-dua tangan dan kaki orang itu lalu dihumbannya ke dalam neraka ciptaannya. Orang ramai akan memikirkan bahawa dia dihumbankan ke dalam api sedangkan hakikatnya dia dicampak ke dalam Syurga.

Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda : "Si mukmin ini adalah dalam pandangan Allah, memperolehi kesyahidan peringkat tertinggi."
(Muslim)

Bab 74, Meniti Debaran Zaman - Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan - Abdul Aziz Bin Abdul Hamid


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...