Monday, November 18, 2013

Sibukkah Aku?

MASA cuti begini ramai di kalangan ibu bapa akan merancang membawa keluarga untuk melancong. Aku masih lagi bergelut dengan urusan kerja yang entah bila akan habis walaupun sudah dihujung tahun. Anak bongsu aku sering mengingatkan aku bila nak melancong? ..nak melancong di mana? Soalan anak aku belum lagi terjawab kerana kesibukan yang entah mengapa.

Aku belum lagi terfikir bila dan di mana aku nak bercuti bersama keluarga? Di masa ini aku masih bersama dengan urusan kerja di luar dan hotel sering aku dampingi sebagai rumah kedua aku. Isteri mesej memberitahu anak bongsu begitu merindui aku...mmmmm.

Mungkin aku perlu untuk mengatur masa aku agar kejarangan masa aku di rumah perlu dioptimumkan dan masa aku untuk bekerja dikurangkan. Dapatkah aku berbuat begitu dengan suasana kerja yang semakin mengkehendaki aku menghabiskan masa di situ!

Tunggulah, bila balik nanti InsyaAllah aku akan penuhkan masa bersama keluarga seoptimum yang aku dapat.

Thursday, October 31, 2013

Mengejar atau dikejar masa....

ERMMMMMM...... aku rasa hidup semakin pantas bergerak. Aku tak tahu kepantasan macamana yang dikatakan pantas. Aku dengar ramai orang bercakap tentang masa yang semakin cepat ataupun pantas. Dan sekarang dah masuk bulan November, tinggal sebulan lagi untuk kita melangkah ke tahun 2014. Cepatkah masa itu?

Aku tak pasti, apa yang menyebabkan ramai di kalangan kita menganggap hidup ini semakin cepat. Cuma aku boleh katakan, mungkin antara kita pernah mengalaminya. Contohnya, bila kerja atau apa-apa perkara dalam kehidupan kita tak dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan pasti kita akan mengatakan masa begitu cepat ataupun masa tak cukup. Lebih senang, menyalahkan masa itu.

Padahal bagi aku, masa kita semuanya sama saja iaitu 24 jam setiap seorang Allah swt peruntukan dalam sehari tapi mengapa pula dikalangan kita mengatakan masa tak cukup ataupun cepat sangat!

Ada juga di kalangan kita mengatakan masa lambat sangat ataupun panjang sangat. Kehidupan mereka menjadi bosan kerana tak tahu apa nak dibuat dengan lebihan masa yang ada. Jika ada di kalangan kita yang tak dengan kehidupan akan membuat perkara yang tak bermanafat atau menghabiskan masa dengan perkara yang tidak membosankan bagi mereka.

Dengan kata lain, segala kesalahan yang berlaku disebabkan oleh cepat atau lambatnya masa. Namun, mengapa kita tak menyalahkan diri sendiri kerana tak pandai nak gunakan masa itu sendiri.







Tuesday, October 22, 2013

Kisah Secebis Masa...

KESIBUKAN kadang-kala mengajar kita tentang pentingnya masa yang berlalu. Samada ia digunakan dengan betul atau tak betul. Bagi kita, semua yang Allah swt telah tetapkan masa 24 jam sehari memang sudah ada dalam kehidupan kita.

Jika digunakan dengan sebaik-baiknya banyak faedah yang akan diperolehi dan jika tidak, banyak pula keburukan akan datang.

Setiap golongan dari kita akan menggunakan masa untuk dapat memberi kebahagiaan untuk diri, keluarga, masyarakat, ekonomi dan pelbagai lagi bentuk yang boleh mendatangkan faedah untuk kita walaupun dengan apa carapun.

Kekadang masa yang samapun tidak mencukupi untuk mana-mana individu yang lain, kekadang lebih bagi individu yang lain. Mengapa ia terjadi?

Adakah masa tak cukup? Atau kita yang tak tahu untuk mengatur masa yang ada? Perkara ini yang sering aku dengari dari mulut setiap orang. Masa tak cukup dan begitu cemburunya masa bagi sesetengah orang. Adakah alasan yang sering kita dengari dengan menyalahkan masa untuk menutup kelemahan yang ada pada diri sendiri?

Ada beberapa pepatah yang sering kita dengar seperti "masa itu emas", "masa umpama sebilah pedang" dan pelbagai lagi. Menekankan bahawa masa itu begitu penting. Dalam Al  Quran juga Allah bersumpah dengan masa bahawa manusia itu dalam kerugian, iaitu kerugian yang besar jika dalam diri manusia itu tiada Iman, amalan yang soleh, berpesan-pesan atas perkara yang haq dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Jika kita amati masa yang telah kita gunakan setakat ini, adakah masa yang digunakan banyak berat ke arah kebaikan ataupun keburukan? Hanya diri kita sendiri sahaja yang dapat menjawab atas masa yang kita gunakan.

Kesimpulanya, gunakan masa dengan sebaik-baiknya kerana masa yang telah digunakan tidak akan berulang dan kembali lagi. Ia hanya akan meninggalkan kita samada yang kita tinggalkan itu baik atau buruk. Kesannya akan kita tanggung sendiri di hari kebangkitan nanti.  

Wednesday, August 7, 2013

Saturday, July 20, 2013

Salam Ramadhan

RAMADHAN datang menjengah lagi. Puasa tahun ini aku berazam nak berbuka dan bersahur secara sederhana. Tahun-tahun yang lepas aku kurang membeli makanan untuk berbuka di Bazaar Ramadhan.Tahun ini aku sedaya upaya juga, agar berbuka dengan masakan sendiri, masakan isteriku.

Sememangnya juadah berbuka yang dijual di Bazaar Ramadhan begitu menyelerakan nafsu dan boleh untuk membangkitkan selera makan aku. Namun, bila aku fikir-fikirkan, selera sedap hanya terasa di lidah sahaja. Lepas itu, tak terasa lagi. Bila dah kenyang, makanan yang sedap tak terasa sedap lagi kerana dah begitu kenyang.

Bagi aku, suasana yang ada di bulan Ramadhan di negara kita lebih kepada suasana untuk menyuburkan sifat membazir. Sebab apa? Jika kita lihat promosi yang dibuat oleh pelbagai pihak sejak awal Ramadhan lebih kepada menu untuk berbuka puasa terutamanya hotel-hotel, restoran-restoran dan tempat lubuk makanan di Bazaar Ramadhan di pelbagai sudut negara kita.

Seolah-olah kita dibenarkan untuk makan sepuas-puasnya pada bulan Ramadhan ini tapi hakikatnya makanan yang dijamah tak sebanyak manapun. Seteguk air dan sepinggan nasi dengan lauk dan gulaian sudah cukup untuk mengalas perut yang kosong sepanjang hari tadi.

Sebenarnya, di bulan yang mubarak ini kita digalakkan untuk memperbanyakkan ibadat dan dikurangkan perkara-perkara yang tidak mengdatangkan faedah kepada amalan kita dan boleh mengurangkan kualiti amalan kita sepanjang hari kita berpuasa.

Walaupun di bulan yang mulia ini semua syaitan dan iblis dirantai, namun nafsu yang ada dalam diri masih lagi menguasai kita dan kita masih kalah lagi dengan rayuan nafsu kita.

Aku tak pasti juga mengapa masih lagi kita tak mampu untuk membuang sifat membazir dengan lambakan makanan di bulan puasa ini! Mungkin kita boleh periksa puasa kita, adakah mengikuti piawaian yang telah Allah tetapkan. Cuba periksa niat kita, awal, di pertengahan dan akhir niat. Adakah kerana Allah swt ataupun sebab suasana orang berpuasa kitapun berpuasa sama.

Tujuan ibadat puasa lebih mengarahkan kita untuk mengawal keadaan diri kita samada dalaman dan luaran agar kita lebih fokus beribadah semata-mata kerana Allah swt. Dan juga untuk mendatangkan sifat hamba dalam diri kita kepada Allah swt.

Untuk kita pastikan samada berlaku perubahan dalam puasa kita, cuba periksa perkara yang sekecil ini dulu, iaitu adakah menu untuk berbuka kurang dari semalam ataupun semakin banyak dari semalam? Insya Allah, selamat berpuasa untuk semua.

Friday, June 28, 2013

Rahsia Senyum

SETIAP hari kita semua akan berdepan dengan manusia. Dan hari-hari yang kita lalui penuh dengan bermacam ragam manusia. Penuh dengan pelbagai perangai, samada perangai yang menyukakan kita ataupun perangai yang tidak menyukakan hati kita.

Kita sebagai manusia seakan menapis setiap kelakuan manusia yang berdepan dengan kita. Samada kita akan bersahabat dengan mereka atau kita akan tolak mereka. Penerimaan masyarakat ke atas seseorang bergantung kepada sikap kita yang perhatian dan ambil berat. Dengan kata lain, memahami isu persekitaran, memahami permasalah individu dan berada dalam tengah-tengah masyarakat.

Kadang kala kita berfikir bahawa segala material yang ada dapat mempengaruhi manusia yang lain, mungkin juga dapat kita kuasai mereka, mungkin juga tidak.

Biasanya, kita sering mengenepikan persekitaran, masyarakat dan apa-apa yang ada di kiri, kanan, bawah dan atas kita. Kita beranggapan, kita perlu diketengahkan dengan kebolehan, kemewahan, pangkat dan kuasa agar kita menjadi orang yang penting.

Cuba kita perhatikan petikan daripada beberapa gambaran bagaimana penerimaan orang lain terhadap diri kita, adakah berdasarkan apa yang kita rasakan.

Kisah 1

 "Saya sudah berumah tangga lebih 18 tahun. Selama waktu itu, saya jarang menghadiahkan senyuman kepada isteri saya ataupun bercakap sepatah dua kata dengannya. Perwatakan saya sebagai perengus adalah yang teruk pernah dilakonkan di atas pentas teater Broadway.

Ketika kamu meminta say berkangsi pengalaman saya sendiri dengan senyuman, saya memikirkan bagi mencubanya selama seminggu. Oleh itu,pada keesokan harinya, ketika saya sedang menyikat rambut, saya memandang wajah saya yang muram di cermin dan berkata pada diri saya, "Bill, hapuskan kesedihan yang terpamer pada wajah kamu hari ini. Kamu mesti tersenyum. Kamu memulakannya saat ini." Ketika saya duduk bersarapan, saya menyapa isteri saya dengan ucapan "Selamat pagi, sayang." dan tersenyum ketika mengucapkannya.

Kamu pasti fikir yang isteri saya mungkin tercenggang. Tentu sahaja kamu salah anggap mengenai reaksinya. Dia kebingungan dan terkejut. Saya mengatakan kepadanya sekiranya dia mengharapkan kelakuan saya ini berterusan, saya bersedia melakunya setiap pagi.

Perubahan sikap saya dalam masa dua bulan ini membawa lebih banyak kebahagiaan dalam rumah tangga berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya.

Ketika saya berangkat ke pejabat, saya menyapa penjaga lif di apartmen kami dengan ucapan selamat pagi dan memberikan secebis senyuman. Saya juga menghulurkan senyuman kepada juruwang di kios tepi jalan ketika saya meminta wang baki. Semasa saya berdiri di ruang legar Bursa Saham, saya tersenyum kepada orang-orang yang sehingga kini belum pernah melihat saya tersenyum.

Saya kemudian mendapati setiap orang membalas senyuman saya. Saya melayan setiap orang yang datang kepada saya dengan keluhan dan masalah dengan perasaan riang. Saya senyum sahaja apabila mendengar masalah mereka dan saya cuba menyesuaikan diri dengan mengambil jalan yang lebih mudah. Saya tahu, senyuman yang saya berikan kepada orang ramai memberikan saya lebih banyak wang setiap hari.

Saya berkongsi ruang pejabat dengan broker yang lain. Antara pegawainya adalah anak muda yang mempunyai personaliti yang menyenangkan. Saya menceritakan kepadanya, saya sungguh gembira dengan hasil yang saya peroleh daripada falsafah terbaru yang saya pelajari mengenai hubungan dengan manusia.Kemudian, dia mengakui, ketikakali pertamadia bertemu dengan saya, dia menganggap saya seorang yang pemarah. Hanya baru-baru ini sahaja dia mengubah persepsinya mengenai saya. Dia memuji saya kerana saya kelihatan lebih berperikemanusiaan ketika saya tersenyum.

Saya juga sudah menghapuskan tabiat kritikan daripada sistem saya. Saya sekarang lebih banyak memberikan penghargaan dan pujian, bukannya cacian. Saya sudah berhenti berceloteh mengenai keinginan saya. Sekarang saya berusaha melihat daripada persepektif orang lain. Semua ini mengubah kehidupan saya secara drastik.Saya kini adalah lelaki yang jauh berbeza, lebih bahagia, lebih kaya, dan lebih mewah dalam persahabatan dan kebahagiaan, dua perkara yang sebenarnya adalah inti pati terpenting dalam kehidupan manusia."
(Petikan  ini saya ambil dari buku How to Win Friends & Influence People - Dale Carnegie, Edisi Bahasa Melayu)

Thursday, May 23, 2013

Cerita Tentang Poligami - Siri Pertama 2013

HUJAN renyai-renyai yang turun di bumi Miri membuat aku bersyukur kerana di sini sudah lama tak turun hujan. Aku yang datang ke Miri ini hanya untuk urusan rasmi terasa bahang kepanasan di sini walaupun turun sikit hujan untuk meredakan bahang kepanasan yang ada.

Bila berada di luar kawasan kerja, biasanya aku sering membawa buku untuk bacaan dan tatapan masa senggang di sebelah malamnya. Namun, buku yang aku bawa ada tiga jenis dan salah satunya buku tentang poligami. Bukunya biasa sahaja, dicetak menggunakan kertas A4 dan difotokopi sendiri oleh penulisnya. Aku beli buku ini semasa ekspo buku di PWTC tahun 2011. Cuma aku nak ulang balik membaca buku ini, sebab isinya begitu menarik dan begitu teruja untuk sesiapa yang membacanya, teruja untuk berpoligami!

Cuma aku dapat lontarkan petikan daripada cetusan penulis yang begitu mengharapkan agar "kita-kita" dapat mengamalkan sunnah poligami. Ikutkan buku yang dicetak ini ia tidak boleh diterbitkan mana-mana bahagian yang tertulis hanya dengan kebenaran dari penerbit sahaja.

Namun, disebabkan isinya yang begitu menarik, aku cuba nak singkapkan tentang peri pentingnya poligami ini. Permulaan buku ini mengisahkan tentang ketidakpuasan hati penulis terhadap individu tertentu yang melontarkan komen-komennya tentang poligami yang begitu negatif dan kedangkalan ilmu individu tersebut dalam amalan tersebut.

Kebanyakan komen yang diutarakan banyak bersandarkan kepada logik akal, nafsu dan dunia semata-mata. Kekerdilan kita tentang ilmu Allah begitu terlihat apabila komen yang diberikan seolah-olah menidakkan  amalan poligami sebagai rahmat sebaliknya dianggap satu kezaliman.

Kebanyakan yang dilontarkan tentang amalan poligami berasaskan andaian-andaian yang dibuat dari pemikiran yang bertungjangkan nafsu, suasana dan mengikut perspektif barat semata-mata.

Punca-punca yang diberikan oleh penulis terhadap penolakan amalan poligami oleh sebahagian besar wanita seperti berikut tidak setia dalam melayari kehidupan berumahtangga, perampas suami orang, tidak mahu berkongsi kasih, suami akan berpaling kasih kepada isteri kedua sahaja, kebahagiaan akan lenyap bila berpoligami dengan isteri pertama, suami berpoligami kerana nafsu semata-mata dan yang terakhir kerana akan melukakan hati isteri yang pertama.

Kesimpulan secara keseluruhannya, penulis begitu mengharapkan agar amalan poligami dapat dihidupkan sepertimana amalan-amalan agama yang lain kerana hikmah disebalik amalan ini begitu memberi manafaat yang baik di dunia dan akhirat.

Penutup bagi buku ini, penulis menyarankan kepada sesiapa yang ingin berpoligami perlulah memenuhi kriteria-kriteria berikut iaitu ketakwaan yang tinggi, keilmuan yang mencukupi, ketegasan dalam keadilan, kemampuan mentarbiyah jiwa dan nafsu, kebijaksanaan kepimpinan, kedudukan ekonomi yang baik, memahami psikologi dalam pergaulan, isteri pula perlu mencapai tahap keimanan untuk bermujahadah dan mempunyai banyak masa untuk keluarga.

Mungkin tuan-tuan dan puan-puan mempunyai saranan tersendiri bagaimana nak berpoligami secara yang terbaik?  Dalam hati setiap lelaki sememangnya sudah ada keinginan untuk berpoligami cuma....takutkan bini!

Rujukan : Poligami 3x, "Tidak semua lelaki layak berpoligami dan tidak semua perempuan tidak boleh berpoligami" - Abu Hubaib Asy-Syathari.

Tuesday, April 30, 2013

BN Atau PR? Mana Satu Pilihan Hati.

PILIHANRAYA semakin hampir. Kempen dari BN dan PR semakin rancak dari segenap ruang, seakan dimonopoli oleh kempen-kempen politik. PRU ke13 ini semakin mendebarkan bukan sahaja dialami oleh calon-calon yang bertanding malah pengundi-pengundipun berdebar juga.

Aku mungkin tak berdebar sangat sebab aku ada alasan tersendiri untuk aku tak berdebar tentang perkara ini. Hanya debaran aku berkemuncak selepas PRU ke 13 sahaja. Adakah kerajaan yang memerintah nanti akan menunaikan manifesto-manifesto yang dicanangkan sebelum PRU? Atau beberapa peristiwa yang mendebarkan akan berlaku atas keputusan PRU nanti?

Kekadang suasana PRU ke 13 yang dijalankan ini lebih kepada satu anjakan kepada pemikiran baru rakyat ataupun perubahan pemikiran untuk menentukan siapa yang diberi mandat memerintah negara dengan membawa pemikiran yang lebih "terang" dan "jelas" siapa yang sepatutnya memerintah.

Sesiapa pengundi-pengundi yang mempunyai pemikiran yang positif pasti akan memilih kerajaan yang sebaik-baiknya untuk menjaga amanah yang diserahkan rakyat kepada yang dipilih kelak. Sejarah dan peristiwa sebagai saksi kepada rakyat untuk menentukan siapa antara mereka yang waras untuk mentadbir negara dengan kemahuan dan kehendak rakyat.

Cuma, kita sebagai rakyat perlu pandai memangkah mana satu kerajaan yang betul-betul yang dikatakan kerajaan yang boleh memayungi kita samada susah dan senang. 

Monday, April 22, 2013

Naiknya Matahari Dari Arah Barat

SAIYIDINA Abu Zar r. 'anhu meriwayatkan bahawa pada suatu hari selepas matahari terbenam, Rasulullah s.a.w. pun bertanya kepadaku : "Tahukah kamu ke mana perginya matahari tersebut? Aku menjawab : "Hanya Allah dan Rasulullah s.a.w. sahaja yang tahu." Kemudian baginda bersabda : "Sebenarnya ketika ia beredar ia sampai di bawah Arasy Illahi lalu sujud di depan Allah Ta'ala. Sebagai biasa ia memohon keizinan-Nya untuk naik dari timur lalu diberi keizinan berbuat demikian. Tetapi akan terjadi pada suatu ketika nanti tatkala ia hampir-hampir akan sujud, sujudnya itu tidak diterima. Ia akan minta keizinan untuk naik dari timur namun keizinannya tidak diberikan.

Matahari itu akan disuruh pergi semula ke tempat di mana ia mula-mula datang. Maka matahari pun pergi dan naik di atas langit bumi."

Baginda bersabda bahawa itulah yang dimaksudkan dengan "Matahari kembali ke tempatnya." Yakni samalah bahawa ia pergi ke tempat mulanya di mana ia naik.

Kemudian baginda bersabda bahawa tempat tetapnya ialah di bawah Arasy Allah.
(Bukhari)

Di samping hadis ini, huraian mengenai naiknya matahari dari barat terdapat juga di dalam hadis yang lain. Misalnya, Safwan Ibn Assal r. 'anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda : "Allah Ta'ala telah membina pintu Taubat di barat yang luasnya adalah 70 tahun (yakni 70 tahun dikehendaki untuk pergi dari satu bahagian ke bahagian yang lain). Pintu ini tidak akan ditutup selagi matahari tidak naik daripada barat. Kemudian baginda bersabda : "Maksud firman Allah Ta'ala adalah sama : "Pada hari datang sebahagian tanda-tanda hari kiamat itu tiadalah berguna keimanan seseorang yang belum beriman dari dahulu atau belum mengerjakan kebaikan dalam keimanan." (Al An 'am : 158)

Maksud ayat ini ialah apabila matahari naik dari barat maka sama ada orang kafir yang percaya kepada Islam atau taubat daripada orang Islam tidak akan diterima.
(Bukhari)

Di dalam Muslim terdapat sebuah hadis yang jelas sekali menyebut bahawa apabila mereka terlihat sahaja matahari daripada barat, semua mereka akan beriman tetapi pada ketika itu iman yang sedemikian dan juga taubat tidak akan diterima.

Telah diriwayatkan daripada Abu Musa r. 'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Sesungguhnya Allah Ta'ala menghulurkan "Tangan"Nya pada waktu malam agar orang-orang melakukan dosa pada siang hari bertaubat dan sesungguhnya Dia menghulurkan "Tangan"Nya pada waktu siang hari agar orang-orang yang melakukan dosa pada malamnya bertaubat, selagi matahari tidak naik dari barat."

Adalah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r. 'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Barangsiapa bertaubat di atas dosa-dosanya sebelum naiknya matahari daripada barat, Allah Ta'ala akan menerima taubatnya."
(Muslim)

Sebuah hadis dinukil daripada Fathul Bari yang diambil daripada Tibrani bahawa apabila matahari naik daripada barat, maka iman atau taubat sesiapa pun tidak akan diterima lagi sehingga ke ahari Kiamat.

Shah Rafiuddin Dehlawi menulis bahawa satu malam berjalan begitu panjang sehingga para musafir yang berjalan kaki begitu hairan, kanak-kanak berasa bosan untuk tidur dan lembu-lembu mula menjerit untuk ke hutan tetapi matahari belum lagi muncul sehinggakan manusia berasa gelisah kerana takut dan kebingungan sambil menjerit dan menangis lalu bertaubat. Malam itu akan menyamai tiga atau empat malam. Dalam keadaan yang penuh kebingungan dan rasa terkejut besar, matahari akan naik daripada barat dengan cahaya bulan tatkala gerhana.
(Qiamat-Nama)

Pengarang Bayanul Quran, Maulana Ashraf Ali Thanwi menulis bahawa sebuah hadis yang dinukilkan daripada Durri Manthur menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Selepas matahari tersebut naik daripada barat, ia akan sampai ke tengah-tengah langit lalu mundur semula untuk terbenam di barat. Lalu kemudiannya sebagai peraturan biasanya mula kembali naik daripada timur."

Sebuah hadis telah dicatatkan di dalam Fathul Bari bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Selepas matahari naik daripada barat, manusia akan hidup selama 120 tahun lagi dan datanglah Kiamat selepas masa tersebut."

DITELAN OLEH BUMI

Disebutkan dengan jelas di dalam hadis bahawa manusia akan ditelan oleh bumi pada tiga tempat :
1. Di Timur
2. Di Barat
3. Di Tanah Arab

Maulana Shah Rafiuddin Dehlawi menulis bahawa azab ini akan tertimpa ke atas orang-orang yang menafikan taqdir. Ini telah disebutkan di dalam hadis. Diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r. 'anhuma bahawa Rasulullah s.a.w. bersbada : "Akan terjadi pada umat ini akan kejadian ditelan oleh bumi dan pertukaran wajah. Azab ini akan dikenakan ke atas mereka yang menafikan taqdir."
(Misykat)

KELUARNYA API DARI YAMAN

Apa akan muncul dari Yaman lalu mengepungi manusia lantas menghalau mereka ke Dataran Kebangkitan Semula yang dimaksudkan itu adalah sebuah kawasan tanah Syria kerana dinyatakan di dalam hadis bahawa Hari Kebangkitan Semula akan berlaku di tempat tersebut, yakni sebaik sahaja tiupan sangkakala dibunyikan di Syria.

Maulana Shah Rafiuddin menulis bahawa pada hari yang sama ketika mana tiada seorang pun lagi berzikir dan menyebut nama Allah, akan wujud ketenangan dan keselesaan di Syria. Harga makanan bijirin menjadi murah. Samada pedagang, buruh ataupun orang kaya, semuanya akan mengambil barang-barang kepunyaan mereka lalu pergi mengarah ke Syria. Mereka yang telah pergi ke negara-negara lain juga akan datang dan tinggal di Syria.

Selepas beberapa hari satu kelompok api yang besar akan muncul yang menghalau manusia sehinggalah mereka tiba di Syria. Kemudian api itu akan reda dan padam. Beberapa lama selepas itu orang ramaipun akan pergi melawat negara-negara asal mereka dan sebahagiannya pergi juga ke negara-negara lain tetapi semua mereka akan kembali semula ke Syria.

Ini adalah tanda-tanda terakhir menjelang Kiamat yang akan terjadi tiga atau empat tahun.

TAUFAN YANG MENGHALAU MANUSIA KE LAUT

Daripada sepuluh tanda-tanda Kiamat yang terdapat di dalam Muslim, salah satu daripadanya ialah satu jenis angin yang sangat dashyat yang akan menunda manusia ke laut. Tidak ada keteperincian mengenainya yang diberikan pada mana-mana kitab.

SATU BANGSA HITAM AKAN MERUNTUHKAN KA'ABAH

Satu bangsa hitam akan memusnahkan Ka'abatullah. Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r. 'anhu bahawa : "Bangsa hitam dan pendek akan memusnahkan Ka'abatullah."
(Muslim, Jilid II, ms 394)

Allah Ta'ala sendiri menjelaskan bahawa Ka'abah itu menjadi satu sebab kewujudan seterusnya umat manusia. (Quran)

Dengan ini selagi Rumah Allah yakni Ka'abah itu sentiasa dipenuhi manusia dan masjid-masjid juga makmur dengan hasil daripada usaha-usaha yang bersangkutan dengan Ka'abatullah, orang-orang Islam akan terus hidup. Ketika Abrahah datang daripada Yaman untuk meranapkan Ka'abah, Allah Ta'ala mengutus sekumpulan burung menghujani mereka denganb batu-batu kecil ke atasnya dan tentera-tentera bergajahnya lalu mereka musnah sama sekali sebelum memasuki Mekah.

Tetapi apabila Allah Ta'ala membuat keputusan untuk memusnahkan perjalanan alam ketika hampirnya Kiamat, maka Dia akan meruntuhkan Ka'abahNya menerusi siapa? Bukanlah melalui jaura heavyweight yang berani tetapi melalui orang biasa yang buruk, pendek dan meruntuhkannya."

Pada tahun 1980, seorang telah menyamar serta mendakwa sebagai Imam Mahdi, menumpahkan darah dan menyiram rumah suci itu dengan najis dan selama beberapa hari tidak dapat dilakukan azan dan solat berjemaah. Ini adalah satu amaran bahaya kepada orang-orang Islam.

Telah nampak berasasnya kejadian ini boleh berlaku. Allah Ta'ala Yang Maha Berkuasa yang telah melindunginya daripada tentera Abrahah, Maha Berkuasa pula melindunginya semula. Tetapi jika orang-orang Islam meninggalkan perintah-perintah Allah, kita sendiri akan menumpahkan darah di dalamnya lalu mencemarinya. Malahan Baitul Muqada telah diambil daripada tangan kita lalu diberikan kepada musuh kita yakni orang-orang Yahudi.

Maka tersangatlah perlu masyarakat Islam digerakkan dan disedarkan ke arah mentaati perintah Allah.

Apabila Allah Ta'ala memutuskan untuk memusnahkan perjalanan alam raya, pertama kalinya Dia akan menghancurkan Rumah Allah di tangan orang-orang hitam. Kiamat akan muncul selepasnya.

Bab 83, Meniti Debaran Zaman : Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan : Abdul Aziz Bin Abdul Hamid




Thursday, March 21, 2013

Lawatan Ke Kedah

HARI ini aku dan keluarga akan bertolak ke Kedah untuk melawat anak aku, Ameer Hariz di Madrasah Hafiz Makam Diraja Langgar. Inshaa Allah aku serta keluarga akan berada di sana dalam seminggu lebih. Cumanya, nak bawa isteri dan adik-adiknya melihat suasana pembelajaran hafalan Al Quran di situ, macamana rupa madrasah di situ, suasana tempatnya, rupa pelajarnya dan keseluruhan tentang pembelajaran anak aku di situ.

Sekarang ini, anak aku dah sebati dengan suasana di situ dan boleh untuk berdikari sebagai seorang pelajar walaupun ada ketikanya aank aku rindu dengan ayah dan emaknya serta adik-adiknya. Begitu juga dengan orang yang dirinduinya. Inshaa Allah semoga Allah swt memberi kekuatan untuk kami sekeluarga menghadapi situsi ini yang hanya sementara sahaja.

Emmmm, bagi sesetengah ibubapa, ia merupakan suatu perkara yang biasa dan sebagai satu proses untuk melengkapkan diri ibubapa dan anak-anak bahawa kehidupan tak semestinya akan bersama selalu dan kadang kala kena berpsah juga untuk mendapat yang menguntungkan selain dari apa yang ada. Ataupun atas perkara yang lebih besar dari kehidupan bersama di dunia ini.

Cuma aku harapkan, agar anak aku terus konsisten dalam pembelajarannya serta taat dan sabar atas apa-apa mujahadah yang dilalui sebab apa-apa mujahadah yang diharungi itulah pembelajaran yang berguna sebenarnya.


Monday, February 4, 2013

Tanda-tanda Besar Yang Lain Akan Muncul Menjelang Kiamat

SELEPAS kewafatan Nabi Isa 'alaihissalam maka keadaan kejahilan dan amalan tidak beragama akan terus bertambah lebih parah sehinggalah sampai satu tahap tidak seorangpun yang akan menyebut nama Allah, maka tinggallah mereka yang paling jahat dan hina di muka bumi ini. Kiamat akan terjadi ke atas mereka.

Sementara itu lain-lain tanda akan muncul sebagaimana yang digambarkan di hadith, misalnya daripada Huzaifah r. 'anhu meriwayatkan bahawa : "Tidak akan muncul Kiamat sehinggalah kamu lihat 10 tanda :
  1. Asap;
  2. Dajjal;
  3. Dabbatul Ard (binatang yang keluar daripada bumi);
  4. Naiknya matahari daripada barat;
  5. Turunnya Nabi Isa 'alahissalam daripada langit;
  6. Munculnya Yakjuj dan Makjuj;
  7. Tanah runtuh di Timur;
  8. Tanah runtuh di Barat;
  9. Tanah runtuh di Tanah Arab; dan
  10. Di akhir semua ini ialah kemunculan api yang akan menunda semua manusia ke Padang Mahsyar.
Di dalam hadith yang lain sebagai ganti api disebut angin yang akan menunda manusia sehingga masuk ke dalam laut.
(Misykat)

Daripada 10 tanda-tanda ini, perincian mengenai Dajjal, Yakjuj dan Makjuj dan Nabi Isa 'alaihissalam telahpun dijelaskan. Tanda yang lain itu diberikan penjelasan sebagai berikut :

Asap; mengenai keluarnya asap yang dinyatakan di dalam hadith ini, Allamah Tibri pengulas Misykat menulis bahawa inilah asap yang disebut di dalam surah Ad Dukhan : "Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut (asap) yang nyata, yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih"
(Ad-Dukhan)

Atas perkara ini Abdullah Ibn Mas'ud r. 'anhu dalam ulasannya mengatakan bahawa : "Tidak ada apa-apa maklumat diberikan tentang ayat ini mengenai kemunculan asap baharu menjelang kiamat sebaliknya ia merujuk kepada suatu peristiwa kelaparan yang telah dialami oleh orang-orang Quraisy Mekah yang mereka diselubungi oleh penderitaan akibatnya sehingga ruang antara bumi dan langit kelihatan kepada mereka seolah-olah asap walaupun pada keadaan sebenarnya ia bukanlah asap.

Namun begitu Abdullah Ibn Abbas r. 'anhu tidak bersependapat dengan Ibn Mas'ud r. 'anhu beliau telah menegaskan bahawa keterangan mengenai ayat tersebut telah diberikan. Ada dinyatakan akan kemunculan asap menjelang kiamat melalui sabdaan Rasulullah s.a.w. Apabila ditanya merngenai maksud ayat ini beliau memberitahu : "Ia adalah suatu keadaan di mana asap akan memenuhi setiap ruang kosong di antara timur dan barat yang akan berlanjutan selama 40 hari. Melalui asap ini orang-orang yang beriman akan dihinggapi penyakit seumpama sejuk dan selsema dan orang-orang kafir akan pitam."
(Misykat)

Dabbatul Ard (Binatang yang muncul daripada bumi); akan terdapat suatu makhluk yang muncul daripada bumi. Makhluk ini akan menggariskan satu garisan cahaya di dahi orang-orang yang beriman dan memberi tanda hitam di hidung atau leher orang-orang kafir. Terdapat satu ayat mengenai binatang ini di dalam surah An Naml (82 - 83) : "Dan apabila perkataan (ketentuan) telah jatuh atas mereka, Kami  keluarkan sejenis binatang melata daripada bumi yang akan menyatakan kepada mereka bahawa sesungguhnya manusia dahulu tidak yakin kepada ayat-ayat Kami. Dan (ingatlah) hari (ketika) Kami kumpulkan dari tiap-tiap umat segolongan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, lalu mereka dibahagi-bahagikan (di dalam kelompok-kelompok)."

Maulana Shah Rafiuddin telah menulis bahawa pada hari di mana matahari akan naik daripada barat dan turun ke timur, Bukit Safa yang terdapat di Mekah akan terbelah akibat berlakunya gempa bumi dan keluar daripadanya seekor binatang ganjil. Mulutnya seperti mulut manusia, kakinya seperti kaki unta, lehernya seperti kuda, ekornya seperti lembu, tapak ladamnya seperti kijang dan tanduknya seperti rusa. Mengenai tangannya, beliau menulis, ia seakan-akan tangan monyet.

Kemudian beliau menulis lagi bahawa binatang itu akan bercakap kepada orang ramai dengan bahasa yang indah. Di sebelah tangannya ia memegang tongkat Nabi Musa 'alaihissalam dan di sebelah yang lain terdapat cincin Nabi Sulaiman 'alaihissalam. Ia akan bergerak pantas ke seluruh negara sehingga tidak ada sesiapapun yang dapat menangkapnya dan tidak seorangpun manusia yang terlepas daripadanya. Ia akan meletakkan tanda pada setiap orang.

Dengan menggunakan tongkat Nabi Musa 'alaihissalam ia akan menggariskan satu garisan di dahi setiap orang Islam menjadikan wajahnya bercahaya dan menawan dan melalui cincin Nabi Sulaiman 'alaihissalam ia akan menandakan pada setiap hidung atau tengkuk orang-orang yang tidak beriman dengan tanda hitam yang akibat daripadanya seluruh wajahnya bertukar menjadi warna hitam.

Dengan ini satu perbezaan yang nyata terlihat di antara orang-orang yang beriman dengan orang-orang yang tidak beriman. Jikalaulah mereka akan duduk di dalam suatu majlis makan, orang-orang Islam dan bukan Islam akan jelas nampak perbezaannya. Selepas menjalankan tugasnya, binatang itu akan lenyap, tiada siapa yang mengetahui ke aman perginya.

Bab 82, Meniti Debaran Zaman : Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan : Abdul Aziz Bin Abdul Hamid




Tuesday, January 22, 2013

Tulen Atau ....

DALAM beberapa hari lagi kita akan menyambut kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Di masa itulah kita akan melihat ramai penganut agama Islam akan meraikannya dengan perarakan, berceramah di masjid dan surau, berforum dan pelbagai lagi acara bagi menyatakan kasihnya kita terhadap Rasulullah s.a.w.

Sememangnya tidak dapat dinafikan kasihnya umat terhadap Rasulullah s.a.w., tetapi untuk kasih yang bagaimana? Apakah tujuan kasihnya mereka ini kepada Rasulullah s.a.w. Kekadang mereka yang datang ke acara sebegitu hanya untuk hadir sahaja tanpa mengetahui mengapa harus dibuat program sebegitu dan hadir hanyalah untuk suka-suka sahaja.

Adakah dengan sekadart itu sahaja tanda cinta dan kasihnya kita kepada Rasulullah s.a.w., berarak, berceramah, berforum dan juga berdikir. Apabila tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. hadir kita semua akan sibuk meraikannya dan apabila berlalunya tarikh tersebut kitapun sibuk dengan kerja masing-masing menunggu sambutan yang lain pulak untuk diraikan.

Sambutan kita hanyalah begitu sahaja tanpa membawa apa-apa pengertian dan maksud untuk apa Nabi Muhammad s.a.w. di hantar ke muka bumi ini. Apabila wafatnya Nabi s.a.w. adakah hanya perlu untuk kita meraikan sahaja? Bagaimana tinggalan Nabi s.a.w., Islam yang merupakan cara hidup untuk kita jalani setiap saat dan amalkan agar kehidupan kita sebati dengan kehidupan Nabi s.a.w.

Kehidupan kita sekarang makin tersasar dengan kehendak Nabi s.a.w. kerana sibuk dengan perkara-perkara yang tidak pernah dibuat oleh Nabi s.a.w. dan para Sahabat r. 'anhum. Kesukaan Nabi s.a.w., apabila Islam yang ditinggalkan oleh baginda diamalkan dan dijadikan sebagai tatacara kehidupan bukannya sebagai adat yang dibuat apabila perlu dan apabila tidak perlu ditinggalkan.

Kesonsangan begini sudah menjalar dalam kehidupan kita dan ia sebagai perkara biasa serta tiada rasa kesesalan atas apa yang kita buat kerana nilai Islam semakin menipis dan hilang dalam jiwa kita. Bagi mengisi kekosongan atas nilai Islam itu, wujudlah program yang menyukakan nafsu dan atas fikir kita sendiri. 

Dan perkara ini akan berlanjutan selagi kita masih syok sendiri dengan apa yang kita buat terhadap Islam yang ditinggalkan Nabi s.a.w. tanpa kita tahu apa yang kita buat ini hanyalah melukakan hati Nabi s.a.w.

Thursday, January 3, 2013

Datang Dan Pergi

TAHUN 2013 bagi aku sama sahaja seperti tahun-tahun sebelumnya. Bezanya, pengisian dan perancangan yang dibuat dalam tahun tersebut yang akan memberi nilai kepada tahun tersebut. Tetapi, kita sering teruja dengan perjalanan masa dan kurang perhatian dengan pengawasan dan pengurusan masa.

Perumpamaan yang boleh untuk aku terangkan seperti sebiji botol. Sebiji botol boleh memberi nilai yang berbeza-beza hanya bergantung kepada isi yang terdapat dalam botol tersebut.

Botol yang berisi dengan air mineral mungkin nilainya RM1.00 dan botol yang sama jika diisi dengan air jus oren mungkin nilainya meningkat lagi iaitu RM3.50 dan jikalah botol yang sama diisi dengan madu yang asli dari Yaman mungkin nilainya meningkat kepada RM70.00.

Jadi, nilai sesuatu benda bergantung kepada apa yang terkandung dalam sesuatu benda tersebut. Begitulah juga nilai seorang manusia. Penilaian ke atas manusia yang dinilai oleh manusia sendiri hanya bergantung kepada bagaimana manafaat yang dapat diambil dari manusia tersebut dari sudut kebendaan ataupun benda yang boleh dicapai oleh keinginan manusia tersebut.

Dan, begitulah juga tahun yang sering bertukar ganti dan sering kita raikan atas tahun tersebut serta ucapan yang diberikan. Namun, kosong dan hampas.

Kini, tahun 2013 telah mendekati kita, kita hanyalah pelakon picisan yang kurang memberi lakonan yang membanggakan dan boleh membuat "pecah panggung". Hanya sekadar berlakon dalam "lakonan" yang dilakonkan kerana secebis kertas.

Akupun berlakon juga, kadang kala lakonan aku menjadi dan kadang kala tak menjadi juga. Tahun 2012 yang aku tinggalkan, sedikit sebanyak memberi aku kekuatan untuk memperbaiki lakonan aku dan hanya perlu untuk menghafal skrip dan penghayatan yang mendalam agar lakonan yang aku lakonkan nampak hidup sikit.

Tahun depan dah 2014, aku rasa semakin cepat pula masa beredar dan anak-anak aku dah semakin membesar. Anak yang sulung dah sama tinggi dengan ibunya dan tak lama lagi samalah tinggi dengan aku nanti. Bagaimana dengan aku punya iman dan amal dah kah bertambah...?


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...