Thursday, May 23, 2013

Cerita Tentang Poligami - Siri Pertama 2013

HUJAN renyai-renyai yang turun di bumi Miri membuat aku bersyukur kerana di sini sudah lama tak turun hujan. Aku yang datang ke Miri ini hanya untuk urusan rasmi terasa bahang kepanasan di sini walaupun turun sikit hujan untuk meredakan bahang kepanasan yang ada.

Bila berada di luar kawasan kerja, biasanya aku sering membawa buku untuk bacaan dan tatapan masa senggang di sebelah malamnya. Namun, buku yang aku bawa ada tiga jenis dan salah satunya buku tentang poligami. Bukunya biasa sahaja, dicetak menggunakan kertas A4 dan difotokopi sendiri oleh penulisnya. Aku beli buku ini semasa ekspo buku di PWTC tahun 2011. Cuma aku nak ulang balik membaca buku ini, sebab isinya begitu menarik dan begitu teruja untuk sesiapa yang membacanya, teruja untuk berpoligami!

Cuma aku dapat lontarkan petikan daripada cetusan penulis yang begitu mengharapkan agar "kita-kita" dapat mengamalkan sunnah poligami. Ikutkan buku yang dicetak ini ia tidak boleh diterbitkan mana-mana bahagian yang tertulis hanya dengan kebenaran dari penerbit sahaja.

Namun, disebabkan isinya yang begitu menarik, aku cuba nak singkapkan tentang peri pentingnya poligami ini. Permulaan buku ini mengisahkan tentang ketidakpuasan hati penulis terhadap individu tertentu yang melontarkan komen-komennya tentang poligami yang begitu negatif dan kedangkalan ilmu individu tersebut dalam amalan tersebut.

Kebanyakan komen yang diutarakan banyak bersandarkan kepada logik akal, nafsu dan dunia semata-mata. Kekerdilan kita tentang ilmu Allah begitu terlihat apabila komen yang diberikan seolah-olah menidakkan  amalan poligami sebagai rahmat sebaliknya dianggap satu kezaliman.

Kebanyakan yang dilontarkan tentang amalan poligami berasaskan andaian-andaian yang dibuat dari pemikiran yang bertungjangkan nafsu, suasana dan mengikut perspektif barat semata-mata.

Punca-punca yang diberikan oleh penulis terhadap penolakan amalan poligami oleh sebahagian besar wanita seperti berikut tidak setia dalam melayari kehidupan berumahtangga, perampas suami orang, tidak mahu berkongsi kasih, suami akan berpaling kasih kepada isteri kedua sahaja, kebahagiaan akan lenyap bila berpoligami dengan isteri pertama, suami berpoligami kerana nafsu semata-mata dan yang terakhir kerana akan melukakan hati isteri yang pertama.

Kesimpulan secara keseluruhannya, penulis begitu mengharapkan agar amalan poligami dapat dihidupkan sepertimana amalan-amalan agama yang lain kerana hikmah disebalik amalan ini begitu memberi manafaat yang baik di dunia dan akhirat.

Penutup bagi buku ini, penulis menyarankan kepada sesiapa yang ingin berpoligami perlulah memenuhi kriteria-kriteria berikut iaitu ketakwaan yang tinggi, keilmuan yang mencukupi, ketegasan dalam keadilan, kemampuan mentarbiyah jiwa dan nafsu, kebijaksanaan kepimpinan, kedudukan ekonomi yang baik, memahami psikologi dalam pergaulan, isteri pula perlu mencapai tahap keimanan untuk bermujahadah dan mempunyai banyak masa untuk keluarga.

Mungkin tuan-tuan dan puan-puan mempunyai saranan tersendiri bagaimana nak berpoligami secara yang terbaik?  Dalam hati setiap lelaki sememangnya sudah ada keinginan untuk berpoligami cuma....takutkan bini!

Rujukan : Poligami 3x, "Tidak semua lelaki layak berpoligami dan tidak semua perempuan tidak boleh berpoligami" - Abu Hubaib Asy-Syathari.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...