Friday, December 30, 2011

Menanti Untuk Melihat "Benak"

DALAM bulan ini tadi aku berada Sri Aman, Sarawak atas kapasiti sebagai penjawat awam. Sri Aman hanyalah sebuah bandar yang sederhana besarnya, lebih besar dari Limbang. Apa yang ada di Sri Aman ini? Benak! Pernah tak dengar perkataan ini, benak. Ia merupakan satu fenomena ombak sungai di mana air pasang dari laut pecah apabila bertembung dengan pulau dan membentuk ombak yang menghala ke arah sungai Batang Lupar. 

Masa aku berada di Sri Aman tiada kejadian benak yang berlaku, penduduk tempatan mencadangkan agar pergi pada lewat petang ataupun waktu air tengah nak pasang. Waktu itulah fenomena benak berlaku di sungai Batang Lupar ini. Fenomena ini juga hanya berlaku di Sri Aman bagi rantau sebelah Asean dan merupakan fenomena yang unik sekali.

Fenomena benak di Sri Aman
Bagi aku, ia merupakan kejadian yang diciptakan oleh Allah yang Maha Kuasa dan syukur ia berada di negara kita untuk memperlihatkan kekuasaan Allah s.w.t. 

Aku pernah mendengar dalam satu majlis penerangan(ataupun bayan), kata pembayan tersebut : "....setiap apa-apa kejadian yang kita lihat bergantung kepada sudut pemikiran kita untuk menafsir kejadian tersebut....". Contohnya tentang fenomena benak ini, jika seorang usahawan, dia melihat fenomena benak ini boleh mendatangkan keuntungan kepada mereka, jika seorang saintis ia melihat fenomena benak ini suatu yang begitu unik dan merupakan fenomena yang ajaib, jika seorang menteri, dia melihat fenomena benak ini boleh meraihkan bandar Sri Aman ini sebagai pusat pelancongan, jika seorang yang percaya kepada benda-benda tahyul, ia melihat fenomena benak ini merupakan suatu keramat kepada sungai Batang Lupar dan jika seorang yang imannya mantap, dia melihat fenomena ini merupakan salah satu daripada berjuta-juta ciptaan Allah yang ada di muka bumi ini.

Kesimpulannya di sini, kita sering melihat setiap ciptaan Allah s.w.t. sesuatu yang amat menarik, mengujakan hati kita dan begitu hebat bagi pandangan kita sehingga kita lupa bahawa sang pencipta sebenarnya lebih lagi hebat daripada segala cipta-cipta-Nya.

Kadang kala kita leka dengan apa yang ada dalam diri kita, kita anggap kitalah hebat kerana adanya ilmu yang kita miliki, kepandaian kita, pencapaian kita, kekayaan kita, darjat kita, kuasa kita dan apa-apa yang kita nampak di mata kasar kita.

Sebenarnya kita amat daif dan jahil tentang semua yang ada di muka alam ini, kita tidak pandai, kita tidak berilmu, kita tidak berpijak di bumi nyata dan kita mudah tertipu dengan apa yang kita lihat, dengar, rasa dan fikir sebab kita anggap kita ada ilmu, ada pengetahuan, ada pengalaman dan ada segalanya.

"...ia umpama jarum yang dicelup di permukaan lautan yang luas dan apabila ditarik jarum tersebut, titisan yang jatuh dari jarum yang diangkat itulah ilmu yang Allah peruntukan untuk semua manusia di muka alam ini berbanding ilmu yang seluas lautan yang masih dalam simpanan Allah s.w.t....."

Boleh tak kita bandingkan ilmu kita dengan ilmu Allah s.w.t.?

Thursday, December 29, 2011

Bentuk Wajah Nabi Isa 'Alaihissalam Dan Rupa Wajah Dajjal

RASULULLAH S.A.W. bersabda : "Pada hari ini aku lihat Ka'abah di dalam mimpiku. Seorang telah meletakkan tangannya di atas bahu dua orang lain sambil itu bertawaf di keliling Ka'abah. Wajahnya sangat cantik putih melepak. Gelung rambutnya tergantung-gantung di bawah cubing telinganya dan tersangat cantik bentuknya sebagaimana yang kamu pernah lihat rambut yang cantik. Dia menyikat rambutnya dan air menitis daripada rambutnya. Aku telah bertanya seseorang : "Siapakah orang itu?" Dia menjawab : "Dialah Masih Ibni Maryam".

Di dalam hadis yang lain dinyatakan bahawa Masih Ibn Maryam memakai pakaian kuning, kedua-dua tangannya diletakkan di bahu dua malaikat lalu turun ke bumi daripada langit. Apabila baginda menundukkan kepalanya, maka gugurlah peluh daripada kepalanya seumpama mutiara seakan-akan bijirin yang terbuat daripada perak.

Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda lagi : "Sekali lagi aku melihat seorang meletakkan kedua-dua tangannya di atas bahu dua orang. rambutnya sangat kerinting. Matanya buta sebelah kanan seumpama anggur menonjol daripadanya. Yakni tidak ada anak mata di dalam matanya yang membolehkan sesuatu itu dapat dilihat. Sebaliknya ia berwarna putih seperti anggur menonjol, nampak terlalu hodoh. Di kalangan manusia yang dapat aku perhatikan adalah seirasnya seperti Abdul 'Uzza Bin Qat'n."

Di dalam Hadis yang lain dia digambarkan sebagai berwajah merah, badannya berat dan rambutnya tersangat kerinting, matanya pula buta sebelah kanan. Apabila aku bertanya siapa orang itu, diterangkan bahawa itulah Masih Ad-Dajjal.

Di dalam Hadis yang lain bahawa Dajjal itu pendek bentuk badannya. Kakinya pengkar (pendek sebelah). Imam Baihaqi r. 'alaihi telah menulis di dalam kitabnya Al Baith Nusyur bahawa Dajjal akan keluar dengan menunggang kaldai berwarna putih melepak yang jarak antara telinganya adalah 70 ba' (satu ba' bersamaan 2 ela).

Nota :
Rasulullah s.a.w. melihat Dajjal bertawaf keliling Ka'abah, Rumah Allah. Bagaimana tawaf ini boleh terjadi? Sedangkan Rumah Allah adalah Kiblat orang-orang Islam di aman Allah berfirman sebagai asbab wujudnya lagi dunia ini (Al Quran). Maka Dajjal yang bertawaf mengelilinginya dianggap sebagai satu cara dan jalan yang dia ada akan menyesati orang-orang Islam seumpama pencuri yang mengelilingi sebuah bangunan dan mansion untuk mencari jalan masuk. Begitulah juga denga Nabi Isa Ibn Maryam juga bertawaf keliling Ka'abah sepertilah tuan rumah atau bangunan itu mengelilinginya untuk melihat tempat-tempat yang patut dibaiki dan ditampal agar ia menjadi lebih kuat dan yang reput diganti.

Bab 73, Meniti Debaran Zaman - Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat.
Terjemahan - Abdul Aziz Bin Abdul Hamid.

Wednesday, December 14, 2011

Peperangan Mahdi Dengan Orang-Orang Kafir. Kedatangan Dajjal Dan Zaman Nabi Isa A.S.

IMAM Mahdi menghadapi beberapa peperangan dengan orang-orang kafir. Sebagaimana diterangkan di dalam hadis riwayat Abu Daud. Jelas disebutkan di dalam hadis tersebut bahawa orang-orang daripada Banu Kalab akan menyerangnya tetapi kalah. Begitulah juga dengan tentera yang dihantar telah ditelan bumi ketika di dalam perjalanan untuk menyerangnya di antara Mekah dan Madinah.

Di samping ini ada juga disebutkan di dalam hadis akan penglibatan orang-orang Islam di dalam peperangan namun tidaklah disebut akan nama Imam Mahdi.

Shah Rafiuddin Dehlawi bagaimanapun telah menjelaskan bahawa peperangan-peperangan ini juga adalah berlaku pada zaman Imam Mahdi. Beliau menulis bahawa Imam Mahdi akan bergerak dari Mekah ke Madinah di mana baginda akan menziarahi kuburan Rasulullah s.a.w. dan dari sana menuju ke Syria.

Baginda hampir sahaja tiba di Damsyiq bilamana muncul tentera-tentera Nasrani menyerang dari sana. Imam Mahdi bersiap sedia menghadapi tentera ini dan setelah berperang selama 3 hari, orang-orang Islam menang pada hari keempat. Gambaran peperangan itu yang diberikan di dalam hadis adalah seperti berikut :

"Akan pastilah terjadi sebelum berlakunya Kiamat bahawa tidak akan terbahaginya harta pusaka atau berasa gembiranya mana-mana individu untuk menerima harta rampasan perang (Kemudian memperincikan perkara ini lalu dikatakan) : 

"Satu angkatan tentera musuh yang kuat telah menyerang orang-orang Islam di Syria. Orang-orang Islam juga bersatu tenaga menentang kembali serangan tersebut. Daripada tentera ini mereka membantu satu angkatan perang yang mengambil bai'ah bahawa mereka akan berperang sehinggalah mereka menang atau mati syahid, yakni peperangan terus-menerus berlaku sepanjang siang harinya dan berhenti sebelah malam apabila mereka pulang dari medan perang. tidak ada mana-mana pihak yang menang. Kedua-dua tentera akan terus berperang sehingga kedua-dua punah.

Keesokan harinya orang-orang Islam akan menghantar lagi satu kumpulan tentera yang telah mengambil bai'ah samada menang atau syahid. Pada hari ini juga, peperangan terus-menerus berlaku tanpa henti sehingga matahari terbenam. Tidak ada yang menang bagi kedua-dua pihak. Pada hari ini juga kedua-dua pihak binasa.

Pada hari ketiga, cara yang ketiga juga dilakukan tanpa hasil. Pada hari keempat baki tentera Islam bingkas bangun menyerang dan dengan pertolongan Allah mereka dikurniakan kemenangan ke atas musuh. Peperangan pada hari keempat ini begitu sengit sekali seolah-olah tidak pernah wujud sebelumnya. Ini dapat diambil kesimpulan bahawa orang-orang yang terbunuh di medan peperangan itu begitu ramai sehingga burung yang terbang menjadi letih lalu jatuh mati kerana gagal merentasi mayat-mayat yang bergelimpangan ataupun kerana bau mayat yang menyenak hidung.

Dan tatkala mereka yang mengambil bahagian di dalam peperangan ini mengira bilangan saudara mara mereka, yang pulang hanya seorang sahaja daripada 100 orang, sedangkan 99 orang lagi syahid. 

Rasulullah s.a.w. pun bertanya : " Beritahuku jikalau ada sesiapa yang gembira mendapat harta rampasan perang atau sesiapa yang suka mengambil akan harta pusaka yang dibahagi-bahagikan? "Kemudian baginda bersabda : "Selepas berperang mereka sibuk pula mengira orang-orang yang tinggal, tiba-tiba kedengaran berita peperangan yang lebih besar dan lebih sengit. Berita ini masih belum lagi mendapat perhatian sepenuhnya lalu datang pula berita kemunculan Dajjal yang mahu memporak-perandakan isteri dan anak-anak mereka dalam kerosakan. Mendengar berita ini mereka akan membuang segala harta benda dan wang ringgit lalu bergegas pulang ke rumah mereka. Untuk mendapat maklumat yang sahih tentang Dajjal mereka menghantar 10 orang penunggang kuda mendahului mereka.

Mengenai 10 orang penunggang kuda ini, Rasulullah s.a.w. bersabda : "Aku mengetahui nama-nama mereka, nama ibubapa mereka dan juga warna kuda-kuda tunggangan mereka. Pada masa itu penunggang-penunggang ini adalah yang terbaik daripada segala penghuni bumi."

Selepas ini Shah Rafiuddin Dehlawi r. 'alaihi menulis bahawa di dalam peperangan ini ramailah orang Nasrani terbunuh dan hasrat memiliki kuasa dan negara terkeluar daripada pemikiran dan hati mereka yang tinggal. Yang masih hidup akan lari lalu mereka dikejar oleh orang-orang Islam dan beribu-ribu orang daripada mereka dibunuh.

Selepas itu Imam Mahdi akan membabitkan dirinya dengan menguruskan hal keadaan negara Islam dan beberapa angkatan tentera dihantar ke sana sini. Setelah bebas daripada tugasnya ini maka baginda bersiap-sedia untuk menakluk Constantinople. Ini adalah salah satu daripada tanda-tanda Kiamat.

Menurut sebuah kenyataan apabila Imam Mahdi tiba di laut Mediterranean baginda bertemu denga sejumlah tentera 70,000 daripada Banu Ishaq. Mereka akan berpernag. Apakah mereka berjuang untuk menakluk Contantinople, hanyalah disebut bahawa tentera yang 70,000 ini berperang dengan penduduk sebuah kota yang dikelilingi satu bahagiannya dengan tanah dan satu bahagiannya yang lain oleh laut.

Pengarang Mirqat menulis bahawa bandar ini terdapat di Rome yang beberapa pengarang menganggapnya sebagai Constantinople. Imam Nawawi r. 'alaihi juga Shah Rafiuddin Dehlawi r. 'alaihi mengatakan bahawa : "Bandar inilah Constantinople yang dimaksudkan itu."

Seluruh hadis itu berbunyi demikian : " Satu ketika Rasulullah s.a.w. bersabda kepada para Sahabatnya : "Tahukah kamu sebuah kota (bandar) yang satu bahagiannya ada tanah dan sebahagiannya adalah laut?" Para Sahabat r. 'anhum menjawab : "Ya kami tahu." Baginda bersabda : "Kiamat tidak akan berlaku sehingga 70,000 tentera daripada Banu Ishaq menakluk bandar ini. Apabila orang-orang ini memasuki kota ini dan menetap di situ untuk melancarkan serangan, mereka tidaklah menyerang menggunakan senjata atau melancarkan sebarang anak panah. Mereka akan memperolehi kemenangan hanyalah semata-mata dengan pertolongan Allah. Orang-orang Islam hanyalah memperolehi kemenangan dengan melaung kalimah Laa-ilaha-illallah, Allahu Akbar yang meruntuhkan sebahagian dinding kota tersebut. Apabila mereka melaung sekali lagi mereka dapat melihat jalan untuk memasuki ke dalamnya lalu mendapat kemenangan. Mereka memperolehi harta rampasan. Sedang mereka membahagi-bahagikan harta rampasan itu, tiba-tiba mereka mendengar satu pengisytiharan : "Telah muncul Dajjal." Mendengar pengisytiharan ini mereka meninggalkan segala-galanya lalu pulang."
(Muslim)

Di dalam hadis yang lain yang terkandung di dalam Muslim yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r. 'anhu gambaran penaklukan Constantinople dan zaman Dajjal diterangkan begini : Rasulullah s.a.w. bersabda : "Kiamat tidak akan datang sehinggalah tentera-tentera Rome berhenti di A'maq atau Wabiq dan tentera daripada Madinah mara menentang mereka. Tentera ini adalah terdiri daripada orang-orang yang terbaik daripada manusia pada ketika itu. Apabila kedua-dua tentera berhadapan satu sama lain, tentera-tentera Nasrani itu akan berkata : "Biarkan kami dengan orang-orang Islam yang menawan orang-orang kami sebagai tawanan." Orang-orang Islam akan menjawab : "Demi Allah! Kami tidak akan melakukan demikian bahawa kami tidak berhak ke atas kamu dan saudara-saudara kami sehingga kamu hanya mahu menentang mereka." Lalu mereka menyerang orang-orang Nasrani tersebut.

Satu pertiga daripada orang-orang Islam akan gugur syahid. Orang-orang yang syahid ini adalah lebih tinggi kedudukannya daripada yang lain. Satu pertiga daripada tentera-tentera Islam ini akan menjauhi daripada peperangan itu lalu mengasingkan diri mereka daripada ketumbukan utama. Allah Ta'ala tidak akan menerima taubat mereka. Yakni Dia tidak akan mengurniakan taufiq untuk bertaubat.

Dan satu pertiga lagi daripada tentera Islam akan mengalahkan tentera-tentera Nasrani dan menang perang. Mereka tidak akan terbabit di dalam perbuatan-perbuatan yang merosakkan dan berdosa. Inilah tentera yang akan menawan Constantinople. Mereka pun mulalah membahagikan harta ghanimah (harta peninggalan perang) dan menyangkutkan pedang mereka di pohon-pohon zaitun, maka kedengaran satu suara laungan syaitan : "Sesungguhnya Dajjal telah sampai ke tempat anak-anakmu di belakang sana", tetapi berita ini adalah palsu.

Kemudian tentera-tentera Islam berhasrat pula menakluk Syria dan sewaktu mereka sampai di Baitul Muqaddis (Di Jerusalem) maka muncullah Dajjal. Sedang mereka bersiap-siap utnuk berperang maka masuklah waktu solat dan merekapun bangun untuk mendirikan solat.

Ketika itu turunlah Nabi Isa 'alaihissalam Ibn Mariam daripada langit. Sebaik-baik sahaja mata Dajjal bertembung dengan Isa 'alaihissalam maka cairlah tubuh si Dajjal seperti garam larut di dalam air.

Walaupun Nabi Isa 'alaihissalam tidak membunuhnya dan membiarkannya begitu sahaja, Dajjal itu akan binasa juga. Tetapi Nabi Isa 'alaihissalam membunuhnya dengan tangannya sendiri lalu menunjukkan tombak yang berlumuran dengan darah kepada orang ramai.

Meniti Debaran Zaman, Bab 72 - Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat.
Terjemahan - Abdul Aziz Bin Abdul Hamid.

Saturday, December 10, 2011

Zakat : Sudahkah Kita Amalkan?

DULU-DULU pernah aku dengar seorang sahabat memberitahu aku, kalau nak maju dalam bidang perniagaan kena pastikan dulu zakat yang nak disumbangkan. Aku pada mulanya agak pelik juga. Apa kaitan zakat dengan maju atau mundurnya sesebuah perniagaan?

Sahabat aku terangkanlah lebih lanjut perkaitan antara zakat dan perniagaan. Zakat merupakan tanda aras bagi kemajuan sesuatu perniagaan itu. Jika kita anggarkan zakat yang akan disumbangkan pada tahun berikut sebanyaknya RM350,000 setahun bererti perniagaan kita telah mencapai keuntungan yang amat bagus dan jikalau zakat yang disumbangkan hanya RM475 setahun bererti perniagaan kita masih di tahap yang sederhana atau belum mencapai tahap yang konsisten. Dan sekiranya tiada zakat dikeluarkan tahun tersebut bererti perniagaan tersebut mengalami kerugian atau masih di tahap yang belum memberangsangkan kerana ketidakmampuan untuk membuat pembahagian dari keuntungan yang diperolehi. Untuk lebih jelas, disediakan contoh penggiraan bagi perniagaan yang maju dan sederhana maju seperti dibawah :


Contoh 1:                                                                                        Contoh 2 :

Pendapatan                                RM              RM                         RM                  RM

xxxx                                                                 10 juta                                               10 ribu
xxxx                                                                 15 juta                                               20 ribu
Jumlah                                                              25 juta                                               30 ribu

Perbelanjaan  

xxxx                                           5 juta                                            10 ribu
xxxx                                           6 juta              11 juta                    1 ribu                  11 ribu                   

Untung Bersih                                                 14 juta                                             19 ribu

Nota:
Pembahagian bagi zakat perniagaan RM14 juta x 2.5% = RM350,000 zakat yang akan dikeluarkan.
Pembahagian bagi zakat perniagaan RM19 ribu x 2.5% = RM475 zakat yang akan dikeluarkan.
(Jika nak menggira zakat perniagaan sila rujuk pihak Baitulmal di negeri masing-masing, penggiraan yang aku buat ini hanya untuk mudah memahami bagaimana peranan zakat atas maju atau mundurnya sesuatu perniagaan. Kemajuan sesuatu bisnes sebuah syarikat bukan atas untungbersih yang diperolehi tapi perlu dilihat dari sudut aset dan liabiliti ).

Maksudnya, semakin tinggi zakat perniagaan yang disumbangkan menunjukkan semakin maju sesuatu perniagaan yang dijalankan oleh individu terbabit.(seperti Contoh 1) Jadi, setiap perancangan yang dibuat untuk memajukan sesuatu perniagaan bergantung kepada tinggi dan rendahnya zakat yang akan disumbangkan kelak. 

Dari situlah peniaga yang akan menjalankan perniagaan akan memikirkan bagaimana sesuatu perniagaan boleh untuk mencapai sasaran zakat yang akan dianggarkan boleh dicapai. Bercambahlah usaha yang akan dijalankan oleh peniaga terbabit untuk memikirkan bagaimana untuk memperolehi zakat yang akan dianggarkan boleh dicapai.

Bukan setakat usaha sahaja yang perlu dilipatgandakan oleh peniaga terbabit, dari sudut perkhidmatan kepada pelanggan, kualiti barangan atau perkhidmatan yang diberi juga akan dipertingkatkan agar menjadi daya tarikan kepada pelanggan. 

Maksudnya, zakat bukan setakat sebagai satu perintah Allah yang wajib untuk kita amalkan malahan merupakan satu tanda aras dan motivasi untuk merpertingkatkan lagi mutu dan daya saing dalam perniagaan.

Seperti yang kita ketahui peranan zakat atas harta juga penting iaitu membersihkan kotoran harta-harta yang kita miliki dan berperanan untuk membantu umat Islam yang tidak berkemampuan selain untuk berkongsi rezeki antara sesama manusia.

Aku tak pasti adakah amalan zakat ini diamalkan dengan penuh rasa kesedaran, insaf dan niat untuk menegakkan hukum Allah atau kerana terpaksa?

Bagi sesiapa yang nak mulakan perniagaaan, anggarkan zakat yang akan disumbangkan dulu baru fikir pasal untung jika tidak perniagaan yang kita usahakan tidak bermatlamatkan agama semata-mata tapi lebih kepada keuntungan yang dikejar.

Thursday, December 1, 2011

Rasanya Siapa Yang Punya Nama?

MENGAPA masih ramai lagi orang bumiputera yang terkebelakang berbanding kaum yang lain dalam bidang ekonomi dan sosial terutamanya? Apa sebenarnya permasalahan yang berlaku dalam diri mereka sehinggakan susah untuk maju seperti mana kaum-kaum yang lain di Malaysia ini. Perkara yang aku nak ketengahkan sebenarnya banyak melibatkan orang bumiputera yang beragama Islam. 

Mungkin kesedaran tentang perkara ini sudah lama wujud dalam pemikiran kita dan pemikir-pemikir yang memikirkan tentang orang bumiputera Islam yang terkebelakang ini. Pelbagai cara dan metod telah digunakan untuk membangunkan keupayaan orang bumiputera Islam agar mereka boleh bersaing dengan kaum-kaum yang lain.

Namun kalibat kemunduran sering dikaitkan dengan orang bumiputera Islam walaupun pemerintahan kita di Malaysia sudah banyak membantu kalangan mereka untuk maju dan bersaing dengan kaum lain. Muncul juga kalangan mereka yang dapat mengapai status orang kaya dan jutawan. Tapi status untuk mereka menjadi orang kaya masih kurang dan boleh dikira dengan jari tangan dan kaki.

Siapa sebenarnya yang perlu untuk kita persalahkan? Golongan itu sendiri atau kerajaan yang memerintah golongan tersebut? Kalau nak salahkan kerajaan payah juga, banyak yang telah disumbangkan oleh kerajaan kepada golongan tersebut agar mereka maju dan berjaya dalam pelbagai lapangan melalui agensi-agensi kerajaan. Ataupun sememangnya golongan ini terlampau banyak diberi kemudahan menyebabkan daya saing menjadi semakin menipis dalam jiwa mereka.

Ataupun juga golongan ini beranggapan bahawa kerajaan yang memerintah sekarang ini adalah kerajaan dari golongan bumiputera Islam jadi tak perlulah dikisahkan sangat kerana kerajaan akan sentiasa menolong walau macamana keadaanpun golongan bumiputera Islam.

Ini mungkin anggapan aku terhadap bumiputera Islam sehinggakan tak perlu dirisaukan sangat kerana ada orang di belakang akan menolong dan paling tidakpun ada orang akan ambil tahu ehwal mereka.

Jika kita lihat apa yang terkandung dalam ajaran Islam sudah cukup untuk menjadikan seseorang yang berpegang kepada ajaran Islam boleh diikhtiraf sebagai bertamadun dan futuristik. Tapi mengapa orang yang mengamalkan ajaran Islam masih tak seperti yang digambarkan(orang Islam di Malaysia sekarang). Adakah juga kerana salahnya Islam itu? Tapi bagaimana dengan pengamal Islam di negara lain adakah mereka juga mengalami apa yang dialami oleh orang bumiputera Islam di Malaysia?

Jika kita nak kaji lebih dalam lagi perwatakan antara Islam dan bumiputera Islam di Malaysia ini, sudah pasti kita akan beranggapan bahawa jika bumiputera Islam ini mengamalkan Islam secara sempurna pasti tidak terjadi begitu iaitu mundur dalam kehidupan dunia. Siapakah yang nak kita salahkan? Islam atau bumiputera Islam?

Namun rezeki itu telah ditentukan oleh Allah sejak azali lagi, dan adakah kita golongan bumiputera Islam hanya berserah pada takdir tanpa ada usaha? Seperti kata pepatah Arab, "Jika ditanam benih padi pasti padi akan tumbuh, jika tidak ditabur benih padi pasti dan pasti rumput akan tumbuh". 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...