Thursday, January 26, 2012

Jangan Bersedih Anakku....

KINI anak aku dah berada di Madrasah Tahfiz Makam Diraja Langgar, Alor Setar hampir sebulan. Aku terasa sunyi betul dengan ketiadaan anak aku di sisi. Sebab, ke mana aku pergi dialah teman, sahabat, tempat bermanja dan tempat berbicara saban hari dan kini aku keseorangan. Kadang kala terasa sayu bila anak tanpa di sisi dan amat merinduinya. 

Suasana yang berbeza begitu ketara amat aku rasai bila melihat wajah anak aku bila berada di tempat baru, di Limbang dia seorang kanak-kanak masih yang perlu dibelai dengan kasih sayang dan perlu dibimbing sentiasa. Disini nanti, anak aku hidup berdikari tanpa ayah dan ibunya bersamanya. Namun, aku yakin Allah akan menjaga dan memelihara anak aku dengan sempurna sebagaimana Allah mentadbir alam maya ini dengan sunatullah dan kudratullah-Nya.

Kutinggalkan anak aku dengan kucupan kasih sayang di pipi kiri dan kanan serta dahinya semasa di surau selepas solat subuh. Anakku, Ameer Hariz tak memandang wajah aku, mungkin begitu sedih dan aku bersama teman terus beredar kerana penerbangan balik aku ke Kuala Lumpur jam 8.30 pagi.

Aku terus berlalu tanpa memandang wajah anak aku serta bersalam dengan pelajar-pelajar hafiz yang lain seramai 15 orang termasuk anak aku. Hanya aku doakan agar anakku dapat mengharungi kehidupan sebagai seorang pelajar hafiz dengan baik dan sempurna.

Hari ketiga di situ, aku terus balik dari Alor Setar ke Kuala Lumpur seterusnya ke Miri dan ke destinasi terakhir aku, Limbang. Insya-Allah, disinilah tempat persinggahan yang akan aku lawati sentiasa kelak untuk melihat anak kesayanganku membesar dalam hafalan perkataan Allah s.w.t.

Dari Uthman Ibn Affan r. 'anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : Yang terbaik diantara kamu adalah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya. (HR Tarmizi)




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...