Tuesday, December 28, 2010

Cemburunya Masa?

TAHUN Hijrah dah berlalu, tahun Masehi akan mengekori tak berapa lama lagi. Aku merasakan masa akan terus bergerak dengan pantas tanpa kita sedari. Dan biasanya, kita akan berkata, "cepatnya masa, dah hujung tahun dah, tak terasa". Begitulah yang sering keluar dari mulut kita bila sesuatu tahun tu dah nak habis. Kadang-kadang kita tak tahu apa yang telah kita buat dalam tempoh setahun, sebab setahun bagaikan sebulan, sebulan bagaikan seminggu, seminggu bagaikan sehari, sehari bagaikan sejam, sejam bagai seminit dan seminit bagai sesaat.

Mungkin begitulah keadaan masa yang kita rasakan sekarang, semuanya semakin cepat dan laju. Semacam kita pula yang tertinggal di belakang masa, dan seolah-olah masa pula yang mendahului kita.

Sebenarnya masa itu tetap beredar dengan ketetapan yang telah Allah berikan. Cuma, kita sahaja yang tidak dapat mengurus masa dengan betul dan konsisten. Kalau mengikut peribahasa Arab, ...masa itu umpama pedang...maksudnya, jika kita tidak mengurus masa dengan betul, masa akan menjadi musuh dan boleh merosakkan kita, dan jika kita pandai mengurus masa dengan betul, ia akan menyelamatkan kita. Peribahasa oarang Yahudi pula, ...masa itu umpama emas... maksudnya, jika kita tak menggunakan masa dengan betul kita akan rugi, dan jika kita mengurus masa dengan betul, ia akan mendatangkan keuntungan kepada kita.

Dan ada juga peribahasa yang sering aku dengar, dan aku tak pasti siapa yang mencipta peribahasa ini, tapi begitu sinonim juga dengan kehidupan kita. Iaitu, ...masa itu umpama ais batu...maksudnya, jika kita tidak menggunakan masa untuk tujuan yang baik, masa itu akan terus bergerak juga, dan jika kita menggunakan masa itu untuk tujuan yang baik, dan pasti masa itu bergerak juga. Tapi, bezanya masa yang digunakan untuk tujuan yang baik boleh memberi manafaat kepada seseorang itu, tapi masa ynag digunakan untuk tujuan yang tidak baik akan memudaratkan seseorang itu. Kerugian akan berlaku kepada seseorang yang tidak pandai menggunakan masa dengan betul dan tepat mengikut kehendak Pencipta yang sebenarnya, iaitu Allah swt.

Sebab itulah Allah telah anugerahkan kepada setiap manusia dengan masa yang sama iaitu 24 jam setiap seorang, tak berkurangpun dan tak berkecualipun daripada kurang 24 jam.

Kepandaian kita sahaja yang perlu untuk menguruskan masa dengan kaedah yang betul dan tepat. Dan kepandaian yang Allah berikan kepada setiap insan di muka alam ini terpulang kepada individu untuk merealisasikan dalam bentuk perlakuan yang betul dan lurus di mata agama.

Semakin kita lama duduk di dunia ini, semakin kurang masa untuk kita tinggal di dunia atau semakin dekat untuk kita berjumpa dengan mati. Dan seluruh kita yang berada di dunia ini sebenarnya bergerak dan bergerak ke arah kubur. Dan pergerakan kita ke tempat tersebut semacam tak terasa yang kita akan mati, seolah-olah kita nak hidup selama-lamanya di dunia ini.

Akupun semakin berkurang masa untuk berada di dunia ini, tapi aku semacam tak menyedari yang masa aku semakin pendek dan singkat. Namun, aku rasa yang aku semakin lama pula di dunia, mungkin sebab aku mempunyai usia yang semakin membesar ataupun angka yang aku miliki semakin membesar dan seolah-olah angka yang semakin besar bermaksud semakin lama untuk tinggal di sini.

Mungkin jika umur ini diterbalikkan pergerakkannya, pasti orang akan menyedari yang usianya semakin sikit, contohnya usia aku sekarang ini sudah 17 tahun lagi. Dan sudah pasti kita akan mengetahui yang jangka masa untuk kita tinggal di dunia ini hanya 17 tahun lagi. Pasti kita akan bersegera dan bersiap ke arah kematian yang semakin hampir. Namun, Allah telah rahsiakan tarikh kematian kita dan Allah nampakkan tarikh kelahiran kita agar persiapan kita ke arah kematian itu dibuat dengan kesedaran yang sedar benar-benar akan wujudnya alam akhirat.

Jadi, kita semua ini dalam keadaan yang tak sedar kerana kita telah mabuk, iaitu mabuk dunia, bila dah mabuk kita tak sedar lagi di sekitar kita. Kita akan membuat apa-apa yang kita suka tanpa peduli samada perkara itu betul atau tak betul sebab kita kita tengah mabuk. Orang yang tak mabuk adalah orang yang tahu apa yang telah dibuatnya dan menggunakan masanya di dunia dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya.

Dan aku masih juga di sini, bertemankan masa yang terus bergerak dengan laju ataupun perlahan yang bergantung kepada amal-amal yang kita amalkan. Jika kita dekat dengan Allah, pasti Allah akan "lebarkan" masa selebar-lebarnya dan jika kita jauh dari Allah, pasti Allah akan tak cukupkan masa dengan tak pandai cukup-cukup yang membuat kita gelisah.

Tuesday, December 21, 2010

Cerita Tentang Poligami (Bahagian Ketujuh)

MINGGU ni tadi aku bersarapan dengan rakan sekerja dari Sarawak, dia datang ke KL ni nak berkursus. Jadi aku dan beberapa kawan yang lain terkejut dengan kehadirannya di kedai makan tempat pejabat kami. Lalu kami semua duduk menemankan dia ni dengan kawan-kawannya yang pernah bertugas di Sarawak dulu. Cuma, aku tak sebutlah namanya di sini.

Dia ni seorang perempuan, dalam lingkungan usianya 30an dan telah berkahwin. Dalam kita bercerita tu, si kawan yang lain mengusik tentang suaminya yang berkahwin dua ataupun berpoligami. Aku terkejut juga yang dia ni dah bermadu. Jadi, bila diusik, teruslah bercerita tentang hidup berpoligami ni kepada kita semua.

Ada antara kita di situ yang beragama Kristian dan Buddha, cuma mereka dengar dengan senyum sahaja. Cerita suaminya berpoligami ni bermula bila perkahwinan yang dilayar lebih sepuluh tahun tidak diisi dengan tangisan anak, menyebabkan suaminya "mempelawakan" dirinya untuk dikahwinkan lagi. Mulanya, bagi si dia ni tak dapat menerima kenyataan yang suaminya berkahwin lagi. Maka, si dia nipun tertekan dengan apa yang menimpa ke atas dirinya.

Bukan sahaja tekanan dari dalam tetapi dari pelbagai sudut, namun suaminya yang tersayang telah memberi dorongan agar bersabar dengan keadaan yang berlaku itu, semua itu jodoh dari Allah dan berpeganglah pada perintah Allah dan Sunnah Nabi. Jadi, si dia yang tertekan dengan keadaan seperti itu hanya dapat bersabar dan bersabar tetapi hanya Allah sahaja yang tahu isi hatinya. Begitulah cerita yang disampaikan oleh si dia ni.

Si dia ni terus bercerita lagi, selepas melayari hidup berpoligami, mula-mula si suami ni menempatkan isteri kedua di rumah sewa yang lain dan si dia ni masih tinggal di rumah yang sediada. Dalam tempoh enam bulan melayari hidup begitu, barulah si dia ni dapat menerima yang dia telah berpoligami. Setelah melihat keadaan si dia dapat menerima yang dia dah berpoligami, maka si suami mencadangkan agar isteri kedua tu tinggal bersama-sama mereka. Atas alasan yang isteri kedua tu dah mengandung, tujuannya untuk memudahkan dia mengurus kedua-dua isterinya.

Maka, si dia pun bersetuju, tinggallah mereka bertiga dalam satu rumah tu. Setelah sekian lama bersama maka timbullah kasih sayang antara si dia dengan madunya itu dan hiduplah mereka berdua umpama adik-beradik.

Si dia memberitahu hubungannya dengan madu begitu erat sekali kerana ada tolak ansur antara mereka berdua  dan memahami keadaan apa yang berlaku serta membantu si suami bersama. Apabila si madu tu melahirkan anak, hubungan antara si dia dengan madunya semakin erat kerana si dia pun sama-sama membantu madunya untuk menjaga anak-anak. Si dia juga begitu sayang dengan anak-anak madunya dan begitu rapat hubungannya dengan anak-anak madunya.

Aku yang mendengar cerita dari si dia tu begitu teruja dengan ketabahan yang dihadapi olehnya walaupun begitu banyak rintangan yang dihadapi, dia tetap teruskan juga untuk dimadukan.

Dan sehingga sekarang kerukunan rumahtangga mereka masih bertahan dengan hadirnya anak-anak dari isteri kedua suaminya.

Begitulah serba sedikit tentang kehidupan orang yang berpoligami yang boleh hidup dengan aman dan damai walaupun terasa tertekan pada mulanya. Aku cuma nak paparkan kisah ini untuk memberitahu yang berpoligami ni tak semestinya akan berlaku  konflik antara suami dan isteri ataupun isteri pertama dengan isteri kedua, ketiga atau keempat ataupun dengan bercerai. Titik penyelesaian kepada apa yang ada dalam kehidupan manusia ini, Allah hanya sediakan agama sahaja selain dari itu hanyalah kerosakan.

Walaupun si dia begitu ghairah menceritakan kisah berpoligaminya, namun si dia juga mengingatkan kepada si lelaki-lelaki yang ingin berpoligami perlu mempersiapkan diri mereka dengan amalan agama agar mempunyai kekuatan untuk menghadapi apa-apa jua konflik nanti. Sebab poligami ni begitu unik dan ada keseniannya yang tersembunyi dalam orang yang mengamalkannya dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya.

Sunday, December 12, 2010

Makna Fitnah

PERKATAAN ini telah digunakan di dalam kitab-kitab di banyak tempat. Orang ramai juga selalu menggunakannya. Dan ia menjadi lebih dikenali apabila Rasulullah s.a.w. juga menggunakannya.

Makna "Fitnah" sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Raghib ialah "meleburkan emas";

Makna yang kedua ialah "ujian"; dan

Makna yang ketiganya ialah "perkara-perkara yang tidak diingini yang akan menimpa ke atas seseorang".

Jikalau ini adalah daripada Allah, maka ada hikmah di sebaliknya, misalnya satu kecelakaan, huru-hara, sakit, satu keadaan kesempitan hidup yang luar biasa, atau melakukan sesuatu keengkaran terhadap Allah.
(Fathul Bari, Jilid 16, ms 108)

Menurut makna yang pertama dan kedua jikalau perkara ini terjadi kepada seseorang lalu dia menyelamatkan dirinya menerusi cara syari'ah, agama dan hujjah maka imannya akan dibersihkan dan diperkuatkan sepertimana emas itu dilebur dan disisihkan daripada segala macam logam apabila diletakkan ke atas api. Allah Ta'ala menyucikannya melalui ujian-ujian yang diletakkan ke atasnya.

Menurut pengertian dan makna yang ketiga jikalau apa-apa sahaja kesusahan, bencana, kemiskinan atau sakit itu datang daripada Allah dan orang yang ditimpai dengan perkara-perkara ini tidak sabar dan bersyukur maka dia telah menafikan dirinya daripada kurniaan Allah. Maka tugas fitnah itu adalah seperti satu bekas yang terletak di atas dapur yang menyala yang daripadanya keluarlah kemerlapan-kemerlapan emas setelah logam asing di dalamnya telah terbakar habis.

Seorang itu akan terlucut imannya jikalau dia tidak dapat sabar menanggung kesusahan-kesusahan ini dengan menyatakan syukur dan redha terhadap ketentuan Allah. Tetapi jikalau dia dapat dengan sabar menanggungnya, Allah akan suka kepadanya lalu mengurniakannya dengan ganjaran dan kemuliaan. Pintu-pintu rahmat akan terbuka untuknya.

Maka perlulah sangat seorang itu berusaha menghapuskan fitnah tersebut untuk menyelamatkan dirinya daripada azab Allah dan menerima curahan Rahmat Ilahi. Marilah kita mengabdikan diri kita untuk beribadat kepada Allah agar iman menjadi teguh.

Bersambung...

Meniti Debaran Zaman, Bab 54, - Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan - Abdul Aziz Bin Abdul Hamid

Saturday, December 4, 2010

Selamat Hari Lahir Untuk Anakku - Siti Humaira

8hb ni, anak aku yang bongsu akan menyambut hari kelahirannya yang ke 7 tahun, Siti Humaira. Sekarang ni dah  begitu petah bercakap dan pandai bergaya. Anak aku yang satu ni begitu meminati bidang lukisan, hampir semua dinding di rumah dilukis dengan lukisan-lukisan yang begitu indah dan "kacak". Yang selalu dipesan bila aku balik dari KL, buku lukisan dan pencil colour.

Tahun depan Siti Humaira dah masuk darjah 2, mungkin semakin cantik dan ayu anak aku ni nanti bila besar. Maknya selalu beritahu, dia merindukan babahnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...