Monday, February 4, 2013

Tanda-tanda Besar Yang Lain Akan Muncul Menjelang Kiamat

SELEPAS kewafatan Nabi Isa 'alaihissalam maka keadaan kejahilan dan amalan tidak beragama akan terus bertambah lebih parah sehinggalah sampai satu tahap tidak seorangpun yang akan menyebut nama Allah, maka tinggallah mereka yang paling jahat dan hina di muka bumi ini. Kiamat akan terjadi ke atas mereka.

Sementara itu lain-lain tanda akan muncul sebagaimana yang digambarkan di hadith, misalnya daripada Huzaifah r. 'anhu meriwayatkan bahawa : "Tidak akan muncul Kiamat sehinggalah kamu lihat 10 tanda :
  1. Asap;
  2. Dajjal;
  3. Dabbatul Ard (binatang yang keluar daripada bumi);
  4. Naiknya matahari daripada barat;
  5. Turunnya Nabi Isa 'alahissalam daripada langit;
  6. Munculnya Yakjuj dan Makjuj;
  7. Tanah runtuh di Timur;
  8. Tanah runtuh di Barat;
  9. Tanah runtuh di Tanah Arab; dan
  10. Di akhir semua ini ialah kemunculan api yang akan menunda semua manusia ke Padang Mahsyar.
Di dalam hadith yang lain sebagai ganti api disebut angin yang akan menunda manusia sehingga masuk ke dalam laut.
(Misykat)

Daripada 10 tanda-tanda ini, perincian mengenai Dajjal, Yakjuj dan Makjuj dan Nabi Isa 'alaihissalam telahpun dijelaskan. Tanda yang lain itu diberikan penjelasan sebagai berikut :

Asap; mengenai keluarnya asap yang dinyatakan di dalam hadith ini, Allamah Tibri pengulas Misykat menulis bahawa inilah asap yang disebut di dalam surah Ad Dukhan : "Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut (asap) yang nyata, yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih"
(Ad-Dukhan)

Atas perkara ini Abdullah Ibn Mas'ud r. 'anhu dalam ulasannya mengatakan bahawa : "Tidak ada apa-apa maklumat diberikan tentang ayat ini mengenai kemunculan asap baharu menjelang kiamat sebaliknya ia merujuk kepada suatu peristiwa kelaparan yang telah dialami oleh orang-orang Quraisy Mekah yang mereka diselubungi oleh penderitaan akibatnya sehingga ruang antara bumi dan langit kelihatan kepada mereka seolah-olah asap walaupun pada keadaan sebenarnya ia bukanlah asap.

Namun begitu Abdullah Ibn Abbas r. 'anhu tidak bersependapat dengan Ibn Mas'ud r. 'anhu beliau telah menegaskan bahawa keterangan mengenai ayat tersebut telah diberikan. Ada dinyatakan akan kemunculan asap menjelang kiamat melalui sabdaan Rasulullah s.a.w. Apabila ditanya merngenai maksud ayat ini beliau memberitahu : "Ia adalah suatu keadaan di mana asap akan memenuhi setiap ruang kosong di antara timur dan barat yang akan berlanjutan selama 40 hari. Melalui asap ini orang-orang yang beriman akan dihinggapi penyakit seumpama sejuk dan selsema dan orang-orang kafir akan pitam."
(Misykat)

Dabbatul Ard (Binatang yang muncul daripada bumi); akan terdapat suatu makhluk yang muncul daripada bumi. Makhluk ini akan menggariskan satu garisan cahaya di dahi orang-orang yang beriman dan memberi tanda hitam di hidung atau leher orang-orang kafir. Terdapat satu ayat mengenai binatang ini di dalam surah An Naml (82 - 83) : "Dan apabila perkataan (ketentuan) telah jatuh atas mereka, Kami  keluarkan sejenis binatang melata daripada bumi yang akan menyatakan kepada mereka bahawa sesungguhnya manusia dahulu tidak yakin kepada ayat-ayat Kami. Dan (ingatlah) hari (ketika) Kami kumpulkan dari tiap-tiap umat segolongan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, lalu mereka dibahagi-bahagikan (di dalam kelompok-kelompok)."

Maulana Shah Rafiuddin telah menulis bahawa pada hari di mana matahari akan naik daripada barat dan turun ke timur, Bukit Safa yang terdapat di Mekah akan terbelah akibat berlakunya gempa bumi dan keluar daripadanya seekor binatang ganjil. Mulutnya seperti mulut manusia, kakinya seperti kaki unta, lehernya seperti kuda, ekornya seperti lembu, tapak ladamnya seperti kijang dan tanduknya seperti rusa. Mengenai tangannya, beliau menulis, ia seakan-akan tangan monyet.

Kemudian beliau menulis lagi bahawa binatang itu akan bercakap kepada orang ramai dengan bahasa yang indah. Di sebelah tangannya ia memegang tongkat Nabi Musa 'alaihissalam dan di sebelah yang lain terdapat cincin Nabi Sulaiman 'alaihissalam. Ia akan bergerak pantas ke seluruh negara sehingga tidak ada sesiapapun yang dapat menangkapnya dan tidak seorangpun manusia yang terlepas daripadanya. Ia akan meletakkan tanda pada setiap orang.

Dengan menggunakan tongkat Nabi Musa 'alaihissalam ia akan menggariskan satu garisan di dahi setiap orang Islam menjadikan wajahnya bercahaya dan menawan dan melalui cincin Nabi Sulaiman 'alaihissalam ia akan menandakan pada setiap hidung atau tengkuk orang-orang yang tidak beriman dengan tanda hitam yang akibat daripadanya seluruh wajahnya bertukar menjadi warna hitam.

Dengan ini satu perbezaan yang nyata terlihat di antara orang-orang yang beriman dengan orang-orang yang tidak beriman. Jikalaulah mereka akan duduk di dalam suatu majlis makan, orang-orang Islam dan bukan Islam akan jelas nampak perbezaannya. Selepas menjalankan tugasnya, binatang itu akan lenyap, tiada siapa yang mengetahui ke aman perginya.

Bab 82, Meniti Debaran Zaman : Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan : Abdul Aziz Bin Abdul Hamid




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...