Sunday, July 25, 2010

Ulamak Akan Merendahkan Martabat Mereka Kerana Meninggalkan Maksud Dan Matlamat Ilmu Pengetahuan

KEROSAKAN akan muncul daripada ulamak dan akhirnya akan dikembalikan kepada mereka. Mereka sendirilah yang akan menanggung akibat daripadanya.

Pengetahuan agama adalah suatu kurniaan Allah yang begitu besar. Matlamatnya begitu tinggi yakni untuk memperolehi keredhaan Ilahi. Tetapi ilmu pengetahuan akan datang kepada orang-orang yang maksudnya hanyalah untuk memperolehi rezeki mereka dan mendapatkan kekuasaan politik. Orang-orang yang ‘alim perlulah memandang rendah orang yang bersifat begini.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r. ‘anhu bahawa:
“Ulamak yang menyampaikan ilmu mereka akan menjadi pemimpin di dunia, tetapi ulamak yang memberi ilmu pengetahuan mereka kepada pencari-pncari duniawi akan merendahkan diri mereka dengan menjadikan dunia ini sebagai matlamat  mereka.”

Beliau berkata:
‘Aku telah mendengar daripada Rasulmu s.a.w. bahawa seorang yang meninggalkan segala urusan dan kebimbangannya terhadap dunia lalu membimbangi hanya urusan ukharawi, maka Allah Ta’ala akan membebaskannya daripada segala kebimbangannya terhadap urusan dunianya. Dan seorang yang berbimbang-bimbang dengan urusan dunianya sahaja maka Allah Ta’ala tidak akan pandang dan peduli bagaimana dan kemana dia akan layu.”
(Ibn Majah)

Umar r. ‘anhu bertanya kepada Ka’ab r. ‘anhu:
“Siapakah orang ‘alim?”
Beliau menjawab:
“Seorang yang beramal dengan apa yang dia tahu”
Kemudian beliau bertanya lagi: “Bilakah ilmu pengetahuan akan terkeluar daripada hati orang ‘alim?”
Ka’ab r. ‘anhu menjawab:
“Apabila datangnya ketamakkan terhadap kebendaan dan kekayaan.”
(Darmi)

Diriwayatkan daripada Anas r. ‘anhu bahawa:
“Untuk menurunkan ilmu kepada orang yang tidak layak dan sepatutnya(yakni untuk dijadikannya bagi mendapatkan duniawinya, makan-minumnya serta mendapatkan pekerjaan) adalah seumpama meletakkan kalung emas dan permata ke leher babi.”
(Baihaqi)

Diriwayatkan daripada Ka’ab . ‘anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa:
“Jika seorang itu memperolehi ilmu pengetahuan dengan maksud untuk berhujjah, bertengkar dan berbalah dengan manusia ataupun menarik mereka ke arahnya, maka Allah akan menjadikan orang yang demikian memasuki neraka Jahanam.”
(Tirmizi)





Penjelasan
Matlamat mempelajari ilmu Al Quran dan Hadis adalah untuk memperolehi keredhaan Allah. Tetapi jika seseorang itu memperolehi ilmu-ilmu ini untuk mendapat kemuliaan duniawi dan pangkat maka ia adalah haram, ini akan menjadi sebab masuk neraka.

Adalah dilarang(haram) mengajar pelajar yang mahukan ilmu ini untuk maksud duniawi. Renunglah dengan mendalam akan tajuk-tajuk dan intisari kedua-dua Hadis tadi.

Seorang ahli daripada keluarga yang baik tetapi meninggalkan matlamat yang mulia, akan mendapat ilmu dengan maksud yang rendah martabatnya. Dia akan memperolehi ilmu dengan kerakusan dan untuk maksud keuntungan dan kedudukan peribadi. Ulamak yang demikian akan menimbulkan kerosakan lalu menyebabkan juga orang ramai terbabit di dalamnya dan akibat daripada ini akan melilit diri mereka sendiri dan merekalah yang akan menanggungnya.

Walaubagaimanapun orang ‘alim yang baik yang matlamatnya ialah untuk menyampaikan perintah Allah dan Rasul-Nya kepada orang ramai di samping mendapatkan keredhaan Allah dan sebagai pewaris sebenar para anbia’, maka mereka akan menempati kedudukan yang tinggi dan dimuliakan. Orang ‘alim yang beginilah yang selayak dihormati. Adalah haram menghina mereka.

Jikalau ada sebahagian ulamak yang menjadi jahat(suk) maka semua ulamak janganlah dihina seperti mereka. Ini hendaklah dimasukkan ke dalam fikiran. Dengan berkata sesuatu perkataan yang tidak baik dan soleh, maka ditakuti kita terbabit dengan kemerosotan agama. Dengan sebab beberapa orang ulamak menjadi suk(jahat) maka kita menghina semua ulamak dengan kata-kata yang tidak baik maka orang ramai telah terjauh daripada keberkatan orang-orang ‘alim yang baik. Bacalah dan renunglah atas perkara ini.

Allah itu sangat cemburu. Ilmu adalah salah satu daripada sifat-sifat Allah. Apabila ilmu dan ulamak-ulamak yang baik tidak dihormati dan tidak dimuliakan, maka ilmu itu akan ditarik balik(diangkat) oleh Allah dan masyarakat akan kehilangan ilmu dan ulamak-ulamak yang baik. Akibatnya kesesatan akan zahir di muka bumi ini sebagaimana yang terjadi pada hari ini. Hari demi hari, umat ini akan dijauhi oleh ilmu yang sebenarnya.

(Bersambung...)
Bab 48, Meniti Debaran Zaman – Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat.
Terjemahan: Abdul Aziz Bin Abdul Hamid.


Tuesday, July 20, 2010

Rupanya Aku Seorang Penganggur...

BERHENTI kerja bila dah bosan dengan kerja yang dibuat,
berhenti kerja bila ditawarkan jawatan yang lebih tinggi lagi,
berhenti kerja bila ditawarkan gaji yang lumayan lagi,
berhenti kerja bila suasana kerja yang tidak menepati rasa hati,
berhenti kerja bila desakan keluarga yang memerlukan,
berhenti kerja bila kerja yang dibuat tak sesuai dengan jiwa,
berhenti kerja bila berjauhan dengan keluarga,
berhenti kerja bila berjauhan dengan suami,
berhenti kerja bila gaji tak membesar,
berhenti kerja bila nak berniaga,
berhenti kerja bila kesihatan tak mengizinkan,
berhenti kerja bila diberhentikan kerja,
berhenti kerja bila kekasih hati arahkan,
berhenti kerja bila nak jadi surirumah sepenuh masa,
berhenti kerja bila nak jadi suami sepenuh masa...

Aku di sini masih lagi berkerja, dan bila aku nak buat keputusan untuk berhenti kerja dan selepas berhenti kerja apa aku nak buat? Bisakah aku berkerja sendiri iaitu kerja tanpa makan gaji dengan kerajaan. Aku dah lama berkhidmat dengan kerajaan, adakah aku akan terus berkerja makan gaji dengan kerajaan? Adakah dengan makan gaji dengan kerajaan hidup aku akan terjamin, selamat, tak kebuluran, mengecapi kesenangan..?

Di luar sana, ramai manusia seperti aku beranggapan, kerja makan gaji dengan kerajaan hidup akan selamat, tak perlu risau lagi sebab hujung bulan dapat gaji, lepas pencen dapat pencen bulanan pulak, ataupun dapat pulak KWSP secara lump sum, dan banyak lagi kemudahan yang disediakan oleh kerajaan untuk mereka-mereka yang makan gaji dengan kerajaan walaupun kerja tak seberat mana, walaupun kerja tak sebagus mana, walaupun kerja tiada kualiti, walaupun tak datang ke pejabat, siapa peduli! Yang penting kerja makan gaji dengan kerajaan.

Di luar sana, ramai manusia seperti aku beranggapan, bila berkerja kita dapat menaiktarafkan kehidupan kita, keluarga, masyarakat dan negara, bila berkerja hidup yang susah akan berubah menjadi senang, bila berkerja dapat menukar basikal kepada motosikal, motosikal kepada kereta, kereta kepada bas, bas kepada lori, lori kepada helikopter, helikopter kepada kapal terbang, kapal terbang kepada kapal angkasa(betul ke ni), namun itulah anggapan mereka-mereka yang termasuk aku juga. Bila berkerja, mungkin juga boleh berkahwin, beristeri dua, beristeri tiga ataupun beristeri empat, dan juga mereka-mereka itu beranggapan bila berkerja macam-macam boleh kita buat.

Di luar sana, ramai manusia seperti aku beranggapan, bila berkerja masalah negara akan selesai, masalah rasuah akan tiada, masalah jenayah akan berkurangan, masalah pembuangan bayi tidak akan timbul, masalah penipuan dalam sektor perniagaan akan tiada, masalah perceraian tidak akan timbul, masalah pencurian pasir secara haram tidak berlaku, masalah kemiskinan tidak berbangkit, masalah perogolan tidak didengari, masalah pembunuhan tidak berlaku, masalah menyorok barang tidak berlaku, masalah kelaparan tidak didengari, masalah pengangguran tidak menghimpit siswazah dan masalah-masalah yang ada tidak timbul.

Dan aku berserta dengan mereka-mereka yang berkerja dan yang berhenti kerja masih dengan masalah-masalah yang ada, yang dahulu dan akan  menghadapi pula masalah yang mendatang.

Bila aku renung diri aku dan mereka-mereka yang berada di utara, selatan, timur dan barat ataupun di kiri, kanan, atas dan bawah ataupun yang papa, miskin, sederhana dan kaya, ataupun yang putih, hitam, coklat dan kuning ataupun pendek, tinggi, gemuk dan kurus ataupun rakyat dan raja dan banyak lagi bentuk mereka-mereka yang tak dapat aku gambarkan, kita sebenarnya telah meninggalkan satu kerja yang sebenarnya. Apa kerja kita sebenarnya?

Jadi, apakah kerja yang kita buat sekarang ini merupakan perkerjaan? seorang doktor, guru, jurutera, penyapu jalan, perdana menteri, raja, kerani, nelayan, peladang, petani, penternak, peniaga dan berapa banyak lagi lah...adakah ini satu kerja?

Jika dirujuk dari Pusat Rujuk Persuratan Melayu perkataan kerja, ia senonim dengan khidmat, perkerjaan, tugas, tanggungjawab, kewajiban, gawai, usaha, urusan dan kegiatan.

Adakah apa yang kita diperolehi sekarang iaitu jawatan yang kita ada merupakan satu kerja? Kerja merupakan kata nama yang merujuk kepada peranan yang dimainkan oleh seseorang untuk menanggung satu kerja yang bukan untuk satu-satu bidang, bangsa, negara, daerah, kawasan, warna kulit, malahan meliputi semua keadaan jenis, warna, rupa, kaya, miskin, bangsa, bidang, negara, daerah, kawasan dan banyak lagi bentuk manusia, bentuk geografi dan pelbagai bahasa.

Jadi, apa yang kita miliki sekarang yang kita anggap sebagai kerja sebenarnya bukan kerja tapi hanyalah keperluan, iaitu jika perlu, kita akan buat, jika tidak, kita tak akan buat, sebab semua yang kita anggap sebagai kerja sebenar tidak dapat dimiliki oleh semua manusia dan hanya sebahagian dan segelintir sahaja yang boleh memilikinya dan hanya meliputi satu-satu bidang sahaja. Dan ia hanya sementara, ada yang setakat 30 tahun, 40 tahun, 50 tahun dan 60 tahun, setelah itu ia akan ditinggalkan. Jadi, ia hanyalah keperluan dan bila perlu kita buat, jika tak perlu kita tak perlu buat. Tapi sebuah kerja, ia satu tanggungjawab yang besar yang berterusan sehingga ke hari dunia ini dihabiskan yang meliputi pelbagai manusia, bidang, negara dan sahsiah serta dapat menghubungi ia dengan alam yang seterusnya iaitu alam akhirat(satu proses peralihan manusia ke alam yang kekal).

Jadi, apakah sebenarnya kerja aku dan mereka-mereka ini? Adakah aku dan mereka-mereka ini datang ke dunia ini hanya untuk berkerja makan gaji, berniaga, berladang, menjadi orang politik, nak jadi raja, nak jadi suami, nak jadi isteri, jadi bapa, jadi ibu dan banyak lagi jadian-jadian yang mengaburkan maksud kita datang ke dunia ini.

Sudahkah kita menjawatani kerja kita? Ada yang kata: "Aku telah berhenti dari kerja makan gaji". tapi masih membuat kerja berniaga...sebenarnya kita masih belum lagi berkerja tapi masih menganggur...menganggur dari kerja yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w.!

Tuesday, July 13, 2010

Bila Jemu Datang Menyapa Kita....

JEMU, makhluk yang sering hinggap dalam kehidupan manusia, hatta haiwanpun mengalami perasaan sebegitu, dan mengapa jemu sering hadir dalam hidup manusia di dunia? Adakah ia sekadar pelengkap kepada makhluk-makhluk yang ada di dunia ini untuk mencuba sesuatu yang baru dan merekacipta bentuk-bentuk baru dalam dunia ini setelah jemu dengan apa yang ada dan mencuba yang baru. Dari itulah Allah ciptakan perasaan jemu ini dalam diri manusia agar ada daya usaha dan terciptanya masalah untuk manusia selesaikan serta kehidupan boleh berkembang dan membiak dengan pelbagai rupa, cara, kaedah, warna serta rasa.

Kalau kita lihat maksud jemu ialah perasaan yang sudah tak berkeinginan lagi dan  dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Malaysia, sinonim dengan bosan, jelak, muak, cemus, jenuh, lugu, cermuih, pasai.  

Setiap naluri manusia yang ada di dunia ini, sering berubah-ubah persepsi, keinginan dan kehendak yang tak pernah merasa puas. Setiap apa yang dipunyai bagaikan tak pernah memberi kepuasan, nak juga yang lain dan baru. Ini menimbulkan kejemuan pada apa yang dah ada dalam kepunyaan, nak juga mendapatkan yang lain, yang belum dirasai.

Allah ciptakan semua makhluk-makhluk yang ada di dunia ini dengan sifat-sifat yang tiada berkualiti, tiada berkuantiti dan terhad. Timbulnya rasa jemu dikalangan makhluk Allah terhadap apa-apa yang di dunia ini kerana sifat-sifat yang ada dalam makhluk itu.

Jika kita lihat apa yang berlaku sekarang ini dari pelbagai sudut seperti kehancuran sosial, politik dan ekonomi adalah berkaitan dengan kejemuan yang melampau dalam diri manusia itu sendiri. Perkahwinan yang hancur asbab kejemuan antara pasangan, kejatuhan pemerintahan asbab kejemuan rakyat dengan pemerintah dan kerosakan urusniaga asbab kejemuan atas apa yang diperolehi yang semakin tak cukup. Dan banyak lagi kejemuan-kejemuan yang hadir dalam sanubari manusia menyebabkan pelbagai ketidakpuasan ditimbulkan oleh manusia yang merekacipta pelbagai masalah-masalah yang sedang mengembang.

Dan jika kita lihat, kejemuan yang wujud dalam diri manusia memberi kesan yang pelbagai iaitu terekanya benda-benda baru ataupun timbulnya masalah-masalah baru.

*************

Cuba kita lihat di dalam diri kita sendiri, dalam bab makan, jika diberi makanan yang lazat untuk pertama kalinya, pasti ianya  sedap, untuk kali kedua, ketiga, keempat dan kelima kalinya pasti jemu nak makan makanan yang sama, timbulnya rasa jemu dan muak untuk makan makanan yang lazat tadi. Dalam bab orang bercinta, sekarang ini, orang bercinta sering berutus mesej melalui sms, kali pertama kita membaca sms, ia menimbulkan keghairahan dalam hati terhadap apa yang ditulis oleh kekasih hati, jika kita baca untuk kali kedua, ketiga, keempat dan mungkin ke lima puluh kalinya pasti tiada lagi keghairahan dan rasa jemu akan menghantui kita.
Begitu juga dengan orang yang minat tentang kenderaan seperti kereta, untuk pertama kalinya, jika seorang itu membeli kereta baru, pasti ia akan menjaga kereta itu dengan baik dan berhati-hati takut tercalar atau sebagainya, namun bila dah tiga, empat bulan dan setahun tiada lagi keinginan untuk kita menjaga kereta tersebut, timbul rasa jemu dan ingin nak guna kereta yang baru lagi. Begitu juga dengan telefon bimbit, computer yang sering berubah-ubah setiap masa yang memberi manusia itu untuk memilih jenama dan produk yang lebih canggih lagi, sebab nak satu ke”baru”an dan yang lebih kedepan lagi.

Begitulah kita lihat keadaan yang ada di dunia ini penuh dengan kejemuan dan manusia seperti akupun timbul jemu juga dengan apa yang ada di dunia ini. Ada yang jemu nak hidup, jemu dengan kerja yang ada, jemu menganggur, jemu dah jadi seorang kakitangan kerajaan, jemu sebagai seorang usahawan, jemu sebagai seorang suami, jemu sebagai seorang isteri, jemu seorang bujang dan kejemuan itu datang bila kita sudah memiliki sesuatu yang kita hajati.

Persoalannya, perlukah jemu dalam hidup kita?

Mungkin jemu ini perlu ada sebab kita tinggal di alam dunia yang fana, tapi di alam akhirat masih relevenkah perasaan jemu ini?

Tapi cubalah membaca surah Al Fatihah(dalam solah), pasti tidak jemu, mengapa menjadi begitu? Dan juga amalan-amalan agama yang lain, semacam ada satu yang begitu indah dan manis...mari kita mencuba...pasti tiada jemu...

Saturday, July 10, 2010

Nama Islam Dan Pembacaan Al-Quran Akan Terus Wujud Namun Hakikat Sebenarnya Akan Hilang, Masjid-masjid Dihiasi Cantik Tetapi Kosong Dengan Hidayat Dan Ulamak Pada Zaman Tersebut Terdiri Daripada Ulamak Suk(Jahat)

DIRIWAYATKAN daripada Saiyidina Ali r.’anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Akan tiba masanya ke atas manusia bahawa Islam akan hanya wujud pada namanya sahaja dan Al-Quran hanya tulisan dan pembinaan masjid-masjid(simennya, konkrit, kerja-kerjanya, menara, permaidani dan warna-warna) sebagaimana yang sedang dibuat pada hari ini dengan sempurna buatannya, tetapi mengenai hidayah maka jauh kosong sama sekali.
Usaha penyampaian(tabligh), menyampaikan berita baik(waiz) dan zikrullah idak wujud lagi. Ulamak pada zaman tersebut terdiri daripada ulamak jahat – manusia paling buruk sekali dipermukaan bumi. Kerosakan dan tipudaya akan muncul daripada mereka. Merekalah perancang mula kepada kerosakan dan maksiat, tetapi merekalah yang akan mangsa kepada kerosakan yang mereka lakukan.”
(Baihaqi)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r. ‘anhu bahawa manusia akan keluar daripada lingkungan iman sebagaimana satu kumpulan(kaum) demi satu kumpulan memasukinya.
(Mustadrak Hakim)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r. ‘anhu bahawa mu’azzin akan melaungkan azan dan orang-orang akan melakukan solat berjemaah tetapi tidak seorangpun yang benar-benar beriman di kalangan mereka.
(Tibrani)

Semangat Islam dan iman terangkum dengan cara memperkuatkan hubungan seseorang itu dengan Allah, Khaliqnya dan juga melaksanakan hak-hak makhluk-Nya. Tetapi berikutan dengan masa hampirnya Kiamat, perintah-perintah agama dan asas Islam seperti solat, puasa, zakat dan haji masih tetap ada tetapi hanya pada namanya sahaja. Hakikatnya sudah terkeluar dan manusia akan hanya mementingkan jasad dan gerakan lahirnya sahaja sebagai agama – kita sedang melihatnya sekrang ini.

Pembacaan Al-Quran dengan tajwid dan lagu masih ada tetapi kehendak Al-Quran seperti taqwa, kesabaran, melakukan kerja-kerja baik dan mencegah perkara-perkara yang tidak baik akan ditinggalkan. Masjid-masjid akan dihiasi dengan bunga-bungaan, hiasan tatal, permaidani berbagai warna, marmar yang berbagai warna namun masjid-masjid ini akan sunyi dan sepi daripada pengajaran agama, ta’alim, khutbah, zikrullah dan pengamalan sunnah yakni amalan yang ada hubungkaitnya dengan masjid.

Ini adalah kerana para mu’azin dan imam akan jauh daripada petunjuk agama. Mereka akan meninggalkan kewajipan dan tugasan mereka. Kerja mereka hanyalah memuji dan membodek pengerusi atau mutawali dan pemegang-pemegang amanah masjid. Sepatutnya mereka menuruti Al-Quran dan Hadis, tetapi lantaran menjaga rezeki dan pendapatan mereka, mereka membuat kerja-kerja yang diperintah oleh pemegang amanah. Mereka hanya melihat akan sesuatu yang disukai oleh pemegang amanah ini lalu, memberikan hanya syor-syor yang mengdatangkan kegembiraan kepadanya.

Pengerusi dan pemegang-pemegang amanah masjid ini hanya akan menyuburkan persahabatan dikalangan mereka dan juga orang-orang duniawi lalu dengan ini memusnahkan iman dan agama mereka. Adalah diriwayatkan di dalam Hadis bahawa ulamak akan pergi menemui pemerintah-pemerintah. Apabila mereka ditanya mengenainya, lantas dijawab oleh mereka: “Kami menemui mereka untuk mengambil wang, yang demikian itu kami menyelamatkan iman dan agama kami.”

Tetapi Rasulullah s.a.w. telah bersabda bahawa dengan pergi ke pokok yang berduri maka seorang itu akan dicangkuk duri(bukan bunganya). Begitulah juga dengan pergi kepada orang-orang mewah, tidaklah seseorang itu memperolehi apa-apa melainkan dosa.
(Ibn Majah)

Ulamak yang dijangka menjadi penyuluh hidayah akan terjerumus menjadi ulamak suk, terhina dan tidak lagi mengira akan Hari Akhirat. Mereka menjalankan skim yang menghina satu dengan yang lain. Tetapi mereka sendirilah yang akan menanggung segala akibatnya kerana tipudaya mereka akan terbongkar. Berapa lama mereka akan dapat membiarkan manusia berada di dalam kegelapan?

Lambat laun kemaksiatan dan kejahatan mereka akan terserlah lalu terhinalah mereka dan masyarakat akan merendah-rendahkan mereka. Mereka terpaksalah menanggung segala akibat daripada kemakaran dan kerosakan mereka. Semoga Allah melindungi kita.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda bahawa:
“Akan dating suatu masa apabila ulamak akan menjadi sebab terjadinya kerosakan. Orang-orang ‘alim akan menimbulkan huru-hara. Masjid dan pembacaan Al-Quran akan meningkat cepat dan meluas tetapi tidak seorang ‘alim pun yang diperolehi.”
(Abu Nuaim)

Di dalam hadis yang lain dikatakan bahawa:
“Orang akan duduk di dalam masjid akan terus bercakap mengenai hal duniawi, maka janganlah duduk dekat dengan mereka kerana Allah Ta’ala tidak berkehendakkan orang yang sedemikian.”
(Syu’bul Iman)

Apabila hilang hakikatnya, maka kepentingan masjid, azan dan solat juga akan terlenyap. Para muezzin, imam dan ahli-ahli yang bersolat akan menyibukkan diri mereka dengan percakapan-percakapan dunia menjadikan masjid itu seumpama rumah-rumah mereka. Kita telah dinasihatkan agar menjauhi orang-orang yang sedemikian. Bayangan-bayangan daripada sabdaan Rasulullah s.a.w. ini akan bertambah menjadi kenyataan dan sebenarnyalah telah bertambah-tambah dari hari ke sehari.

(Bersambung...)
Bab 47, Meniti Debaran Zaman – Sheikhulhadis  Mufti Ahmed Ebrahim Bemat.
Terjemahan - Abdul Aziz Bin Abdul Hamid.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...