Sunday, July 25, 2010

Ulamak Akan Merendahkan Martabat Mereka Kerana Meninggalkan Maksud Dan Matlamat Ilmu Pengetahuan

KEROSAKAN akan muncul daripada ulamak dan akhirnya akan dikembalikan kepada mereka. Mereka sendirilah yang akan menanggung akibat daripadanya.

Pengetahuan agama adalah suatu kurniaan Allah yang begitu besar. Matlamatnya begitu tinggi yakni untuk memperolehi keredhaan Ilahi. Tetapi ilmu pengetahuan akan datang kepada orang-orang yang maksudnya hanyalah untuk memperolehi rezeki mereka dan mendapatkan kekuasaan politik. Orang-orang yang ‘alim perlulah memandang rendah orang yang bersifat begini.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r. ‘anhu bahawa:
“Ulamak yang menyampaikan ilmu mereka akan menjadi pemimpin di dunia, tetapi ulamak yang memberi ilmu pengetahuan mereka kepada pencari-pncari duniawi akan merendahkan diri mereka dengan menjadikan dunia ini sebagai matlamat  mereka.”

Beliau berkata:
‘Aku telah mendengar daripada Rasulmu s.a.w. bahawa seorang yang meninggalkan segala urusan dan kebimbangannya terhadap dunia lalu membimbangi hanya urusan ukharawi, maka Allah Ta’ala akan membebaskannya daripada segala kebimbangannya terhadap urusan dunianya. Dan seorang yang berbimbang-bimbang dengan urusan dunianya sahaja maka Allah Ta’ala tidak akan pandang dan peduli bagaimana dan kemana dia akan layu.”
(Ibn Majah)

Umar r. ‘anhu bertanya kepada Ka’ab r. ‘anhu:
“Siapakah orang ‘alim?”
Beliau menjawab:
“Seorang yang beramal dengan apa yang dia tahu”
Kemudian beliau bertanya lagi: “Bilakah ilmu pengetahuan akan terkeluar daripada hati orang ‘alim?”
Ka’ab r. ‘anhu menjawab:
“Apabila datangnya ketamakkan terhadap kebendaan dan kekayaan.”
(Darmi)

Diriwayatkan daripada Anas r. ‘anhu bahawa:
“Untuk menurunkan ilmu kepada orang yang tidak layak dan sepatutnya(yakni untuk dijadikannya bagi mendapatkan duniawinya, makan-minumnya serta mendapatkan pekerjaan) adalah seumpama meletakkan kalung emas dan permata ke leher babi.”
(Baihaqi)

Diriwayatkan daripada Ka’ab . ‘anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa:
“Jika seorang itu memperolehi ilmu pengetahuan dengan maksud untuk berhujjah, bertengkar dan berbalah dengan manusia ataupun menarik mereka ke arahnya, maka Allah akan menjadikan orang yang demikian memasuki neraka Jahanam.”
(Tirmizi)





Penjelasan
Matlamat mempelajari ilmu Al Quran dan Hadis adalah untuk memperolehi keredhaan Allah. Tetapi jika seseorang itu memperolehi ilmu-ilmu ini untuk mendapat kemuliaan duniawi dan pangkat maka ia adalah haram, ini akan menjadi sebab masuk neraka.

Adalah dilarang(haram) mengajar pelajar yang mahukan ilmu ini untuk maksud duniawi. Renunglah dengan mendalam akan tajuk-tajuk dan intisari kedua-dua Hadis tadi.

Seorang ahli daripada keluarga yang baik tetapi meninggalkan matlamat yang mulia, akan mendapat ilmu dengan maksud yang rendah martabatnya. Dia akan memperolehi ilmu dengan kerakusan dan untuk maksud keuntungan dan kedudukan peribadi. Ulamak yang demikian akan menimbulkan kerosakan lalu menyebabkan juga orang ramai terbabit di dalamnya dan akibat daripada ini akan melilit diri mereka sendiri dan merekalah yang akan menanggungnya.

Walaubagaimanapun orang ‘alim yang baik yang matlamatnya ialah untuk menyampaikan perintah Allah dan Rasul-Nya kepada orang ramai di samping mendapatkan keredhaan Allah dan sebagai pewaris sebenar para anbia’, maka mereka akan menempati kedudukan yang tinggi dan dimuliakan. Orang ‘alim yang beginilah yang selayak dihormati. Adalah haram menghina mereka.

Jikalau ada sebahagian ulamak yang menjadi jahat(suk) maka semua ulamak janganlah dihina seperti mereka. Ini hendaklah dimasukkan ke dalam fikiran. Dengan berkata sesuatu perkataan yang tidak baik dan soleh, maka ditakuti kita terbabit dengan kemerosotan agama. Dengan sebab beberapa orang ulamak menjadi suk(jahat) maka kita menghina semua ulamak dengan kata-kata yang tidak baik maka orang ramai telah terjauh daripada keberkatan orang-orang ‘alim yang baik. Bacalah dan renunglah atas perkara ini.

Allah itu sangat cemburu. Ilmu adalah salah satu daripada sifat-sifat Allah. Apabila ilmu dan ulamak-ulamak yang baik tidak dihormati dan tidak dimuliakan, maka ilmu itu akan ditarik balik(diangkat) oleh Allah dan masyarakat akan kehilangan ilmu dan ulamak-ulamak yang baik. Akibatnya kesesatan akan zahir di muka bumi ini sebagaimana yang terjadi pada hari ini. Hari demi hari, umat ini akan dijauhi oleh ilmu yang sebenarnya.

(Bersambung...)
Bab 48, Meniti Debaran Zaman – Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat.
Terjemahan: Abdul Aziz Bin Abdul Hamid.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...