Monday, September 26, 2011

Perdamaian Dan Peperangan Dengan Nasrani (Kristian)

MUKHBIR r. 'anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Buatlah perjanjian perdamaian dengan Nasrani. Kamu dan Nasrani akan berpadu tenaga lalu menentang pihak Nasrani yang satu lagi. Kamu akan menang di dalam peperangan ini dan mendapat harta rampasan. Setelah berdepan sesama sendiri maka kamu akan berkhemah di atas tanah yang berbonggol-bonggol yang kedapatan banyak pokok. Sedang duduk, seorang Nasrani akan mengangkat salib di tangannya lalu berkata : "Kemenangan ini telah dicapai lantaran keberkatan yang ada pada salib ini."

Mendengar dakwaan ini orang Islam begitu marah lalu mengambil salib tadi serta mematahkannya. Kejadian ini menyebabkan orang-orang Nasrani memutuskan segala perjanjian mereka dan berkumpul untuk berperang dengan orang-orang Islam. Orang-orang Islam juga mengangkat senjata dan bersatu menentang Nasrani. Allah Ta'ala akan mengurniakan kesyahidan ke atas mereka yang berjuang di dalam peperangan ini."

Sebanyak inilah yang telah diriwayatkan di dalam kitab Hadis Abu Daud. Kemudian Shah Rafiuddin Dehlawi menulis bahawa di dalam peperangan ini, Raja bagi orang-orang Islam akan gugur syahid dan di antara negeri-negeri yang diperintah Nasrani ialah Syria. Orang-orang Nasrani ini akan berbaik-baik semula dengan orang-orang Nasrani yang mula-mula mereka menentang pada peperangan tadi. Baki orang-orang Islam yang masih hidup akan pergi ke Madinah. Sekarang pemerintahan orang-orang Nasrani telah berkembang sehingga ke Khyber (sekarang dikenali sebagai Al Khubr).

Telah disebut di dalam Bukhari bahawa Rasulullah s.a.w. telah menyebut enam tanda-tanda Kiamat kepada 'Auf Bin Malik r. 'anhu ketika peperangan Tabuk. Di antaranya ialah berkenaan perjanjian perdamaian di antara orang-orang Islam dengan Nasrani (yang dipanggil Banul Asfir). Telah juga dinyatakan bahawa orang-orang Nasrani bersalah kerana memecahkan segala perjanjian dan perdamaian lalu keluar menentang orang-orang Islam. Mereka mempunyai 80 bendera yang tiap-tiap satu bendera akan ada 12,000 tentera menjadikan jumlah mereka 960,000 tentera.

Di dalam hadis tertentu dinyatakan juga peperangan yang besar. Di dalam Tirmizi disebut mengenai kemenangan ke atas Constantinople selepas Peperangan Besar dan Dajjal akan datang dalam masa 7 bulan. Yakni segala peristiwa ini akan berlaku dalam masa yang singkat. Peperangan Besar ini akan berlaku di antara orang-orang Islam dan bukan Islam atau antara orang-orang Islam dengan seluruh manusia di dunia ini. Agama bukanlah sebab terjadi peperangan ini tetapi adalah peperangan di anatara ism tertentu tetapi tajuk ini tidak diberikan penjelasan apa-apapun di dalam hadis.

Walaubagaimanapun penerangan mengenai Peperangan Besar tersebut yang terdapat di dalam Hadis melibatkan orang-orang Islam juga. Pada waktu sekarang (yakni sewaktu pengarang ini menulis) dunia terbahagi kepada dua blok - komunis dan bukan komunis. Kedua-duanya sibuk berkonspirasi di antara satu sama lain. Berkemungkinan kedua-dua blok ini akan berentapan satu sama lain.

Kedua-dua kuasa besar Soviet Russia dan U.S.A. sedang sengit membuat perlumbaan senjata. Kedua-duanya tidak berdasarkan agama tetapi di atas ism, teori-teori dan idea-idea. Setiap negeri telah memilih di antara blok tersebut menurut untung dan ruginya. Aku boleh katakan, berdasarkan perkataan tertentu daripada Hadis bahawa satu blok dipimpin oleh Russia di atas dasar atheis.

Negeri-negeri yang condong kepada Komunis termasuklah Yugoslavia, Checkoslavia, Poland, Jerman Timur, Burma, Vietnam dan sebagainya. (Ketika terjemahan ini dibuat negara-negara Soviet Russia, Yugoslavia telah berpecah dan terpaksa melepaskan negeri-negeri di bawah kekuasaannya, sedangkan Jerman Timur telah bersatu semula dengan Jerman Barat.

Blok yang lain adalah yang percaya kepada Allah. Yang beriman kepada Allah ialah Yahudi, Nasrani dan Islam termasuk di dalam satu blok negara-negara seperti Amerika, England, Peranchis dan semua negara Islam akan berada di dalam blok ini. Maka akan terjadilah peperangan di antara dua blok ini. Blok yang mempercayai Allah akan menang dan blok Komunis akan kalah dan hancur. Bolehlah juga dikatakan bahawa China juga akan terbabit sama di dalamnya. Di dalam peperangan ini ramailah yang akan mati sehingga menurut sabdaan Rasulullah s.a.w. burung yang berterbangan di atas mayat ini akan mati namun mayat manusia ini belum habis.*

* Nota - Mungkin yang dijangkakan oleh Maulana mengenai peperangan blok ini kurang tepat kerana sehingga terjemahan ini dibuat setakat ini, peperangan terjadi di dalam bentuk yang lain - peperangan di Yugoslavia peperangan penghapusan etnik dengan ratusan ribu orang-orang Islam mati dan peperangan Iraq dengan 28 negara bersekutu di bawah telunjuk Amerika Syarikat kerana menghukum Iraq yang telah menyerang Kuwait. Ini juga melibatkan begitu banyak nyawa orang-orang Islam yang hilang dan Iraq menerima sekatan antarabangsa. Berkemungkinan peperangan yang dinaksudkan oleh Maulana belum lagi terjadi. (Penterjemah)

Selepas menang, tentera-tentera ini akan duduk di atas rumput yang hijau. Kemudian berkatalah ketua perang orang-orang Islam : "Kemenangan ini adalah disebabkan wasilah dan keberkatan Rasulullah s.a.w." Ketua perang Nasrani akan berkata : "Kemenangan ini adalah melalui keberkatan Jesus." Maka ketua perang orang-orang Islam akan memukul ketua orang-orang Nasrani tersebut maka pecahlah peperangan di antara Nasrani dan orang-orang Islam. Pada ketika itulah orang-orang Islam mendapati tidak ada perlindungan selain di dua kota suci iaitu Mekah dan Madinah. Pemerintah Nasrani meluas sehingga ke Khyber (sekarang dikenali sebagai Al Khubr).

Bab 68 - Meniti Debaran Zaman - Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan - Abdul Aziz Bin Abdul Hamid

Saturday, September 24, 2011

Hantu Bonceng : Apa Dah Jadi Dengan Orang Islam

SEKARANG ni orang sibuk pasal isu babak yang terdapat dalam filem Hantu Bonceng yang dikatakan mempersendakan Islam, di mana seorang pelakon yang melakonkan watak Amran yang mengucap kalimah syahadah kemudian disusuli dengan menyebut nama syaitan yang telah ditayang umum pada 31 Ogos yang lalu.

Disebabkan dialog yang dikatakan mempersendakan Islam yang diucap oleh pelakon terbabit dalam filem tersebut, ramai orang Islam tak puas hati dengan dialog filem tersebut. Pelakon terbabit adalah Zizan Raja Lawak dan Arahan  Ahmad Idham menerangkan bahawa tiada unsur untuk mempersendakan tentang Islam kerana disebabkan pelakon yang mengucap dialog tersebut dalam situasi lakonan yang takut, jadi terbentuklah dialog yang seolah-olah macam mempersendakan kerana terputus-putus ucapan tersebut dan pelakon terbabit disuruh seolah-olah dia nampak syaitan maka selepas mengucap syahadah dia nampak syaitan jadi terkeluarlah perkataan syaitan menyusuli kalimah syahadah. Dikatakan Zizan raja Lawak memohon maaf atas perkara tersebut dan tiada man

Filem terbabit mengisahkan kehidupan mat rempit yang bergelombang dengan hidup perlumbaan haram yang sering menjadi kegilaan anak-anak muda dan menjadi kebencian kepada masyarakat kepada golongan ini yang menganggu sistem kesejahteraan jalan raya di Malaysia. Namun, filem ini mengenengahkan tentang unsur-unsur keagamaan yang begitu nipis dan hilang langsung dikalangan anak-anak muda Islam. Amran watak utama yang menghidup filem tersebut menghadapi gangguan daripada roh seorang gadis bernama Maya lakonan Juliana Evans yang dimenanginya dalam perlumbaan haram sebagai habuan. Tetapi, dalam perjalanan pulang bersama gadis tersebut mereka telah mengalami kemalangan dan gadis tersebut telah meninggal dunia.

Dari situlah permulaan cerita tersebut apabila Amran sering diganggu oleh roh Maya menuntut agar jenazahnya perlu disemadikan dengan sempurna dengan cara Islam. Dan plot cerita ini terus berkembang dan  dialog  kontroversi yang diucapkan oleh Amran itu menjadi hangat semasa Amran ditahan di hospital. Dan sekarang, ramai mereka yang perhatian akan isu-isu agama telah memberi komen dan hujah akan dialog yang seakan-akan mempersendakan agama Islam itu.

Sebenarnya, agama Islam yang telah berkembang pesat sejak zaman nabi Muhammad s.a.w. serta sahabat-sahabat r. hum pun mengalami gangguan keadaan yang sama juga, malah lebih teruk lagi dari segi fizikal, mental dan rohani. Namun, mereka dapat menghadapi dan menyelesaikan permasalahan tersebut dengan jayanya dan hikmah. Islam pada zaman itu makin kuat dan teguh asbab pengamalan Islam yang konsisten dan sempurna. Zaman tersebut Islam dipelihara dan dijaga begitu teliti sehingga tiada berani memperendahkan amalan-amalan Islam.

Tapi sekarang, Islam telah dipergunakan, dikomersialkan, diperdagangkan dan diperendahkan demi untuk kepentingan diri, pangkat, kuasa dan harta. Tiada siapa yang sanggup untuk memepertahankan dan memelihara, kalau adapun hanya kepentingan diri sahaja. Sebab itulah apa-apa yang diperkatakan tentang isu-isu agama sekarang tidak dapat diselesaikan kerana tujuan dan maksud orang yang nak selesaikan isu terbabit bukan kerana Allah. Jadi, bantuan Allah tak turun jika bukan kerana Allah s.w.t.    

Tuesday, September 20, 2011

Peristiwa-peristiwa Terpenting Yang Akan Berlaku Menjelang Kiamat

PERKARA-perkara yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. akan berlaku yang setakat ini telah diperbincangkan adalah sebagai tanda-tanda kiamat yang sebahagiannya telah berlaku, setengahnya sedang berlaku dan akan berlaku. Jika sesuatu peristiwa itu berlaku sebagai tanda kiamat, tidaklah itu bermakna ia berlaku hampir pada hari kiamat. Itu hanya sebagai suatu keperluan atau syarat berlakunya kiamat. Dengan alasan inilah Rasulullah s.a.w. memberitahu akan banyak peristiwa dan kejadian yang tanpa wujudnya peristiwa-peristiwa itu, kiamat tidak akan berlaku.

Zaman Rasulullah s.a.w. itu sendiri adalah merupakan tanda kiamat sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. sebelum ini lebih daripada 1,400 tahun telah berlalu daripada zaman Rasulullah s.a.w. dan hanyalah Allah sahaja yang Maha Mengetahui beberapa tahun lagi kiamat akan berlaku.

Jelas telah diberitahu melalui Hadis Rasulullah s.a.w. bahawa dengan kewafatan Baginda itu sendiri sebagai salah satu daripada tanda kiamat.
(Bukhari)

Di bawah ini (entri seterusnya) diberikan peristiwa-peristiwa yang akan berlaku menjelangnya kiamat. Urutan peristiwa ini ditulis mengikut Hadis oleh ulamak-ulamak. Urutan yang sama aku tuliskan untuk tatapan anda semua. Apabila tanda-tanda besar ini muncul maka bermakna hampirlah berlakunya kiamat. Namun demikian tiada sesiapapun akan mengetahui akan masanya yang tepat hanya ia adalah dalam pengetahuan Allah Ta'ala.

Bab 67, Meniti Debaran Zaman - Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan - Abdul Aziz Bin Abdul Hamid

Monday, September 12, 2011

Ceritaku (Bahagian Kedua)

LIMBANG, mungkin suasana aku di sini begitu jauh berbeza dengan  KL, di sini hanyalah pekan kecil yang jauh dari kesibukan ribuan manusia yang bergerak dengan cepat, kesibukan pembangunan yang menggila saban hari, kesibukan kereta-kereta yang yang memekak dengan hon yang liar, kesibukan pertemuan pelbagai ngo dan manusia yang pelbagai warna, kesibukan dengan pusat membeli-belah yang jualan terpanas, kesibukan dengan wanita-wanita dan gadis-gadis yang semakin memberahikan dan pelbagai lubuk terpendam di situ.

Aku di sini dah hampir sebulan lebih dan sedikit demi sedikit kehidupan KL dapat aku tanggalkan, biasanya aku  ke pejabat menaiki Komuter dari Stesen Kepong Sentral ke Stesen Putra. Di situlah aku bersama-sama teman serumah dan sepejabat berhenti dan ke pejabat(sama bangunan dengan Legend Hotel dan bersebelahan dengan PWTC). Jika tak out station, aku akan berada di pejabat sahaja, kalau out station biasanya sehingga 2 - 3 minggu. Tapi kerja aku ni lebih banyak di luar daripada di dalam pejabat, jadi banyak buat duitlah kata orang. Tapi bagi aku kalau hidup di KL ni banyak keluar duit daripada buat duit itupun  jika pandai simpan duit, kalau tak belum sampai hujung bulan dah nak kering.

Jauhnya rumah sewa aku dari pejabat kalau ikutkan atau dikirakan kalau sampaipun dalam 5 - 7 minit boleh sampai tapi disebabkan banyak sangat gangguan teknikal Komuter ni, kadang-kadang sampai sejampun boleh berlaku. Itulah Komuter, tapi bagi aku ia sudah menjadi perkara biasa sebab hari-hari mengalaminya. Dengan sesak dan padat dengan pelbagai jantina, wanita-wanita dan gadis-gadis tak hairan lagi dah kena himpit, dah tak ada apa-apa lagi dah. Jam 6.00 pagi hingga 9.00 pagi merupakan waktu yang teruk sekali kerana orang ramai untuk ke tempat kerja dan sekolah serta waktu 5.00 petang hingga 7.00 petang untuk orang balik ke rumah masing-masing.

Bila naik Komuter, tiada lagi sudah nilai-nilai kesantunan antara masyarakat kita baik Melayu, India, Cina dan pelbagai lagi kaum-kaum yang ada termasuklah rakyat bukan warganegara. Tiada lagi hormat-menghormati, memberi ruang kepada yang tua, wanita dan kanak-kanak, semuanya nak masuk cepat dan berebut, bertolak-tolak tanpa ada rasa bersalah. Yang penting dapat masuk Komuter dan cepat sampai ke tempat kerja. Kalau nak ambil kesempatan ke atas wanita-wanita memang inilah kesempatan bagi kaum lelaki yang gatal sebab ada dikalangan wanita-wanita tak kisah sangat badan mereka disentuh(mungkin ada juga wanita yang suka dan ada juga yang tak suka).

Di Limbang, aku rasa tak perlu dan jarang akan berlaku untuk aku nak menghadapi situasi sebegitu.Cuma di sini, aku perlu nak mengelakkan berlakunya situasi sebegitu dengan keadaan yang ada di sini walaupun keadaan di sini tak sehebat KL tapi kehabatan manusia boleh melahirkan suasana seperti KL dan manusianya sekali sama seperti manusia KL.






Sunday, September 4, 2011

Maksud Daripada Masa Yang Dekat Atau Singkat

APA maksudnya daripada kesingkatan masa.

1. Allamah Khattabi r. 'alaihi menulis bahawa orang ramai akan menghabiskan hidupnya di dalam kemewahan dan keselesaan, keseronokan, gembira ria. Inilah bentuk hidup pada zaman Imam Mahdi. Hidup akan berlalu tersangat pantas seperti penyair Urdu bermadah : "Seorang mahu melepasi masa kesusahannya tetapi dia tidak berjaya melepasinya sedangkan betapa pula pantasnya hidup di dalam kemewahan!"

2. Keberkatan masa akan lenyap. Kberkatan akan lenyap kerana ketiadaan taat dan dosa. Dengan ini, melalui masa pun keberkatan akan hilang. Pada kenyataannya keberkatan akan dilenyapkan daripada segala sesuatu.

3. Telah diriwayatkan daripada Allamah Ibn Tindaudi r. 'alaihi bahawa kiamat semakin dekat, masa malam akan menjadi singkat. Kemudian beliau menulis bahawa kedua-dua siang dan malam akan menjadi singkat.

4. Allamh Nawawi r. 'alaihi menyokong kenyataan Qadhi Iyad yang mengatakan bahawa keberkatan akan ditarik. Sesuatu kerja yang biasanya disudahkan dalam masa satu jam terpaksa dihabiskan dalam masa satu hari. Dan sesuatu kerja yang biasanya dapat dilangsaikan dalam masa seminggu atau sebulan terpaksa disudahkan dalam masa setahun.

5. Jangka hayat manusia akan berkurangan. Jangka hayat orang pada akhir zaman akan berkurangan lebih lagi.

6. Imam Tahawi r. 'alaihi berkata bahawa ilmu agama akan ditarik. meratalah kejahilan, maka di dalam kejahilan, perbalahan dan menfitnah, manusia itu sama sahaja bentuk perlakuannya.

7. Allamah Ibn Abu Jamarah r. 'alaihi menulis bahawa masa itu akan menghampiri semakin dekat. Tiada ilmu agama, amalan, ketaqwaan dan kesucian hati pada manusia.

8. Allamah Baidawi r. 'alaihi menulis bahawa apabila hampirnya kiamat, masa pemerintahan sesebuah kerajaan, negeri dan bangunan-bangunan menjadi begitu pendek. Inilah fenomena yang kita perhatikan. Parlimen-parlimen ditutup tanpa peentapan tarikh, kementerian-kementerian dibentuk kemudian terpaksa dibubarkan dalam jangka waktu yang singkat. Parti-parti pembangkang tidak akan membiarkan mana-mana parti yang menang menjalankan kerja dengan aman. inilah kebimbangan yang kita saksikan siang dan malam.
(Fathul Bari syarah bagi Bukhari - Jilid 51, ms 122-123 & Umdatul Qari syarah Bukhari - Jilid 28, ms 182)

Yang mana sahaja daripada maksud dan taksiran yang anda ambil, kita melihatnya sedang berlaku. Ini mukjizat Nabi s.a.w. yang baginda pernah bersabda : "Aku telah dikurniakan dengan "Jawamiul - kalim"(kebenaran dalam kata-kata), yang bermaksud kata-kata yang ringkas dan padat, pepatah yang bernas dan padat yang mana perkataannya kurang tetapi mempunyai banyak makna.".

Dengan ini, dengan apa cara pun yang ditafsirkan oleh para 'alim ulamak daripada sabdaan Rasulullah s.a.w. dapat melihat perkara ini berlaku di depan mata kepala kita. Hal keadaan ini tidak sedikitpun berkurangan malahan terus meningkat.

Bab 66, Meniti Debaran Zaman - Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan - Abdul Aziz Bin Abdul Hamid

Friday, September 2, 2011

Setelah Ramadhan

HARI ini 4 Syawal sudah berlalu, amalan ziarah-menziarahi di kalangan orang Islam masih terasa lagi.Aku hanya dapat menziarahi ipar-ipar yang terdekat serta sepupu-sepupu yang hampir. Kalau nak diziarahi kesemuanya  yang ada kaitan pertalian persaudaraan memang tak mampu aku. Hari pertama raya, aku serta keluarga hanya menziarahi kedua ibubapa mertua sambil berkumpul bersama iparduai.

Hari raya kedua, aku serta keluarga mula menziarahi adik-beradik serta sepupu sebelah isteri. Itupun hanya 3 buah rumah yang mampu untuk diziarahi kerana anak-anak dah mengantuk termasuklah aku. 

Hari raya ketiga, aku dan keluarga berziarah di rumah kawan-kawan isteriku, kawan-kawan anakku dan saudara sebelah isteriku. Kesemua rumah yang diziarahi meningkat sikit, 7 buah rumah. Cuma, aku tak tahan dengan minuman yang dihidangkan kerana minuman berperisa gas. Apa boleh buat, hari raya.

Hari raya keempat, iaitu hari ini, aku beraya di pejabat aku. Semua staf aku yang lain masih bercuti. Di sini, di pejabat ini aku belum tahu lagi apa yang aku nak buat. Aku di pejabat Limbang ini baru sebulan aku bertugas setelah dipindahkan dari HQ Kuala Lumpur. Terasa sunyi benar setelah berpindah ini, aku di sini hanya mempunyai 4 staf sahaja, termasuk aku sendiri tapi di unit aku semasa di HQ KL seramai 50 lebih orang. Jauh bezanya tapi kurang kerenah, kurang masalah, kurang songehnya dan tenang sikit. Staf aku ini terdiri daripada pemuda-pemuda yang berumur dalam 20'an yang berasal dari Mukah, Sarawak, Selangor dan Melaka.

Semasa pertama kali aku buat mesyuarat pagi, tiga-tiga dah menghantar permohonan nak keluar dari Limbang dan aku beritahu mereka kalau nak keluar dari Limbang ini kena kahwin dulu baru aku approve permohonan nak keluar dari Limbang. Ketiga-tiga tersengih.

Suasana raya yang masih terasa ini membuat mood aku tak berselera nak membuat kerja. Lebih-lebih lagi aku baru berpindah ke pejabat Limbang ini. Walaupun sebelum ini aku memang pernah di sini lebih 14 tahun tapi dah ada perubahan sejak peninggalan aku selama 3 tahun yang lepas. Mungkin juga suasana di KL yang terlampau biasa dengan kerja cepat dan terkini, membuat aku terasa berada di alam yang lain sekarang. Aku tak pasti adakah aku dapat berdamping dengan staf aku di sini dari sudut kerja atau dengan persekitaran kerja yang selamba dan pelanggan yang sentiasa memberi senyuman yang manis! Cuma aku dapat ucapkan kepada aku sendiri selamat kembali ke Limbang.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...