Thursday, September 30, 2010

Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah Terhadap Para Sahabat R. 'Anhum

AHLI Sunnah Wal Jamaah sepakat dalam menyatakan bahawa semua Sahabat adalah adil dan dapat dipercayai. Tidak diharuskan (tidak jaiz) bagi mana-mana perseorangan itu ragu-ragu tentang keadilan dan keikhlasan mereka. Kesemua mereka adalah ikhlas dan mempunyai niat yang murni di dalam setiap amalan dan perbuatan mereka, semata-mata untuk mencari keredhaan Allah Ta’ala. Tidak ada sedikit nafsupun yang merayap di dalam hati mereka di dalam hubungan perseorangan, masyarakat dan siasah mereka.

Di dalam semua peperangan mereka (seperti peperangan Jamal, peperangan Siffin umpamanya) adalah berdasarkan kebenaran, keikhlasan dan maksud yang baik, yang mana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Perbezaan pendapat lantaran diruntun nafsu adalah haram.”

Maka menjadi tanggungjawab bagi umat ini seluruhnya tatkala mereka hendak memperkatakan sesuatu atau menulis sesuatu mengenai para Sahabat, maka hendaklah dilakukan dengan beradab, berakhlak mulia dan penuh rasa hormat. Sesungguhnya memang ada perbalahan di kalangan para Sahabat tetapi di antara mereka tidak ada pertentangan.

Tidaklah dibenarkan menghina, mengumpat atau mencari-cari kesalahan ataupun menceritakan kesilapan-kesilapan mereka lalu dicetak untuk diterbitkan. Adalah haram mencela mereka, menyelongkar kecacatan dan kesalahan mereka lalu mendedahkannya kepada awam, menerbitkannya lalu membangkitkan keraguan terhadap mereka. Tidak ada sedikitpun titik hitam di dalam kehidupan suci dan sifat-sifat mereka. Kehidupan mereka yang soleh adalah suatu contoh dan tauladan yang tidak dapat ditandingi bagi umat ini.

Apa sahaja yang ditulis di dalam buku-buku sejarah mengenai perkara yang menimbulkan keraguan terhadap mereka perlulah ditolak. Adalah wajib menolaknya. Adalah haram sama sekali mempercayai apa yang ditulis di dalam tulisan-tulisan sejarah yang memburuk-burukkan mereka lalu tidak lagi mempercayai mereka.

CATATAN
Mempercayai sesuatu dengan hanya bergantung kepada suatu maklumat tidaklah betul. Samada maklumat itu salah ataupun periwayat itu yang mempunyai niat yang salah ataupun riwayat tersebut tidak berterusan bentuknya, mungkin terputus di antara perawinya.

Bab 52, Meniti Debaran Zaman – Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat.
Terjemahan – Abdul Aziz Bin Abdul Hamid.

Wednesday, September 15, 2010

Palestin: Aku, Dia, Kita, Mereka Cuma Memandang...

Demontrasi di Kampung Baru, Kuala Lumpur protes atas kekejaman Rejim
Israel, adakah dapat meleraikan kekusutan yang semakin rumit.

SEKARANG ini masih hangat cerita tentang kebiadapan Isarel membunuh 19 orang aktivis pro-Palestin dan menawan 70 orang lagi aktivis yang berlaku berbulan lepas. Sejak dulu lagi, ketegangan yang berlaku antara Israel dan penduduk Arab Palestin masih tak terselesai dengan noktahnya.

Jika kita kaji sejarah kota Palestin, terdapat di dalamnya sebuah kota lama yang dinamakan Baitulmuqaddis atau Baitulmaqdis ataupun Jerusalem yang berperanan penting bagi agama Islam, Kristian dan Yahudi. Ia merupakan kota yang paling suci bagi agama Kristian dan Yahudi dan tempat ketiga paling suci dalam Islam. Ia merupakan kota yang kaya dengan tamadun dan budaya. Kota ini terbahagi kepada empat kawasan: Islam, Kristian, Yahudi dan Armenia.

Perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1949 di antara Israel dan Jordan menyebabkan ia terbahagi kepada dua iaitu Baitulmuqaddis Barat milik Israel dan Baitulmuqaddis Timur menjadi milik Jordan. Sejak kemenangan Israel pada perang tahun 1967, Israel menguasai keseluruhan kota tersebut dan menuntut hak kedaulatan undang-undang terhadap Baitulmuqaddis dan menjadikan ia sebagai ibu Negara namun tidak diikhtiraf oleh masyarakat dunia.

Kronologi tentang penaklukan Kerajaan Islam di Baitulmuqaddis merupakan kaedah –kaedah yang ingin  aku ketengahkan, bagi aku ia penting kerana di situ kita dapat lihat bagaimana ciri-ciri orang yang dapat memegang kota lama itu dengan tanpa sangsi 

Penaklukan Nabi Daud a.s. ke atas Baitulmuqaddis telah menjadikan kota itu sebagai ibu kota dan berkembang sebagai pusat pemerintahan. Ia disambung oleh pemerintahan Nabi Sulaiman a.s. Selepas itu, kota tersebut ditawan oleh empayar Rom. Sehinggalah ditakluk balik pada tahun 638 masihi oleh Saidina Umar  Al Khattab r.a., penaklukan ke atas kota ini dilakukan oleh Saidina Umar Al Khattab r.a. bersama dengan khadamnya dengan kunci kota tersebut diserah kepada beliau. Jika kita baca sejarah penaklukan Baitulmuqaddis oleh Umar dari buku-buku yang ada sekarang tidak menceritakan dengan jelas bagaimana cara dan ketakutan penduduk Baitulmuqadis terhadap Saidina Umar sehinggakan kunci kota diserahkan kepada Saidina Umar tanpa pertumpahan darah berlaku.

Sekarang ini kita lihat pertumpahan darah yang dahsyat telah berlaku terhadap orang Palestin yang mempertahankan tanahair  mereka dari diceroboh oleh pihak Israel. Persoalannya, masih lagi belum dimiliki kota itu oleh penduduk Palestin dan seluruh dunia mencanang akan kekejaman Israel dan meminta mereka untuk tidak menduduki tanahair orang Palestin dengan tanpa diendahkan langsung oleh rejim Israel. Malah ada yang memboikot barangan Israel bagi mendesak mereka untuk keluar dari Palestin tapi hanyalah mimpi dan igauan.

Bukan kita menidakkan tindakan yang dibuat oleh segolongan mereka-mereka terhadap kekejaman Israel ke atas penduduk Palestin, namun adakah dengan cara yang dibuat sekarang memberi kesan yag signifikan terhadap keangkuhan Rejim Israel. Mungkin apa yang dibuat antara kita yang perihatin terhadap Palestin memberi impak yang yang kecil bagi mengugahkan bentang Rejim Israel.

Cuma aku nak memalingkan pemikiran antara kita sejenak atas pemilikan negara Palestin, iaitu kaedah-kaedah yang digunakan oleh orang-orang terdahulu untuk menangani keangkuhan rejim Israel. Keangkuhan rejim Israel akan tersedak hanya pejuang-pejuang yang ada sekarang dibayangi oleh kaedah-kaedah yang digunapakai oleh orang-orang terdahulu.

Kita hargai apa yang dibuat mereka-mereka setakat ini dengan demontrasi, bantuan kemanusiaan, pemboikotan dan menumpah darah atas pembebasan Palestin dari cengkaman rejim Israel. Cuma kelajuan atas pemilikan Palestin agak perlahan dan tersekat-sekat.

Jika kita kaji ke atas orang-orang terdahulu yang menakluki kota suci ini, kebanyakan mereka-mereka ini merupakan orang-orang yang dekat di sisi  Allah s.w.t. sehinggakan penaklukan kota suci ini begitu mudah bagi mereka tanpa rasa ketakutan menyelubungi diri mereka. Bagi mereka, perjuangan yang dibuat berasaskan hanya kerana Allah s.w.t., jika mereka gugur dalam perjuangan mereka akan syahid dan kalau tak pun mereka akan mengecapi kemenangan atas nama agama tanpa meminta apa-apa habuan dunia. Dua-dua mereka perolehi dan mereka lebih gemar untuk syahid dalam perjuangan dalam menegakkan agama Allah s.w.t.

Adakah adanya nilai-nilai sebegini  dalam sanubari pejuang-pejuang untuk menegakkan agama Allah s.w.t. ataupun hanya menginginkan sanjungan manusia, pangkat dan habuan dari manusia agar terpahat di bibir manusia memperkatakan perjuangan mereka?

Mungkin ada sebilangan pejuang-pejuang yang berniat untuk menegakkan agama Allah s.w.t. namun berapakah bilangan mereka? Jadi, perkara inilah yang hendak diwar-warkan dikalangan kita yang cintakan agama Allah dan niat semata-mata untuk Allah s.w.t. dalam membantu saudara seagama kita.

Dan kini, aku dan kita semua masih hanya memandang dan mendengar cerita saudara-saudara sekalimah yang dihapuskan tanpa rasa bersalah dan hiba di hati kita.

Thursday, September 9, 2010

Salam Aidil Fitri.

SALAM Aidil Fitri untuk semua dan mohon maaf jika ada terkasar dan tersilap dari segi tulisan kata serta maaf zahir dan batin dari saya sekeluarga...

Wednesday, September 8, 2010

Menanti Dan Meninggal Dengan Debaran....Syawal Dan Ramadhan.

Komuter yang aku sering gunakan, yang sentiasa bersempit bila waktu
puncak.(hanya gambar hiasan)
SYAWAL semakin menghampiri kita dan Ramadhan semakin melabuhkan dirinya. Di waktu ini bercampur dua perasaan antara gembira dan sedih di kalangan umat Baginda Rasulullah s.a.w., gembira menanti kedatangan Syawal dan sedih meninggalkan Ramadhan.

Jika kita toleh kembali apa yang telah kita harungi di bulan Ramadhan, adakah telah kita sempurnakan hak Ramadhan yang mubarak ini? Jawapannya hanya diri kita sendiri sahaja yang dapat menjawabnya.

Mungkin ada yang azam untuk khatam bacaan Al-Quran, nak sempurnakan solat sunat Terawih 20 rakaat, ikthikaf di masjid pada 10 terakhir Ramadhan,nak jaga mata, mulut, telinga dan hati dari pengaruh negatif, ataupun cuba nak sempurnakan 30 hari puasa Ramadhan dan banyak lagi azam kita di bulan ini, samada tercapai   atau tak tercapai.

Alhamdulillah, kerana kita masih lagi dipanjangkan umur Allah s.w.t., dalam kita menunaikan ibadah ini dalam keadaan yang aman dan sejahtera.

Jika kita 'jenguk' di luar, ada yang berpuasa dengan keadaan yang menyedihkan, ketakutan dan pelbagai lagi rasa tak selasa serta sekatan.

Cuma, kita yang berada di Malaysia ini harus bersyukur atas nikmat kita beribadat yang tiada sekatan dan bebas untuk mencari pahala sebanyak yang mungkin.

Namun, kebebasan yang disediakan untuk beribadat dan mengumpul pahala tak digunakan sepenuhnya sebaliknya kita leka dengan dunia yang sementara.

Wednesday, September 1, 2010

Apabila Umat Ini Tidak Taat Dan Melakukan Kemaksiatan, Maka Akan Wujud Gempa Bumi, Taufan, Ribut, Hujan Batu Dan Lain-lain Bala'

TELAH diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

  1. Apabila harta rampasan perang dianggap harta sendiri;
  2. Simpanan (harta amanah) dijadikan harta rampasan;
  3. Zakat dianggap sebagai suatu denda;
  4. Maksud mempelajari ilmu agama adalah untuk keduniaan;
  5. Orang lelaki mula mengikut keinginan isterinya;
  6. Orang lelaki mula menderhakai ibunya;
  7. Orang lelaki melayani kawan-kawannya dengan baik tetapi mendurhakai bapanya;
  8. Orang ramai mula bercakap kuat di dalam masjid;
  9. Orang fasiq menjadi kepala pentadbir kepada keluarganya;
  10. Seorang yang lemah, hina menjadi ketua bagi kaum dan masyarakatnya;
  11. Orang ramai menghormati seseorang itu lantaran takut terhadap kerosakan yang akan dilakunya;
  12. Bertambahnya penyanyi-penyanyi wanita dan alat-alat musik dan tarian;
  13. Arak diminum sebanyak-banyaknya dan bebas; dan 
  14. Orang-orang di akhir zaman mencela dan memburuk-burukkan orang-orang di awal zaman. (yakni mencari kesalahan Sahabat-sahabat, Tabi'in dan taba' Tabi'in) 
Maka tunggulah akan kemunculan taufan merah, gempa bumi yang dahsyat, terjadi lubang besar di bumi secara tiba-tiba, penjelmaan yang mendadak terhadap wajah, hujan batu dan salji daripada langit dan lain-lain tanda.

Seumpama tali rantai mutiara putus maka mutiara itupun terus akan jatuh berjatuhan begitulah yang akan berlaku apabila umat ini berkecimpung di dalam kancah maksiat yang disebutkan di atas ini maka tunggulah azab yang akan menimpa satu lepas satu.
(Tirmizi)

Mengenai perkara-perkara mungkar yang disebut sebelum ini, Rasulullah s.a.w. telah memberi amaran kepada umat ini secara terperinci dan juga secara ringkas. Kita sedang menyaksikannya berlaku pada hari ini dan umat ini terpaksa menanggung akibat daripadanya.

(1-2) - Berapa ramai pentadbir kerajaan, pemegang Amanah Masjid dan Madrasah, pengurus-pengurus harta wakaf dan juga wakil-wakil bagi orang kaya dan mewah menjalankan tanggungjawab sebagai orang yang diamanahkan dengan tugas-tugas itu? Mereka telah meghancurkan berjuta-juta wakaf lalu diri sendiri menjadi pemilik wakaf tersebut.
Penyimpan-penyimpan wang derma telah menggunakan wang tersebut mengikut citarasa dan jalan fikiran mereka sendiri lalu menganggap wang tersebut adalah harta mereka sendiri. Amat sedikit daripada hamba-hamba Allah yang soleh dan bertaqwa yang dapat menganggap wang derma ini sebagai wang amanah.

(3) - Pembayaran zakat adalah suatu ibadat. Menunaikannya adalah fardhu. Menjadi tanggungjawab orang kaya menyerahkan wang dan harta tersebut dengan rela hati kepada pihak-pihak yang berhak dan institusi yang terbabit, tetapi sebaliknya mereka hanya beranggapan supaya wakil-wakil daripada institudi tersebut datang ke kedai-kedai dan rumah mereka. Sebaliknya mereka memberi zakat itu sebagai cukai bukan lagi dengan relahati atau sama sekali tidak memberinya.

(4) - Mengenai perkara ini aku telah menulis dengan panjang lebar.

(5, 6 & 7) - Suasana rumahtangga telah rosak. Sepatutnya dia taat kepada ibubapanya. Seseorang itu telah menuruti dan taat kepada isterinya dan bertindak mengikut  nasihat rakan-rakannya. Hati ibubapapun terguris. Bagaimana orang begini dapat mengjangkakan kebahagiaan, kepuasan dan ketenangan fikiran?

(8) - Orang ramai akan melanggar kehormatan rumah-rumah Allah (masjid). Mereka bercakap dengan nada yang kuat mengenai perkara duniawi dan melakukan kerja-kerja yang tidak dibenarkan di dalamnya dan dengan ini mengurangkan syarat-syarat ibadat dan solat. Perkara ini tentulah menarik kutukan para malaikat bukan lagi rahmat sebagaimana yang sepatutnya.

(9 & 10) - Orang-orang fasiq yang tidak tahu mengenai Al-Quran dan Hadis terus-terusan membuat perkara-perkara maksiat. Bentuk zahiriahnya tidak menurut perintah-perintah agama akan menjadi ketua-ketua keluarga, kampung dan bandar. Tidakkah ini telah terjadi pada masa ini. Apabila orang-orang fasiq yang berdosa tidak dapat melakukan kebaikan terhadap dirinya sendiri maka apakah kebaikan yang dapat dilakukannya untuk keluarga dan bandar? Pekerja-pekerja masyarakat tentulah lebih arif mengenai pemimpin dan ketua-ketua yang demikian.

(11) - Apabila orang-orang fasiq menjadi pemimpin, orang ramai memuja dan menghormatinya dan memuji-mujinya dengan pangkat dan nama. Ini adalah kerana semata-mata untuk menjauhkan kejahatan dan perbuatan durjananya yang mungkin memberi laporan buruk kepada kerajaan pada suatu hari nanti. Ataupun jika dia terbabit di dalam kes-kes mahkamah, dia akan menjalankan pengaruhnya untuk menekan orang itu.

(12 & 13) - Nyanyian, tarian parti-parti makan dianjurkan. Tayangan gambar, TV, teatre dan lain-lainnya menjadi suatu yang lumrah.

(14) - Allamah Tabari menulis bahawa umat Islam yang akhir akan mencari kesalahan dan menghina umat-umat Islam sebelumnya sehinggakan menghina para sahabat Rasulullah s.a.w. yang terdiri daripada puak Muhajirin dan Ansar. Allah Ta'ala berfirman di dalam Al-Quran:
"Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepada Allah."
(Surah Taubah : 100)

Mengenai Bai'atur-Ridhwan (sumpah setia) yang dilakukan oleh para Sahabat r.'anhu pada masa Perjanjian Hudaibiyah pada tahun 6 Hijrah, Allah berfirman di dalam Al-Quran:
"Sesungguhnya Allah telah redha ke atas orang-orang yang beriman tatkala mereka mengambil sumpah setia terhadapmu di bawah pohon."
(Surah Fath : 18)

Maka tidaklah dibenarkan kita memperkatakan sesuatu yang buruk mengenai Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. yang telah mengorbankan harta, anak isteri mereka malahan nyawa mereka sendiri untuk menolong Rasulullah s.a.w. dalam usaha menyampaikan perutusannya dengan segala bentuk usaha dan tenaga yang tidak kira banyaknya bagi membenteras kekuatan musyrikin. Dengan berkat usaha dan tenaga mereka, Islam ini telah sampai kepada kita.
(Mirqat - Syarah terhadap Misykat, Jilid 10, ms. 170)

Mengenai para Sahabat ini satu riwayat yang disampaikan oleh Abu Sa'id Al Khudri menyatakan:
"Jangan memburuk-burukkan Sahabat-sahabatku dan jangan kutuki mereka. Jikalau mana-mana salah seorang daripada kamu membelanjakan emas menyamai gunung Uhud sedangkan seorang Sahabatku hanya membelanjakan satu "mud" atau separuh "mud" (satu sukatan pada masa itu) daripada barli, maka tidaklah kamu dapat mengatasi daripada segi pembalasan."
(Bukhari: Jilid 1, Ms. 518)

Menurut nota kecil (nota 9) telah tercatat di dalam Lam'at dan juga syarah Muslim oleh Imam Nawawi bahawa adalah haram hukumnya menghina dan mengutuk para Sahabat dan ini termasuk salah satu dosa-dosa besar. Mengikut kata putus daripada Imam mazhab Hanafi dan Syafie bagi sesiapa yang mengutuk dan menghina para Sahabat mereka mesti dihukum. Sebahagian daripada ulamak Maliki menyatakan orang yang demikian layak menerima hukuman bunuh.

Telah termaktub di dalam kitab Asybah bahawa Taubat daripada orang-orang kafir akan diterima, tetapi jikalau dia menghina Nabi atau Saiyidina Abu Bakar Siddiq dan Saiyidina Umar Faruq atau mana-mana di antara kedua-duanya, maka taubat tidak diterima.
(Jilid 1, Ms. 518)

Allamah Tabari mengatakan bahawa para Sahabat telah memberikan pengorbanan mereka pada masa di mana pengorbanan sangat-sangat diperlukan. Selepas tiu kepicikan itu telah berlalu, maka mereka akan menerima ganjaran yang besar.

Qadi Iyadh r.'alaihi menulis bahawa apa sahaja yang dibelanjakan oleh para Sahabat, itu adalah semata-mata untuk menolong Rasulullah s.a.w. dan pengikut-pengikutnya. Kemudian orang-orang lain selepas mereka juga akan menolong sedangkan Rasulullah s.a.w. tidak ada lagi di kalangan mereka. Begitulah juga dengan jihad para Sahabat dan lain-lain ibadat mereka.
(Umdatul Qari - Syarah Bukhari, Jilid 16, Ms. 118)

Jadi bagi orang-orang yang mengkritik para Sahabat sebenarnya merosakkan iman mereka sendiri. Semoga Allah melindungi kita. Amin.

Apabila umat ini terlibat di dalam 14 perbuatan ini, maka tidak ada iman dan agama yang tinggal di kalangan mereka...maka turunlah azab yang amat pedih di dalam berbagai-bagai bentuk berlanjutan berlakunya sebagaimana yang kita persaksikan dewasa ini. Akan terjadi ribut Cyclon, ribut taufan, cuaca yang amat panas, sejuk yang amat sejuk, hujan batu, jerebu, kemarau tatkala hujan dikehendaki untuk tanaman dan hujan lebat tatkala tanaman sedia untuk dituai. Kadangkala hujan terus-menerus sehingga tidak ada pertumbuhan.

Dengan sebab itulah Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa:
"Hujan yang sedikit bukanlah hanya penyebab kepada kekurangan makanan, kadangkala hujan terus-menerus pun menjadi penyebabnya sehingga tidak ada yang tumbuh dan masak."
(Hadis)

Gempa bumi akan terjadi akibat daripada kemurkaan Allah. Muka manusia akan bertukar dan menjelma sebagai binatang (babi, anjing, kera dan sebagainya). Atau hati manusia akan berubah menjadi fitrah babi dan kera. Akibatnya manusia akan hanya melayan nafsu kebinatangannya tanpa segan dan silu lagi sebagaimana yang kita perhatikan pada zaman ini. Sifat-sifat tidak bermalu dan hilang maruah diri telah menjadi perkara biasa sahaja. Sifat kasih terhadap orang-orang muda (kanak-kanak) dan hormat terhadap yang tua telah sampai ke hujungnya. ini adalah lantaran kemaksiatan yang telah ternyata berlakunya seperti yang disebutkan tadi.

Bab 51 - Meniti Debaran Zaman - Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat.
Terjemahan - Abdul Aziz Abdul Hamid.




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...