Thursday, April 29, 2010

Sesat Di Kuala Lumpur....

     Pagi tadi, selepas solah subuh di surau, aku terus balik ke rumah untuk mempersiapkan diri untuk pergi ke pejabat. Lepas siap semuanya, aku turun ke bawah menunggu kawan(rumah aku di tingkat tiga dan aku menumpang kereta kawan ataupun aku naik komuter, jika kereta kawan tu penuh). Kebiasaannya aku akan menunggu kawan di kedai mamak, sambil duduk di meja agar dapat dilihat kawan aku nanti.
     Suasana pagi yang dingin(sepatutnya dingin, namun di Kuala Lumpur(KL) ni tiada terasa lagi kedinginan..yang ada hanyalah kehangatan suasana yang tegang dengan jeritan kenderaan), yang masih gelap dan dilimpahi lampu jalan maka terlihatlah warga KL bercepat-cepatan untuk ke pejabat dan sekolah menggunakan pelbagai kenderaan.
     Sebaik sahaja aku duduk di meja, pemandangan yang biasa  aku lihat 2 kanak-kanak Cina duduk di suatu sudut meja yang berselerak dengan buku latihan yang tak dapat dihabiskan di rumah, sambung kat restoran mamak sementara menunggu kedatangan bas sekolah, 2 budak perempuan sekolah menengah, seorang Melayu(bertudung dengan cermin mata) dan seorang lagi India(tinggi dengan rambut yang kemas bertongcang ekor kuda). Di hujung restoran tersebut duduk kanak-kanak perempuan melayu dengan muka yang masih mengantuk(mungkin tak sempat untuk mandi pagi lagi). Berdekatan dengan mereka duduk seorang wanita Indonesia bersama anak asuhannya(berbangsa Korea) dan kemudian seperti biasa datang 2 orang adik beradik yang berketurunan mamak Islam akan duduk berhampiran dengan aku, seorang perempuan dan seorang lelaki, mereka sentiasa berbual. Dan seperti biasa juga, seorang pemandu van yang berbangsa Cina yang akan membawa pengawal keselamatan, yang terdiri daripada rakyat Vietnam, Pakistan, Nepal dan Mynmar. Bila keluar dari van, dia akan menegur aku dengan senyuman dan tangan yang akan diangkat. Aku juga berbuat begitu. Dan pekerja-pekerja restoran mamak(biasanya diambil dari India dan kebanyakan mereka ni Hindu) ada yang berdiri, ada yang duduk dan ada yang melayan pelanggan yang hendak minum pagi di situ. Restoran mamak kat tempat aku dibuka 24 jam untuk memenuhi selera orang di situ dan jika ada perlawanan bola sepak(seperti EPL dan Liga Juara-juara), penuhlah restoran tersebut dengan kaki-kaki bola. Yang biasa singgah di restauran itu, budak-budak kolej swasta, rakyat dari Afrika, Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan orang tempatan.
      Seperti biasa aku akan datang dalam pukul 6.35 pagi dan kawan aku biasanya datang 15 minit kemudian. Dalam menunggu kenderaan masing-masing, seorang perempuan Cina yang tua dan seorang lagi separuh umur sering aku lihat akan berjalan di persekitaran restoran tersebut untuk mencari tin-tin kosong untuk dijual dan begitulah hari-hari aku lihat aktiviti mereka berdua. Dan juga berdepan dengan restoran mamak terdapat sebuah flat, dari flat tersebut aku lihat ramai wanita-wanita Indonesia turun untuk berkerja dan berniaga, begitu juga dengan lelakinya. Dalam masa 15 minit begitu aku dapat melihat keadaan pagi yang padat dengan pergerakan warga KL yang datang dari pelbagai negara. Semua mereka yang datang ke sini semata-mata untuk mencari rezeki dan samalah juga aku.
     Pergerakan mereka yang cepat dan menghilang dengan kenderaan yang mereka naiki iaitu kereta, motosikal, basikal, van dan Komuter ataupun berjalan kaki menghidupkan suasana KL yang megah dengan wajah kesesakan yang makin terserlah.
  
     Dan aku, antara kalangan mereka yang sama-sama bermukim di KL ini bertambah matang dengan pelbagai rencah kehidupan yang semakin mencabar kewibawaan seorang manusia yang mudah lupa bahawa dia adalah seorang manusia. Aku rasa disekeliling aku padat dengan corak kehidupan manusia yang datang dari pelbagai sudut dunia yang membawa benih budaya mereka, adakah ia dapat subur di sini? Ia tidak mustahil untuk subur jika suasana sesuai untuk ia membesar dan mengembang. Bagi aku tak mustahilpun, dahulu di bumi ini(tanah malaya) adalah penghuninya adalah orang melayu dan kini telah dihuni oleh pelbagai bangsa dari pelbagai negara dan tidak mustahil suatu ketika bangsa di Malaysia ini nanti akan berbilang dengan kehadiran mereka yang semakin suka datang ke sini. Dan akan menetap dan beranak pinak, akhirnya berkampung di sini.
     Dan aku inginkan kebaikan atas kehadiran mereka dari sudut yang lebih berperspektif dan signifikan terhadap keagamaan yang ada di Malaysia ini. Secara kasar, kehadiran mereka membawa rezeki yang melimpah ruah di sini untuk dibawa ke negara asal mereka(adakah salah mereka, sedangkan aku dan kita tidak berebut untuk mengorek rezeki yang begitu mewah di sini, mungkin kita tak nampak? ataupun mungkin kita suka berkerja dengan keselesaan yang ada?) dan kekosongan rohaniah mereka yang datang ke sini perlu untuk kita sirami dengan nilai agama tapi yang pasti budaya mereka pula yang tertinggal di sini, yang mana saya dan kita membajai pula budaya mereka.
     Dari sudut Islam, rezeki yang Allah tetapkan dalam diri manusia, Allah akan taburkan rezeki semua manusia di muka alam ini, dengan izin Allah, kita akan bergerak berdasarkan rezeki yang di tabur di serata alam, jika di benua Asia disitulah seseorang itu akan bergerak, jika di benua Afrika disitulah seseorang bergerak, jika di benua Eropah disitulah seseorang bergerak dan jika di Ocean disitulah seseorang akan bergerak. Jadi, adakah kedatangan manusia dari pelbagai ceruk dunia ke sini kerana mereka sahaja-sahaja datang? Ataupun atas perancangan mereka? Ataupun diarahkan? Akupun datang ke sini kerana aku mempunyai rezeki aku di sini..dan aku lihat kereta kawan aku dah sampai, terus aku masuk ke dalam kereta dan bergerak ke destinasi yang ditujui...

Thursday, April 22, 2010

Jom Conteng

     Sudah 6 tahun lebih aku dan keluarga aku tinggal di rumah Semi-D yang dibeli pada tahun 2004, masa itu, rumah ini masih cantik lagi dan setiap ruang dalam bilik dicat dengan warna yang berbeza bagi menghidupkan lagi suasana dan mood setiap kali berada dalam rumah ini. Namun dinding yang dicat dengan warna yang ceria semakin terhakis dengan contengan anak-anak aku. Mereka begitu aktif melakar pelbagai lukisan dan tulisan yang boleh untuk dikaji oleh pihak akeologi, nak menafsir apa yang dilukis dan ditulis oleh anak-anak aku.
     Sebelum aku mencat rumah aku dulu, aku telah berbincang dan meminta pandangan dari pihak yang menjual cat tersebut, cat apa yang perlu aku beli? Tauke itu tanya kat aku, lu ada anak-anak kecik kah? Aku jawab ada. Bagus lu beli ini cat, tahan sikit, kalau lu punya anak conteng-conteng, boleh padam balik, tapi mahal sikit terangnya dengan ringkas dan penuh ekonomik. Aku pun berfikir sejenak pada masa itu, kalau aku beli cat ini, mungkin dinding yang di rumah tak jadi murel oleh anak-anak aku. Tapi mahal sikit, tapi tak apalah fikir hatiku, aku beli yang murah sahajalah lagipun kalau dalam rumah tak kena cahaya matahari dan hujan jadi lambat sikit pudar pujuk hatiku untuk menyedapkan hati aku sendiri. Dan nanti aku cat balik jika dinding rumah aku diconteng oleh anak-anak aku nanti.
     Begitulah keputusan yang aku buat 6 tahun yang lepas. Tapi apa yang dinasihatkan oleh penjual cat itu sememangnya benar, tak sampai setahun, dinding rumah aku diwarnai dengan pelbagai lukisan dan tulisan yang entah apa-apa anak-anak aku contengkan. Jadi, aku beritahu dengan isteri aku, biarkan dulu contengan itu, bila mereka dah besar sikit nanti, boleh kita cat baru. Sehingga kini dinding rumah aku masih tertulis isi hati anak-anak aku yang mereka luahkan. Kadang-kadang aku pun tak faham, mengapa mesti anak-anak aku nak menconteng dinding-dinding kat rumah, sedangkan aku dan isteri aku dah sediakan kertas-kertas untuk tempat luahan hati mereka semua? Jadi, apa sebenar yang begitu mendorong anak-anak aku untuk menconteng dinding-dindidng di rumah? Sehingga sekarang aku masih belum terjawab akan kebolehan anak-anak aku menconteng dinding-dinding kat rumah itu.
  
     Bila aku alih pandangan aku di luar skop rumah aku, dinding-dinding di bangunan, tembok, tandas, atas jalan raya, kedai, rumah, pejabat, sekolah, kereta, baju dan banyak lagi dinding-dinding yang tanpa lukisan dan tulisan telah diconteng orang-orang yang sama seperti anak-anak aku di rumah itu, yang bezanya mereka dah dewasa tapi anak-anak aku masih menyusu botol lagi. Adakah mereka-mereka yang di luar itu ingin menerangkan apa yang ingin mereka luahkan dengan menconteng dengan tulisan dan lukisan untuk masyarakat tahu apa yang dimahu dan dikehendaki mereka? Kadang-kadang dengan kreativiti mereka terpancar keindahan yang amat mengkagumkan, kadang-kadang terpercik sinar kesedaran, kadang-kadang menimbulkan kebencian, ataupun ia satu vandalisme? (Macamana dengan anak-anak aku, mereka boleh aku anggap sebagai vandalisme juga, takkan, masih kecil-kecil lagi anak-anak aku).

     Dan persoalannya sekarang, aku belum dapat lagi untuk mencat baru dinding rumah aku sehingga anak aku yang bongsu dah tak menconteng lagi. Sekarang ini dan terkini, aku tengok yang bongsu tu masih lagi nak menconteng...melukis dengan penuh gembira, setiap kali pergi kedai buku yang pasti pensil warna dah dalam genggaman anak aku yang bongsu. Katanya, untuk mewarna kat buku-buku tapi yang pasti dinding-dinding di rumahpun tempias sama dengan kreativiti yang sering bermain di hujung jarinya.

     Dinding rumah aku masih lagi terconteng dengan pelbagai curahan hati dan perasaan anak aku yang bongsu dan akan terus terconteng selagi kegemarannya masih belum terpenuhi dengan “kematangan” mulai menyapanya kelak...tapi bila ya? Akupun tak pasti menanti kehadiran makhluk bernama “matang” itu menyapa anak bongsu aku agar terhentinya kerja melukis dan menulis di dinding...dan semua itu perlukan kos, nak beli cat, upah orang cat dan peralatan untuk mengecat. Mungkin ini juga yang berlaku dengan kerajaan tempatan, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan bila terjadinya contengan oleh mereka-mereka ini...

Monday, April 19, 2010

Hilangnya Amanah; Tidak Ada Iman Dan Amanah Walaupun Sebesar Biji Sawi Tetapi Manusia Masih Mengatakan: “Dia Seorang Yang Sangat Amanah Dan Berkepercayaan”

     Diriwayatkan oleh Huzaifah r. ‘anhu bahawa Rasulullah s.a.w. telah menyatakan dua buah Hadith. Salah satu daripadanya telah aku saksikan dan aku sedang menunggu yang satu lagi.
    
    Hadith pertama ialah, bahawa : “Allah Ta’ala akan menurunkan amanah ke dalam satu sudut hati manusia lalu menurunkan pengetahuan Al Quran dan Hadith (Di mana benih Iman disuburkan lalu memperkuatkannya).”

     Kemudian beliau meriwayatkan mengenai pengangkatan amanah apabila manusia melakukan dosa kerana kealpaannya. Hanyalah kesannya sahaja yang kelihatan. Apabila dosa-dosa itu terus dilakukan kerana kealpaaannya, maka amanah itu pun diangkat lagi sehingga membesarlah kesannya. Seumpama bara api yang terjatuh ke atas kaki meninggalkan lecur yang besar, begitulah kesan keamanahan menjadi lebih besar. Lecur itu mungkin membesar lagi tetapi di dalamnya kosong sahaja. Manusia akan menjalani urusan perniagaan tetapi tidak seorangpun yang bertanggungjawab untuk melakukannya dengan penuh amanah.
     Lalu berkatalah mereka : “Ada seorang yang benar-benar amanah di dalam sekian-sekian keluarga.” Dan orang itu akan diberitahu : “Betapa pintar, cerdik serta beraninya (kamu), namun tidak ada iman dan amanahpun di dalam hatinya walaupun sebesar biji sawi.”
(Bukhari, Jilid 2, 962)

     Selanjutnya beliau berkata : “Terdapat suatu masa dahulu ketika aku pernah  membuat urusan dan perniagaan, terfikir olehku bahawa jikalau orang yang berurusan denganku itu seorang Islam, maka Islam akan menjadikannya seorang yang dapat menunaikan haknya dan jikalau dia seorang Nasrani maka kerajaannya akan menyebabkannya menunaikan hak tersebut. Tetapi pada hari ini aku membuat urusan perniagaan setelah berfikir panjang.
(Ibid, ms. 963)

     Catatan
     Renunglah sejenak apa yang berlaku pada hari ini. Mengambil tanggungjawab terhadap amanah maka orang ramai terus memegang jawatan di dalam beberapa institusi tetapi bukanlah suatu janji dan tugas untuk memegang dan setia kepada peraturan dan undang-undang yang telah digariskan. Apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. ialah bahawa harta bagi iman itu terletak pada sikap amanah dan begitulah sebaliknya.

     Mengikut syari’ah, lelaki dan wanita telah diciptakan dengan keimanan dan amanah. Benih iman dan sifat amanah telah disirami dengan Al Quran dan Hadith lalu tumbuhan yang terjadi daripadanya dipelihara sehingga membesar. Tetapi kemudiannya manusia melakukan dosa, berdusta, suka menuduh-nuduh, menfitnah, memaki dan mencarut hanya semata-mata untuk memperolehi jawatan tertentu.

     Jalan-jalan jahat berunsur kesyaitanan, rancangan-rancangan yang tidak dibenarkan dan penggunaan deposit yang tertentu yang dilakukan secara terlupa atau sengaja walaupun dia tidak mempunyai keupayaan untuk membayarnya kembali. Sifat amanah telah terangkat daripada hatinya tetapi sifat riak, keangkuhan dan keinginan untuk kemasyhuran terus-menerus meningkat. Terlupa yang ini, dia terus pula menggunakan wang yang lain. Kerana mahu mempertahankan kerusinya setelah melakukan rasuah maka dia berusaha pula untuk mengupah lima, enam orang yes men. Orang yang sedemikian mudah sahaja diperolehi.
     Orang yang tidak mempunyai iman, budi bicara begini akan sentiasa akur untuk memuji-mujinya sebagai seorang yang amanah apabila dia dibayar upah dan perjalanannya untuk melakukan lagi pecah amanah. Dia bersedia sahaja meniup trumpet mengatakan dia seorang yang jujur. Sikap kemunafikan akan bertambah-tambah lagi.

     Walaubagaimanapun Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa : “Kepintaran, kelicikan, bercakap banyak akan menjadi ukuran kepada kemuliaan dan penghormatan di dalam masyarakat lalu orang ramai pun memuji-mujinya ke atas ukuran-ukuran ini.”

     Alangkah pintar, cerdik dan bijaksananya orang ini. Begitu pandai dia melucukan dan mengenakan jenakanya kepada orang lain. Sifat beragama, keimanan dan amanah tidak wujud lagi sebagai ukuran kemuliaan dan dengan inilah apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. bahawa tidak ada lagi iman walaupun sebesar biji sawi, namun manusia masih lagi membodek dan memuji orang yang sebegini?

     Segala kenyataan kenabian telah terbukti akhirnya. Betapa mereka menguruskan dan mentadbir masjid-masjid, madrasah, majlis daerah, persatuan dan institusi-institusi? Mereka telah menyalahi urusan lalu membinasakan wang sumbangan berjuta-juta ringgit. Bagaimana pula halnya wakil-wakil saudara-saudara itu yang telah menetap di luar negara menggunakan wang-wang zakat dan sedeqah!

     Jikalau pentadbiran dijalankan oleh seorang, berapa ramai pula lagi yang menjalankan urusan madrasah selama lima ke enam bulan mengikut citarasa mereka sahaja lalu mengeluarkan laporan tahunan untuk meminta derma bagi menjalankan madrasah yang sekejap-sekejap muncul ini!

     Tetapi disebabkan pangkat dan harta telah menjadi ukuran kemuliaan masyarakat, maka mengikut apa yang telah dibayangkan oleh Rasulullah s.a.w. bahawa sedemikianlah orangnya yang tidak berlaku jujur itu akan menjadi pemuka – satu kenyataan yang kita sedang persaksikan sekarang ini dan pada masa akan datang orang yang nampaknya mulia dan bersih ini akan terus berkembang biak. Semoga Allah melindungi kita semua!

(Bersambung...)
[Meniti Debaran Zaman, Bab 45]

Monday, April 12, 2010

Aku Sebagai Seorang Kakitangan Kerajaan...

Hujung minggu ini, masa aku banyak di bilik hotel,ingatkan nak habiskan kerja di bilik ni, tapi rasa malas juga bila dah lihat katil dan suasana yang tak mengajak ke arah nak berkerja.(pernah kawan beritahu, kalau bawa kerja pejabat balik rumah ataupun mana-manalah tempat selain dari tempat kerja, terutamanya di rumah cepat tua..orang yang tak bawa kerja pejabat balik rumah sentiasa muda, cuba periksalah wajah di cermin tu, masih muda atau makin muda). Tapi aku gagahkan juga nak buat kerja ni, sebab Isnin ni nanti nak buat kerja lain lagi, sambil kerja ni aku mainkan muzik heavy metal nak naikkan mood berkerja.(sepatutnya aku berzikirlah, ni dengar lagu macam ni)
    
     Dahulu, masa nak buat kerja kena mainkan muzik barulah ada mood nak buat kerja, tapi sekarang bila aku cuba untuk datangkan suasana kerja aku mainkan muzik tak dapat pula. Fikir aku kacau dan tak dapat fokus atas kerja yang nak dibuat. Bila keadaan dan suasana yang tenang dan santai, suasana kerja akan datang dan banyak pula idea-idea yang tak terfikir masa di pejabat.(tapi cuba elakkan bawa kerja pejabat ke rumah, sebaiknya di rumah masa untuk keluarga, bagi yang berkeluarga dan yang masih belum berkeluarga buatlah perkara-perkara yang berfaedah untuk diri, orang sekeliling dan orang yang mengelilingi kita).
  
     Selama aku berkerja(sepatutnya keperluan) dengan kerajaan, banyak masa kerja aku habiskan di waktu kerja dan selepas kerja dihabiskan untuk selain daripada tugasan pejabat. Kadang-kala masa di luar pejabatpun kena curi juga untuk tugas rasmi pejabat dan kadang-kala juga masa pejabat digunakan untuk tugasan tidak rasmi pejabat, berlakukah ini dalam kehidupan kita seharian? Maksudnya curi tulanglah, kalau nak pastikan perkara ini, cuba kita pergi ke restoren, di sekolah(waktu balik sekolah) dan tempat membeli belah, ada tak terjumpa orang-orang kerajaan?(biasanya orang yang kerja kerajaan mudah sikit nak keluar, ada kelonggaran dan yang bukan kerja dengan kerajaan payah sikit) Bagi yang ada tugasan yang di luar ataupun yang sememangnya kerja di luar tak hairanlah, tapi yang tak sememangnya berkerja di luar pun ada di luar juga. Perkara ini mungkin sudah jadi sebagai norma hidup kakitangan kerajaan, mungkin ada juga yang tidak sebegini...hanya segelintiran dikalangan kita(mungkin termasuklah aku sekali).
  
      Cuba kita fikirkan, jikalah, setiap seorang kakitangan yang keluar di waktu pejabat buat begini hari-hari di waktu kerja, adakah ia akan menjejaskan produktiviti negara, ataupun pembaziran wang rakyat, ataupun berlakunya langgar ikrar setia, ataupun sebalik dari itu, memberi keuntungan kepada restoren/gerai-gerai/perniagaan ataupun yang jarang kita fikirkan, berkatkah rezeki aku ini?

Saturday, April 10, 2010

Perniagaan Sebagai Keperluan

    Aku dah seminggu lebih di Miri, Sarawak ini..."bandar minyak" gelaran bagi bandaraya kedua terbesar di Sarawak ini. Di Miri sekarang ini panas sikit, sebab cuaca yang sentiasa panas dan kurang hujan sejak-sejak akhir ini, ditambahkan lagi hampirnya dengan laut. Mungkin bagi orang Miri, ia perkara biasa dengan cuaca sebegini, bagi aku ni, yang jarang dan bukan orang tetap di sini, agak terasa bahang kepanasan yang menggigit kulit aku ni. Kalau nak dilihat persekitaran di "dalaman" dan "luaran" bandaraya Miri, ia seperti bandar-bandar lain di Malaysia yang tengah ataupun pesat membangun dengan pelbagai benda, pelbagai budaya, pelbagai fesyen, pelbagai aktiviti samada yang "nyaman" ataupun "sik nyaman" semuanya membiak dengan cepat dan bugarnya. Lebih lagi dengan kedatangan warga negara Brunei Darul Salam yang membeli belah dengan riang dan ria kerana  dek wang mereka yang nilai berganda dari wang kita ni. Jadi bersukaria lah mereka datang menabur wang di bumi Miri ini.

     Kalau diikutkan dari perspektif ekonomi, ia mendatangkan keuntungan yang tinggi kepada penduduk tempatan yang berniaga atas kehadiran warga Brunei ini, dan ia merancakkan lagi suasana ekonomi yang tengah galak bergerak ke arah yang "sedehana" , walaupun suasana ekonomi dunia sedang suram sekarang ini, namun di bandaraya Miri giat bergerak atau takpun bergerak secara perlahan bagi aktiviti perniagaan yang berskala kecil. Aktiviti perniagaan yang besar mungkin terasa dengan suasana ekonomi yang bergerak dengan lembab..jadi, kalau nak buat bisnes sekarang ni kena cari bisnes yang betul-betul menepati kehendak pelanggan.(ataupun kehendak orang Brunei) Apakah bisnes yang menepati kehendak pelanggan?

     Baru tadi aku nak masuk ke bilik, gunakan lif, terjumpa seorang perempuan muda yang seksi dengan senyum yang manis, dalam lif berdua, bila mata bertemu mata jatuh ke hati....lalu akupun tanya dari mana? jawabnya dari Indonesia, tapi sebenarnya aku dah agak dia ni tukang urut. Aku terus tanya berapa sekali urut, RM99.00 sejam, lumayan...nak bertanya lagi lif dah sampai ke tingkat tempat bilik aku menginap. Tak sempat lagi nak bertanya. Adakah bisnes ini memenuhi kehendak pelanggan?

    Sebenarnya aku baru berjumpa dengan teman sekelas aku tadi, aku panggil teman aku dengan H sahaja, yang dah lama aku tak jumpa hampir 15 tahun dan sekarang baru aku berjumpa...bila lama dah tak jumpa macam-macam lah cerita, pertama topik yang keluar tentang kawan-kawan yang lain, macamana mereka semua, apa yang tahu aku ceritakan, yang tak tahu tak pula aku ceritakan. sebenar H ini dah buka perniagaanya sendiri...tentang perniagaan...perniagaan tentang memberi perkhidmatan seperti pendaftaran, seperti nak buka kedai, dan ia lebih berkaitan dengan urusan perniagaan ...kecantikan(sememangnya perkara yang disukai oleh wanita) jadi H ini seorang wanitalah dan stokist bagi gel pelbagai guna untuk pelbagai masalah tentang sakit. Dan banyak cerita yang dibualkan antara aku  dan H... cuma aku hormat dengan kegigihan yang ada dalam dirinya..dah ada ciri-ciri seorang yang berjaya sebagai seorang yang ingin berniaga. Aku pula cuma nak berangan nak jadi usahawan sahaja tapi belum lagi sanggup menanggung risiko yang dihadapi bila nak berniaga. (kena baca buku berani gagal, baru ada keyakinan nak berniaga) sebelum berpisah tadi H bagi aku gel pelbagai guna (nak promosi dah, biasakan orang berniaga, H bagi free je, jadi aku ambil, boleh sapu kat perut tu nanti katanya). rupanya perut aku ni dah berisi dengan lemak yang tak berkualiti, ni yang kena buang ni.

     H, yang aku kenali dulu seorang yang lembut dan mudah senyum, tak sangka pula dah ada perniagaan sendiri..rupanya best juga jadi seorang usahawan ni tapi kena rajin cari pelanggan macamana nak produk kita dikenali dan diguna oleh orang ramai. Jadi kerja sebagai seorag usahawan ni tak kira masa, tempat dan keadaan...kena fikir macamana nak "lakukan" produk yang ada ni dan kena bersainglah dengan peniaga-peniaga yang lain..sebenarnya banyak lagi aku nak ceritakan tentang H ni tapi hanya yang dibenarkan sahaja, yang selain dari tu tak boleh lah. Jadi, ...aku tengok muka H senyum sahaja tapi dalam hati siapa tahu...cuma aku doakan semoga perniagaan yang dijalankan H berkekalan dan berkembang serta mengikut syariat...dan juga bayar zakat kena buat bagi memberkatkan lagi perniagaan.

     Dan, kesimpulannya...seorang wanita yang dieksploitasi oleh keadaan dan seorang wanita yang mengeksploitasi keadaan untuk mencari rezeki dan kehidupan ataupun boleh juga kita fikirkan macamana seorang wanita yang dieksploitasi oleh agama dan seorang wanita yang mengeksploitasi agama untuk mencari keredhaan Allah di dunia dan akhirat...sebenarnya agama tak perlukan kita ..kita yang perlukan agama untuk terus hidup di dunia dan akhirat..

Tuesday, April 6, 2010

Mereka Akan Menjual Agama Untuk Manafaat Yang Sedikit - Seorang Itu Muslim Pada Waktu Pagi Dan Kafir Pada Petangnya Atau Muslim Pada Waktu Petang, Kafir Pada Waktu Paginya.

     Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r. 'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Berlumba-lumbalah di antara satu sama lain untuk melakukan amalan baik sebelum munculnya musibah (kemungkaran) yang akan melanda manusia seumpama kepingan-kepingan kegelapan malam. Seorang itu akan bangun dalam keadaan beriman tetapi akan pergi tidur pada waktu malamnya dalam keadaan kafir. Atau pada waktu malam dia akan tidur dengan keadaan beriman lalu bangun keesokan paginya dalam keadaan kafir. Seorang itu akan menjual agamanya untuk pulangan keuntungan duniawi yang sedikit."
(Muslim)

     Hadis-hadis lain mengenainya boleh didapati di dalam Kanzul Ummal (Jilid 11)
  1. Perkara pertama yang terbukti daripada Hadis ini ialah bahawa kedatangan musibah dan kemungkaran di dunia ini yang akan membinasakan Iman dan Islam;
  2. Jikalau musibah dan kemungkaran itu kecil, ia dapat dicegah dengan usaha yang kecil. Tetapi jikalau musibah dan kemungkaran itu besar, maka usaha utnuk mencegahnya pun tentulah berkadar besarnya. Jikalau tidak, musibah dan kemungkaran besar ini akan senang sahaja menyisih dan menerjah keluar usaha yang kecil;
  3. Sangatlah perlu meneruskan usaha secara terus-menerus, jika tidak seorang itu tidak akan dapat menghadapinya dengan sebaik-baiknya. Bagi kemungkaran dan musibah yang besar, usaha-usaha yang dibuat sekali dua tidak akan mendatangkan apa-apa kesan.
  4. Untuk jumlah wang yang sedikit sahaja, seorang itu sanggup sahaja menjual harta Iman dan Islamnya.
  5. Terdapat kemungkaran dan musibah di dalam agama. Dengan ini persediaan perlulah dititikberatkan daripada segi agama. Perkuatkan cahaya keimanan melalui amalan-amalan baik, solat, berpuasa, membayar zakat, bersedekah dan juga menghayati serta menuruti kepercayaan dan pendapat-pendapat Ahli Sunnah Wal Jamaah.
     Jikalau anda kuat dalam beramal dan tetap teguh dengan keimanan ini, maka nescaya berjayalah anda dalam menghadapi kemungkaran dan musibah yang disebut oleh Rasulullah s.a.w.. Jika tidak terperangkaplah anda di dalam kemungkaran dan musibah tersebut. seumpama gelap malam yang ada di luar, seorang yang ingin memecah kepekatan malam tersebut memerlukan lampu suluh, maka begitulah umpamanya Rasulullah s.a.w. memberi amaran bahawa kemungkaran dan musibah tersebut akan mempengaruhi keimanan kamu, lalu membinasakan keimanan, kepercayaan dan amalan.
         Dengan itu sebelum munculnya musibah dan kemungkaran tersebut maka sepatutnyalah kamu mempertingkatkan usaha menambah amalan baik untuk memperteguhkan cahaya iman agar dapat memahami dan mengetahui samada kemungkaran tersebut menyelit ke dalam dirimu. Hanyalah dengan itu maka dapat kamu menyelamatkan dirimu daripada kemungkaran-kemungkaran tersebut.

         Jikalau kamu tidak berusaha untuk memperteguhkan daya keimanan tersebut melalui amalan-amalan kesolehan, maka keadaan kamu adalah seperti dirimu akan dilanda banjir kemungkaran-kemungkaran - suatu keadaan yang mana Rasulullah s.a.w. telah menyatakannya secara pendek dan tegas, bahawa dia akan menjadi seorang Muslim pada waktu pagi dan kafir pada petangnya.

         Seorang apabila dia bangun daripada tidur berkeadaan Muslim tetapi sewaktu siang hari dia bergaul dengan hal-hal keduniawian yang menggodanya sehingga menggadaikan jiwa dan agamanya semata-mata untuk memperolehi pulangan yang sedikit - misalnya untuk menempati dirinya di dalam majlis tempatan, perbandaran, Dewan Negeri, Parlimen atau Kementerian Luar Negeri dengan maksud apabila jawtan-jawatan ini diduduki, beliau dapatlah mempengaruhi kerajaan dan orang-orang berkenaan untuk memperolehi sesuatu kerja yang boleh atau tidak boleh daripada segi Syari'ah. Dan dia tidak mempunyai keraguan sedikitpun di dalam hati nuraninya untuk melakukannya, maka tercabutlah dia daripada batasan Iman.

         Ataupun pada waktu malam dia tidur dengan keadaan beriman tetapi pada waktu tengah malam dia bangun lalu berurusan dengan beberapa orang berkenaan dengan perniagaan yang telah diharamkan dan ditegah yang boleh membawa bencana dan mudharat kepada masyarakat, negara dan agama. Sebagai pemimpin dia telah mendatangkan kemudharatan kepada masyarakat, negara dan agama.

         Orang yang sedemikian mengambil kesempatan daripada kedudukannya akan menjual Iman mereka untuk memperolehi keuntungan duniawi yang sedikit. Tahap keagamaan mereka tidaklah kuat dan menganggap harta dan kekayaan sahajalah segala-galanya dan secara membabi-buta menyambarnya di mana sahaja yang terluang.

         Sebenarnya, mereka adalah seperti lalang ditiup angin. Ramai orang yang sedemikian akan senang sahaja menjual Iman dan Islam mereka untuk lagu lama; mereka akan mendakwa sebagai wakil, petunjuk dan pemimpin masyarakat mereka.  Di atas nama jawatankuasa pembaharuan maka sewenang-wenangnyalah mereka menukar warna dan corak bentuk agama. Inilah golongan munafiq.

         Maka, apabila tersua dengan tanda-tanda ini, selamatkanlah dirimu daripada mempercayai mereka. Percaya hanyalah kepada perkara-perkara selaras dengan Al Quran dan Hadis atau engkarilah mereka di hadapan diri mereka sendiri. Janganlah terima apa-apa daripada mereka yang bertentangan dengan Iman dan Islam.

    Thursday, April 1, 2010

    Cinta Buatan Malaysia

         Di Malaysia sekarang ini begitu sarat dengan cerita cerai, buang anak, boyfriend pukul serta dera girlfriend dan banyak lagi yang bersangkutan dengan hubungan antara lelaki dan wanita serta impak atas hubungan yang dibuat antara dua insan yang bercinta ini. Di dada-dada akhbar sekarang ini bagaikan cerita yang biasa dibaca dan didengari oleh masyarakat umum. Itu baru yang diketahui dan yang tak diketahui dan tak dimaklumkan mungkin lebih banyak lagi. Apa sebenarnya yang terjadi atas dunia ini, dan apakah Allah s.w.t. ciptakan lelaki dan wanita ini untuk bercakaran ataupun nak menunjukkan "kejantanan" dan "kewanitaan" yang ada dalam diri mereka. Cuba tanya diri sendiri mengapa aku dijadikan seorang lelaki dan seorang perempuan?

         Adakah lelaki yang Allah datangkan ke dunia ini untuk membelasah wanita yang lemah atau adakah wanita yang lemah dijadikan mangsa kebuasan lelaki, ataupun kehadiran dua makhluk ini sememangnya suka bercakaran serta tindas-menindas satu sama lain. Yang aku nak ceritakan mengenai ketegangan hubungan makhluk bernama manusia antara lelaki dan wanita. Jika kita lihat haiwan-haiwan yang berlainan jantina takpun bergaduh antara mereka, yang sering bergaduh makhluk haiwan ini, yang jantan-jantan, yang berebut dengan si betina.

         Apakah sebenarnya punca pertelingkahan yang berlaku antara lelaki dan wanita sekarang? Sebab Allah jadikan wanita ini sebagai penenang hati lelaki, dan wanita pula perlu diberi kasih sayang, dibelai dengan manja bukannya diseksa dan dibuat belasahan. Apa yang menyebabkan lelaki sanggup memukul dan menyeksa wanita sehingga ada yang cedera, luka, terseksa jasmani dan rohani dan ada yang terkorban dengan asakan lelaki yang gagah(..orang yang gagah adalah yang dapat menahan atau menelan kemarahannya ataupun sabar..). Adakah kegagahan lelaki sekarang hanya berkisar dalam menyeksa kehidupan seorang wanita yang lemah?

         Mungkin ini yang sering berlaku di negara kita sekarang, namun adakah patut? Kita sebuah negara Islam? Kebanyakan yang tinggal di negara ini orang Islam, dan Islam kita sudah turun-temurun dari nenak moyang kita lagi. Islam dah berakar umbi dalam kehidupan kita...jika ada orang yang mencemar agama Islam, orang Islam di negara ini akan bangun dan berjuang mempertahankan kesucian Islam (contohnya isu kalimah Allah yang digunakan oleh agama yang selain dari agama Islam). Masjid-masjid, Surau-surau, sekolah agama, madrasah-madrasah, pondok-pondok, Ustaz-ustaz, Ustazah-ustazah, ceramah-ceramah agama dan banyak lagi yang berkaitan dengan agama Islam dipaparkan di setiap sudut, ceruk kehidupan kita, semuanya kita ada, apa lagi yang kita tak ada tentang Islam?

         Jika nak diceritakan atau nak ditulis, banyak dah paparan tentang Islam di negara kita ini...namun, mengapa masih disinggahi oleh sifat-sifat, perlakuan-perlakuan dan unsur-unsur yang bertentangan dengan pattern Islam. Apakah kita tidak mewarnakan wajah Islam dengan warna yang tulen sehinggakan wajah Islam tidak terdapat pada wajah orang-orang Islam sekarang ini.

         Adakah ketidaktulenan Islam yang ada pada diri kita mengajar kita mencorak kehidupan yang tidak tulen juga sehinggakan berlakunya gejala-gejala yang bertentangan dengan Islam. Adakah ini yang menyebabkan kurang mesranya hubungan lelaki dan wanita, kurang tulennya Islam dalam diri lantas menyebabkan jadi lelaki dan wanita yang tidak tulen sebagai pasangan hidup. Bila dah tak tulen memanglah cepat rosak dan tak tahan lama.

        Jadi, cinta yang ada dalam diri teruna dan dara sekarang ini adakah cinta buatan dari Islam atau cinta buatan Malaysia? Fikir-fikirkanlah apa cinta yang ada di negara kita ini....

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...