Thursday, April 29, 2010

Sesat Di Kuala Lumpur....

     Pagi tadi, selepas solah subuh di surau, aku terus balik ke rumah untuk mempersiapkan diri untuk pergi ke pejabat. Lepas siap semuanya, aku turun ke bawah menunggu kawan(rumah aku di tingkat tiga dan aku menumpang kereta kawan ataupun aku naik komuter, jika kereta kawan tu penuh). Kebiasaannya aku akan menunggu kawan di kedai mamak, sambil duduk di meja agar dapat dilihat kawan aku nanti.
     Suasana pagi yang dingin(sepatutnya dingin, namun di Kuala Lumpur(KL) ni tiada terasa lagi kedinginan..yang ada hanyalah kehangatan suasana yang tegang dengan jeritan kenderaan), yang masih gelap dan dilimpahi lampu jalan maka terlihatlah warga KL bercepat-cepatan untuk ke pejabat dan sekolah menggunakan pelbagai kenderaan.
     Sebaik sahaja aku duduk di meja, pemandangan yang biasa  aku lihat 2 kanak-kanak Cina duduk di suatu sudut meja yang berselerak dengan buku latihan yang tak dapat dihabiskan di rumah, sambung kat restoran mamak sementara menunggu kedatangan bas sekolah, 2 budak perempuan sekolah menengah, seorang Melayu(bertudung dengan cermin mata) dan seorang lagi India(tinggi dengan rambut yang kemas bertongcang ekor kuda). Di hujung restoran tersebut duduk kanak-kanak perempuan melayu dengan muka yang masih mengantuk(mungkin tak sempat untuk mandi pagi lagi). Berdekatan dengan mereka duduk seorang wanita Indonesia bersama anak asuhannya(berbangsa Korea) dan kemudian seperti biasa datang 2 orang adik beradik yang berketurunan mamak Islam akan duduk berhampiran dengan aku, seorang perempuan dan seorang lelaki, mereka sentiasa berbual. Dan seperti biasa juga, seorang pemandu van yang berbangsa Cina yang akan membawa pengawal keselamatan, yang terdiri daripada rakyat Vietnam, Pakistan, Nepal dan Mynmar. Bila keluar dari van, dia akan menegur aku dengan senyuman dan tangan yang akan diangkat. Aku juga berbuat begitu. Dan pekerja-pekerja restoran mamak(biasanya diambil dari India dan kebanyakan mereka ni Hindu) ada yang berdiri, ada yang duduk dan ada yang melayan pelanggan yang hendak minum pagi di situ. Restoran mamak kat tempat aku dibuka 24 jam untuk memenuhi selera orang di situ dan jika ada perlawanan bola sepak(seperti EPL dan Liga Juara-juara), penuhlah restoran tersebut dengan kaki-kaki bola. Yang biasa singgah di restauran itu, budak-budak kolej swasta, rakyat dari Afrika, Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan orang tempatan.
      Seperti biasa aku akan datang dalam pukul 6.35 pagi dan kawan aku biasanya datang 15 minit kemudian. Dalam menunggu kenderaan masing-masing, seorang perempuan Cina yang tua dan seorang lagi separuh umur sering aku lihat akan berjalan di persekitaran restoran tersebut untuk mencari tin-tin kosong untuk dijual dan begitulah hari-hari aku lihat aktiviti mereka berdua. Dan juga berdepan dengan restoran mamak terdapat sebuah flat, dari flat tersebut aku lihat ramai wanita-wanita Indonesia turun untuk berkerja dan berniaga, begitu juga dengan lelakinya. Dalam masa 15 minit begitu aku dapat melihat keadaan pagi yang padat dengan pergerakan warga KL yang datang dari pelbagai negara. Semua mereka yang datang ke sini semata-mata untuk mencari rezeki dan samalah juga aku.
     Pergerakan mereka yang cepat dan menghilang dengan kenderaan yang mereka naiki iaitu kereta, motosikal, basikal, van dan Komuter ataupun berjalan kaki menghidupkan suasana KL yang megah dengan wajah kesesakan yang makin terserlah.
  
     Dan aku, antara kalangan mereka yang sama-sama bermukim di KL ini bertambah matang dengan pelbagai rencah kehidupan yang semakin mencabar kewibawaan seorang manusia yang mudah lupa bahawa dia adalah seorang manusia. Aku rasa disekeliling aku padat dengan corak kehidupan manusia yang datang dari pelbagai sudut dunia yang membawa benih budaya mereka, adakah ia dapat subur di sini? Ia tidak mustahil untuk subur jika suasana sesuai untuk ia membesar dan mengembang. Bagi aku tak mustahilpun, dahulu di bumi ini(tanah malaya) adalah penghuninya adalah orang melayu dan kini telah dihuni oleh pelbagai bangsa dari pelbagai negara dan tidak mustahil suatu ketika bangsa di Malaysia ini nanti akan berbilang dengan kehadiran mereka yang semakin suka datang ke sini. Dan akan menetap dan beranak pinak, akhirnya berkampung di sini.
     Dan aku inginkan kebaikan atas kehadiran mereka dari sudut yang lebih berperspektif dan signifikan terhadap keagamaan yang ada di Malaysia ini. Secara kasar, kehadiran mereka membawa rezeki yang melimpah ruah di sini untuk dibawa ke negara asal mereka(adakah salah mereka, sedangkan aku dan kita tidak berebut untuk mengorek rezeki yang begitu mewah di sini, mungkin kita tak nampak? ataupun mungkin kita suka berkerja dengan keselesaan yang ada?) dan kekosongan rohaniah mereka yang datang ke sini perlu untuk kita sirami dengan nilai agama tapi yang pasti budaya mereka pula yang tertinggal di sini, yang mana saya dan kita membajai pula budaya mereka.
     Dari sudut Islam, rezeki yang Allah tetapkan dalam diri manusia, Allah akan taburkan rezeki semua manusia di muka alam ini, dengan izin Allah, kita akan bergerak berdasarkan rezeki yang di tabur di serata alam, jika di benua Asia disitulah seseorang itu akan bergerak, jika di benua Afrika disitulah seseorang bergerak, jika di benua Eropah disitulah seseorang bergerak dan jika di Ocean disitulah seseorang akan bergerak. Jadi, adakah kedatangan manusia dari pelbagai ceruk dunia ke sini kerana mereka sahaja-sahaja datang? Ataupun atas perancangan mereka? Ataupun diarahkan? Akupun datang ke sini kerana aku mempunyai rezeki aku di sini..dan aku lihat kereta kawan aku dah sampai, terus aku masuk ke dalam kereta dan bergerak ke destinasi yang ditujui...

3 comments:

  1. Assalamualaikum Tuan Ismadi bagaimana cite orang Limbang handle mesyuarat Serawak kat Perbahanan. Saya dengar masa mesyuarat KL januari lepas. Dah buat ke belum. Cikgu Basyarudin amer jemaah tu dah bertolak ke Greece bersma jemaah dari Jitra 6 orang selama 4 bulan. Saya insyaalah akan keluar masturat 7 pasang orang alor setar ke Surabaya selama 15 hari. tiket dah ambil akan bertolak ke surabaya 4 jun dan tangguh 17 jun doa semoga kami diterima Allah

    ReplyDelete
  2. Salam, Alhamdulillah. Doakan untuk saya yg masih kat KL ni, azam nak keluar 40 ke Indonesia tahun ni, ada juga azam nak ke IPB..sekarang ni masih buat usaha kat kepong, semoga jemaah cikgu sampai ke surabaya nanti..doakan untuk saya selalu..

    ReplyDelete
  3. Semoga dimana-mana insan berhijrah, tidak kira apa bangsa mereka, mereka membawa kebesaran Allah didalam hati dan membawa agama bersama mereka. Dan alangkah moleknya, dimana-mana sahaja jemaah yang keluar, terdapat berbagai-bagai bangsa dan bahasa didalamnya.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...