Monday, August 29, 2011

Salam Kemerdekaan Serta Aidil Fitri


UNTUK rakyat Malaysia yang akan meraikan kemerdekaan salam kemerdekaan dan bagi rakyat Malaysia yang beragama Islam salam Aidil Fitri.









Friday, August 26, 2011

Keberkatan Akan Hilang

ANAS r. 'anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Kiamat tidak akan datang sehingga masa menjadi pendek. tahun akan menjadi seolah-olah seperti sebulan, sebulan seolah-olah seperti seminggu, seminggu seolah-olah menjadi sehari, sehari seolah-olah seperti sejam dan sejam seolah-olah seperti satu percikan api."
(Tirmizi)

Sebenarnya kita sedang mengalami dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Bertahun-tahun dan berbulan telah berlalu begitu sahaja sedangkan kita tidak mendapat apa-apa rahmat untuk melakukan amalan-amalan baik dalam agama yang bermakna kita telah melurut ke belakang daripada jalan agama; kita mengundur.


Bab 65 : Meniti Debaran Zaman - Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan - Abdul Aziz Bin Abdul Hamid

Tuesday, August 23, 2011

Khazanah Emas Dan Perak Akan Keluar Berhampiran Sungai Dajlah. Janganlah Cuba Untuk Mengambilnya

DIRIWAYATKAN daripada Abu Hurairah r. 'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Sungai Dajlah akan mengeluarkan khazanah emas. Mereka yang hadir di sana janganlah ambil apa-apa pun daripadanya."
(Bukhari)

Di dalam Hadis yang lain disebut bahawa : "Bumi akan memaksa keluar(memuntahkan) kandungannya yang berharga - emas dan perak seumpama tiang yang tinggi. Melihat akan ini masing-masing berkata sendirian, "Lantaran inilah maka tanganku telah dikerat." Janganlah ambil sesuatu apapun daripadanya."
(Muslim)

Abu Hurairah r. 'anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Kiamat tidak akan terjadi selagi Dajlah(sungai) tidak memuntahkan emas yang terkandung di dalamnya setinggi gunung. Untuk memperolehi emas tersebut orang ramai akan bertengkar, bergaduh dan membunuh satu sama lain maka 99 daripada 100 orang akan mati di sana. (Walaupun mengetahui akan Hadis ini) orang ramai masih terpikat dan tergoda untuk mengautnya lalu berkata, "Moga-moga kita akan hidup sehinggalah masa tersebut."
(Muslim)

Ini adalah sabdaan Rasulullah s.a.w. dan ia akan menjadi kenyataan pada suatu masa nanti. Maka orang yang hidup pada masa itu hendaklah menjauhi daripadanya kerana tidak ada keberkatan di dalamnya. 99 peratus manusia akan menempah maut, tinggal hanya satu peratus sahaja yang hidup.

Tanda ini akan muncul menjelang Kiamat.


Bab 64, Meniti Debaran Zaman - Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan - Abdul Aziz Bin Abdul Hamid

Thursday, August 18, 2011

Manusia Akan Menjadi Gemuk Dengan Memuaskan Nafsu Makan Dan Minum. Mereka Akan Ke Mahkamah Beberapa Kali. Akan Muncul Pendusta-Pendusta

DIRIWAYATKAN oleh 'Imran Bin Husain bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Zaman yang terbaik daripada segala zaman ialah zamanku, kemudian yang terdekat daripadanya, kemudian yang mengikutinya. Kemudian akan datang orang yang akan memberi saksi tetapi mereka tidak mahu dipersaksikan. Akan ada penyalahguna-penyalahguna. Mereka tidak menunaikan amanat. Mereka bersumpah namun tidak akan mengotakannya. Mereka suka menjadi gemuk."
(Bukhari : Jilid ii, ms 951)

Zaman para Sahabah, Tabi'in dan Taba' Tabi'in disebut oleh Rasulullah s.a.w. sebagai zaman yang terbaik dari segi taqwa mereka kepada Allah, keikhlasan, kesolehan, amanah, malu dan sopan. Sifat-sifat ini merata di kalangan mereka dan mereka menunaikan hak Allah Ta'ala.

Kemudian akan datang suatu zaman kata Rasulullah s.a.w. di mana orang ramai menawarkan diri mereka untuk menjadi saksi tanpa diminta berbuat demikian di dalam suatu perbalahan. Mereka akan menghasut orang lain dengan kata-kata : "Dakwa mereka, aku akan beri persaksian bagi pihak kamu." Bagi mereka senang sahaja berjanji dan bersumpah tetapi tidak mereka mengotakannya.

Perkataan "amanah" hanya tinggal di dalam kitab sahaja. Mereka menggelapkan wang dan penyalahgunaan kuasa. Mereka bersumpah tetapi mungkir daripadanya. Matlamat utama mereka ialah makan dan minum. Mereka hanya suka menumpang hidup seperti dedalu, menambahkan berat badan dan daging. Matlamat hidup mereka yang utama ialah keselesaan dan kemewahan. Dengan ini mereka tidak akan menunaikan hak Allah Ta'ala dan hak hamba Allah. Mereka langsung tidak menghiraukan maut dan kehidupan selepas maut supaya jika berbuat demikian mungkin mendorong mereka kepada ibadat dan solat.

Mereka suka kepada kebesaran, yakni mereka akan menunjuk-nunjuk bahawa merekalah lebih soleh dan taqwa daripada pandangan agama dan boleh dipercayai. Mereka memelihara pak turut-pak turut dan orang-orang yang digaji untuk memuja-mujanya.

Orang yang demikian tidak ada sifat-sifat dan kelayakan sesuatu jawatan di dalam sesuatu institusi, dia akan berlagak sebagai manusia bertaqwa agar orang ramai menganggapnya sebagai jujur dan mempunyai sifat-sifat amanah. Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa hampir Kiamat akan muncul begitu ramai pendusta. 
(Muslim)

Tanpa dipanggil mereka akan memberi persaksian, menghasut orang lain untuk mendakwanya ke mahkamah sambil berkata dia akan menyokong mereka dengan memberi persaksian. Dengan ini menurut Hadis yang lain bahawa mereka akan memberi persaksian palsu, ramai pendusta akan dilahirkan dan berdusta akan menjadi perkara am. Hak-hak Allah dan hamba Allah diabaikan.

Bab 63 : Meniti Debaran Zaman - Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan : Abdul Aziz Bin Abdul Hamid

Tuesday, August 9, 2011

Ceritaku...

DAH tiga tahun aku di KL, masa aku datang ke sini dulu, sewaktu itu satu Ramadhan pada tahun 2008. Dan sekarang Ramadhan datang lagi, dan Ramadhan ini juga, aku akan dipindahkan ke Sarawak, iaitu balik ke Limbang. Aku rasa hampir tiga tahun aku di sini, jika ikut bulan hijrah dan nak ikutkan tahun masihi, bulan sembilan ni baru genap aku tiga tahun di sini.

Tapi, tak apalah, aku rasa hidup di KL penuh dengan cabaran dan dugaan. Lebih-lebih lagi aku ini, yang tinggal di sini tanpa isteri dan anak-anak. Amat berbeza dan teruja dengan kemeriahan dan pencerahan alam dan budaya tanpa sempadan.

Di KL ini mungkin penuh dengan kemodenan dan aku sendiripun tak pasti, kemodenan yang apa ada di KL ini. Kemodenan yang ada di sini hanyalah kemodenan yang melanggar perintah Allah swt dan kelenyapan sunnah Nabi saw dan orang-orang yang masih kurang moden di sini hanyalah yang mengamalkan perintah Allah swt dan sunnah Nabi saw.

Inilah perbezaan antara darjat di KL ini, antara dosa dan pahala yang sering bercakaran dan berlawanan. Jika kita berada di KL, kita akan disajikan dengan keindahan seni badan wanita, kelayuan nilai-nilai yang baik, kesuburan nilai-nilai yang jahat.

Maksudnya, jika kita berada di sini, kalau kita nak buat jahat, tiada siapa peduli, lantaklah. Tiada siapa yang kisah atau ambil peduli tentang apa yang kita buat. Disini hanyalah kebebasan untuk kita buat apa sahaja yang kita suka tapi tak semuanyalah orang macam itu, istimewanya untuk orang yang beriman, insya-Allah.

Mungkin aku sekarang ini makin tidak peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling, mungkin aku juga sudah terkena sindrom tak kisahkan orang di sekeliling kerana orang KL memang macam itu. Kerana apa-apa boleh berlaku di sini dengan tanpa disangka-sangka dan tanpa diminta.

KL hanyalah sebuah nama bagiku, yang mengotorkan KL ialah penghuni-penghuninya yang alpa dengan nilai-nilai agama dan akan terus dikotori jika penghuni-penghuninya masih berkubang dalam lumpur keduniaan.

Ada juga mereka-mereka yang berpegang dengan perintah Allah swt dan Sunnah Nabi saw di sini membuatkan aku respect dengan mereka walaupun di sekeliling mereka penuh dengan suasana yang merangsang ke arah untuk melanggar perintah Allah swt. Mungkin juga aku tak boleh salahkan mereka seratus peratus atas apa yang berlaku terhadap mereka, mungkin keadaan yang memaksa dan terpaksa untuk membuat untuk  kesinambungan hidup disini.

Namun, di sini juga aku melihat mereka-mereka yang berusaha untuk hidup mencari sesuap rezeki yang halal ataupun yang tak halal, yang mencari kekayaan, kemewahan, harta, pangkat, kedudukan dengan pelbagai cara dan kaedah yang tak terfikir oleh kita. Kesanggupan untuk mencari kehidupan yang baik dari sebelumnya begitu ketara di sini sehinggakan mengenepikan kesantunan diri sebagai seorang yang beriman. Inilah realiti kehidupan di kota bernama KL ini.

Mungkin yang telah lama hidup di KL, bagi mereka tiada apa-apa lagi yang perlu dikisahkan tentang apa-apa yang berlaku di sini. Ia seumpama cerita yang datang dan pergi sehingga cerita mereka pun akan terukir di situ suatu masa kelak cuma menanti untuk ditayangkan. Mengapa aku begitu peduli tentang apa yang berlaku ini? Bagi aku, mereka-mereka yang di sekitar aku adalah sebahagian dari aku, dan suatu masa kelak mereka-mereka merupakan saksi bagi aku di alam yang kekal nanti, untuk memberitahu bahawa samada aku bertanggungjawab dan beramanah atas kehidupan aku di dunia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...