Thursday, August 18, 2011

Manusia Akan Menjadi Gemuk Dengan Memuaskan Nafsu Makan Dan Minum. Mereka Akan Ke Mahkamah Beberapa Kali. Akan Muncul Pendusta-Pendusta

DIRIWAYATKAN oleh 'Imran Bin Husain bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Zaman yang terbaik daripada segala zaman ialah zamanku, kemudian yang terdekat daripadanya, kemudian yang mengikutinya. Kemudian akan datang orang yang akan memberi saksi tetapi mereka tidak mahu dipersaksikan. Akan ada penyalahguna-penyalahguna. Mereka tidak menunaikan amanat. Mereka bersumpah namun tidak akan mengotakannya. Mereka suka menjadi gemuk."
(Bukhari : Jilid ii, ms 951)

Zaman para Sahabah, Tabi'in dan Taba' Tabi'in disebut oleh Rasulullah s.a.w. sebagai zaman yang terbaik dari segi taqwa mereka kepada Allah, keikhlasan, kesolehan, amanah, malu dan sopan. Sifat-sifat ini merata di kalangan mereka dan mereka menunaikan hak Allah Ta'ala.

Kemudian akan datang suatu zaman kata Rasulullah s.a.w. di mana orang ramai menawarkan diri mereka untuk menjadi saksi tanpa diminta berbuat demikian di dalam suatu perbalahan. Mereka akan menghasut orang lain dengan kata-kata : "Dakwa mereka, aku akan beri persaksian bagi pihak kamu." Bagi mereka senang sahaja berjanji dan bersumpah tetapi tidak mereka mengotakannya.

Perkataan "amanah" hanya tinggal di dalam kitab sahaja. Mereka menggelapkan wang dan penyalahgunaan kuasa. Mereka bersumpah tetapi mungkir daripadanya. Matlamat utama mereka ialah makan dan minum. Mereka hanya suka menumpang hidup seperti dedalu, menambahkan berat badan dan daging. Matlamat hidup mereka yang utama ialah keselesaan dan kemewahan. Dengan ini mereka tidak akan menunaikan hak Allah Ta'ala dan hak hamba Allah. Mereka langsung tidak menghiraukan maut dan kehidupan selepas maut supaya jika berbuat demikian mungkin mendorong mereka kepada ibadat dan solat.

Mereka suka kepada kebesaran, yakni mereka akan menunjuk-nunjuk bahawa merekalah lebih soleh dan taqwa daripada pandangan agama dan boleh dipercayai. Mereka memelihara pak turut-pak turut dan orang-orang yang digaji untuk memuja-mujanya.

Orang yang demikian tidak ada sifat-sifat dan kelayakan sesuatu jawatan di dalam sesuatu institusi, dia akan berlagak sebagai manusia bertaqwa agar orang ramai menganggapnya sebagai jujur dan mempunyai sifat-sifat amanah. Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa hampir Kiamat akan muncul begitu ramai pendusta. 
(Muslim)

Tanpa dipanggil mereka akan memberi persaksian, menghasut orang lain untuk mendakwanya ke mahkamah sambil berkata dia akan menyokong mereka dengan memberi persaksian. Dengan ini menurut Hadis yang lain bahawa mereka akan memberi persaksian palsu, ramai pendusta akan dilahirkan dan berdusta akan menjadi perkara am. Hak-hak Allah dan hamba Allah diabaikan.

Bab 63 : Meniti Debaran Zaman - Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan : Abdul Aziz Bin Abdul Hamid

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...