Tuesday, August 9, 2011

Ceritaku...

DAH tiga tahun aku di KL, masa aku datang ke sini dulu, sewaktu itu satu Ramadhan pada tahun 2008. Dan sekarang Ramadhan datang lagi, dan Ramadhan ini juga, aku akan dipindahkan ke Sarawak, iaitu balik ke Limbang. Aku rasa hampir tiga tahun aku di sini, jika ikut bulan hijrah dan nak ikutkan tahun masihi, bulan sembilan ni baru genap aku tiga tahun di sini.

Tapi, tak apalah, aku rasa hidup di KL penuh dengan cabaran dan dugaan. Lebih-lebih lagi aku ini, yang tinggal di sini tanpa isteri dan anak-anak. Amat berbeza dan teruja dengan kemeriahan dan pencerahan alam dan budaya tanpa sempadan.

Di KL ini mungkin penuh dengan kemodenan dan aku sendiripun tak pasti, kemodenan yang apa ada di KL ini. Kemodenan yang ada di sini hanyalah kemodenan yang melanggar perintah Allah swt dan kelenyapan sunnah Nabi saw dan orang-orang yang masih kurang moden di sini hanyalah yang mengamalkan perintah Allah swt dan sunnah Nabi saw.

Inilah perbezaan antara darjat di KL ini, antara dosa dan pahala yang sering bercakaran dan berlawanan. Jika kita berada di KL, kita akan disajikan dengan keindahan seni badan wanita, kelayuan nilai-nilai yang baik, kesuburan nilai-nilai yang jahat.

Maksudnya, jika kita berada di sini, kalau kita nak buat jahat, tiada siapa peduli, lantaklah. Tiada siapa yang kisah atau ambil peduli tentang apa yang kita buat. Disini hanyalah kebebasan untuk kita buat apa sahaja yang kita suka tapi tak semuanyalah orang macam itu, istimewanya untuk orang yang beriman, insya-Allah.

Mungkin aku sekarang ini makin tidak peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling, mungkin aku juga sudah terkena sindrom tak kisahkan orang di sekeliling kerana orang KL memang macam itu. Kerana apa-apa boleh berlaku di sini dengan tanpa disangka-sangka dan tanpa diminta.

KL hanyalah sebuah nama bagiku, yang mengotorkan KL ialah penghuni-penghuninya yang alpa dengan nilai-nilai agama dan akan terus dikotori jika penghuni-penghuninya masih berkubang dalam lumpur keduniaan.

Ada juga mereka-mereka yang berpegang dengan perintah Allah swt dan Sunnah Nabi saw di sini membuatkan aku respect dengan mereka walaupun di sekeliling mereka penuh dengan suasana yang merangsang ke arah untuk melanggar perintah Allah swt. Mungkin juga aku tak boleh salahkan mereka seratus peratus atas apa yang berlaku terhadap mereka, mungkin keadaan yang memaksa dan terpaksa untuk membuat untuk  kesinambungan hidup disini.

Namun, di sini juga aku melihat mereka-mereka yang berusaha untuk hidup mencari sesuap rezeki yang halal ataupun yang tak halal, yang mencari kekayaan, kemewahan, harta, pangkat, kedudukan dengan pelbagai cara dan kaedah yang tak terfikir oleh kita. Kesanggupan untuk mencari kehidupan yang baik dari sebelumnya begitu ketara di sini sehinggakan mengenepikan kesantunan diri sebagai seorang yang beriman. Inilah realiti kehidupan di kota bernama KL ini.

Mungkin yang telah lama hidup di KL, bagi mereka tiada apa-apa lagi yang perlu dikisahkan tentang apa-apa yang berlaku di sini. Ia seumpama cerita yang datang dan pergi sehingga cerita mereka pun akan terukir di situ suatu masa kelak cuma menanti untuk ditayangkan. Mengapa aku begitu peduli tentang apa yang berlaku ini? Bagi aku, mereka-mereka yang di sekitar aku adalah sebahagian dari aku, dan suatu masa kelak mereka-mereka merupakan saksi bagi aku di alam yang kekal nanti, untuk memberitahu bahawa samada aku bertanggungjawab dan beramanah atas kehidupan aku di dunia.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...