Tuesday, April 17, 2012

Sekeping Kertas Kehidupan


KESIBUKAN hidup dalam menghadapi cabaran dunia kadang kala memenatkan fikiran lantas fizikal sekali. Semenjak aku berada di Limbang, kesibukan menghadapi urusan kerja begitu terasa sekali. Sebenarnya kesibukan yang berlaku dalam diri aku bukan disebabkan oleh kerja itu tapi kerenah manusia di sekeliling aku yang tak selari dengan pemikiran, kehendak, idea dan perancangan yang aku atur.

Kadang kala apa yang kita harapkan tidak menjadi kerana ketidakselarian perancangan yang dibuat di persekitaran kita yang mempunyai manusia yang banyak idea tersendiri. Nak selarikan pemikiran yang berlaku kenalah aku selarikan pemikiran aku dengan perancangan dan idea orang di sekeliling aku.

Walaupun perancangan serta idea yang “ditelurkan” oleh mereka itu tak dapat nak menjadikan telur itu melahirkan idea yang sempurna.

Ada setengah orang mengatakan, untuk menjadikan sesuatu itu berjaya perlu ada kerjasama antara pihak atasan dan bawahan. Tanpa ada kerjasama pasti kejayaan sukar untuk dirasai dan diterjemahkan dalam kehidupan.

Aku pernah terbaca buku tentang kejayaan dalam sesuatu perkara ataupun organisasi, ia terbahagi kepada dua manusia yang akan mencipta kejayaan itu samada untuk kepentingan diri sendiri atau bukan kepentingan diri sendiri. Tapi dua-dua manusia tersebut juga berjaya meletakkan perkara atau organisasi itu berjaya namun hala tuju kejayaan itu untuk keuntungan siapa sebenarnya?

Ada setengah golongan tersebut inginkan sasaran agar dirinya tertonjol atas kejayaan tersebut dan ada setengahnya tidak menonjolkan dirinya kerana dia lebih untuk kepentingan bersama tanpa apa-apa sasaran untuk kepentingan dirinya.

Si dia yang ingin menonjolkan diri itu berkemungkinan inginkan pangkat, dia yang lebih tahu semuanya, ingin menerima pujian dan ingin menjadi mentor. Orang sebegini biasanya sering memanipulasikan orang lain, menyalahkan orang lain dan jika ada kepakaran di dada akan disembunyikan agar orang lain tidak dapat kepakaran tersebut atau tidak dikongsikan, cukuplah untuk dia sahaja yang mempunyai kepakaran tersebut.

Bagi si dia yang tidak ingin diri ditonjolkan, lebih mendahulukan orang lain dari diri sendiri, membina pasukan dalam organisasi, berkongsi kepakaran, memberi pujian, mengenengahkan orang lain untuk berjaya, berkongsi kesilapan dan memotivasikan orang lain agar terus berjaya.

Biasanya, individu yang inginkan kejayaan tercapai dengan mengharapkan ganjaran yang diperolehi daripada pelbagai pihak atas dirinya, bukanlah pemimpin atau pekerja yang boleh menambahnilaikan sesuatu dan mendokong atas kejayaan tersebut tapi mencacatkan kejayaan yang akan dibina kelak kerana nilai-nilai dalaman yang tidak positif dan individulistik.

Kadang kala aku terfikir juga, adakah aku dapat menghalang perkara ini berlaku kerana di sekitar aku penuh dengan manusia sebegitu yang inginkan ganjaran, pujian dan lebih tepat lagi keinginan nafsu ataupun menghalalkan sesuatu perkara untuk kejayaan. Dengan alasan yang biasa kita dengar, nak hidup bro, perlu ada “kreativiti” dan “inovatif”.

Dalam bayan(penerangan) sering aku dengar tentang sifat sahabat iaitu, “......kita nak amalkan perintah Allah s.w.t. bukan kerana nak dapatkan pahala dan syurga, tujuan kita amalkan perintah Allah s.w.t. untuk dapat redha daripada Allah s.w.t. tapi kita yakin bahawa ganjaran daripada Allah s.w.t. pasti kita akan terima sebab kita buat kerana Allah s.w.t. ...”

Saturday, April 7, 2012

Bila Jemaah Syura Datang Ke Limbang

DUA tiga hari ini tadi, jemaah Syura dari Markas Sri Petaling telah datang ke Limbang atas urusan Istimaj yang akan diadakan di Sarawak nanti, iaitu dua tempat telah terpilih di Kuching dan Miri dalam bulan Jun 2012. Dua syura Malaysia yang hadir sama dengan jemaah tersebut Hj. Arshad dan Ustaz Said.

Kehadiran mereka yang singkat begitu memberi kesan yang mendalam ke atas fikir rakan seusaha yang begitu kurang pengalaman dan masih muda lagi dalam usaha dakwah ini. Dalam tempoh dua hari lebih membuat khususi dan usuli ke atas rakan seusaha dan orang alim serta khawas, semalamnya satu mini jord telah dibuat di morhallah Desa Pabahanan dengan kehadiran seramai 50 lebih orang termasuk kehadiran Residen Limbang iaitu En. Maria Hasnan.

Walaupun program yang dibuat agak sederhana tapi penuh dengan kerisauan tentang keadaan umat di seluruh dunia. Bayan yang diterangkan banyak berkisar tentang penekanan pengorbanan atas usaha agama. Atas pengorbanan yang diberikan kalangan orang Islam membuktikan Islam dan amalannya akan berkembang dan tanpa pengorbanan pasti dan pasti Islam dan amalannya akan hilang dalam diri individu Islam itu sendiri.

Ia juga menyentuh tentang kerja dakwah yang wajib untuk orang Islam sertai dan buat sebagai satu tugas hakiki dan maksud hidup. Jika kerja dakwah dijalankan dengan penuh tanggungjawab pasti dan pasti semakin berkurangnya kerosakan yang berlaku di muka alam ini dan akan wujudnya manusia yang berkasih sayang dan cintakan keamanan serta ketenangan.

Majlis bayan itu juga untuk mewujudkan rasa risau terhadap seluruh umat di alam maya ini dan mewujudkan rasa sayang kita ke atas semua umat Islam walaupun wujud pelbagai perbezaaan antara kita tapi persamaan yang ada dalam diri umat Islam adalah kalimah yang sama iaitu kalimah Iman. Ia juga untuk mewujudkan rasa kasih terhadap mereka-mereka yang belum ada kalimah Iman agar mereka juga terselamat daripada azab Allah di akhirat kelak.

Dan sebelum jemaah Syura balik Miri, pagi tadi juga diadakan bayan masturat bagi golongan wanita agar kerisauan nabi s.a.w. juga boleh dikongsi kepada golongan wanita agar merekapun mempunyai fikir yang sama dengan fikir individu lelaki bagaimana kerisauan golongan ini tidak tertumpu kepada keperluan dalam rumah sahaja.

Dan intipati sebenar jemaah itu datang untuk mengeluarkan sebanyak mungkin jemaah 40 hari dan 4 bulan dari setiap tempat karguzari sebelum dan selepas Istimaq. Bagaimana dengan kita ini? Bila lagi nak korbankan diri, masa dan harta kita untuk agama Allah s.w.t.?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...