Monday, February 28, 2011

Bicara Tentang Politik

ADA orang kata, tanpa politik sesuatu sistem tidak dapat diketengahkan untuk digunapakai dalam  sesebuah negara. Dengan adanya politik, sistem sesebuah negara itu akan dapat dibentuk dengan kehendak orang yang berpolitik itu. Adakah begitu? Tanpa politik sesuatu sistem yang ingin diketengahkan tidak akan tercapai dan tidak akan terbentuk.

Untuk mewujudkan suasana sistem yang ingin si politik mahu perlu adanya politik iaitu proses yang ada nilai kepolitikannya. Apakah dia itu politik?

Politik adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan, ia biasanya digunakan untuk merujuk kepada kerajaan dan tingkah laku politik boleh juga merujuk kepada korporat, akademik, agama dan institusi lain.

Jika kita lihat politik ini lebih kepada penguasaan ke atas sesuatu yang lain agar tunduk ke atas cara-cara mereka dalam setiap sudut dan pandangan. Jadi, perlukah kita semua berpolitik untuk mewujudkan sebuah negara yang kita idamkan dan inginkan dengan memasukkan nilai-nilai yang baik agar orang akan dapat difungsikan dengan benar dan saksama.

Sekarang ini, serata dunia memperkatakan keunggulan politik merekalah yang terbaik, yang boleh untuk digunapakai dan bertamadun serta moden. Dan kita yang berada dibawah penguasaan orang politik, apakah yang perlu untuk kita tahu apa itu politik, bagaimana ia mencorak kita dan mengapa perlu ada politik? Tanpa politik kita tak boleh hidupkah? Tak amankah jika tak berpolitik? Tak wujudkah sebuah kerajaan jika tak berpolitik? Hanya dengan berpolitik sahajakah kerajaan akan wujud dan sesuatu sistem dapat diketengahkan? Dan juga amalan agama dapat ditegakkan hanya berkecimpung dalam politikkah?

Tapi biasanya berpolitik ini macam-macam perkara pelik yang berlaku dalam diri, dalam keluarga, dalam kampung, dalam masyarakat, dalam bandar, dalam negeri, dalam negara dan dalam dunia ini. Mungkin tanpa politik dunia ini akan aman dan damai.

Friday, February 25, 2011

Bila Aku Menginap Di Hotel

KERAPKALI juga aku menginap di hotel-hotel, samada yang berbintang sehingga yang tak berbintang, atas urusan rasmi atau tak rasmi. Tapi, perasan tak, bila berada di bilik hotel? Bukan kerana kemewahan yang ada dalam bilik yang berbintang atau hapaknya dalam bilik tak berbintang. Cuma perhatikan bila masuk ke dalam bilik hotel, ada tak ciri-ciri Islam ataupun berkonsepkan tentang Islam.

Contohnya dalam bilik air, yang kita nampak hanya mangkuk tandas. Macamana rupa mangkuk tandas tu, mangkuk cangkung atau mangkuk duduk? Kebiasaannya mangkuk duduk. Cuba perhatikan juga, ada tak kepala paip untuk membersih selepas kencing dan buang air besar? Jarang-jarang ada, kalau adapun baru dibuat atau disediakan gayung untuk membersih(itupun kena telefon operator dulu nak minta gayung).

Cuba perhatikan katil juga, adakah kedudukan katil tersebut menyebabkan kaki kita melunjurkan ke arah kiblat? Begitu juga dengan kedudukan mangkuk tandas tadi, adakah ia mengadap atau membelakangkan ke arah kiblat? Dan cuba perhatikan adakah arah penunjuk kiblat tu betul-betul menunjukkan ke arah kiblat yang sebenarnya?

Cuma aku nak beritahu sahaja, adakah pengamalan Islam dari sudut pemakaian terhadap muamalat seperti di hotel ada diketengahkan agar umumiat tentang pemakaian Islam dijadikan faktor untuk pembinaan hotel-hotel di Malaysia ini. Sebab ciri-ciri Islam ini perlu dikembangbiakkan di pemikiran arkitek-arkitek di Malaysia agar ia menjadi panduan untuk pembinaan bangunan dan dekorasi dalam bilik hotel juga.

Jadi, kedatangan kita ke hotel-hotel bukan sahaja untuk kita tinggal semata-mata tapi boleh untuk memberi nilai-nilai sentuhan Islam yang kukuh dari sudut pengamalan dan kesantunan terhadap pengamalan Islam walaupun di mana kita berada.

Paling kurangpun pengamalan Islam dapat dijenamakan secara langsung ataupun tak langsung dalam kita bermuamalat. Tapi bolehkah ia berlaku jika si pembina bangunan tidak memaksikan kecerdikannya membuat bangunan dan dekorasi bilik dengan kaedah Islam sebagai tuntunannya?

Itu baru merupakan fizikal yang perlu untuk kita amati tentang penghayatan Islam dalam kehidupan kita, bagaimana lagi tentang penyediaan makanan di hotel-hotel? Adakah mengikut syarak? Bagaimana dengan tukang masaknya, Islam atau tak Islam? Bekalan makanannya diambil dari pembekal mana, adakah pembekal Islam atau tak Islam, pembuat bekalan makanan itu adakah orang Islam yang buat atau tak Islam? Ditambah lagi dari segi penyediaan makanan, terutamanya proses-proses dari mula makanan itu disediakan, contohnya ikan, adakah dibuang perutnya, dibersihkan dengan air yang mengalir dan banyak lagi.

Jadi, kita orang Islam wajib untuk menceburkan diri dalam bidang ini agar kehalalan dan ciri-ciri Islam dijadikan landasan dan panduan untuk kita menegakkan muamalat dalam kehidupan seharian kita.

Tuesday, February 22, 2011

Mencari Cinta

CINTA.... mungkin ia lebih sinonim jika diperkatakan tentang hubungan antara lelaki dan wanita yang berkasih sayang, iaitu percantuman antara hati kedua pasangan yang hangat dalam perhubungan berkasih sayang. Dan setiap apa yang dibuat oleh pasangan akan menjadi pujaan, igauan, kesukaan, khayalan dan banyak lagi apa-apa yang ada kaitan dengan pasangan kita akan dikaitkan agar rasa cinta akan lebih tersentuh dan terasa hingga menusuk ke sanubari dan semakin akrab.

Mungkin itu bagi aku yang menafsirkan tentang cinta, ada juga yang menafsirkan cinta ini pengorbanan  dari segi masa, harta, diri dan macam-macam lagi pengorbanan di antara kedua-dua pasangan yang sanggup melakukan apa sahaja demi membahagiakan pasangan yang dicintai.

Mungkin juga ada yang menafsirkan cinta ini suatu luahan perasaan yang tidak boleh disamakan dengan benda-benda yang tak nampak ataupun dibandingkan dengan harta, pangkat, kuasa, kekayaan, kemiskinan, darjat dan banyak lagilah. Cinta bagi mereka ini suatu perasaan yang halus, yang boleh difahami oleh mereka yang telah jatuh cinta sahaja.

Dan mungkin juga ada yang menafsirkan cinta ini tuntutan antara pasangan yang berlainan jantina yang harus untuk mereka berpasangan yang merupakan lumrah kehidupan yang perlu untuk berpasangan dan bersama.

Mungkin juga cinta ini suatu perasaan yang lahir untuk membentuk keserasian antara pasangan untuk pasangan itu melayari kehidupan di dunia ini dan lahir atas kesamaan dari sudut minat, kehidupan dan perlakuan.

Kalau nak diluaskan lagi makna dan tafsiran cinta ni, ia sebenarnya luas tapi kebanyakan antara kita  beranggapan bahawa ia lebih kepada cerita tentang cinta antara lelaki dan wanita, Uda dan Dara, Qais Ameeri dan Laila, Romeo dan Juliet dan mana-mana pasangan yang ada di muka bumi ini.

Atas nama cinta jugalah, pelbagai lagu-lagu cinta telah tercipta, atas nama cinta jugalah filem-filem cinta diarahkan serta diterbitkan drama-drama cinta untuk menggambarkan bahawa cinta begitu tinggi nilainya sehinggakan semua manusia memperkatakannya.

 Tanpa cinta apalah ertinya, tak bemakna tanpa cinta jika hidup di dunia ini. Sehinggakan ramai yang sanggup mati demi cinta, terkorban demi cinta, kecewa demi cinta, terpedaya demi cinta, buta demi cinta, menangis demi cinta, sakit demi cinta dan cinta bagaikan mempunyai kuasa untuk mempengaruhi kehidupan orang yang bersama dan mendampingi cinta.

Tanpa cinta hidup seseorang kesunyian, kekosongan, kegersangan, kesepian, keseorangan, kegelisahan, mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur tanpa mengantuk ataupun kata seorang pujangga Urdu lebih kurangnya “...seorang yang bercinta tidak akan bercuti...”

Siapa, bagaimana dan apakah cinta sebenarnya? Tanpa wajah, tanpa bentuk, tanpa rupa, tanpa warna, tak bertubuh, tanpa anggota, tanpa suara dan tak punya perasaan. Cuma, orang yang bercinta sahaja yang tahu siapakah cinta itu? Sungguh ganjilnya cinta ini.

Cinta boleh membuat seseorang gembira, duka, sepi, rindu, sayang, pemarah, pendendam, benci, gelisah, risau, gila, sasau, miskin, kaya, ghairah, kuat, lemah, resah, bernafsu dan hilang identitinya.

Di dunia inilah terciptanya cinta ini, cuma  dengan siapa untuk kita  bercinta? Seorang wanita, lelaki, harta, pangkat, kuasa ataupun cinta dengan Yang Maha Esa?

Dan cinta yang bagaimana hendak kita ingini, cinta dengan lelaki atau wanita, bila dah jemu, tua, tak cantik, tak kacak lagi, akan hilang bila putus cinta, runtuhnya perkahwinan, bila pasangan mati dan tak berminat lagi.

Atau cinta dengan harta yang akan susut bila digunakan, akan ditinggalkan bila mati, yang akan berpindah milik atau dicuri.

Atau cinta dengan pangkat yang akan ditinggalkan bila pencen, dipecat dan bila tak diperlukan lagi oleh organisasi

Atau cinta dengan kuasa yang ditinggalkan bila orang tak memerlukan lagi, digulingkan, ditamatkan tempoh kuasa dan tak berkuasa lagi.

Atau cinta dengan Yang Maha Esa yang menciptakan cinta itu sendiri dan yang sentiasa kekal untuk dicintai tanpa batas dan tepian.

Aku dan kita semua boleh untuk memilih cinta bagaimanakah yang kita nak dekati dan ambil selagi roh masih berada dalam jasad kita ini.


Sunday, February 20, 2011

Ibu Segala Kebaikan

Agama dan usaha atas agama (Islam)...padi dan orang yang tanam padi...selipar dan orang yang buat selipar...lagu dan orang yang cipta lagu...anak dan orang yang membuat anak...

Adakah sama apa yang aku perbandingkan antara agama dan orang yang usaha atas agama ataupun orang buat dakwah...agama itu apa dan usaha atas agama itu apa? Adakah perbezaan yang nyata muncul di fikiran kita semua. Begitulah juga dengan padi dan orang yang tanam padi, selipar dan orang yang buat selipar, lagu dan orang yang cipta lagu dan anak dan orang yang buat anak.

Dua elemen yang berlainan tapi berkaitan antara satu sama lain, kita ambil contoh padi dan orang yang tanam padi. Padi merupakan makanan ruji kita semua, jika padi tiada, tak makan nasilah kita. Sebab nasi berasal dari padi dan kemudian menjadi beras dan beras itulah yang akan menjadi nasi bila dimasak nanti. Persoalanya, bagaimana padi terhasil?  Adakah ia tumbuh sendiri tanpa ada orang yang menanamnya?

Jadi, padi perlu ditumbuhkan dulu, proses pertumbuhan padi perlukan seseorang untuk membesarkan ia, perlu ditanam, disemai, dijagai, dialiri dan dipindah ke batas yang lain bila dah cukup matang pokok padi tersebut sehinggalah ia membesar dan mengeluarkan padi-padi tadi. Nak jadikan ia sebutir padi perlukan usaha atas padi tersebut, tanpa usaha padi takkan wujud dan kita takkan merasai nasi.

Begitulah juga dengan perkara-perkara yang di atas, ia mempunyai proses yang sama untuk menghasilkan benda-benda itu.

Menunjukkan kepada kita bahawa, kewujudan sesuatu yang kita nampak, yang kita gunakan, yang kita  rasakan dan yang kita amalkan perlu diusahakan dulu baru kita akan memperolehi sesuatu itu kelak. Jadi, proses ke  arah untuk mewujudkan sesuatu amat penting dari sesuatu yang wujud itu sendiri, tanpa usaha atas sesuatu itu pasti sesuatu itu takkan wujud dan takkan nampak oleh kita.

Begitulah usaha agama yang perlu untuk kita jalankan agar agama tak akan mati dan pupus di muka alam ini. Jika tiada lagi orang yang amalkan agama di dunia pasti dan pasti dunia ini Allah akan kiamatkan. (suatu masa kelak Allah akan kiamatkan jua dunia ini)

Berbalik kepada usaha atas agama tadi, jadi kita perlu untuk mewujudkan amalan agama dalam kehidupan kita agar nilai-nilai kebaikan akan datang dalam diri kita. Caranya hanyalah dengan usaha atas agama (iman dan amal), maka terbentuk agama jika tidak, agama tidak wujud dalam diri kita semua, dalam keluarga, dalam masyarakat, dalam negara dan dalam alam semesta ini.

Kewujudan agama sebenarnya, mewujudkan nilai-nilai yang baik atau positif dan ketidakwujudan agama mewujudkan nilai-nilai yang tidak baik atau negatif. Nilai-nilai yang tak baik atau negatif sebenarnya tidak wujud, yang wujud hanyalah nilai-nilai yang baik dan positif.Apabila tiada usaha atas agama, maka wujudlah nilai-nilai yang tidak baik atau negatif itu.

Jelas menunjukkan, usaha atas agama ataupun dakwah merupakan suatu platform yang amat penting dalam menegakkan amalan agama itu, jika tidak kewujudan amalan agama tidak terjadi bila tiada orang yang usaha atas agama. Oleh itu, kita sebagai umat nabi s.a.w. perlu untuk membuat suatu kerja yang begitu tinggi dan mulia yang tiada tara bandingnya dengan kerja-kerja lain. Insya-Allah, marilah kita jadikan usaha atas agama atau dakwah sebagai maksud hidup kita.


Tuesday, February 15, 2011

Fatwa Daripada Orang-Orang Yang Jahil - Sesat Dan Menyesatkan Orang Lain

TELAH diriwayatkan daripada Abdullah Ibn 'Amr r. 'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Allah Ta'ala tidak mengangkat ilmu daripada dada (hati) ulamak-ulamak tetapi ilmu akan diangkat (dihilangkan melalui kematian para ulamak), sehingga Allah Ta'ala tidak akan meninggalkan seorang alim pun hidup di dunia ini. Kemudian orang ramai akan menjadikan seorang yang jahil sebagai ketua mereka. Mereka sendiri akan sesat dan menyesatkan orang lain."
(Bukhari)

Tersebut di dalam hadis yang lain bahawa salah satu daripada tanda Kiamat ialah ilmu itu akan diangkat.
(Ibid, Jilid 1, ms. 18)

Lagi tersebut di dalam hadis yang lain bahawa ilmu akan berkurangan dan kejahilan akan meningkat. Bilangan wanita akan bertambah ramai. Orang lelaki akan berkurangan bilangannya, seorang lelaki terpaksa mengambil tanggungjawab menanggung limapuluh orang wanita.
(Ibid)

Hadis ini hendaklah dipertimbangkan sejajar dengan dua hadis sebelum ini. Para ulamak akan terjerumus ke dalam fitnah dan menjadi mangsanya. Aku telah membuktikan menurut kekuatan hadis-hadis lain betapa golongan ulamak yang demikian yang telah memperolehi agama hanya semata-mata untuk memperolehi keduniaan. Akibatnya, orang ramai akan terjebak ke dalam fitnah. Nilai dan penghormatan ke atas ulamak akan terkeluar daripada hati orang ramai. Mereka juga (akibat daripada itu) tidak akan menghormati ulamak yang hak. Mereka akan menghina ulamak jenis ini, menyakitkan hati mereka dan mencerca mereka. Allah Ta'ala akan bertindak menerusi sifat Ghairah-Nya (Sifat Keagungan-Nya) sehingga bilangan ulamak yang baik ini akan berkurangan di dalam dunia ini. Berkat ilmu telah ditarik. Apabila ulamak hak ini telah kembali kepada Allah, tidak ada lagi yang dapat mengganti tempat mereka yang telah kosong itu.

Lihatlah sekilas ke belakang kira-kira 60-70 tahun dahulu (dikira daripada kitab ini dikarang) apa yang di India. Bintang-bintang ilmuan dan amalan telah menyinari di angkasa Deoband, Saharanpur, Thanabhavan, Raipur dan Delhi. (Khanqah seperti pondok-pondok di Malaysia) penuh dengan orang ramai. Tetapi Deoband telah kosong setelah kematian Syeikhul Islam Maulana Ahmad Madani. Satu kehilangan yang tidak dapat diganti. Khanqah-khanqah di Thanabhavan dan Raipur telah ditutup.

Seorang demi seorang ulamak yang mempunyai lautan ilmu telah meninggal dunia. Madrasah-madrasah telah tumbuh dengan banyaknya, begitulah juga orang-orang yang mengejar sijil. Aduh! Merekalah alim-alim yang hanya mempunyai semangkuk ilmu. Jika para ulamak terus-terusan dihina, maka hari itu tidaklah jauh di mana tidak akan wujud lagi alim ulamak di dalam dunia. Tanggungjawab itu akan diberi kepada golongan jahil yang akan membuat keputusan dan mengeluarkan fatwa menurut kehendak dan keinginan mereka. Dengan ini mereka sendiri sesat dan menyesatkan orang lain.

Termaktub di dalam hadis ini bahawa ilmu itu tidak akan dicabut daripada hati para ulamak dan bukan juga huruf dan cetakan-cetakan Al Quran, tetapi akan dicabut dengan matinya para alim ulamak. Tatkala aku mengajar hadis ini kepada murid-muridku, aku memberitahu kepada mereka bahawa jikalaulah masyarakat menjalani keadaan hidup yang begini maka ulamak-ulamak yang hidup pada hari ini juga akan habis riwayat mereka selepas 20-25 tahun daripada sekarang.

Malahan sekarang juga kita menghadapi kekurangan ulamak-ulamak yang baik dan taqwa, berilmu, soleh dan imam-imam yang berkecuali. Jikalau keadaan masyarakat terus-menerus sebagaimana hari ini, maka hari demi hari bilangan mereka akan terus berkurangan. Lantaran itu aku memohon agar para pembaca memberikan perhatian dan penghormatan kepada orang 'alim dan imam-imam.

Bab 57, Meniti Debaran Zaman - Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan : Abdul Aziz Bin Abdul Hamid

Saturday, February 5, 2011

Siapa Nak Kaya?

ADAKAH kita pernah terfikir dan termimpi yang bila kita mempunyai kekayaan, apakah akan kita buat dengan kekayaan yang ada itu?

Biasanya atau sekarang ini mungkin ada yang terfikir di kepala otak, bila mempunyai kekayaan yang banyak tentu kita akan membeli pelbagai barangan yang tak mampu untuk kita beli semasa kita tidak mempunyai wang. Aku rasa yang pertama kali kita nak beli tentunya rumah yang besar, kenderaan yang mahal atau mewah. Kalau takpun, kita akan gunakan kekayaan yang ada untuk kita membuka perniagaan ataupun jika seorang kakitangan kerajaan pasti dia akan berhenti kerja dan hanya goyang kaki sahaja.

Kita beranggapan jika kita mempunyai kekayaan kita berkemampuan untuk membeli apa sahaja yang ada di dunia ini. Adakah betul dengan kekayaan boleh untuk kita membeli segala apa yang kita ingini akan diperolehi?

Kekayaan, banyak yang menafsirkan seseorang yang mempunyai wang yang banyak dan dapat memperolehi apa yang dihajati dengan mudah dengan perantaraan wang yang ada. Ia juga boleh memanipulasikan keadaan dengan perantaraan wang yang dimilikinya. Dengan kata mudah dia boleh buat apa sahaja yang diingininya pasti dapat jika ada wang. Jadi, sebab itulah orang inginkan kekayaan agar apa yang dihajati akan dipenuhi dengan perantaraan kekayaan tadi.

Tetapi bagi seorang yang miskin kekayaan baginya apabila ia memiliki wang RM1,000.00 pun ia sudah merasakan dia sudah kaya sebab baginya ia mempunyai nilai yang tinggi. Dan bagi seorang remaja, jika dia mempunyai wang sebanyak RM100.00 dia beranggapan dia sudah kaya kerana nilai wang itu disisi begitu tinggi dan jika seorang kanak-kanak memperolehi wang sebanyak RM10.00, dia beranggapan dia sudah kaya kerana nilai wang itu disisinya sudah begitu tinggi. Adakah dengan nilai wang atau situasi seseorang mengukur kekayaan seseorang itu?

Mungkin dari segi kebendaan dan jasmani, kekayaan yang ada boleh untuk mewujudkan segala keinginan yang dimahukan dan dinampakkan dengan mata kasar.

Tetapi, persoalannya adakah kekayaan boleh memberi dan memenuhi keinginan dan kehendak yang mutlak dalam diri manusia itu? Ini satu persoalan yang sukar untuk kita fahami dari konteks kepuasan dalaman mahupun luaran.

Mungkin ada di luar sana, beberapa kerat dari manusia yang mempunyai kekayaan yang melimpah-ruah namun kepuasan dalam dirinya masih belum dipenuhi dengan secukupnya, luaran mahupun dalaman. Mengapakah perkara ini berlaku, dari segi logik akal manusia, jika dah kaya seseorang itu mudahlah, senang, tenang, tak perlu nak memikirkan lagi perkara-perkara yang merunsingkan, cuma memikirkan apa sahaja yang diingini dalam hati. Tetapi ia tak berlaku, keadaan sebaliknya sering memburu diri dan kehidupannya.

Bertititk-tolak dari situlah kita ketahui bahawa kekayaan yang ada pada setiap manusia bukan jaminan atau ukuran ataupun tanda bahawa dia berjaya memperolehi semua yang dihajatinya. Kekayaan yang wujud hanyalah bebanan yang perlu untuk kita mengurus dan mentadbir ia agar  lebih sistematik pada ukuran dunia dan memberi ganjaran yang besar di akhirat jika digunakan mengikut kehendak Allah dan Rasul-Nya.

Jadi, ada pula yang mengatakan bahawa orang yang kaya adalah yang tiada mempunyai hutang dengan sesiapapun walaupun tidak mempunyai apa-apa hartapun dan orang yang tidak kaya adalah yang mempunyai hutang dengan sesiapapun walaupun mempunyai harta yang banyak tapi diperolehi dengan hutang. Dalam konteks hutang, barang yang kita miliki seperti kereta, rumah dan pelbagai lagi jika masih ada hutang sebenarnya bukan miliki kita yang sah.

Jadi, siapa sebenarnya yang kaya ni? Orang yang berhutang untuk mendapatkan harta atau yang dihajatinya ataupun orang yang tidak berhutang untuk mendapatkan harta atau yang dihajatinya ataupun yang tidak berhutang dan tidak mempunyai harta dan tidak menghajati sesuatu?(Jika seseorang menghajati sesuatu dia merupakan fakir, orang tidak menghajati sesuatu dia bukan fakir, siapakah fakir sekarang?).

Tetapi banyak juga majalah yang dikeluarkan mengatakan si anu tu paling kaya di dunia, ataupun di asia, ataupun di Malaysia, jadi adalah orang kaya itu? Tetapi kaya macamana ya?

Tetapi kekayaan juga boleh kita rujuk dari sudut kaya anak, kaya dengan senyuman, kaya kasih sayang, kaya dengan pertolongan, kaya isteri(poligamilah tu), kaya dengan umur dan banyak lagi kaya rupanya. Tetapi kekayaan sebegini tiada pengikhtiran dari manusiapun. Mungkin juga ia sukar diukur kerana ia satu yang subjektif dan amalan yang hanya wujud bila seseorang itu mempunyai kekuatan dalaman yang hebat.

Kesimpulannya, kaya atau tak kaya bukanlah suatu yang penting, yang pentingnya kayakan diri kita dengan amalan agama agar kekayaan yang sejati akan datang dalam setiap gerak-geri kehidupan seharian kita.



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...