Tuesday, February 22, 2011

Mencari Cinta

CINTA.... mungkin ia lebih sinonim jika diperkatakan tentang hubungan antara lelaki dan wanita yang berkasih sayang, iaitu percantuman antara hati kedua pasangan yang hangat dalam perhubungan berkasih sayang. Dan setiap apa yang dibuat oleh pasangan akan menjadi pujaan, igauan, kesukaan, khayalan dan banyak lagi apa-apa yang ada kaitan dengan pasangan kita akan dikaitkan agar rasa cinta akan lebih tersentuh dan terasa hingga menusuk ke sanubari dan semakin akrab.

Mungkin itu bagi aku yang menafsirkan tentang cinta, ada juga yang menafsirkan cinta ini pengorbanan  dari segi masa, harta, diri dan macam-macam lagi pengorbanan di antara kedua-dua pasangan yang sanggup melakukan apa sahaja demi membahagiakan pasangan yang dicintai.

Mungkin juga ada yang menafsirkan cinta ini suatu luahan perasaan yang tidak boleh disamakan dengan benda-benda yang tak nampak ataupun dibandingkan dengan harta, pangkat, kuasa, kekayaan, kemiskinan, darjat dan banyak lagilah. Cinta bagi mereka ini suatu perasaan yang halus, yang boleh difahami oleh mereka yang telah jatuh cinta sahaja.

Dan mungkin juga ada yang menafsirkan cinta ini tuntutan antara pasangan yang berlainan jantina yang harus untuk mereka berpasangan yang merupakan lumrah kehidupan yang perlu untuk berpasangan dan bersama.

Mungkin juga cinta ini suatu perasaan yang lahir untuk membentuk keserasian antara pasangan untuk pasangan itu melayari kehidupan di dunia ini dan lahir atas kesamaan dari sudut minat, kehidupan dan perlakuan.

Kalau nak diluaskan lagi makna dan tafsiran cinta ni, ia sebenarnya luas tapi kebanyakan antara kita  beranggapan bahawa ia lebih kepada cerita tentang cinta antara lelaki dan wanita, Uda dan Dara, Qais Ameeri dan Laila, Romeo dan Juliet dan mana-mana pasangan yang ada di muka bumi ini.

Atas nama cinta jugalah, pelbagai lagu-lagu cinta telah tercipta, atas nama cinta jugalah filem-filem cinta diarahkan serta diterbitkan drama-drama cinta untuk menggambarkan bahawa cinta begitu tinggi nilainya sehinggakan semua manusia memperkatakannya.

 Tanpa cinta apalah ertinya, tak bemakna tanpa cinta jika hidup di dunia ini. Sehinggakan ramai yang sanggup mati demi cinta, terkorban demi cinta, kecewa demi cinta, terpedaya demi cinta, buta demi cinta, menangis demi cinta, sakit demi cinta dan cinta bagaikan mempunyai kuasa untuk mempengaruhi kehidupan orang yang bersama dan mendampingi cinta.

Tanpa cinta hidup seseorang kesunyian, kekosongan, kegersangan, kesepian, keseorangan, kegelisahan, mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur tanpa mengantuk ataupun kata seorang pujangga Urdu lebih kurangnya “...seorang yang bercinta tidak akan bercuti...”

Siapa, bagaimana dan apakah cinta sebenarnya? Tanpa wajah, tanpa bentuk, tanpa rupa, tanpa warna, tak bertubuh, tanpa anggota, tanpa suara dan tak punya perasaan. Cuma, orang yang bercinta sahaja yang tahu siapakah cinta itu? Sungguh ganjilnya cinta ini.

Cinta boleh membuat seseorang gembira, duka, sepi, rindu, sayang, pemarah, pendendam, benci, gelisah, risau, gila, sasau, miskin, kaya, ghairah, kuat, lemah, resah, bernafsu dan hilang identitinya.

Di dunia inilah terciptanya cinta ini, cuma  dengan siapa untuk kita  bercinta? Seorang wanita, lelaki, harta, pangkat, kuasa ataupun cinta dengan Yang Maha Esa?

Dan cinta yang bagaimana hendak kita ingini, cinta dengan lelaki atau wanita, bila dah jemu, tua, tak cantik, tak kacak lagi, akan hilang bila putus cinta, runtuhnya perkahwinan, bila pasangan mati dan tak berminat lagi.

Atau cinta dengan harta yang akan susut bila digunakan, akan ditinggalkan bila mati, yang akan berpindah milik atau dicuri.

Atau cinta dengan pangkat yang akan ditinggalkan bila pencen, dipecat dan bila tak diperlukan lagi oleh organisasi

Atau cinta dengan kuasa yang ditinggalkan bila orang tak memerlukan lagi, digulingkan, ditamatkan tempoh kuasa dan tak berkuasa lagi.

Atau cinta dengan Yang Maha Esa yang menciptakan cinta itu sendiri dan yang sentiasa kekal untuk dicintai tanpa batas dan tepian.

Aku dan kita semua boleh untuk memilih cinta bagaimanakah yang kita nak dekati dan ambil selagi roh masih berada dalam jasad kita ini.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...