Tuesday, August 31, 2010

Salam Kemerdekaan

MUNGKIN detik kemerdekaan malam ini anak-anak aku lena dibuai mimpi, malam ini terpancar percikan bunga api menandakan kesedaran tentang kemerdekaan. Dan malam ini terlihat anak-anak muda berkeliaran di jalan raya meraikan kemerdekaan negara dengan pelbagai acara, di pub, di tepi jalan dan pelbagai lagi keraian yang dibuat untuk memberi makna itulah merdeka.

Cuma dapat aku ucapkan merdekakan diri dari nafsu dan syaitan...

Wednesday, August 25, 2010

Persoalan Tentang Suasana

PENULISAN yang berlaku kekadang terdorong oleh suasana yang berlaku di sekitar kita. Suasana puasa, orang akan terdorong bagaimana nak tulis tentang suasana puasa yang sedang berlaku pada masa itu. Aku tak pasti, adakah ia memang dah terpahat dalam minda penulis-penulis semua, bahawa perlu tulis tentang suasana yang sedang berlaku atau pemikiran masyarakat pada masa itu dah terfokus dengan suasana yang berlaku pada waktu itu lantas mengajak si penulis untuk menulis apa yang berlaku pada masa itu.

Ataupun, suasana yang ada mungkin menambahkan lagi minat untuk si pembaca untuk membaca apa yang berlaku pada masa itu, jadi si penulis nak juga penulisan mereka disinggahi oleh pembaca yang inginkan cerita yang ada suasananya.

Ataupun, si pembaca inginkan sesuatu yang baru dari yang telah mereka baca sebelumnya, jadi ia ada nilai masa dan perwatakannya serta lokasinya dengan dihidangi dengan tulisan yang tarikhya pada waktu itu dengan berlanskapkan watak dan lokasi yang berbeza.

Bagi aku, suasana yang terjadi itu hanyalah ulangan dan ia akan terus berulangan selagi dunia ini masih Allah kekalkan. Cuma yang membezakan hanyalah watak-watak yang berlainan dan tarikh-tarikh yang dah berubah dari hari ke hari. Suasananya masih lagi sama dan serupa.

Maksudnya bahawa cerita/filem yang sama, cuma tarikh cerita/filem itu dibuat berlainan, watak yang berlainan dan lokasi yang berlainan jadi ia nampak segar dengan solekan yang menarik.

Begitulah adanya kebanyakan penulisan yang berlaku, perkara yang sama akan diulangi, contohnya suasana solat sunat tarawih, bazar Ramadhan yang menjual pelbagai kuih muih, orang tidak berpuasa, yang membuat maksiat di bulan puasa, para artis akan membuat program masak-masak pada bulan ramadhan, terdapatnya hotel-hotel yang mensajikan makanan yang tidak halal bagi berbuka puasa, budak yang cedera kena mercun buatan sendiri, kemalangan jalanraya, kisah sedih si miskin yang perlu ditolongi dan banyak lagi cerita-cerita yang berkaitan dengan perihal pada bulan puasa.

Mungkin nak tunjukkan kepada kita bahawa pada bulan itu akan berlaku cerita-cerita sebegitu dan jika beralih bulan berikutnya akan berlaku pula  cerita-cerita lain. Adakah begitu kejadian berlaku berdasarkan bulan-bulan yang ada atau suasana? Dan penulis-penulis pula mengambil kesempatan yang ada untuk menulis penulisan mereka berdasarkan suasana yang berlaku pada masa itu kerana ada nilai untuk dibaca oleh pembaca.

Yang aku nak fokuskan adalah perkataan suasana, adakah dengan ada suasana semua perkara di dunia ini akan berwarna tanpa suasana dunia ini tak berwarna?

Atau lebih dekat dengan perkataan suasana adalah persekitaran. Maknanya persekitaran kita yang membentuk keadaan masyarakat kita, kalau persekitaran pada masa itu persekitaran maksiat, maka orang akan membuat maksiat. Jika persekitaran pada masa itu penuh dengan ibadat, maka orag akan beribadat semuanya.

Tapi jika kita lihat keadaan yang aku katakan tadi, iaitu pada bulan puasa berlaku keadaan yang berbagai-bagai, ada yang beribadat, ada yang berniaga, ada pula orang yang bermaksiat dan ada yang kemalangan pada masa itu. Jadi persekitaran yang kita harap kepada rahmat menjadi bermacam-macam perkara yang tak baik berlaku, begitu songsang suasananya.

Yang pasti, kita mudah terkesan dengan suasana di sekitar kita dan atas dorongan suasana yang ada akan memberi pergerakan untuk seseorang melakukan tindakannya.

Persoalannya, adakah perlu untuk kita terkesan dengan suasana(kita dipengaruhi oleh suasana) atau kita yang mewarnai atau mempengaruhi suasana di sekitar kita? Siapakah yang mendominasi siapa, kita atau suasana?

Kita makhluk, suasana pun makhluk, pembentuk mutlak kepada suasana adalah Allah s.w.t., ....noktah.

Thursday, August 19, 2010

Meluruskan Tulang Rusuk Dengan Kasih Sayang

DALAM seminggu ini, aku rasa Kuala Lumpur sering disirami hujan, terutamanya sebelah petang dan kadang-kadang hujan akan datang pada waktu malam. Tengahari juga sering diserami hujan. Aku rasa pada bulan Ramadhan ini, jka hujan turun amat baik sekali. Puasa dalam keadaan yang selesa tanpa mujahadah kerana kelembaban yang dialami.

Cuma mujahadah mata sahaja yang sering aku alami di sini kerana keluar sahaja dari pejabat maka akan terlihatlah paha-paha yang melepak, dengan skirt yang pendek yang boleh menerjah iman, dan juga dengan seluar yang sendat menampakkan punggung-punggung yang bugar.(tak keluar rumahpun aku rasa kita boleh melihat pandangan-pandangan sebegitu - gunakan internet). Situasi begini sering berlaku tatkala aku nak jaga kesempurnaan puasa aku, ...yang sering aku dengar fatwa bahawasanya sekali pandang tak mendatangkan dosa tapi jika kali kedua dosa akan tertulis...jika ikutkan takwa jangan pandang terus, Insya-Allah selamatlah iman kita. Tapi, sebagai seorang lelaki yang pasti terkulai dengan terjahan yang mengiurkan oleh gadis-gadis, wanita-wanita dan isteri-isteri yang menayangkan benda-benda yang sepatutnya disembunyikan tapi dikeluarkan juga.

Kebanyakkan lelaki yang ada di muka bumi ini jatuh kerana seorang wanita, paling sering kita dengar kisah Nabi Adam a.s. yang tersungkur dengan pujukan Hawa lantas Allah telah singkirkan baginda ke muka bumi ini dan terkeluarlah Nabi Adam a.s. dari syurga. Ia juga ada kaitan dengan hasutan Iblis melalui Hawa untuk memujuk Nabi Adam a.s. memakan buah pokok yang dilarang oleh Allah ke atas Nabi Adam a.s.
Begitulah seterusnya dengan lelaki-lelaki yang ada sekarang yang akan dan mudah terkulai dengan pujukan seorang wanita.

Wanita-wanita yang ada di muka bumi ini sebenar mampu merubah dunia walaupun secara fizikal mereka ini lemah tapi berapa ramai lelaki-lelaki yang masuk penjara dunia kerana pujukan mereka yang memukau, yang boleh menyebabkan lelaki kehilangan akal sihatnya yang menjerumuskan mereka-mereka ke lembah yang hina.

Namun, bagi aku wanita-wanita akan menjadi pembantu-pembantu lelaki jika agama dijunjung atas gemalai mereka dan meneriak ke arah suami-suami, ayah-ayah, abang-abang, adik-adik dan anak-anak mereka untuk menjadi raja-raja di syurga..Amru bin Jamuh yang lumpuh menjadi masyhur di langit asbab isterinya berteriak: "pergilah suamiku bersama anak-anak, janganlah kamu menjadi pengecut"... merupakan seruan untuk berjihad di jalan Allah. Cuma aku musykil dengan wanita-wanita yang ada sekarang ini, masih adakah wujudnya wanita-wanita yang sebegini?

Dan aku sebagai seorang lelaki, adakah aku membimbingi isteri-isteriku, anak-anak perempuanku untuk menjadi seperti isteri-isteri para sahabat r. 'anhuma? Adakah aku telah menunaikan tanggungjawab aku?

Wednesday, August 18, 2010

Kelebihan Puasa Dari Sudut Kesihatan

BULAN Ramadhan yang mulia ini iaitu ibadah puasa  banyak mendatangkan kebaikan untuk umat Islam di akhirat jika diamalkan dengan sempurna dan penuh keinsafan. Namun bagaimana dengan kebaikan di dunia ini, jadi di bawah ini aku ambil artikel dari www.isuhangat.net untuk dikongsi bersama apa yang telah dikaji oleh para cendekiawan tentang amalan puasa ini. Cuma tajuk asal aku ubah daripada Kelebihan Puasa Dari Sudut Sains kepada Kelebihan Puasa Dari Sudut Kesihatan.

Puasa memiliki banyak hikmah dan manfaat untuk tubuh, ketenangan jiwa, dan kecantikan. Semasa berpuasa, organ-organ tubuh dapat beristirehat dan sel dalam tubuh boleh berkumpul untuk bertahan. Puasa juga boleh mengeluarkan kotoran, toksin/racun dari dalam tubuh, meremajakan sel-sel tubuh dan menggantikan sel-sel tubuh yang sudah rosak dengan yang baru serta untuk memperbaiki fungsi hormon, menjadikan kulit sihat dan meningkatkan daya tahan tubuh kerana manusia mempunyai kemampuan terapi secara semulajadi.

Puasa dapat membuat kulit menjadi segar, sihat, lembut, dan berseri. Kerana setiap saat tubuh mengalami metabolisme tenaga, iaitu peristiwa perubahan dari energi yang terkandung dalam zat gizi menjadi tenaga potensi dalam tubuh. Sisanya akan disimpan di dalam tubuh, sel ginjal, sel kulit dan kelopak mata serta dalam bentuk lemak dan glikogen.

Beberapa cendekiawan telah melakukan beberapa ujian tentang puasa diantaranya secara ringkas dibawah ini:


Allan Cott, M.D.

Seorang pakar dari Amerika Syarikat, telah menghimpun hasil pengamatan dan penelitian para ilmuwan berbagai negara, lalu menghimpunnya dalam sebuah buku Why Fast iaitu berbagai hikmah puasa, antara lain: 

a. To feel better physically and mentally (merasa lebih baik secara fizikal dan mental).
b. To look and feel younger (merasa lebih muda).
c. To clean out the body (membersihkan badan)
d. To lower blood pressure and cholesterol levels (menurunkan tekanan darah dan kadar lemak)
e. To get more out of sex (lebih mampu mengendalikan seks).
f.  To let the body health itself (membuat badan sihat dengan sendirinya).
g. To relieve tension (mengendurkan ketegangan jiwa).
h. To sharp the senses (menajamkan fungsi sense).
i.  To gain control of oneself (memperolehi kemampuan mengendalikan diri sendiri).
j.  To slow the aging process (memperlambat proses penuaan).

Dr. Yuri Nikolayev

Pengarah bahagian diet di Moscow menilai kemampuan untuk berpuasa yang mengakibatkan orang yang menjalaninya boleh menjadi awet muda, sebagai suatu penemuan (ilmu) terbesar abad ini. Beliau mengatakan: what do you think is the most important discovery in our time? The radioactive watches? Exocet bombs? In my opinion the bigest discovery of our time is the ability to make onself younger phisically, mentally and spiritually through rational fasting. (Menurut pendapat anda, apakah penemuan terpenting pada abad ini? Jam radioaktif? Bom exoset? Menurut pendapat saya, penemuan terbesar dalam abad ini ialah kemampuan seseorang membuat dirinya tetap awet muda secara fizikal, mental, dan spiritual, melalui puasa yang rasional).

Alvenia M. Fulton

Direktor Lembaga Makanan Sihat “Fultonia” di Amerika Syarikat menyatakan bahawa puasa adalah cara terbaik untuk memperindah dan mempercantik wanita secara semulajadi. Puasa menghasilkan kelembutan pesona dan daya pikat. Puasa menormalkan fungsi-fungsi kewanitaan dan membentuk kembali keindahan tubuh (fasting is the ladies best beautifier, it brings grace charm and poice, it normalizes female functions and reshapes the body contour).


Muzam MG, Ali M.N dan Husain

Berpendapat bahawa puasa juga selamat untuk pesakit yang mempunyai gangguan ulser. Penelitian dilakukan oleh Muzam MG, Ali M.N dan Husain dalam tindakan terhadap kesan puasa ramadhan terhadap sakit perut.


Elson M. Haas M.D.

Direktor Medical Centre of Marin (sejak 1984) mengatakan dalam puasa merupakan bahagian dari trilogy nutrision, balancing, building( toning). Elson percaya bahwa puasa adalah bahagian yang hilang “missing link” dalam diet di dunia barat. 

Kebanyakan orang di barat over eating atau terlalu banyak makan, makan dengan protein yang berlebihan dan lemak yang berlebihan. Sehingga ia menyarankan agar orang lain mulai mengatur makanannya agar lebih seimbang dan mulai berpuasa, kerana puasa bermanfaat sebagai: purifikasi, peremajaan, istirahat pada organ pencernaan, anti aging, mengurangi alergi, mengurangi berat badan, mengawal mental dan emosi, perubahan kebiasaan dari kebiasaan makan yang buruk menjadi lebih seimbang dan lebih terkawall, meningkatkan daya tahan tubuh.

Puasa dapat mengubati penyakit seperti Influeza, bronkitis, diare, konstipasi, alergi makanan, asma, aterosklerosis, penyakit jantung koroner, hipertensi, diabetes, obesitas, kanker, epilepsi, sakit pada punggung, sakit mental, angina pectoris (sakit dada kerana jantung), panas dan insomnia.


Dr Sabah al-Baqir dan kawan-kawan

Mengatakan bahawa puasa dapat mengurangi jumlah hormon melawan stress. Dia bersama kumpulan dari Falkuti kedoktoran Universiti King Saud yang melakukan studi terhadap hormon prolaktin, insulin dan kortisol, pada tujuh orang laki-laki yang berpuasa sebagai sampel. Hasilnya bahawa tidak ada perubahan signifikan pada level kortisol. Prolaktin, dan insulin. Ini menunjukkan bahawa puasa bulan ramadhan bukanlah pekerjaan yang memberatkan, dan tidak mengakibatkan tekanan mental maupun saraf.


Dr Riyadh Sulaiman dan kawan-kawan

Tahun 1990 dari RS Universiti King Khalid, Riyadh Saudi melakukan penelitian terhadap pengaruh puasa Ramadhan terhadap 47 penderita diabetes tahap kedua (pesakit yang tidak tergantung insulin). Dan sejumlah orang sihat. Hasil penelitian menunjukkan bahawa puasa bulan ramadhan tidak menimbulkan penurunan berat badan yang signifikan. Tidak ada pengaruh apapun yang bererti pada kawalan penyakit diabetes diabetes dikalangan penderita ini. Sejauh ini puasa Ramadhan selamat sahaja bagi penderita diabetes sejauh dilakukan dengan kesedaran dan kawalan makanan serta ubat-ubatan.


Dr. Muhammad Munib

Dan kawan-kawan dari Turki juga melakukan sebuah kajiselidik terhadap seratus responden muslim. Sampel darah mereka diambil sebelum dan diakhir bulan ramadhan, untuk dilakukan analisis dan pengukuran terhadap kandungan protein, total lemak (total lipid), lemak fosfat, asam lemak bebas, kolesterol, albumin, globulin, gula darah, tryglycerol, dan unsur-unsur pembentuk darah lainnya dan didapat, antara lain bahwa terjadi penurunan umum pada kadar gula (glukosa) dan tryacyglicerol orang yang berpuasa, terjadinya penurunan parsial dan ringan pada berat badan, tidak terlihat adanya aseton dalam urin, baik dalam awal maupun akhir puasa, sebab sebelum puasa ramadhan, kenyataan ini menegaskan tidak adanya pembentukan zat-zat keton yang berbahaya bagi tubuh selama bulan puasa Islam. 

Dengan keutamaan puasa, glikogen dalam tubuh mengalami peremajaan, memompa gerakan lemak yang tersimpan, sehingga menghasilkan energi yang lebih meningkat.

Sejak zaman dulu puasa dipakai sebagai pengubatan yang terbaik seperti kata Plato bahwa puasa adalah untuk mengubati sakit fizikal dan mental. Philippus Paracelsus mengatakan bahwa “Fasting is the greatest remedy the physician within!”


Puasa sudah diakui menjadi penyembuh terhebat dalam menangani penyakit, bahkan di Amerika ada pusat puasa yang diberi nama “Fasting Center International, Inc”, Director Dennis Paulson yang berdiri sudah sejak 35 tahun yang lalu, dengan pesakit dari 220 negara. Yang mencadangkan Puasa dalam:

(1) program penurunan berat badan,
(2) mengeluarkan toxin tubuh,
(3) puasa dapat memperbaiki energy, kesehatan mental, kesihatan fisik dan yang paling terpenting meningkatkan kualiti hidup.


Posted @ www.isuhangat.net . Wallahualam.

Monday, August 16, 2010

Wanita Sebesar-Besar Fitnah. Wanita Bertelanjang Pada Masa Hampir Kiamat



KENYATAAN Rasulullah s.a.w.:
“Terdapat dua jenis manusia di kalangan ummatku yang tidak akan memasuki syurga dan tidak sama sekali mencium bau syurga walaupun jarak datangnya haruman syurga itu 500 tahun, iaitu pertamanya ialah mereka yang di tangannya ada tali cambuk menyerupai ekor lembu (yang mereka gunakan secara zalim untuk mencemeti orang ramai). Kedua ialah ramai di antara wanita walaupun mereka memakai pakaian namun kelihatan seperti telanjang. Mereka akan tergoda dengan orang asing dan orang asing akan tergoda dengan mereka. Mereka akan menaikkan tengkuk mereka tatkala berjalan.”
(Muslim Jilid 4)

Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tidaklah aku tinggalkan selepasku akan fitnah bagi lelaki yang terlebih besar daripada fitnah wanita.”
(Hadis)

Rasulullah s.a.w. menegah lelaki pergi mengunjungi rumah wanita asing. Seorang bertanya kepada baginda, “Walaupun yang pergi itu adik atau abang si suami?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Dia adalah seumpama maut bagi wanita tersebut.”
(Bukhari)

Sebagaimana sukar bagi seseorang itu untuk menyelamatkan dirinya daripada maut, jika seseorang wanita itu tidak mengambil berat dengan purdah (atau aurat) di depan iparnya samada yang tua atau muda maka berkemungkinan besar risiko yang dia akan terjebak ke dalam dosa.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Wanita itu adalah sesuatu yang perlu disembunyikan. Jikalau dia keluar, maka syaitan akan memandang kepadanya dan berusaha untuk menyesatkannya.”
(Tirmizi)

Renungilah sabdaan-sabdaan Rasulullah s.a.w. dalam hubungannya dengan keadaan semasa ini. Selain Eropah, Amerika, Kanada dan lain-lainnya apakah keadaan negara kita sekarang ini? Tidak menutupi aurat, langsung tidak ada perasaan malu, tidak bermaruah, pakaian yang terkebawah daripada leher. Yang menampakkan aurat dada dan menampakkan bentuk badan, fesyen rambut yang mempesonakan, penggunaan barang-barang solek yag melampau.

Dengan tingkah laku dan peragaan yang demikian, maka wanita menjadi objek tontonan mata di mana-mana; di kedai-kedai, pawagam, taman-taman dan sebagainya. Kelakuan dan tuju arah beginilah yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. bahawa wanita yang sedemikianlah yang condong kearah menggoda orang asing dan orang asing juga tergoda dengan mereka. Fitnah ini semakin meningkat hari demi hari dan akan terus meningkat.

Tetapi kewujudan wanita-wanita yang solehah adalah seumpama satu titik di dalam suatu baldi adalah merupakan satu rahmat.

Adalah diriwayatkan daripada Ummi Salamah r. ‘anha bahawa suatu malam Rasulullah s.a.w. terbangun daripada tidur lalu menyebut “Subhanallah” dan baginda bersabda:
“Berapa banyak fitnah yang telah turun pada malam ini! Berapa banyak khazanah yang telah dibuka pada malam ini!  Bangunlah wanita yang ada di dalam ruang lingkup ini kerana kebanyakkan wanita yang berpakaian di dunia ini akan bertelanjangan pada Hari Kiamat!”
(Bukhari Jilid 1, ms. 22)

PENJELASAN
Rahmat Allah turun dan bersama-samanya juga turun kemurkaan-Nya. Apabila rahmat Allah ini digunakan dengan sebaik-baiknya maka dia akan diganjari. Harta dan darjat – dua ini adalah rahmat Allah. Jika seseorang itu membelanjakan daripada hartanya ke atas orang yang fakir dan miskin, janda dan anak-anak yatim, masjid dan madrasah, maka dia akan mendapat ganjaran daripadanya. Tetapi sekiranya anda membelanjakan harta kekayaan anda terhadap perkara-perkara seperti penindasan, menonton wayang, teater, berjudi, perzinaan, kejahatan dan lain-lain amalan yang mendatangkan dosa, pastilah anda akan disiksa.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda bahawa:
“Khazanah dunia ini telah dibuka. Maka apa sahaja yang kamu belanjakan daripadanya, kamu akan perolehi samada pahala atau siksa menurut amalanmu.”

Disebabkan wanita pada amnya kurang bijak, mereka membelanjakan sebahagian besar daripada wang untuk perhiasan diri dan ke atas pakaian yang mahal (agar mereka kelihatan mengikut fesyan). Mereka juga membelanjakannya untuk barangan emas dan permata. Mereka memakainya dengan rasa bangga terhadap sesama mereka.

Bagi kedua-dua perbuatan ini yakni mendedahkan bentuk badan mereka melalui baju yang terkebawah daripada leher, kain nampak tembus, pakaian singkat dan mempamerkan kebanggaan, status darjat dengan memakai barang-barang perhiasan yang mahal-mahal akan mengwujudkan asbab untuk ke neraka.

Lima sebab diberikan terhadap wanita yang berpakaian namun kelihatan telanjang:
1.    Lantaran kaya, maka dia akan menggunakan hartanya untuk membeli dan memakai berbagai-bagai jenis pakaian yang berfesyen, tetapi dia akan terjauh daripada akhlak yang baik seumpama kesolehan dan taqwa, ketabahan, kesucian dan sifat pemalu.
Begitulah juga di samping lain-lain kebejatan akhlak seperti mengumpat dan menyebar fitnah, mereka akan dibangkitkan dengan keadaan telanjang di akhirat kerana mabuk dengan kekayaan dan kemewahan, dia juga akan terjauh daripada ibadat-ibadat yang besar seperti solat, puasa, zakat, haji dan tidak menyempurnakan tanggungjawab terhadap si miskin, janda dan anak yatim. Lantaran itulah dia akan berkeadaan telanjang di akhirat.
2.    Betapa mulia dan benarnya mukjizat kenabian yang ada pada Nabi besar kita s.a.w. bahawa sudah 1,400 tahun dahulu (ketika buku ini ditulis), Baginda telah menyatakan bahawa akan datang satu zaman di mana wanita-wanita berpakaian namun nampak seperti telanjang. Kenyataan ini telah wujud sekarang ini. Pada hari ini dia tidak merasakan sedikit malu dan segan silu dengan memakai pakaian-pakaian yang nipis yang terbuat daripada voil, georgette, nylon, organdie dan sebagainya yang menampakkan semua bahagian badan.
Wanita-wanita yang diperintahkan untuk menutup aurat mereka, pada hari ini sibuk memperagakan dan memperlihatkan bentuk tubuh mereka serta berlumba-lumba di antara satu sama lain di dalam melakukan amalan terkutuk ini. Mereka dan ibubapa mereka tidakpun berasa malu dengan pembelian dan pemakaian seperti itu.
Sebahagian wanita memakai pakaian yang sendat sehingga menonjolkan bentuk punggung dan buah dada mereka sehingga ini menarik perhatian orang asing terhadap mereka dan mereka merasa bangga terhadapnya. Menurut syari’ah, pakaian yang demikian adalah haram kerana ia akan mejadi sebab untuk dosa yang lebih berat.
Pakaian-pakaian yang menjolok mata ini telah menjadi satu gaya pula di setiap ceruk rantau. Wanita-wanita Islam telah mula memakainya (seperti sari di India) dan lain-lain bahagian dunia, wanita Islam mula memakai jeans dan skirt. Inilah hasil daripada tayangan gambar (dan lain-lain media).
Juga terdapat jenis fesyen pakaian yang langsung tidak lagi menyembunyikan bahagian-bahagian badan yang menurut syari’ah mesti ditutup kepada pandangan orang ramai.
Dengan ini, sebagai hukuman terhadap ketidaktaatan ini, mereka akan dibangkitkan dalam keadaan telanjang pada Hari Kiamat.
3.    Wanita itu telah menerima begitu banyak nikmat Allah, tetapi dia tidak berpuas hati dan bersyukur maka dia akan dibangkitkan dengan keadaan bertelanjang bogel.
4.    Nampak sahaja si wanita itu berpakaian tetapi dia asyik samada memperlihatkan kecantikannya atau menarik perhatian orang lain kepadanya. Dia memakai gelang-gelang emas atau cincin lalu sentiasa sahaja menggerakkan dan menaikturunkan tangannya untuk memperlihatkan perhiasannya.
Untuk memperlihatkan subang atau rantai leher dia menggerak-gerakkan pula tudung kepalanya atau melilit dilehernya sahaja atau mendedahkan sebahagian atas dada. Hukuman untuk ini sama sahaja bahawa dia akan dibangkitkan dengan keadaan telanjang. Oleh itu tudung kepala hendaklah dipakai supaya telinga, leher dan dada sentiasa tertutup.
5.    Terdapat firman Allah di dalam Al Quran yang bermaksud:
“Mereka itu (isteri) pakaian bagimu dan kamupun pakaian bagi mereka.”
(Al Baqarah: 187)
Seorang wanita yang mana suaminya seorang yang soleh, mulia dan sentiasa menahan dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang terlarang namun dirinya sendiri (yakni si wanita itu) tidak bersama-sama melakukan amalan soleh dan menyembah Allah dengan betul, dia juga akan dibangunkan dengan keadaan bertelanjang bogel pada hari Kiamat.
Walaupun si wanita itu dikurniakan dengan suami seperti Rasulullah s.a.w. maka menjadi tugas dan tanggungjawabnya yang lebih besar untuk menyembah Allah dan menuruti segala perintah-Nya. Jikalau dia tidak melakukan ini, maka hendaklah dia ingat bahawa apa-apa hubungan keluarga atau pertalian darah tidak akan dapat menyelamatkannya pada Hari Kiamat.
(Umdatul Qari Syarah bagi Bukhari, Jilid 2, Ms. 174)

1,400 tahun dahulu, Rasulullah s.a.w. telah memberitahu akan kedatangan fitnah ini dan menyuruh kita menyelamatkan diri kita daripadanya. Inilah mukzijatnya.
Semoga Allah Ta’ala menyelamatkan generasi muda kita yang Islam daripada fitnah besar ini dan mengurniakan mereka Rahmat dan Hidayat untuk menuruti jejak yang telah ditunjukkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Amin!

Betapa tingginya keghairahan yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. daripada Tanah Arab ini terhadap dakwah agama Allah. Baginda menggerakkan para isterinya yang solehah di tengah-tengah larut malam juga memberikan mereka nasihat-nasihat dan suruhan yang amat berharga agar mereka menyelamatkan diri mereka daripada pembaziran, pakaian-pakaian singkat, tidak berpurdah (tidak menutupi aurat) dan juga pakaian-pakaian jarang yang tembus pandangan.

Juga baginda memberi amaran kepada mereka tentang balasan yang dahsyat yang sedang menunggu di Akhirat kerana memakai pakaian yang sedemikian.

Hukuman begini juga Nampak terbayang di dunia lagi. Beribu-ribu keluarga telah binasa dan porak-peranda akibat daripada memakai pakaian yang terdedah dan menampakkan bentuk tubuh badan. Keadaan hidup beragama dan juga kehidupan duniawi juga telah menurun. Wanita yang memakai pakaian begini membuka jalan dan merangsang masyarakat kearah perzinaan, perogolan dan pembunuhan. Di samping suasana masyarakat yang sudah tempang dan rosak, maka ada ulamak-ulamak yang dapat memahami perkara akar umbi daripada kemaksiatan ini adalah berpunca daripada wanita-wanita yang bertelanjang.

(NB: Anda tentu telah sedar mengenai pakaian-pakaian yang terdedah atas dan jarang yang menjadi fesyen sekarang dan juga pertunjukan-pertunjukan bogel serta tari-menari di Kaberat. Kes-kes wanita yang dirogol kerana berpakaian mini skirts telah berlaku banyak di Britain dan Negara-negara Barat (tidak terkecuali di Malaysia juga…penterjemah). Tetapi malangnya hakim telah menjatuhkan hukuman ringan terhadap perogol-perogol. Seorang pemberita berwibawa telah melaporkan dari U.S.A. mengenai fesyen yang paling terkini telah menyaksikan dengan mata kepalanya sendiri seorang wanita muda dalam lingkungan umur 18 tahun memakai baju T yang tertulis di belakangnya “Push, push behind the bush (yang bermaksud – tolak, tolak ke dalam belukar) dan seorang jejaka yang sasa badannya memakai pakaian yang sama dengan tulisan di belakangnya “satisfaction guaranteed” (kepuasan dijamin).
Kenaikan mendadak dan di luar jangkaan terhadap bilangan kanak-kanak yang dilahirkan secara haram di Latin Amerika di negara-negara seperti Chile, Brazil, Paraguay, British Guiana dan sebagainya (seperti mana laporan yang dikeluarkan oleh Demographic Annual yang diterbitkan oleh U.N. pada tahun 1962) dan juga jumlah ibu-ibu yang tidak bersuami di Amerika, Kanada, Britain dan lain-lain negara Eropah adalah satu bukti yang tidak dapat disangkal mengenai kemudharatan yang akan ditanggung apabila tidak menutup aurat dan kegiatan kebebasan wanita.
Apabila wanita-wanita tidak menutup aurat, maka mereka mulalah memakai pakaian yang dapat menarik pandangan mata yang merangsang jantina kaum lelaki. Namun begitu, kaum jejaka dan lelaki tidaklah boleh diringankan dakwaan terhadap mereka dan juga bersalah kerana menggalakkan keadaan…Quraishi)

Rasulullah s.a.w. pertama-tamanya menggerakkan ahli-ahli keluarganya tatkala memberi nasihat. Ini menjadi satu pengajaran kepada para ulamak besar, para pendakwah dan juga para imam masjid bahawa mereka hendaklah menyuruh isteri-isteri mereka, adik-adik perempuan mereka, anak-anak perempuan mereka dan lain-lain wanita di dalam keluarga mereka di samping membuat pembaikan di dalam masyarakat mereka.
Telah terbukti daripada hadis tersebut bahawa pada masa berlakunya fitnah ini, orang-orang lelaki hendaklah mengingatkan ahli keluarganya mendirikan solat. Dengan ini terselamatlah mereka daripada fitnah-fitnah. Terbukti juga menerusi hadis ini bahawa wanita-wanita adalah fitnah yang terbesar bagi kaum lelaki dan dengan sebab itu langkah menjauhinya adalah juga besar.

Wanita yang terpengaruh dengan arus fesyen dan juga fitnah-fitnah yang telah diberitahu sebelum ini bukan sahaja membinasakan dirinya malahan merosakkan dan memporak-perandakan keluarganya. Fitnah yang diperkatakan ini akan terus meningkat hari demi hari. Menurut hadis Rasulullah s.a.w. bahawa:
“Akan lahir sedemikian orang (daripada lelaki dan wanita) yang mengajak orang lain menuju ke neraka.”
(Bukhari, Jilid 2)

TV, pawagam, teater (yang terkini internet, akhbar, majalah-majalah, video telefon bimbit dan sebagainya – penterjemah) adalah menjadi sebagai perantara kearah perlakuan maksiat tersebut.

Bab 50, Meniti Debaran Zaman – Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat.
Terjemahan: Abdul Aziz Bin Abdul Hamid

Thursday, August 12, 2010

SALAM RAMADHAN

SALAM ramadhan...selamat mengerjakan ibadat puasa dengan kesempurnaan dan semoga ibadah yang kita kerjakan diterima Allah swt...

Thursday, August 5, 2010

Kehilangan Keberkatan: Yakni Masa Akan Berlalu Dengan Pantas

ADALAH diriwayatkan daripada Anas r. 'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidak akan terjadi Kiamat selagi masa tidak berlalu dengan pantas. Kemudian Baginda bersabda dengan lebih lanjut: "Setahun akan berlalu seumpama sebulan, sebulan akan berlalu seumpama seminggu, seminggu akan berlalu seperti sehari, sehari akan berlalu seperti sejam dan sejam akan berlalu seumpama nyalaan api yang cepat padam."
(Bukhari, Jilid 2)

Allah Ta'ala telah mengurniakan nyawa agar manusia menggunakannya untuk "Menghasilkan sesuatu untuk Akhirat."

Rasulullah s.a.w. telah bersabda bahawa:
"Dunia ini adalah sebagai tanah tenggala untuk Akhirat."

Tetapi kehilangan keberkatan* ini iaitu apabila tibanya zaman di mana perjalanan masa yang sebegitu pantas, manusia tidak dapat lagi mencapai manafaat samada manafaat agama ataupun manafaat duniawi. Manusia akan menghabiskan masa mereka dengan perbuatan-perbuatan dosa, nyanyian, tarian, panggung drama dan pawagam. Maka jelaslah apabila manusia membuang masa mereka di dalam kegiatan-kegiatan seperti ini maka masa itu berlalu begitu pantas sekali sehingga dia tidak sedar betapa masa berjalan begitu laju. Mereka kaget bagaimana masa telah berlalu.

Pada masa sekarang anda dapat rasakan betapa seminggu bermula dan berlalu cepat sekali. Ketika masa itu berjalan, Hari Kiamat semakin dekat dan kecepatan masa yang dimaksudkan itu akan muncul.

*Ghairat dan Berkat adalah dua perkataan yang tidak terdapat di dalam istilah bahasa Barat kerana apa yang difahami oleh orang-orang Islam sama sekali tidak wujud di negara-negara tersebut. Begitulah juga negara-negara materialistik Barat itu tidak mengetahui apa itu keberkatan. Tidak berapa lama dahulu satu Jemaah Dakwah daripada Pakistan pergi ke Amerika. Jemaah tersebut telah diketuai oleh seorang doktor. Apabila orang-orang Amerika yang berjumpa dengan mereka mengetahui bahawa ahli-ahli jemaah tersebut datang ke Amerika dengan perbelanjaan mereka sendiri, mereka terkejut. Bagaimana orang-orang yang pendapatan yang biasanya kecil ini berupaya datang ke Amerika dengan perbelanjaan mereka sendiri. Ketua Jemaah tersebutpun menerangkan kepada mereka bahawa apabila orang-orang keluar membuat usaha agama Allah, Allah akan mengurniakan keberkatan di dalam pendapatan dan pekerjaannya. Kitapun ragu-ragu samada mereka boleh memahami maksud perkataan tersebut.

Ini adalah satu perkataan yang membawa maksud rezeki mewah, makmur, kelanjutan usia, tahan lama, mencukupi, maju, tumbuh, membangun, rahmat, restu dan sebagainya. Dari segi yang lain adalah seperti seorang yang menyediakan makanan untuk sepuluh orang, mencukupi pula menampung duapuluh orang dan benda-benda kegunaan harian, pakaian dan lain-lainnya tahan lama.(Quraishi)

(Bersambung...)
Bab 49, Meniti Debaran Zaman - Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat.
Terjemahan: Abdul Aziz Bin Abdul Hamid.

Sunday, August 1, 2010

Aku Tiga Dekad Yang Lalu...

WAKTU kecil, sememangnya aku banyak terdedah dengan cerita-cerita kartun, yang paling aku ingat dan aku minati masa kecik dulu kartun "the flinstone". Kisah kartun zaman dahulukala, biasanya tayangan akan disiarkan pada waktu petang, selepas balik dari sekolah, waktu itu masih di sekolah rendah lagi. Cuma masa tu, kat rumah belum ada TV lagi. Hanya menumpang menonton di rumah jiran sebelah.

Banyak lagi cerita-cerita kartun yang disiarkan, cuma yang aku ingat kartun plasticman, scooby doo dan banyak lagi yang tak dapat aku ingat kembali. Masa itupun, cuma TV yang tak berwarna, hitam putih sahaja dan bagi yang ada TV warna pada masa itu, boleh dianggap sebagai "orang berada".

Masa itu, aku dan kawan-kawan akan berkumpul untuk menonton cerita kartun dan sememangnya aku begitu mengetahui bila hari dan masa siaran kartun-kartun tersebut, tak perlu nak diberitahu. Bila tiba masanya, aku dan kawan-kawan akan datang ke rumah jiran untuk menonton cerita kartun.

Bila dapat menonton cerita-cerita kartun ini, aku terasa begitu gembira dan terhibur sekali.Mungkin itulah sahaja hiburan bagi kami untuk menghiburkan hati setelah penat belajar di sekolah. Di sekolah aku dan kawan-kawan jarang berbincang tentang pelajaran tapi lebih menceritakan tentang watak-watak kartun yang selalu ditontoni di TV dan ia semacam sudah menjadi hafalan dan ikutan di bibir aku dan kawan-kawan dengan apa yang dicakap oleh watak-watak kartun itu, semacam watak itulah "cikgu" bagi kami.

Kadang-kadang datang juga Pejabat Penerangan menyiarkan wayang gambar(wayang pacak) hitam putih pada waktu malam, yang biasanya dengan membawa layar putih yang besar yang didirikan di padang bola, jika kampung tersebut ada padang. Kampung aku dulu ada padang, itupun padang yang dibuat sendiri oleh orang kampung untuk anak-anak muda bermain bola sepak sebelum maghrib menjelang tiba. Sebelum padang digunakan untuk bermain bola, kanak-kanak seperti aku dulu, bermain di padang dulu, biasanya bermain kejar-kejar.

Bila kehadiran orang Pejabat Penerangan datang, kami budak-budaklah yang paling gembira sebab datang untuk keluar di malam hari untuk menonton  wayang gambar tersebut. Biasanya, cerita-cerita yang sering diputarkan adalah filem-filem P. Ramlee.

Suasana pada masa itu begitu seronok bila bersama kawan-kawan berkumpul untuk menonton sama-sama. Biasanya, tayangan yang ditayangkan akan tamat jam 9 - 10 malam.

Itulah cebisan kenangan semasa kanak-kanak, namun sebenarnya masih banyak lagi cerita aku tentang usia aku yang kecil. Yang aku masih ingat lagi, bila aku masuk darjah satu, aku begitu gembira bila aku sudah bersekolah. Aku ditinggalkan oleh ayah aku dengan kawan aku, yang sejiran dengan rumah aku. Ayah aku hanya berpesan dengan kawan aku yang setahun lebih tua dari aku, minta tolong jaga aku. Kawan aku yang sejiran dengan aku itupun angguk sahaja.

Aku di dalam bilik darjah cuma duduk di kerusi, masa itu meja kami seperti meja makan tapi rendah. Satu meja boleh untuk dikongsi untuk lapan orang pelajar bagi darjah satu dan dua sahaja. Jadi aku dikumpulkan dengan empat pelajar perempuan dan empat pelajar lelaki termasuk aku.

Hari pertama persekolahan bagi aku suatu perkara yang menyeronokkan. Hari pertama aku ke sekolah, aku telah dihantar oleh ayah aku dengan basikal, basikal yang ada tempat duduk di belakang. Aku lihat pelajar-pelajar lain dihantar dengan kereta dan motosikal, aku hairan mengapa aku dihantar menggunakan basikal tak kereta ataupun motosikal?

Aku masa itu, hanya dibekalkan duit 20 sen sahaja, yang selebihnya aku dibekalkan dengan air minuman dan sikit makanan atau kuih muih yang emak aku buat.

Sekolah rendah aku dulu tak berapa jauh dari kampung aku, cuma hari pertama sahaja ayah aku hantar ke aku ke sekolah dan hari seterusnya aku terpaksa jalan kaki. Tak silap aku, jauhnya rumah aku dari sekolah dalam  2 ke 3 kilometer. Sepanjang perjalanan aku ke sekolah, di tepi-tepi jalan ada rumah orag cina, biasanya terdapat anjing-anjing yang dipelihara oleh orang cina ini. Biasanya, aku akan menyediakan batu atau kayu untuk mengelak dari dikejar oleh anjing. Jika anjing-anjing datang aku dan kawan-kawan aku akan baling batu dan kayu untuk menghalau anjing-anjing tersebut.

Kadang-kadang di halaman rumah orang cina ini, biasa ditanam buah jambu batu dan rambutan. Bila buah tersebut masak, aku dan kawan-kawan akan memanjat pokok buah tersebut. Kadang-kadang orang cina itu akan marah sambil menjerit untuk menghalau kami dan kami akan cepat-cepat turun dari pokok(dikira mencurilah masa itu, tapi kami anggap hanyalah untuk makan, mungkin masa itu lapar lepas sekolah). Tapi besok panjat lagi, sehinggakan orang cina tak terlarang lagi untuk menghalang kami dari mengambil buah-buahan yang masak itu. Nak difikirkan, merekapun tak juga mengambil buah-buah yang masak tu, hanya membiarkan ia membusuk, mungkin rezeki kami dah kat situ?

Sekolah yang aku belajar tu, merupakan sekolah cina, sekolah bantuan, jadi, sekolah tempat aku belajar itu ada orang cina, melayu, melanau, iban, bidayuh. Jadi kita akan berkawan tanpa ada rasa assobiyah(perkauman), mungkin juga kami pada masa itu tak tahu erti perkauman, yang kami tahu kami dapat bermain bersama-sama dan bergembira bersama-sama.

Di sekolah aku itu, pembelajarannya menggunakan dalam bahasa orang putih, jadi hari pertama aku masuk ke sekolah, bila assembley dibuat, guru besar aku akan berucap dalam bahasa orang putih. Aku dan kawan-kawan aku yang lain tak tahu apa-apa yang diucap oleh guru besar dan biasalah, bila guru berucap, aku dan kawan-kawanpun bercakap sama. Dan begitulah seharian di kelas, dengar guru kelas bercakap dalam bahasa orang putih, aku langsung tak faham. Balik rumah aku beritahu ayah aku, jadi ayah akulah yang ajar aku belajar cakap orang putih tapi aku tak berapa fasih juga. Yang aku ingat, ayah aku akan ajar pada waktu malam, iaitu buku The Readers. ayah aku akan suruh aku baca buku itu hingga lancar. Cuma pembelajaran dalam bahasa orang putih tu, setakat darjah satu sahaja, bila masuk darjah dua dah ditukar dalam bahasa melayu oleh Jabatan Pelajaran masa itu. Jadi aku terselamatlah dari belajar bahasa orang putih dengan ayah aku(sebab masa itu, aku tak minat nak belajar bahasa orang putih).

Di sekolah aku itu sebenarnya merupakan sekolah tajaan mubaligh kristian, dan di sebelah sekolah aku itu ada sebuah gereja. Dan seperti biasa, guru kelas aku akan bersembahyang dulu dalam kelas(mourning prayer) sebelum memulakan pembelajaran. Aku dan kawan-kawan Islam yang lain hanya mengikut sahaja perbuatan guru kelas aku itu. Dia berbangsa cina, dia akan mengetuai semua murid dalam kelas aku itu untuk bersembahyang. Aku ingat, cikgu aku akan baca doa dalam bahasa orang putih, lepas itu dia akan letak jarinya ke dahi, ke bahu sebelah kiri dan kanan serta ke dadanya. Aku dan kawan-kawan yang lain akan mengaminkan dengan ucapan ameen(kena guna loghat orang putih). Masa itu, aku masih lagi dalam darjah satu dan kadang-kadang aku akan menjenguk ke dalam gereja melalui tingkap di waktu rehat. Dalam gereja itu, terdapat patung jesus dan tersusun kerusi panjang dengan baris-baris yang teratur sekali dengan sistem pencahayaan yang dibuat dengan begitu redup dan malap. Dan aku akan tengok sebuah gua ciptaan mereka(orang nasrani), rupa bentuk jesus yang mengangkat tangannya ke atas dan di kelilingi oleh patung-patung kanak-kanak, perempuan-perempuan dan lelaki-lelaki dengan memandang wajah jesus itu iaitu di belakang gereja sekolah. Hari-hari aku tengok benda itu semua dari darjah satu hingga ke darjah enam.

Di depan sekolah aku terdapat kedai-kedai cina, dan sederet kedai di situ dimonopoli oleh mereka. Dan aku, sentiasa berkunjung ke kedai itu, bukan nak beli makanan tapi nak beli "tikam-tikam" iaitu suatu bungkusan plastik yang dibaluti warna biru, merah, hitam dan banyak lagi warna dan di dalamnya terdapat pelbagai permainan seperti patung askar, labah-labah, ketam dan banyak lagi permainan berbentuk binatang. Kadang-kadang juga aku "menikam" iaitu satu permainan perjudian, biasanya harga sekali kita mencuba tikaman itu sepuluh sen, jika kita dapat nombor yang sama dengan nombor di sampul yang tertutup itu, kita boleh membuka sampul itu, kerana ia ada nilai wang dari sepuluh sen hingga ke seringgit. Dan ia boleh ditukar dengan nilai wang tunai.

Begitulah keadaan seharian aku bila datang dan pergi ke sekolah, akan melalui detik-detik sebegitu tanpa rasa  cuak akan persekitaran yang tidak merangsang ke arah untuk menjadi seorang Islam seperti mana aku seorang Islam.

Cuma aku terfikir bahawa penganut agama lain sudah bergerak dengan pantas mengembangkan agama mereka pada waktu itu dengan sistematik sekali. Yang aku ingat sewaktu kecil dulu, satu jemaah dari surau dari kampung aku, bila waktu petang, mereka dalam 5 - 8 orang akan membuat ziarah dari rumah ke rumah. Aku dan kawan-kawan masa itu tak tahu apa-apa, bila ternampak jemaah tersebut, aku dan kawan-kawan akan lari lintang pukang, sebab aku tengok orang-orang dewasa akan berlari bila jemaah itu melewati mereka dan menutup pintu rumah bila jemaah itu bagi salam.

Aku perhati mereka ini bagus-bagus buat apa nak lari dari mereka, aku tengok mereka senyum sahaja dengan semua orang yang mereka jumpa, tapi aku tengok orang kampung aku semua memandang dengan rasa marah. Suatu hari aku terserempak dengan jemaah ini yang sedang buat ziarah, salah seorang dari jemaah itu memberi salam ke arah aku, cuma aku tersenyum sahaja, abang itu beritahu, datanglah ke surau nanti, ada program. Aku hanya tersenyum sahaja sebab aku sememangnya suka tersenyum bila melihat orang terutamanya gadis-gadis. Seingat aku, aku datang juga ke program mereka pada malam itu tapi aku tak faham apa-apa yang mereka sampaikan, yang aku ingat, mereka bagi aku makan cukup-cukup dengan buah epal sekali..itulah sering aku ingati. Lepas itu, ayah aku tak suruh aku ikut program jemaah itu lagi.

Dan bertahun-tahun aku tak menghampiri jemaah itu lagi(walaupun ada di kalangan jemaah itu menziarahi aku tapi aku layan mereka juga) sehinggalah pada tahun 1995, satu jemaah dari Kubang Bujuk telah "menasykil" aku dan aku masa itu di Limbang jauh dari ayah aku...dan aku juga sekarang di kalangan mereka juga yang sering menziarahi mereka-mereka yang belum menjadi di kalangan mereka yang sering menziarahi...

Dan kadang-kadang aku sering teringat akan masa-masa yang lalu yang aku akan ceritakan dalam versi moden aku..tapi entahlah...bagi aku Allah lah yang aturkan plot cerita aku ini, sebenarnya aku dan mereka-mereka hanyalah pelakon-pelakon yang melakoni watak-watak aku dan mereka-mereka....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...