Thursday, August 5, 2010

Kehilangan Keberkatan: Yakni Masa Akan Berlalu Dengan Pantas

ADALAH diriwayatkan daripada Anas r. 'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidak akan terjadi Kiamat selagi masa tidak berlalu dengan pantas. Kemudian Baginda bersabda dengan lebih lanjut: "Setahun akan berlalu seumpama sebulan, sebulan akan berlalu seumpama seminggu, seminggu akan berlalu seperti sehari, sehari akan berlalu seperti sejam dan sejam akan berlalu seumpama nyalaan api yang cepat padam."
(Bukhari, Jilid 2)

Allah Ta'ala telah mengurniakan nyawa agar manusia menggunakannya untuk "Menghasilkan sesuatu untuk Akhirat."

Rasulullah s.a.w. telah bersabda bahawa:
"Dunia ini adalah sebagai tanah tenggala untuk Akhirat."

Tetapi kehilangan keberkatan* ini iaitu apabila tibanya zaman di mana perjalanan masa yang sebegitu pantas, manusia tidak dapat lagi mencapai manafaat samada manafaat agama ataupun manafaat duniawi. Manusia akan menghabiskan masa mereka dengan perbuatan-perbuatan dosa, nyanyian, tarian, panggung drama dan pawagam. Maka jelaslah apabila manusia membuang masa mereka di dalam kegiatan-kegiatan seperti ini maka masa itu berlalu begitu pantas sekali sehingga dia tidak sedar betapa masa berjalan begitu laju. Mereka kaget bagaimana masa telah berlalu.

Pada masa sekarang anda dapat rasakan betapa seminggu bermula dan berlalu cepat sekali. Ketika masa itu berjalan, Hari Kiamat semakin dekat dan kecepatan masa yang dimaksudkan itu akan muncul.

*Ghairat dan Berkat adalah dua perkataan yang tidak terdapat di dalam istilah bahasa Barat kerana apa yang difahami oleh orang-orang Islam sama sekali tidak wujud di negara-negara tersebut. Begitulah juga negara-negara materialistik Barat itu tidak mengetahui apa itu keberkatan. Tidak berapa lama dahulu satu Jemaah Dakwah daripada Pakistan pergi ke Amerika. Jemaah tersebut telah diketuai oleh seorang doktor. Apabila orang-orang Amerika yang berjumpa dengan mereka mengetahui bahawa ahli-ahli jemaah tersebut datang ke Amerika dengan perbelanjaan mereka sendiri, mereka terkejut. Bagaimana orang-orang yang pendapatan yang biasanya kecil ini berupaya datang ke Amerika dengan perbelanjaan mereka sendiri. Ketua Jemaah tersebutpun menerangkan kepada mereka bahawa apabila orang-orang keluar membuat usaha agama Allah, Allah akan mengurniakan keberkatan di dalam pendapatan dan pekerjaannya. Kitapun ragu-ragu samada mereka boleh memahami maksud perkataan tersebut.

Ini adalah satu perkataan yang membawa maksud rezeki mewah, makmur, kelanjutan usia, tahan lama, mencukupi, maju, tumbuh, membangun, rahmat, restu dan sebagainya. Dari segi yang lain adalah seperti seorang yang menyediakan makanan untuk sepuluh orang, mencukupi pula menampung duapuluh orang dan benda-benda kegunaan harian, pakaian dan lain-lainnya tahan lama.(Quraishi)

(Bersambung...)
Bab 49, Meniti Debaran Zaman - Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat.
Terjemahan: Abdul Aziz Bin Abdul Hamid.

2 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...