WAKTU kecil, sememangnya aku banyak terdedah dengan cerita-cerita kartun, yang paling aku ingat dan aku minati masa kecik dulu kartun "the flinstone". Kisah kartun zaman dahulukala, biasanya tayangan akan disiarkan pada waktu petang, selepas balik dari sekolah, waktu itu masih di sekolah rendah lagi. Cuma masa tu, kat rumah belum ada TV lagi. Hanya menumpang menonton di rumah jiran sebelah.
Banyak lagi cerita-cerita kartun yang disiarkan, cuma yang aku ingat kartun plasticman, scooby doo dan banyak lagi yang tak dapat aku ingat kembali. Masa itupun, cuma TV yang tak berwarna, hitam putih sahaja dan bagi yang ada TV warna pada masa itu, boleh dianggap sebagai "orang berada".
Masa itu, aku dan kawan-kawan akan berkumpul untuk menonton cerita kartun dan sememangnya aku begitu mengetahui bila hari dan masa siaran kartun-kartun tersebut, tak perlu nak diberitahu. Bila tiba masanya, aku dan kawan-kawan akan datang ke rumah jiran untuk menonton cerita kartun.
Bila dapat menonton cerita-cerita kartun ini, aku terasa begitu gembira dan terhibur sekali.Mungkin itulah sahaja hiburan bagi kami untuk menghiburkan hati setelah penat belajar di sekolah. Di sekolah aku dan kawan-kawan jarang berbincang tentang pelajaran tapi lebih menceritakan tentang watak-watak kartun yang selalu ditontoni di TV dan ia semacam sudah menjadi hafalan dan ikutan di bibir aku dan kawan-kawan dengan apa yang dicakap oleh watak-watak kartun itu, semacam watak itulah "cikgu" bagi kami.
Kadang-kadang datang juga Pejabat Penerangan menyiarkan wayang gambar(wayang pacak) hitam putih pada waktu malam, yang biasanya dengan membawa layar putih yang besar yang didirikan di padang bola, jika kampung tersebut ada padang. Kampung aku dulu ada padang, itupun padang yang dibuat sendiri oleh orang kampung untuk anak-anak muda bermain bola sepak sebelum maghrib menjelang tiba. Sebelum padang digunakan untuk bermain bola, kanak-kanak seperti aku dulu, bermain di padang dulu, biasanya bermain kejar-kejar.
Bila kehadiran orang Pejabat Penerangan datang, kami budak-budaklah yang paling gembira sebab datang untuk keluar di malam hari untuk menonton wayang gambar tersebut. Biasanya, cerita-cerita yang sering diputarkan adalah filem-filem P. Ramlee.
Suasana pada masa itu begitu seronok bila bersama kawan-kawan berkumpul untuk menonton sama-sama. Biasanya, tayangan yang ditayangkan akan tamat jam 9 - 10 malam.
Itulah cebisan kenangan semasa kanak-kanak, namun sebenarnya masih banyak lagi cerita aku tentang usia aku yang kecil. Yang aku masih ingat lagi, bila aku masuk darjah satu, aku begitu gembira bila aku sudah bersekolah. Aku ditinggalkan oleh ayah aku dengan kawan aku, yang sejiran dengan rumah aku. Ayah aku hanya berpesan dengan kawan aku yang setahun lebih tua dari aku, minta tolong jaga aku. Kawan aku yang sejiran dengan aku itupun angguk sahaja.
Aku di dalam bilik darjah cuma duduk di kerusi, masa itu meja kami seperti meja makan tapi rendah. Satu meja boleh untuk dikongsi untuk lapan orang pelajar bagi darjah satu dan dua sahaja. Jadi aku dikumpulkan dengan empat pelajar perempuan dan empat pelajar lelaki termasuk aku.
Hari pertama persekolahan bagi aku suatu perkara yang menyeronokkan. Hari pertama aku ke sekolah, aku telah dihantar oleh ayah aku dengan basikal, basikal yang ada tempat duduk di belakang. Aku lihat pelajar-pelajar lain dihantar dengan kereta dan motosikal, aku hairan mengapa aku dihantar menggunakan basikal tak kereta ataupun motosikal?
Aku masa itu, hanya dibekalkan duit 20 sen sahaja, yang selebihnya aku dibekalkan dengan air minuman dan sikit makanan atau kuih muih yang emak aku buat.
Sekolah rendah aku dulu tak berapa jauh dari kampung aku, cuma hari pertama sahaja ayah aku hantar ke aku ke sekolah dan hari seterusnya aku terpaksa jalan kaki. Tak silap aku, jauhnya rumah aku dari sekolah dalam 2 ke 3 kilometer. Sepanjang perjalanan aku ke sekolah, di tepi-tepi jalan ada rumah orag cina, biasanya terdapat anjing-anjing yang dipelihara oleh orang cina ini. Biasanya, aku akan menyediakan batu atau kayu untuk mengelak dari dikejar oleh anjing. Jika anjing-anjing datang aku dan kawan-kawan aku akan baling batu dan kayu untuk menghalau anjing-anjing tersebut.
Kadang-kadang di halaman rumah orang cina ini, biasa ditanam buah jambu batu dan rambutan. Bila buah tersebut masak, aku dan kawan-kawan akan memanjat pokok buah tersebut. Kadang-kadang orang cina itu akan marah sambil menjerit untuk menghalau kami dan kami akan cepat-cepat turun dari pokok(dikira mencurilah masa itu, tapi kami anggap hanyalah untuk makan, mungkin masa itu lapar lepas sekolah). Tapi besok panjat lagi, sehinggakan orang cina tak terlarang lagi untuk menghalang kami dari mengambil buah-buahan yang masak itu. Nak difikirkan, merekapun tak juga mengambil buah-buah yang masak tu, hanya membiarkan ia membusuk, mungkin rezeki kami dah kat situ?
Sekolah yang aku belajar tu, merupakan sekolah cina, sekolah bantuan, jadi, sekolah tempat aku belajar itu ada orang cina, melayu, melanau, iban, bidayuh. Jadi kita akan berkawan tanpa ada rasa assobiyah(perkauman), mungkin juga kami pada masa itu tak tahu erti perkauman, yang kami tahu kami dapat bermain bersama-sama dan bergembira bersama-sama.
Di sekolah aku itu, pembelajarannya menggunakan dalam bahasa orang putih, jadi hari pertama aku masuk ke sekolah, bila assembley dibuat, guru besar aku akan berucap dalam bahasa orang putih. Aku dan kawan-kawan aku yang lain tak tahu apa-apa yang diucap oleh guru besar dan biasalah, bila guru berucap, aku dan kawan-kawanpun bercakap sama. Dan begitulah seharian di kelas, dengar guru kelas bercakap dalam bahasa orang putih, aku langsung tak faham. Balik rumah aku beritahu ayah aku, jadi ayah akulah yang ajar aku belajar cakap orang putih tapi aku tak berapa fasih juga. Yang aku ingat, ayah aku akan ajar pada waktu malam, iaitu buku The Readers. ayah aku akan suruh aku baca buku itu hingga lancar. Cuma pembelajaran dalam bahasa orang putih tu, setakat darjah satu sahaja, bila masuk darjah dua dah ditukar dalam bahasa melayu oleh Jabatan Pelajaran masa itu. Jadi aku terselamatlah dari belajar bahasa orang putih dengan ayah aku(sebab masa itu, aku tak minat nak belajar bahasa orang putih).
Di sekolah aku itu sebenarnya merupakan sekolah tajaan mubaligh kristian, dan di sebelah sekolah aku itu ada sebuah gereja. Dan seperti biasa, guru kelas aku akan bersembahyang dulu dalam kelas(mourning prayer) sebelum memulakan pembelajaran. Aku dan kawan-kawan Islam yang lain hanya mengikut sahaja perbuatan guru kelas aku itu. Dia berbangsa cina, dia akan mengetuai semua murid dalam kelas aku itu untuk bersembahyang. Aku ingat, cikgu aku akan baca doa dalam bahasa orang putih, lepas itu dia akan letak jarinya ke dahi, ke bahu sebelah kiri dan kanan serta ke dadanya. Aku dan kawan-kawan yang lain akan mengaminkan dengan ucapan ameen(kena guna loghat orang putih). Masa itu, aku masih lagi dalam darjah satu dan kadang-kadang aku akan menjenguk ke dalam gereja melalui tingkap di waktu rehat. Dalam gereja itu, terdapat patung jesus dan tersusun kerusi panjang dengan baris-baris yang teratur sekali dengan sistem pencahayaan yang dibuat dengan begitu redup dan malap. Dan aku akan tengok sebuah gua ciptaan mereka(orang nasrani), rupa bentuk jesus yang mengangkat tangannya ke atas dan di kelilingi oleh patung-patung kanak-kanak, perempuan-perempuan dan lelaki-lelaki dengan memandang wajah jesus itu iaitu di belakang gereja sekolah. Hari-hari aku tengok benda itu semua dari darjah satu hingga ke darjah enam.
Di depan sekolah aku terdapat kedai-kedai cina, dan sederet kedai di situ dimonopoli oleh mereka. Dan aku, sentiasa berkunjung ke kedai itu, bukan nak beli makanan tapi nak beli "tikam-tikam" iaitu suatu bungkusan plastik yang dibaluti warna biru, merah, hitam dan banyak lagi warna dan di dalamnya terdapat pelbagai permainan seperti patung askar, labah-labah, ketam dan banyak lagi permainan berbentuk binatang. Kadang-kadang juga aku "menikam" iaitu satu permainan perjudian, biasanya harga sekali kita mencuba tikaman itu sepuluh sen, jika kita dapat nombor yang sama dengan nombor di sampul yang tertutup itu, kita boleh membuka sampul itu, kerana ia ada nilai wang dari sepuluh sen hingga ke seringgit. Dan ia boleh ditukar dengan nilai wang tunai.
Begitulah keadaan seharian aku bila datang dan pergi ke sekolah, akan melalui detik-detik sebegitu tanpa rasa cuak akan persekitaran yang tidak merangsang ke arah untuk menjadi seorang Islam seperti mana aku seorang Islam.
Cuma aku terfikir bahawa penganut agama lain sudah bergerak dengan pantas mengembangkan agama mereka pada waktu itu dengan sistematik sekali. Yang aku ingat sewaktu kecil dulu, satu jemaah dari surau dari kampung aku, bila waktu petang, mereka dalam 5 - 8 orang akan membuat ziarah dari rumah ke rumah. Aku dan kawan-kawan masa itu tak tahu apa-apa, bila ternampak jemaah tersebut, aku dan kawan-kawan akan lari lintang pukang, sebab aku tengok orang-orang dewasa akan berlari bila jemaah itu melewati mereka dan menutup pintu rumah bila jemaah itu bagi salam.
Aku perhati mereka ini bagus-bagus buat apa nak lari dari mereka, aku tengok mereka senyum sahaja dengan semua orang yang mereka jumpa, tapi aku tengok orang kampung aku semua memandang dengan rasa marah. Suatu hari aku terserempak dengan jemaah ini yang sedang buat ziarah, salah seorang dari jemaah itu memberi salam ke arah aku, cuma aku tersenyum sahaja, abang itu beritahu, datanglah ke surau nanti, ada program. Aku hanya tersenyum sahaja sebab aku sememangnya suka tersenyum bila melihat orang terutamanya gadis-gadis. Seingat aku, aku datang juga ke program mereka pada malam itu tapi aku tak faham apa-apa yang mereka sampaikan, yang aku ingat, mereka bagi aku makan cukup-cukup dengan buah epal sekali..itulah sering aku ingati. Lepas itu, ayah aku tak suruh aku ikut program jemaah itu lagi.
Dan bertahun-tahun aku tak menghampiri jemaah itu lagi(walaupun ada di kalangan jemaah itu menziarahi aku tapi aku layan mereka juga) sehinggalah pada tahun 1995, satu jemaah dari Kubang Bujuk telah "menasykil" aku dan aku masa itu di Limbang jauh dari ayah aku...dan aku juga sekarang di kalangan mereka juga yang sering menziarahi mereka-mereka yang belum menjadi di kalangan mereka yang sering menziarahi...
Dan kadang-kadang aku sering teringat akan masa-masa yang lalu yang aku akan ceritakan dalam versi moden aku..tapi entahlah...bagi aku Allah lah yang aturkan plot cerita aku ini, sebenarnya aku dan mereka-mereka hanyalah pelakon-pelakon yang melakoni watak-watak aku dan mereka-mereka....
syukur kepada Allah...
ReplyDeletehidayat milik Allah.
diberikan Allah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya
Ziarah76;
ReplyDeletehidayah hanya dalam genggaman-Nya, nak tarik hidayah, kita kena menyukakan Allah swt.
Madi saya baru keluar hospital selama 6 hari, ialah sakit macam saya khabarkan anta masa di limbang dulu. Sekolah gereja ni bahayalah macamtu ajak pelajar islam masuk gereja, janganlah orang islam hantar anak belajar disana
ReplyDeleteCikgu Musa;
ReplyDeleteInsyaallah, perbanyakkan amal, semoga Allah jaga cikgu selalu...masa di sibu tu, tak banyak sangat sekolah kerajaan sponsor, kebanyakkan disponsor oleh mubaligh kristian tapi sekarang ni alhamdulillah, dah ada sekolah rendah dan menengah agama yang kerajaan sponsor tapi masih kurang lagi madrasah di sarawak ni..jadi...