Sunday, March 27, 2011

Menurunnya Pengetahuan Agama Di Kalangan Masyarakat

DENGAN tanggungjawab ulamaklah yang mencari keredhaan Allah yang telah berkhidmat kepada agama dan menjalankan tugas keimanan. Mereka kena berkhutbah, bersyarah, menyampaikan semata-mata untuk memenangi keredhaan Allah dan kena mengabdikan diri mereka untuk agama.

Tanggungjawab masyarakat dan pemegang amanah ialah bahawa mereka hendaklah menyempurnakan segala keperluan ulamak. Mereka hendaklah membayar sekian banyak bayaran supaya ulamak bolehlah menjalani hidup yang mulia di sisi keluarga mereka. Tetapi perhatian tidak diberikan ke atas perkara ini.

Salah satu daripada sebab tidak diberi perhatian ke atas masalah ini ialah kerana pekerja-pekerja agama ini kerana mahu mengambil hati tuan-tuan mereka (yakni mutawali dan pemegang amanah) dan juga ingin mendapat sumber kewangan daripada mereka serta disebabkan mereka di bawah tanggungjawab orang-orang ini lalu memuji-muji mereka walaupun terhadap kerja-kerja yang bertentangan dengan syariat. Yang demikian mereka membinasakan kepentingan agama.

Bagi ulamak-ulamak yang cerdik mereka memperolehi ijazah daripada pendidikan duniawi yang rendah nilai lalu condong untuk memperolehi manafaat dunia -- satu kecondongan yang membawa kepada kerosakan yang besar kepada masyarakat Islam. Tetapi mutawali, pemegang-pemegang amanah dan pengurus-pengurus maktab, menjalani hidup mereka tanpa peduli, megah dan berkepentingan diri sendiri tidak dapat mencari rawatan yang sesuai bagi memperbaiki penyakit ini yang sedang memakan tunggak utama maktab mereka.

Selepas belajar selama 10 hingga 12 tahun di dalam maktab agama, seseorang itu menjadi 'alim, hafiz dan qari. Berkhidmat sebagai imam atau mengajar masyarakat yang itu adalah mustahak tetapi jika mereka tidak mendapat bayaran yang secukupnya untuk mereka menanggung keperluan asas kepada anak isteri dan ibubapa mereka yang miskin maka di manakah mereka dapat mencarinya jika tidak menjadi tanggungjawab pengurus maktab tersebut untk menyempurnakannya. Adakah mereka layak memikul tanggungjawab ini. Inilah masalah yang perlu mendapat perhatian sewajarnya.

Sebenarnya ini adalah tanda-tanda kiamat. Tanda yang terlebih besar lagi daripada itu ialah bahawa si 'alim tersebut itu tidak dapat sabar lalu meninggalkan bidangnya, lantaran tergoda dengan kerja dunia untuk menampung hidupnya.

Bab 59 - Meniti Debaran Zaman - Sheikhulhadis Mufti Ahmaed Ebrahim Bemat
Terjemahan - Abdul Aziz Bin Abdul Hamid

Friday, March 25, 2011

Ibu Atau Ayah?

KERJAYA sebagai seorang surirumah mungkin tiada dalam perjawatan yang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan belum pernah lagi aku dengar kewujudannya di iklan-iklan. Ia tak memerlukan sijil, diploma dan ijazah untuk memikul beban sebagai seorang surirumah. Ia perlukan nilai seorang ibu yang bertanggungjawab untuk mendidik dan menjaga ahli keluarga dalam lingkungannya. Ia tiada dihadkan atas umur, masa, tempat dan bangsa.
Merupakan jawatan yang disediakan khas untuk kaum-kaum ibu untuk mencorak manusia agar sempurna dalam rumahtangga, masyarakat, negara, dunia dan akhirat hanya bermodalkan belaian kasih sayang. Kasih sayang yang lahir dengan spontan dari naluri seorang ibu dan akan memupuk anak-anak samada menjadi seorang yang berjaya atau gagal di dunia dan akhirat. 
Mungkin sekarang peranan wanita sebagai seorang surirumah tidak diperlukan lagi kerana desakan kehidupan yang mendorong untuk wanita-wanita dan ibu-ibu membuat kerja-kerja yang diluar bidang mereka seperti peranan-peranan yang dimainkan oleh lelaki-lelaki. Pemikiran wanita sekarang telah diarahkan untuk memikirkan tentang bebanan yang ditanggung oleh kaum Adam.

Peranan para ibu yang dilantik untuk menyediakan manusia-manusia yang berperanan sebagai manusia yang mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya semakin terhakis dan peranan tersebut telah diswastakan kepada wanita-wanita lain(amah) dan juga badan-badan lain untuk mendidik dan memelihara anak-anak. Kebanyakan peranan “surirumah” yang diswastakan hanya berpaksikan kepada keuntungan dan komersial semata-mata sebab tiada nilai-nilai keibuan yang tulen diteraskan.

Sekarang wanita didedahkan dengan kerja-kerja yang tiada bersangkutan dengan karier sebagai seorang surirumah. Mereka dibebankan dengan permasalahan yang tak dapat untuk mereka selesaikan dengan jiwa yang halus dan lembut. Mereka paksa diri atau dipaksa untuk memikul beban yang keras dan kasar. Jadilah antara mereka yang berjiwa “kebapaan” dan “kejantanan” yang sukar untuk mendidik anak-anak dengan kelembutan yang diwarisi sejak azali lagi.

Sekarang terbukti, hampir tiada lagi lahirnya manusia yang tersohor dan terulung untuk menerajui dunia asbab kesibukan para ibu memajukan keperluan dunia mereka sehingga mengabaikan kemajuan anak-anak dari sudut jasmani dan rohani.

Kebanyakan tokoh-tokoh terhebat lahir dari para ibu yang sepenuh masanya mengabdikan diri mereka sebagai surirumah dan memberi tumpuan ke atas anak-anak sehingga anak-anak mereka terbentuk dengan acuan yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya.

Mungkin ada para ibu yang berkata, “Sekarang ni zaman yang memerlukan wang, semua perlukan wang untuk sesuatu, gaji suami tak mampu nak tanggung semua keperluan semasa”. Sebagai membantu pihak suami, si isteri atau wanita terbabit melibatkan diri mereka dalam kerjaya hanya semata-mata untuk mendapat pendapatan lebih.

Keperluan wanita untuk melibatkan diri dalam lapangan kerjaya hanya bila ada kehendak yang mendesak seperti sesuatu perkara yang perlu wanita untuk mengurusnya, contohnya seorang doktor wanita untuk mengurus seorang wanita yang tengah bersalin, ia satu fardu kifayah(keperluan yang dituntut oleh agama). Ia bukan berkehendak untuk para wanita menjadikan ia sebagai satu sumber pendapatan tapi lebih kepada tuntutan keperluan wanita pada masa tersebut. Jadi, ia lebih kepada keperluan wanita agar mereka diberi pilihan dan hak agar sempadan diri mereka tidak dicerobohi oleh jantina yang berlawanan.

Berbalik kepada tugasan sebagai surirumah tadi, ia seakan dipandang rendah dan kolot oleh kaum wanita sendiri(wanita Islam khususnya) asbab propaganda pihak luar dan asing agar mereka lebih ingin untuk melihat agar wanita-wanita Islam tidak memberi peranan ke atas institusi kekeluargaan. Pihak luar menanamkan, wanita berkerjaya lebih terkedepan berbanding kaum wanita yang berada di empat penjuru sudut rumah.

Sedangkan tugas sebagai seorang surirumah adalah lebih tinggi dan mulia kerana mereka-mereka merupakan penentu dan pencorak kepada manusia-manusia yang hidup di muka alam ini dan di alam selepas kematian. Dan kebanyakan pemimpin-pemimpin yang ada di dunia lahir atas belaian tangan-tangan mereka yang bergelar sebagai surirumah.

Jadi, tinggi tak jawatan sebagai surirumah berbanding dengan jawatan-jawatan yang direbuti dan disukai oleh kaum wanita sekarang?(jawatan-jawatan yang didampingi oleh kaum wanita sekarang fardhu kifayah bila ada keperluaan dan bukan sebagai karier untuk mereka mendapat pendapatan terkecuali atas mereka yang tiada penjaga seperti suami dan ayah yang terpaksa keluar mencari rezeki dengan batasan yang ditetapkan oleh syarak).


P/S ..sekarang lelaki ramai yang gagal dalam pelajaran dan dikuasai oleh kaum ibu pula....?


Saturday, March 12, 2011

Sebab-Sebab Kurangnya Keberkatan Di Dalam Ilmu

  1. MAKANAN manusia bertambah-tambah meragukan. Wang yang masuk ke madrasah-madrasah adalah hasil pemberian yang bertambah daripada zakat, sedekah wajib dan juga wang-wang bunga.
  2. Kerana wang bunga adalah haram dan mempunyai kesan buruk daripadanya, maka kehilangannya tidak diambil peduli oleh pihak berwajib madrasah, mereka mulalah menggunakannya tanpa ragu-ragu dan tidak ada sedikit rasa terkilan.
  3. Tujuan dan maksud belajar dan mengajar ilmu agama telah lentur dan luntur di hati-hati pengajarnya.
  4. Pentadbir, muhtamim(mudir) dan juga ahli jawatankuasa madrasah menganggap dan melayani ulamak sebagai kakitangan dan orang gaji mereka. Kemuliaan dan kehormatan ulamak tidak dijagai dan mereka hanyalah sebagai orang suruhan sahaja.
  5. Pelajar dan juga ibubapa mereka menganggap ulamak itu juga sebagai orang suruhan mereka.
  6. Malahan mereka yang tidak layak menerima zakat memakan makanan yang disediakan melalui dana zakat dan sedekah ataupun penjaga-penjaga mereka membiarkan mereka memakannya.
  7. Kepimpinan imam hanya terbatas kepada solat sahaja. Kemudian jika mutawali madrasah itu menjalankan urusannya bertentangan dengan syariat dan dia ditegur oleh ulamak, maka pemegang amanah yang kaya dan bangga dengan harta kekayaannya itu akan memanggil ulamak tersebut untuk disoal siasat. Kata-kata penghormatan kepada ulamak hanyalah cakap-cakap mulut sahaja.
Di samping ini banyak lagi perkara-perkara maksiat dan mudharat yang membuktikan bahawa orang ramai dan orang-orang mewah tidak memerlukan ilmu, maka yang demikian itulah ilmu itu ditarik balik oleh Allah.


Bab 58, Meniti Debaran Zaman - Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan - Abdul Aziz Bin Abdul Hamid

Friday, March 11, 2011

Hang Tuah Dan Hang Jebat, Siapa Sebenarnya Yang Benar?

MUNGKIN kita kenal lagenda pahlawan yang bernama Hang Tuah di zaman Kesultanan Melaka suatu masa dahulu. Sebelum hadirnya cicak-man, spiderman, superman, dan banyak lagi manusia yang diagung serta diangkat martabatnya disebabkan kecanggihan dalam membikin filem jadi tertonjol lah keheroan dalam bentuk yang penuh dengan kepuraan seorang hero. Namun, nama Hang Tuah masih begitu disanjungi dan dipuji keperwiraannya.

Hang Tuah merupakan pahlawan melayu yang begitu terkenal dengan keberanian, kesetiaan dan ketangkasan yang tiada tolok bandingnya pada zaman tersebut. Terjulangnya nama Hang Tuah disebabkan beliau menamatkan riwayat sahabat karibnya yang benama Hang Jebat yang dikatakan menderhaka terhadap Sultan Melaka pada masa itu.

Kederhakaan Hang Jebat dikatakan kerana ingin membalas dendam ke atas Sultan yang telah menganiayai Hang Tuah yang begitu setia sekali dengan Sultan tapi telah difitnah oleh pembesar-pembesar pada masa itu.

Setelah Hang Tuah dihukum bunuh(sebenarnya telah disembunyikan oleh Bendahara pada masa itu), Hang Jebat telah dilantik sebagai Laksamana bagi mengganti tempat Hang Tuah. Setelah dilantik menjadi Laksamana dan keris Taming Sari digenggamannya, Hang Jebat menggila dengan mengambil alih istana dan mengusir Sultan pada masa itu dari istana.

Bila berlakunya pengambilalihan istana, Sultan berasa menyesal membunuh Hang Tuah, kerana Hang Tuah sahajalah yang berupaya untuk mengalahkan Hang Jebat yang derhaka itu. Dengan kesempatan itu juga, Bendahara mengadu kepada Sultan bahawa sebenarnya Hang Tuah tidak dihukum bunuh tapi telah disembunyikan oleh Bendahara. Bila mendengar perkhabaran tersebut, Sultan begitu gembira sekali lantas menyuruh Bendahara memanggil Hang Tuah untuk menghapuskan Hang Jebat yang derhaka itu.

Bila mendengar yang Hang Tuah masih hidup betapa gembiranya Hang Jebat tapi kemunculan Hang Tuah bukan untuk berkompromi dengan Hang Jebat tapi untuk menghapuskan Hang Jebat yang dikatakan menderhaka kepada Sultan.

Terjadilah episod pertembungan anatara Hang Tuah dan Hang Jebat yang dikatakan bertempur selama tujuh hari yang berakhir Hang Tuah berjaya membunuh Hang Jebat setelah keris Taming Sari diserahkan oleh Hang Jebat kepada Hang Tuah untuk membunuhnya.

Begitulah riwayat hidup manusia yang begitu setia dengan Sultan sehingga nyawa dan sahabat sendiripun sanggup dikorbankan dan begitulah juga seorang sahabat yang sanggup mempertaruhkan nyawa bila sahabat dianiayai atas sebab perebutan kuasa dan hasad dengki di kalangan pembesar-pembesar.

Mangsanya adalah Hang Jebat...persoalannya, adakah lagi watak-watak manusia sebegini yang sanggup mengorbankan diri semata-mata untuk menjunjung erti kesetiaan kepada Sultan dan sahabat? Bukan semata-mata untuk kuasa, harta dan takhta direbuti.

Jadi, siapakah di antara kita ini masih lagi meminati Hang Tuah dan Hang Jebat kerana pengorbanan mereka terhadap makhluk dan juga adakah kita tidak meminati sahabat-sahabat yang berada di zaman Nabi Muhammad s.a.w. yang terkorban kerana berjuang atas agama Allah s.w.t.

Adakah kita nak mengorbankan diri, masa dan harta kita atas perkara yang kekal atau yang sementara sahaja? Jadi, janganlah salahgunakan diri, masa dan harta kita untuk dikorbankan kepada yang tidak sepatutnya, korbankanlah kepada yang sepatutnya.

Friday, March 4, 2011

Belada Blogger Jalanan

HARI ini merupakan hari ke-5 aku di Kuching, biasanya aku hanya datang sini untuk urusan kerja. Aku sebagai seorang kakitangan dah masuk 16 tahun, sedar tak sedar rupanya aku dah lama sebagai seorang kakitangan kerajaan.

Kebanyakan masa aku bekerja di agensi yang aku duduki sekarang ini banyak melibatkan untuk aku bekerja di luar lingkungan pejabat ataupun jarang duduk di pejabat. Kerja aku lebih banyak di luar dari di dalam pejabat. Bila aku tak keluar dari pejabat, bermakna tak ada kerjalah untuk aku buat. Aku kena berjalan dan berdiri di luar pejabat juga. Jika tidak, aku tak bekerja dan macam tak bekerja iaitu ponteng.

Bila dah lama sangat berada di luar pejabat, terasa juga aku nak bekerja dalam pejabat. Tapi, bila aku berada dalam pejabat terasa juga bosannya sebab dah terbiasa dengan kerja di luar pejabat.

Aku sebenarnya tak berminat sangat nak menceritakan tentang kerja aku di blog ini, aku lebih suka untuk menceritakannya dengan orang yang berada dalam lingkungan aku atau yang berkaitan dengan alam kerja aku sahaja. Kerana mereka lebih memahami dan akrab dengan apa yang aku nak beritahu dengan mereka. Jika aku beritahu dengan mereka yang tak akrab dengan bidang ini, pasti mereka akan bosan dan tak berminat.

Pernah kawan aku mengesyorkan aku supaya aku menulis tentang apa kerja yang aku buat agar orang tahu dan memahami bidang aku ini, tapi aku belum ada minat lagi nak tulis tentang kerja apa yang aku ceburi. Sebenarnya, kerja aku ini, bila aku bentangkan atau aku ceritakan pasti ada orang yang berminat nak mendekati atau merapati tapi memakan masa sikit untuk berjinak dengan kerja yang aku ceburi ini.

Terima kasih kepada kawan aku itu kerana memberi idea yang baik untuk aku menulis tentang apa yang aku buat tapi aku rasa masanya belum tiba lagi, nantilah.

Bukan tak mahu, cuma skop yang aku nak ceritakan nanti agak terhad dengan bidang itu sahaja dan begitu membosankan nanti. Insya-Allah suatu masa nanti akan aku lontarkan juga bila waktu yang santai untuk aku tuliskan. Aku lebih suka untuk menulis tentang wajah manusia, sikap manusia, diri manusia, kehidupan manusia dan sempadan dunia dan akhirat yang memaparkan gelagat manusia yang dekat dan jauh dengan Pencipta dan Pemelihara kita.

Sebab aku beranggapan kita manusia sering lupa akan diri kita sendiri kerana persekitaran kita yang sentiasa diubah oleh kita sendiri dan kita sendiripun berubah juga.

Jadi, hari-hari kita berdepan dengan permasalahan yang direka dan ditimbulkan oleh kita sendiri yang sepatutnya tak wujud tapi wujud kerana kedangkalan sifat kemanusiaan kita. Dan hari-hari juga kita akan membaca, mendengar dan melihat malah memikir permasalahan yang didatangi oleh kita sendiri yang akhirnya memupuskan diri kita sendiri dan dunia amnya.

Dan hari ini, aku masih lagi berdiri sebagai seorang kakitangan kerajaan yang akan bekerja di luar pejabat dan akan menjalankan tugas aku sebagai seorang kakitangan kerajaan sehingga aku pencen atau aku nak pencen awal.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...