KERJAYA sebagai seorang surirumah mungkin tiada dalam perjawatan yang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan belum pernah lagi aku dengar kewujudannya di iklan-iklan. Ia tak memerlukan sijil, diploma dan ijazah untuk memikul beban sebagai seorang surirumah. Ia perlukan nilai seorang ibu yang bertanggungjawab untuk mendidik dan menjaga ahli keluarga dalam lingkungannya. Ia tiada dihadkan atas umur, masa, tempat dan bangsa.
Merupakan jawatan yang disediakan khas untuk kaum-kaum ibu untuk mencorak manusia agar sempurna dalam rumahtangga, masyarakat, negara, dunia dan akhirat hanya bermodalkan belaian kasih sayang. Kasih sayang yang lahir dengan spontan dari naluri seorang ibu dan akan memupuk anak-anak samada menjadi seorang yang berjaya atau gagal di dunia dan akhirat.
Mungkin sekarang peranan wanita sebagai seorang surirumah tidak diperlukan lagi kerana desakan kehidupan yang mendorong untuk wanita-wanita dan ibu-ibu membuat kerja-kerja yang diluar bidang mereka seperti peranan-peranan yang dimainkan oleh lelaki-lelaki. Pemikiran wanita sekarang telah diarahkan untuk memikirkan tentang bebanan yang ditanggung oleh kaum Adam.
Peranan para ibu yang dilantik untuk menyediakan manusia-manusia yang berperanan sebagai manusia yang mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya semakin terhakis dan peranan tersebut telah diswastakan kepada wanita-wanita lain(amah) dan juga badan-badan lain untuk mendidik dan memelihara anak-anak. Kebanyakan peranan “surirumah” yang diswastakan hanya berpaksikan kepada keuntungan dan komersial semata-mata sebab tiada nilai-nilai keibuan yang tulen diteraskan.
Sekarang wanita didedahkan dengan kerja-kerja yang tiada bersangkutan dengan karier sebagai seorang surirumah. Mereka dibebankan dengan permasalahan yang tak dapat untuk mereka selesaikan dengan jiwa yang halus dan lembut. Mereka paksa diri atau dipaksa untuk memikul beban yang keras dan kasar. Jadilah antara mereka yang berjiwa “kebapaan” dan “kejantanan” yang sukar untuk mendidik anak-anak dengan kelembutan yang diwarisi sejak azali lagi.
Sekarang terbukti, hampir tiada lagi lahirnya manusia yang tersohor dan terulung untuk menerajui dunia asbab kesibukan para ibu memajukan keperluan dunia mereka sehingga mengabaikan kemajuan anak-anak dari sudut jasmani dan rohani.
Kebanyakan tokoh-tokoh terhebat lahir dari para ibu yang sepenuh masanya mengabdikan diri mereka sebagai surirumah dan memberi tumpuan ke atas anak-anak sehingga anak-anak mereka terbentuk dengan acuan yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya.
Mungkin ada para ibu yang berkata, “Sekarang ni zaman yang memerlukan wang, semua perlukan wang untuk sesuatu, gaji suami tak mampu nak tanggung semua keperluan semasa”. Sebagai membantu pihak suami, si isteri atau wanita terbabit melibatkan diri mereka dalam kerjaya hanya semata-mata untuk mendapat pendapatan lebih.
Keperluan wanita untuk melibatkan diri dalam lapangan kerjaya hanya bila ada kehendak yang mendesak seperti sesuatu perkara yang perlu wanita untuk mengurusnya, contohnya seorang doktor wanita untuk mengurus seorang wanita yang tengah bersalin, ia satu fardu kifayah(keperluan yang dituntut oleh agama). Ia bukan berkehendak untuk para wanita menjadikan ia sebagai satu sumber pendapatan tapi lebih kepada tuntutan keperluan wanita pada masa tersebut. Jadi, ia lebih kepada keperluan wanita agar mereka diberi pilihan dan hak agar sempadan diri mereka tidak dicerobohi oleh jantina yang berlawanan.
Berbalik kepada tugasan sebagai surirumah tadi, ia seakan dipandang rendah dan kolot oleh kaum wanita sendiri(wanita Islam khususnya) asbab propaganda pihak luar dan asing agar mereka lebih ingin untuk melihat agar wanita-wanita Islam tidak memberi peranan ke atas institusi kekeluargaan. Pihak luar menanamkan, wanita berkerjaya lebih terkedepan berbanding kaum wanita yang berada di empat penjuru sudut rumah.
Sedangkan tugas sebagai seorang surirumah adalah lebih tinggi dan mulia kerana mereka-mereka merupakan penentu dan pencorak kepada manusia-manusia yang hidup di muka alam ini dan di alam selepas kematian. Dan kebanyakan pemimpin-pemimpin yang ada di dunia lahir atas belaian tangan-tangan mereka yang bergelar sebagai surirumah.
Jadi, tinggi tak jawatan sebagai surirumah berbanding dengan jawatan-jawatan yang direbuti dan disukai oleh kaum wanita sekarang?(jawatan-jawatan yang didampingi oleh kaum wanita sekarang fardhu kifayah bila ada keperluaan dan bukan sebagai karier untuk mereka mendapat pendapatan terkecuali atas mereka yang tiada penjaga seperti suami dan ayah yang terpaksa keluar mencari rezeki dengan batasan yang ditetapkan oleh syarak).
P/S ..sekarang lelaki ramai yang gagal dalam pelajaran dan dikuasai oleh kaum ibu pula....?
No comments:
Post a Comment