Thursday, January 27, 2011

Aku dan Blog

ADAKAH aku menulis di blog ini mengikut kehendak aku sendiri, ataupun aku menulis ini sebab orang lainpun menulis di blog. Ataupun aku perlu untuk menulis di blog bahawa aku boleh mencurahkan apa yang terpendam dalam hati aku, mungkin juga aku nak menunjukkan bahawa aku ada berkebolehan dalam bidang penulisan. Juga mungkin, di blog sahaja aku boleh menunjukkan atau mempamerkan tulisan aku yang mungkin tak diterima oleh mana-mana akhbar-akhbar, majalah-majalah dan mana-mana syarikat penerbitan yang ada di Malaysia ini.

Ya, sekarang ini mungkin blog sebagai pilihan kebanyakan orang untuk melontarkan pandangan mereka atau ketidakpuasan apa yang berlaku di sekeliling. Dan apa yang dilontarkan serta dipercikan merupakan pandangan yang timbul atas kesedaran yang ada tanpa diberi imbuhan dan ganjaran atau mengejar sesuatu yang boleh untuk memewahkan kehidupan.

Mungkin juga blog merupakan landasan yang sesuai untuk menyuburkan kebolehan seseorang untuk mengembangkan bidang penulisannya yang tiada seorangpun nak membaca apa yang ditulis dan dipaparkan. Aku juga mungkin, sebahagian daripada mereka yang mempunyai bakat yang terpendam yang tiada siapa tahu dan peduli. Cuma, penonjolan yang dibuat oleh kita sendiri sahaja yang akan dapat untuk mengembangkan bakat-bakat yang ada untuk digerakkan tanpa meminta untuk diberi gaji dan wang misalnya.

Kalau nak dibandingkan aku dan mereka yang dah ada nama di bidang penulisan, jauh untuk sesiapa membaca tentang apa yang aku tuliskan walaupun ada nilainya tapi disebabkan nama. Aku rasa apa yang aku tulis tiada apa-apa nilai yang nak diketengahkan kerana mereka semua telah diajar agar membaca sesuatu yang dikira sudah diikhtirafkan oleh mereka-mereka juga. Mungkin juga aku rasa penulisan aku belum lagi di tahap yang diikhtirafkan oleh sesiapapun. Tapi aku adalah aku, adakah aku perlu mereka-mereka untuk mengikhtirafkan semua ini?

Berbalik kepada persoalan yang aku ajukan tadi, adakah aku buat semua ini untuk dapat pengikhtirafan dari mereka atau nak dapat ganjaran atau untuk kepuasan aku kerana penulisan di blog tiada siapa yang akan peduli apa yang kita akan lontarkan.

Saturday, January 22, 2011

Taqwa Dan Fatwa

Taqwa dan Fatwa...

Taqwa ialah memelihara hubungan yang baik dengan Allah s.w.t., memelihara diri jangan sampai terperosok kepada perbuatan yang tidak diredhai oleh Allah s.w.t. , memelihara segala perintah-Nya supaya dapat dilakukan dan memelihara segala larangan-Nya supaya dapat dijauhi.


Fatwa merupakan suatu pendapat keagamaan pada hukum Islam yang dikeluarkan oleh seorang ulama.

Untuk membezakan antara taqwa dan fatwa, mungkin aku boleh memberi perumpamaan yang mudah untuk difahami, iaitu  seorang yang berpegang pada taqwa dia seperti seorang yang berjalan di tengah jalan, dan seorang yang berpegang pada fatwa dia seperti berjalan di tepi jalan. (maksudnya bukan jalan raya)

Jadi, siapa yang lebih selamat, seorang yang berada di tengah jalan atau yang di tepi jalan yang tepi jalan itu ada jurang yang dalam di sebelahnya? Tentulah di tengah jalan kerana kita tak perlu berhati-hati berbanding di tepi jalan yang perlu berhati-hati, jika tak dia akan jatuh ke jurang yang dalam itu.

Ataupun yang biasa kita dengar tentang taqwa dan fatwa ini adalah; jika seseorang melihat perempuan dengan sekali pandang tak haram dari segi fatwa dan jika kali kedua kita memandang perempuan ia  boleh jatuh haram bagi yang bukan mahram. Jika berpegang dengan taqwa, langsung tak akan memandang bagi perempuan yang bukan mahram, bagi mengelak kita jatuh dalam perbuatan dosa.

Dan sekarang ni, kita tanya diri kita sendiri dan aku sendiri juga adakah kita berpegang pada taqwa dan fatwa? Ataupun kita tak berpegang pada kepada kedua-duanya sekali, iaitu berpegang kepada nafsu kita?

Aku rasa, kebanyakan kita yang ada sekarang lebih berpegang kepada nafsu kita sendiri tanpa berpegang kepada taqwa dan fatwa. Dan mungkin juga ada di antara kita yang berpegang kepada pemikiran logik yang beasaskan dengan andaian yang kukuh dan yang boleh untuk diterima akal.

Keutamaan yang perlu bagi kita sekarang adalah, bagaimana nak dapatkan sifat taqwa yang diukur oleh Allah s.w.t.

Thursday, January 20, 2011

Nasihat Rasulullah S.A.W. Ketika Datangnya Fitnah

DILAPORKAN daripada Abdullah Ibn Mas'ud r. 'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Selepas kewafatanku, kamu akan mengalami satu perbuatan yang kamu kira buruk (jahat). Tunaikanlah hak-hak yang difardhukan ke atasmu dan pohonlah kepada Allah untuk memenuhi hakmu."
(Bukhari)

Misalnya ketika kamu berkhidmat di dalam suatu badan, akan kamu dapati hak kamu ditekan dan seorang lain telah dinaikkan pangkat mendahului kamu. Namun, dalam keadaan yang beginipun Rasulullah s.a.w. telah menasihati bahawa walaupun orang bawahannya tidak memenuhi hakmu, kamu hendaklah terus memenuhi tanggungjawabmu tetapi jangan meminta hakmu itu dipenuhi oleh orang yang zalim dan tidak layak ini, kerana jikalau kamu minta daripadanya maka akan timbul pergaduhan, ketegangan, dukacita dan kecewa. Pohonlah hanya daripada Allah untuk memenuhi hak kamu. Allah Ta'ala akan memenuhi segala permintaan dan keperluan.

Tersebut di dalam hadis yang lain bahawa akan wujud pertentangan dan pergaduhan di kalangan manusia. Pada ketika itu kita dinasihat agar memecahkan pedang kita dan sebagai gantinya buatkan pedang daripada kayu dan duduklah di dalam rumah kamu sehingga maut.
(Musnad Imam Ahmad Ibn Hanbal)

Adalah dinasihatkan daripada Abdullah Ibn Abbas r. 'anhu bahawa : 
"Perkara terbaik yang perlu dilakukan tatkala datangnya fitnah ialah menunggang kuda dan sibuk berjihad ataupun pergilah ke hutan-hutan lalu tunaikanlah hak Allah."
(Tibrani)

Abdullah Ibn 'Amr r. 'anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Apabila kamu dapati orang ramai mula memecahkan perjanjian mereka dan tidak membayar balik amanah dan semua mereka adalah seperti ini (kemudian Rasulullah s.a.w. mengancing jari-jarinya) maka tinggallah di dalam rumah, jagalah lidah kamu, lakukan kerja-kerja yang baik, jauhi perbuatan-perbuatan yang jahat, jaga dirimu dan janganlah pedulikan orang lain atau mengambil berat tentang mereka."
(Mustadrak - Hakim)

Allah Ta'ala sendiri berfirman di dalam Al Quran :
"Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah diri kamu. Sesiapa yang sesat tidak akan memudharatkan kamu jikalau kamu mendapat petunjuk."
(5 : 105)

Mengulas ayat ini, para ulamak telah menyatakan bahawa dakwah dan tabligh (menyeru dan menyampaikan) adalah penting. Tetapi menurut kenyataan hadis, jikalau manusia telah menjadi bakhil, jikalau mereka bertindak menurut nafsu mereka sendiri dan hidup menurut apa yang ditutun oleh nafsunya dan setiap orang memikirkan tentang fahamannya yang tersangat baik dan bagus langsung tidak mahu mendengar kepada orang lain, maka perbaikilah diri kamu sendiri dan tinggallah di dalam rumah.
(Tibrani)

Fitnah dan maksiat juga tersebar luas pada zaman ini tetapi masih ada manusia yang mahu mendengar kepada nasihat dan juga berusaha memperbaiki diri mereka. Tetapi apabila suatu ketika di mana seorangpun tidak bersedia untuk mendengar kepada nasihat yang baik dan terdapat bahaya kehilangan nyawa, harta kemuliaan diri dengan bercakap benar, maka ada ruang bagi seorang itu untuk memperbaiki dirinya dan duduk di dalam rumahnya sendiri serta menjauhi pergaulan dan kerjasama dengan orang ramai yang membuat fitnah. Atau jikalau dia mampu, hendaklah dia bersedia untuk berjihad bagi pihak kerajaan Islam atau untuk diri dan menjaga batas-batas negara atau sahaja tinggal dan hidup di dalam hutan, menyarai diri sendiri cukup dengan susu kambing dan abdikan diri kepada Allah. Atas alasan inilah Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Harta yang terbaik ialah kambing yang mana dia boleh pergi ke gunung-gunung lalu selamatkan agama yang ada padanya."
(Bukhari : Jilid 1, ms 17)

Lantaran itu Imam Bukhari r. 'anhu telah meletakkan satu tajuk : "Menyelamatkan dirinya bersama agamanya adalah merupakan cabangan Agama"

Sebagai usaha menyelamatkan iman dan agama seseorang, bolehlah dia meninggalkan bandaraya, bandar atau tempat kediamannya lalu pergi ke hutan-hutan dan tinggallah di sana dengan mengambil makanan biasa atau hanya bergantung dengan susu kambing.

Cara yang lebih baik selagi dia boleh memelihara iman dan agamanya jikalau tinggal di bandar ialah dengan membuat berbagai-bagai usaha perbaikan dan pahala tatkala hidup bersama-sama jirannya. Dia bolehlah menolong orang yang sakit, tanya kesihatannya, tunaikan tanggungjawabnya ke atas anak isterinya, lakukan kerja-kerja kemasyarakatan, mengajar dan menjadi guru dan memberi sedeqah.

Tetapi jika seluruh suasana bandar dan kota telah rosak, kerja-kerja baik tidak ada maka sukarlah untuk menyelamatkan dan melindungi iman dan agama seseorang itu serta untuk terus hidup menurutinya. Maksiat yang besar dan menggerunkan akan wujud dan berkemungkinan timbul bahaya samseng dan orang-orang jahat yang juga mengheret orang-orang soleh membuat dosa. Juga nyawa, harta dan kemuliaan juga akan ditakuti dalam bahaya.

Maka dalam hal dan suasana yang demikian, dengan maksud menyelamatkan iman dan agama seseorang itu hendaklah tinggalkan tempat tinggalnya lalu masuk ke hutan. Ini adalah jaiz (harus). Pada hakikatnya ini adalah nasihat Nabi s.a.w.

Menurut hadis yang lain, bahawa roh iman, agama, amanah, janji dan tanggungjawab akan mengurang. Ini adalah keadaan yang umum dan seluruh masyarakat menurut kaca mata agama akan binasa dan amat sukar bagi orang-orang yang bertaqwa dan soleh mengharungi hidupnya. Maka orang-orang yang bertaqwa begini hendaklah berlindung di dalam hutan atau tinggal di dalam rumah mereka (mengurung diri).

Dalam keadaan begini seorang itu tidak akan dikira atau dihisab kerana meninggalkan pengajaran dan penyampaian (tabligh). Walaubagaimanapun, masa itu belum lagi tiba maka amatlah perlu kita menunaikan tanggungjawab mengajar dan mengtablighkan ajaran agama. Namun hari demi hari, tanda-tanda yang disebutkan di atas telah bertambah.

Bab 54, Meniti Debaran Zaman - Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan : Abdul Aziz Bin Abdul Hamid

Saturday, January 1, 2011

Pada Zaman Fitnah, Orang Yang Duduk Lebih Baik Daripada Orang Yang Berdiri Dan Orang Yang Tidur Lebih Baik Daripada Orang Yang Duduk

DIRIWAYATKAN daripada Abu Hurairah r. 'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Fitnah akan terjadi. Pada ketika itu seorang yang duduk lebih baik daripada orang yang berdiri. Orang yang berdiri lebih baik daripada orang yang berjalan (berusaha).
Berkemungkinan fitnah itu akan menarik perhatiannya yang dilihatnya dari jarak yang jauh. Barangsiapa mendapat tempat perlindungan maka berlindunglah dia di situ."
(Bukhari, Jilid 2, ms. 1048)

Tersebut di dalam Sahih Muslim bahawa orang yang tidur lebih baik daripada seorang yang jaga. Terdapat juga di dalam hadis yang lain bahawa fitnah akan mengikut seperti rantai mutiara yang terputus talinya, maka gugurlah biji-biji mutiara itu satu lepas satu. Begitulah fitnah akan muncul di dalam dunia ini (satu persatu).
(Hadis)

Telah disebut di dalam hadis yang lain bahawa fitnah akan muncul seperti bahagian-bahagian malam yang gelap gelita.
(Hadis)

Kebaikan akan ditinggalkan dan fitnah-fitnah akan dicipta, rasa malu tidak wujud lagi, maruah terjual, permusuhan, pertentangan dan fitnah hawa nafsu menyerlah. Sesiapa sahaja yang terbabit ke dalam kancah fitnah ini, menurut pandangan agama akan binasa. Dengan ini Rasulullah s.a.w. telah bersabda : "Pada masa begini keadaannya hendaklah kamu menjadi sebagai tikar di dalam rumahmu. Jangan pergi ke pasar atau mungkin kamu akan terbabit dengannya."
(Hadis)

Dan disebut di dalam sebuah hadis yang lain bahawa : "Ibadat yang dilakukan semasa terbabitnya di dalam fitnah seolah-olah dia sedang berhijrah kepadaku."
Dengan ini marilah setiap daripada kita mencuba sedaya upaya menjauhkan diri daripada fitnah-fitnah ini dan memohon kepada Allah supaya melindungi kita daripadanya kerana adalah mustahil kita dapat menghindarinya tanpa pertolongan daripada Allah.
Terdapat satu sabdaan Rasulullah s.a.w. bahawa : "Fitnah-fitnah pasti muncul tetapi hanyalah orang-orang yang dipelihara Allah yang selamat daripadanya. Seseorang itu perlulah memohon doa kepada Allah seperti seorang yang sedang tenggelam lemas berdoa kepada-Nya."
(Baihaqi)

Jikalau tekanan dan kesusahan itu begitu besar dan berat, maka doa juga perlulah seimbang dengan tawaduk dan kesungguhannya. Jikalau seorang itu berdoa dengan rasa penuh rendah diri dan sungguh-sungguh, maka rahmat Allah akan dapat diperolehi lalu terselamatlah dia daripadanya. Atas alasan inilah maka sabda Rasulullah s.a.w. : "Fitnah itu sedang tidur. Kutukan Allah ke atas orang yang menggerakkannya."
(Hadis)

Melakukan kerja-kerja fitnah dan bercakap perkara-perkara yang buruk dan kotor, orang-orang begini mengwujudkan darah kotor di kalangan mereka, menimbulkan sebab-sebab pergaduhan dan pertikaian di kalangan mereka, sebab-sebab pergaduhan dan permusuhan di kalangan keluarga, puak dan suku.

Tiap-tiap hari, siang dan malam kita memerhatikan perkara ini semakin meningkat dan meruncing. Tiga empat puluh tahun dahulu (sejak penulisan kitab ini), tahap ilmu boleh dikatakan kurang tetapi masih ada kemantapan iman, tetapi sekarang tahap pencapaian ilmu semakin meningkat namun fitnah-fitnah juga terus melonjak naik.

Bab 55, Meniti Debaran Zaman - Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan : Abdul Aziz Bin Abdul Hamid

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...