Tuesday, April 6, 2010

Mereka Akan Menjual Agama Untuk Manafaat Yang Sedikit - Seorang Itu Muslim Pada Waktu Pagi Dan Kafir Pada Petangnya Atau Muslim Pada Waktu Petang, Kafir Pada Waktu Paginya.

     Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r. 'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Berlumba-lumbalah di antara satu sama lain untuk melakukan amalan baik sebelum munculnya musibah (kemungkaran) yang akan melanda manusia seumpama kepingan-kepingan kegelapan malam. Seorang itu akan bangun dalam keadaan beriman tetapi akan pergi tidur pada waktu malamnya dalam keadaan kafir. Atau pada waktu malam dia akan tidur dengan keadaan beriman lalu bangun keesokan paginya dalam keadaan kafir. Seorang itu akan menjual agamanya untuk pulangan keuntungan duniawi yang sedikit."
(Muslim)

     Hadis-hadis lain mengenainya boleh didapati di dalam Kanzul Ummal (Jilid 11)
  1. Perkara pertama yang terbukti daripada Hadis ini ialah bahawa kedatangan musibah dan kemungkaran di dunia ini yang akan membinasakan Iman dan Islam;
  2. Jikalau musibah dan kemungkaran itu kecil, ia dapat dicegah dengan usaha yang kecil. Tetapi jikalau musibah dan kemungkaran itu besar, maka usaha utnuk mencegahnya pun tentulah berkadar besarnya. Jikalau tidak, musibah dan kemungkaran besar ini akan senang sahaja menyisih dan menerjah keluar usaha yang kecil;
  3. Sangatlah perlu meneruskan usaha secara terus-menerus, jika tidak seorang itu tidak akan dapat menghadapinya dengan sebaik-baiknya. Bagi kemungkaran dan musibah yang besar, usaha-usaha yang dibuat sekali dua tidak akan mendatangkan apa-apa kesan.
  4. Untuk jumlah wang yang sedikit sahaja, seorang itu sanggup sahaja menjual harta Iman dan Islamnya.
  5. Terdapat kemungkaran dan musibah di dalam agama. Dengan ini persediaan perlulah dititikberatkan daripada segi agama. Perkuatkan cahaya keimanan melalui amalan-amalan baik, solat, berpuasa, membayar zakat, bersedekah dan juga menghayati serta menuruti kepercayaan dan pendapat-pendapat Ahli Sunnah Wal Jamaah.
     Jikalau anda kuat dalam beramal dan tetap teguh dengan keimanan ini, maka nescaya berjayalah anda dalam menghadapi kemungkaran dan musibah yang disebut oleh Rasulullah s.a.w.. Jika tidak terperangkaplah anda di dalam kemungkaran dan musibah tersebut. seumpama gelap malam yang ada di luar, seorang yang ingin memecah kepekatan malam tersebut memerlukan lampu suluh, maka begitulah umpamanya Rasulullah s.a.w. memberi amaran bahawa kemungkaran dan musibah tersebut akan mempengaruhi keimanan kamu, lalu membinasakan keimanan, kepercayaan dan amalan.
         Dengan itu sebelum munculnya musibah dan kemungkaran tersebut maka sepatutnyalah kamu mempertingkatkan usaha menambah amalan baik untuk memperteguhkan cahaya iman agar dapat memahami dan mengetahui samada kemungkaran tersebut menyelit ke dalam dirimu. Hanyalah dengan itu maka dapat kamu menyelamatkan dirimu daripada kemungkaran-kemungkaran tersebut.

         Jikalau kamu tidak berusaha untuk memperteguhkan daya keimanan tersebut melalui amalan-amalan kesolehan, maka keadaan kamu adalah seperti dirimu akan dilanda banjir kemungkaran-kemungkaran - suatu keadaan yang mana Rasulullah s.a.w. telah menyatakannya secara pendek dan tegas, bahawa dia akan menjadi seorang Muslim pada waktu pagi dan kafir pada petangnya.

         Seorang apabila dia bangun daripada tidur berkeadaan Muslim tetapi sewaktu siang hari dia bergaul dengan hal-hal keduniawian yang menggodanya sehingga menggadaikan jiwa dan agamanya semata-mata untuk memperolehi pulangan yang sedikit - misalnya untuk menempati dirinya di dalam majlis tempatan, perbandaran, Dewan Negeri, Parlimen atau Kementerian Luar Negeri dengan maksud apabila jawtan-jawatan ini diduduki, beliau dapatlah mempengaruhi kerajaan dan orang-orang berkenaan untuk memperolehi sesuatu kerja yang boleh atau tidak boleh daripada segi Syari'ah. Dan dia tidak mempunyai keraguan sedikitpun di dalam hati nuraninya untuk melakukannya, maka tercabutlah dia daripada batasan Iman.

         Ataupun pada waktu malam dia tidur dengan keadaan beriman tetapi pada waktu tengah malam dia bangun lalu berurusan dengan beberapa orang berkenaan dengan perniagaan yang telah diharamkan dan ditegah yang boleh membawa bencana dan mudharat kepada masyarakat, negara dan agama. Sebagai pemimpin dia telah mendatangkan kemudharatan kepada masyarakat, negara dan agama.

         Orang yang sedemikian mengambil kesempatan daripada kedudukannya akan menjual Iman mereka untuk memperolehi keuntungan duniawi yang sedikit. Tahap keagamaan mereka tidaklah kuat dan menganggap harta dan kekayaan sahajalah segala-galanya dan secara membabi-buta menyambarnya di mana sahaja yang terluang.

         Sebenarnya, mereka adalah seperti lalang ditiup angin. Ramai orang yang sedemikian akan senang sahaja menjual Iman dan Islam mereka untuk lagu lama; mereka akan mendakwa sebagai wakil, petunjuk dan pemimpin masyarakat mereka.  Di atas nama jawatankuasa pembaharuan maka sewenang-wenangnyalah mereka menukar warna dan corak bentuk agama. Inilah golongan munafiq.

         Maka, apabila tersua dengan tanda-tanda ini, selamatkanlah dirimu daripada mempercayai mereka. Percaya hanyalah kepada perkara-perkara selaras dengan Al Quran dan Hadis atau engkarilah mereka di hadapan diri mereka sendiri. Janganlah terima apa-apa daripada mereka yang bertentangan dengan Iman dan Islam.

    No comments:

    Post a Comment

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...