AHLI Sunnah Wal Jamaah sepakat dalam menyatakan bahawa semua Sahabat adalah adil dan dapat dipercayai. Tidak diharuskan (tidak jaiz) bagi mana-mana perseorangan itu ragu-ragu tentang keadilan dan keikhlasan mereka. Kesemua mereka adalah ikhlas dan mempunyai niat yang murni di dalam setiap amalan dan perbuatan mereka, semata-mata untuk mencari keredhaan Allah Ta’ala. Tidak ada sedikit nafsupun yang merayap di dalam hati mereka di dalam hubungan perseorangan, masyarakat dan siasah mereka.
Di dalam semua peperangan mereka (seperti peperangan Jamal, peperangan Siffin umpamanya) adalah berdasarkan kebenaran, keikhlasan dan maksud yang baik, yang mana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Perbezaan pendapat lantaran diruntun nafsu adalah haram.”
Maka menjadi tanggungjawab bagi umat ini seluruhnya tatkala mereka hendak memperkatakan sesuatu atau menulis sesuatu mengenai para Sahabat, maka hendaklah dilakukan dengan beradab, berakhlak mulia dan penuh rasa hormat. Sesungguhnya memang ada perbalahan di kalangan para Sahabat tetapi di antara mereka tidak ada pertentangan.
Tidaklah dibenarkan menghina, mengumpat atau mencari-cari kesalahan ataupun menceritakan kesilapan-kesilapan mereka lalu dicetak untuk diterbitkan. Adalah haram mencela mereka, menyelongkar kecacatan dan kesalahan mereka lalu mendedahkannya kepada awam, menerbitkannya lalu membangkitkan keraguan terhadap mereka. Tidak ada sedikitpun titik hitam di dalam kehidupan suci dan sifat-sifat mereka. Kehidupan mereka yang soleh adalah suatu contoh dan tauladan yang tidak dapat ditandingi bagi umat ini.
Apa sahaja yang ditulis di dalam buku-buku sejarah mengenai perkara yang menimbulkan keraguan terhadap mereka perlulah ditolak. Adalah wajib menolaknya. Adalah haram sama sekali mempercayai apa yang ditulis di dalam tulisan-tulisan sejarah yang memburuk-burukkan mereka lalu tidak lagi mempercayai mereka.
CATATAN
Mempercayai sesuatu dengan hanya bergantung kepada suatu maklumat tidaklah betul. Samada maklumat itu salah ataupun periwayat itu yang mempunyai niat yang salah ataupun riwayat tersebut tidak berterusan bentuknya, mungkin terputus di antara perawinya.
Bab 52, Meniti Debaran Zaman – Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat.
Terjemahan – Abdul Aziz Bin Abdul Hamid.
No comments:
Post a Comment