Monday, September 26, 2011

Perdamaian Dan Peperangan Dengan Nasrani (Kristian)

MUKHBIR r. 'anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Buatlah perjanjian perdamaian dengan Nasrani. Kamu dan Nasrani akan berpadu tenaga lalu menentang pihak Nasrani yang satu lagi. Kamu akan menang di dalam peperangan ini dan mendapat harta rampasan. Setelah berdepan sesama sendiri maka kamu akan berkhemah di atas tanah yang berbonggol-bonggol yang kedapatan banyak pokok. Sedang duduk, seorang Nasrani akan mengangkat salib di tangannya lalu berkata : "Kemenangan ini telah dicapai lantaran keberkatan yang ada pada salib ini."

Mendengar dakwaan ini orang Islam begitu marah lalu mengambil salib tadi serta mematahkannya. Kejadian ini menyebabkan orang-orang Nasrani memutuskan segala perjanjian mereka dan berkumpul untuk berperang dengan orang-orang Islam. Orang-orang Islam juga mengangkat senjata dan bersatu menentang Nasrani. Allah Ta'ala akan mengurniakan kesyahidan ke atas mereka yang berjuang di dalam peperangan ini."

Sebanyak inilah yang telah diriwayatkan di dalam kitab Hadis Abu Daud. Kemudian Shah Rafiuddin Dehlawi menulis bahawa di dalam peperangan ini, Raja bagi orang-orang Islam akan gugur syahid dan di antara negeri-negeri yang diperintah Nasrani ialah Syria. Orang-orang Nasrani ini akan berbaik-baik semula dengan orang-orang Nasrani yang mula-mula mereka menentang pada peperangan tadi. Baki orang-orang Islam yang masih hidup akan pergi ke Madinah. Sekarang pemerintahan orang-orang Nasrani telah berkembang sehingga ke Khyber (sekarang dikenali sebagai Al Khubr).

Telah disebut di dalam Bukhari bahawa Rasulullah s.a.w. telah menyebut enam tanda-tanda Kiamat kepada 'Auf Bin Malik r. 'anhu ketika peperangan Tabuk. Di antaranya ialah berkenaan perjanjian perdamaian di antara orang-orang Islam dengan Nasrani (yang dipanggil Banul Asfir). Telah juga dinyatakan bahawa orang-orang Nasrani bersalah kerana memecahkan segala perjanjian dan perdamaian lalu keluar menentang orang-orang Islam. Mereka mempunyai 80 bendera yang tiap-tiap satu bendera akan ada 12,000 tentera menjadikan jumlah mereka 960,000 tentera.

Di dalam hadis tertentu dinyatakan juga peperangan yang besar. Di dalam Tirmizi disebut mengenai kemenangan ke atas Constantinople selepas Peperangan Besar dan Dajjal akan datang dalam masa 7 bulan. Yakni segala peristiwa ini akan berlaku dalam masa yang singkat. Peperangan Besar ini akan berlaku di antara orang-orang Islam dan bukan Islam atau antara orang-orang Islam dengan seluruh manusia di dunia ini. Agama bukanlah sebab terjadi peperangan ini tetapi adalah peperangan di anatara ism tertentu tetapi tajuk ini tidak diberikan penjelasan apa-apapun di dalam hadis.

Walaubagaimanapun penerangan mengenai Peperangan Besar tersebut yang terdapat di dalam Hadis melibatkan orang-orang Islam juga. Pada waktu sekarang (yakni sewaktu pengarang ini menulis) dunia terbahagi kepada dua blok - komunis dan bukan komunis. Kedua-duanya sibuk berkonspirasi di antara satu sama lain. Berkemungkinan kedua-dua blok ini akan berentapan satu sama lain.

Kedua-dua kuasa besar Soviet Russia dan U.S.A. sedang sengit membuat perlumbaan senjata. Kedua-duanya tidak berdasarkan agama tetapi di atas ism, teori-teori dan idea-idea. Setiap negeri telah memilih di antara blok tersebut menurut untung dan ruginya. Aku boleh katakan, berdasarkan perkataan tertentu daripada Hadis bahawa satu blok dipimpin oleh Russia di atas dasar atheis.

Negeri-negeri yang condong kepada Komunis termasuklah Yugoslavia, Checkoslavia, Poland, Jerman Timur, Burma, Vietnam dan sebagainya. (Ketika terjemahan ini dibuat negara-negara Soviet Russia, Yugoslavia telah berpecah dan terpaksa melepaskan negeri-negeri di bawah kekuasaannya, sedangkan Jerman Timur telah bersatu semula dengan Jerman Barat.

Blok yang lain adalah yang percaya kepada Allah. Yang beriman kepada Allah ialah Yahudi, Nasrani dan Islam termasuk di dalam satu blok negara-negara seperti Amerika, England, Peranchis dan semua negara Islam akan berada di dalam blok ini. Maka akan terjadilah peperangan di antara dua blok ini. Blok yang mempercayai Allah akan menang dan blok Komunis akan kalah dan hancur. Bolehlah juga dikatakan bahawa China juga akan terbabit sama di dalamnya. Di dalam peperangan ini ramailah yang akan mati sehingga menurut sabdaan Rasulullah s.a.w. burung yang berterbangan di atas mayat ini akan mati namun mayat manusia ini belum habis.*

* Nota - Mungkin yang dijangkakan oleh Maulana mengenai peperangan blok ini kurang tepat kerana sehingga terjemahan ini dibuat setakat ini, peperangan terjadi di dalam bentuk yang lain - peperangan di Yugoslavia peperangan penghapusan etnik dengan ratusan ribu orang-orang Islam mati dan peperangan Iraq dengan 28 negara bersekutu di bawah telunjuk Amerika Syarikat kerana menghukum Iraq yang telah menyerang Kuwait. Ini juga melibatkan begitu banyak nyawa orang-orang Islam yang hilang dan Iraq menerima sekatan antarabangsa. Berkemungkinan peperangan yang dinaksudkan oleh Maulana belum lagi terjadi. (Penterjemah)

Selepas menang, tentera-tentera ini akan duduk di atas rumput yang hijau. Kemudian berkatalah ketua perang orang-orang Islam : "Kemenangan ini adalah disebabkan wasilah dan keberkatan Rasulullah s.a.w." Ketua perang Nasrani akan berkata : "Kemenangan ini adalah melalui keberkatan Jesus." Maka ketua perang orang-orang Islam akan memukul ketua orang-orang Nasrani tersebut maka pecahlah peperangan di antara Nasrani dan orang-orang Islam. Pada ketika itulah orang-orang Islam mendapati tidak ada perlindungan selain di dua kota suci iaitu Mekah dan Madinah. Pemerintah Nasrani meluas sehingga ke Khyber (sekarang dikenali sebagai Al Khubr).

Bab 68 - Meniti Debaran Zaman - Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan - Abdul Aziz Bin Abdul Hamid

1 comment:

  1. harap2 peperangan sebegini takkan berlaku pda masa depan..

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...