Wednesday, October 5, 2011

Bila Aku Tersenyum

SENYUM suatu tindakan positif yang ditunjukkan kerana ingin memberi gambaran kesenangan di hati seseorang. Dalam Wikipedia pula ialah riak wajah yang ditunjukkan manusia biasanya ketika gembira.

Senyuman yang diberi mungkin berlaku sesuatu yang mengujakan seseorang seperti kegembiraan, jenaka, tanda seseorang bersetuju, malu,  kebahagian yang dikecapi dan juga keyakinan diri. Selain itu ada satu senyum yang begitu ikhlas kata kawan aku, iaitu senyuman orang yang tak betul lagi, "orang gila" yang sentiasa tersenyum. Mungkin monolog dalaman yang berlaku menyebabkan terwujudnya senyuman yang menyenyumkan "orang gila" terbabit.

Sebenarnya aku tak bermaksud nak bercerita tentang senyum, mungkin perlu juga aku nak beritahu betapa pentingnya senyum dalam kehidupan kita seharian. Walaupun ia sekadar senyuman bagi orang yang menganggap bahawa ia tak mendatangkan harta yang menimbun, kuasa yang besar dan pangkat yang tinggi. Cuma mungkin hanya dengan senyum boleh mengubah kehidupan seseorang yang resah, susah dan gelisah bagi yang mengalaminya. 

Dalam kehidupan seharian kita sebuah senyuman yang dilemparkan bagaikan tak bermakna kerana ia hanya perkara biasa-biasa sahaja. Jarang kita dengar orang memperkatakan tentang bernilainya senyuman. Mungkin kerana ia tak menambahkan nilai ekonomi, politik dan sosial dalam negara kita. Keluaran Negara Kasar pun tak berkait dengan senyuman. 

Dalam Islam senyuman begitu penting sekali, ia umpama hadiah ataupun sedekah yang boleh untuk menenangkan hati seseorang, malah boleh mendatangkan ganjaran atau pahala yang besar kepada orang yang memberi senyuman. Bagi orang bisnes pula, senyuman yang diberi sebenarnya untuk menarik pelanggan-pelanggan agar membeli barangan, produk dan perkhidmatan mereka dan kebanyakan gadis-gadis yang mempunyai senyuman yang menarik diperlukan. Ada setengah-tengah jabatan kerajaan menjadikan ia sebagai motto untuk menunjukkan perkhidmatan yang diberikan perlu disulami dengan senyuman untuk memberi kepuasan kepada pelanggan-pelanggan.

Dengan mengekalkan senyuman yang ada juga boleh memanjangkan umur seseorang berbanding individu yang kurang senyum. Dari itu juga dapat diperhatikan individu yang ramah lebih ramai kawan berbanding yang tidak ramah, iaitu individu yang sering memberi senyuman. Di Malaysia amnya, kebanyakan masyarakatnya suka memberi senyuman disebabkan budaya yang mengkehendaki untuk kita meraikan individu-individu tertentu. 

Isunya sekarang, kebanyakan masyarakat kita yang ada sekarang ini menggunakan senyuman untuk memperolehi kepentingan peribadi semata-mata(terpulanglah untuk apa senyuman itu digunakan). Senyuman yang dibuat hanyalah rekaan semata-mata, bukan datangnya dari hati tapi untuk memperolehi kebendaan atau kepentingan peribadi sahaja. Mungkin kita dapat menilai senyuman seseorang tersebut samada ia palsu atau tulen. Seorang pengkaji barat telah membuat kajian tentang senyum tulen dan palsu, hasil senyum palsu hanya terjadi apabila otot-otot hanya bergerak di sekitar mulut sahaja dan senyuman tulen menghasilkan pergerakan otot-otot bukan sahaja sekitar mulut tapi otot-otot bahagian pipi dan mata juga terlibat.

Bagi individu-individu yang jarang senyum atau tak pernah senyum langsung biasanya sering mengalami masalah untuk menjalinkan perhubungan antara individu-individu yang lain. Mungkin fakta ini boleh kita gunakan dari pengalaman kerana permulaan pengenalan seseorang bermula dari sekumtum senyuman dan juga berbalas senyuman. Orang tidak memberi senyuman sering memberi tanggapan dalam diri seseorang bahawa seseorang itu sombong, tidak ingin didekati dan ingin bersendirian tanpa teman.

Jadi sesiapa yang ingin nak senyum, senyumlah kerana ia boleh membahagiakan orang yang senyum dan orang yang menerima senyuman dari kita. Dan yang tak dapat nak senyum kena banyak doa agar Allah memberi kita nikmat untuk dapat senyum kerana nikmat yang ada ini tak dapat untuk kita beli dengan wang ringgit.

2 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...