Tuesday, July 13, 2010

Bila Jemu Datang Menyapa Kita....

JEMU, makhluk yang sering hinggap dalam kehidupan manusia, hatta haiwanpun mengalami perasaan sebegitu, dan mengapa jemu sering hadir dalam hidup manusia di dunia? Adakah ia sekadar pelengkap kepada makhluk-makhluk yang ada di dunia ini untuk mencuba sesuatu yang baru dan merekacipta bentuk-bentuk baru dalam dunia ini setelah jemu dengan apa yang ada dan mencuba yang baru. Dari itulah Allah ciptakan perasaan jemu ini dalam diri manusia agar ada daya usaha dan terciptanya masalah untuk manusia selesaikan serta kehidupan boleh berkembang dan membiak dengan pelbagai rupa, cara, kaedah, warna serta rasa.

Kalau kita lihat maksud jemu ialah perasaan yang sudah tak berkeinginan lagi dan  dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Malaysia, sinonim dengan bosan, jelak, muak, cemus, jenuh, lugu, cermuih, pasai.  

Setiap naluri manusia yang ada di dunia ini, sering berubah-ubah persepsi, keinginan dan kehendak yang tak pernah merasa puas. Setiap apa yang dipunyai bagaikan tak pernah memberi kepuasan, nak juga yang lain dan baru. Ini menimbulkan kejemuan pada apa yang dah ada dalam kepunyaan, nak juga mendapatkan yang lain, yang belum dirasai.

Allah ciptakan semua makhluk-makhluk yang ada di dunia ini dengan sifat-sifat yang tiada berkualiti, tiada berkuantiti dan terhad. Timbulnya rasa jemu dikalangan makhluk Allah terhadap apa-apa yang di dunia ini kerana sifat-sifat yang ada dalam makhluk itu.

Jika kita lihat apa yang berlaku sekarang ini dari pelbagai sudut seperti kehancuran sosial, politik dan ekonomi adalah berkaitan dengan kejemuan yang melampau dalam diri manusia itu sendiri. Perkahwinan yang hancur asbab kejemuan antara pasangan, kejatuhan pemerintahan asbab kejemuan rakyat dengan pemerintah dan kerosakan urusniaga asbab kejemuan atas apa yang diperolehi yang semakin tak cukup. Dan banyak lagi kejemuan-kejemuan yang hadir dalam sanubari manusia menyebabkan pelbagai ketidakpuasan ditimbulkan oleh manusia yang merekacipta pelbagai masalah-masalah yang sedang mengembang.

Dan jika kita lihat, kejemuan yang wujud dalam diri manusia memberi kesan yang pelbagai iaitu terekanya benda-benda baru ataupun timbulnya masalah-masalah baru.

*************

Cuba kita lihat di dalam diri kita sendiri, dalam bab makan, jika diberi makanan yang lazat untuk pertama kalinya, pasti ianya  sedap, untuk kali kedua, ketiga, keempat dan kelima kalinya pasti jemu nak makan makanan yang sama, timbulnya rasa jemu dan muak untuk makan makanan yang lazat tadi. Dalam bab orang bercinta, sekarang ini, orang bercinta sering berutus mesej melalui sms, kali pertama kita membaca sms, ia menimbulkan keghairahan dalam hati terhadap apa yang ditulis oleh kekasih hati, jika kita baca untuk kali kedua, ketiga, keempat dan mungkin ke lima puluh kalinya pasti tiada lagi keghairahan dan rasa jemu akan menghantui kita.
Begitu juga dengan orang yang minat tentang kenderaan seperti kereta, untuk pertama kalinya, jika seorang itu membeli kereta baru, pasti ia akan menjaga kereta itu dengan baik dan berhati-hati takut tercalar atau sebagainya, namun bila dah tiga, empat bulan dan setahun tiada lagi keinginan untuk kita menjaga kereta tersebut, timbul rasa jemu dan ingin nak guna kereta yang baru lagi. Begitu juga dengan telefon bimbit, computer yang sering berubah-ubah setiap masa yang memberi manusia itu untuk memilih jenama dan produk yang lebih canggih lagi, sebab nak satu ke”baru”an dan yang lebih kedepan lagi.

Begitulah kita lihat keadaan yang ada di dunia ini penuh dengan kejemuan dan manusia seperti akupun timbul jemu juga dengan apa yang ada di dunia ini. Ada yang jemu nak hidup, jemu dengan kerja yang ada, jemu menganggur, jemu dah jadi seorang kakitangan kerajaan, jemu sebagai seorang usahawan, jemu sebagai seorang suami, jemu sebagai seorang isteri, jemu seorang bujang dan kejemuan itu datang bila kita sudah memiliki sesuatu yang kita hajati.

Persoalannya, perlukah jemu dalam hidup kita?

Mungkin jemu ini perlu ada sebab kita tinggal di alam dunia yang fana, tapi di alam akhirat masih relevenkah perasaan jemu ini?

Tapi cubalah membaca surah Al Fatihah(dalam solah), pasti tidak jemu, mengapa menjadi begitu? Dan juga amalan-amalan agama yang lain, semacam ada satu yang begitu indah dan manis...mari kita mencuba...pasti tiada jemu...

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...