Tuesday, December 28, 2010

Cemburunya Masa?

TAHUN Hijrah dah berlalu, tahun Masehi akan mengekori tak berapa lama lagi. Aku merasakan masa akan terus bergerak dengan pantas tanpa kita sedari. Dan biasanya, kita akan berkata, "cepatnya masa, dah hujung tahun dah, tak terasa". Begitulah yang sering keluar dari mulut kita bila sesuatu tahun tu dah nak habis. Kadang-kadang kita tak tahu apa yang telah kita buat dalam tempoh setahun, sebab setahun bagaikan sebulan, sebulan bagaikan seminggu, seminggu bagaikan sehari, sehari bagaikan sejam, sejam bagai seminit dan seminit bagai sesaat.

Mungkin begitulah keadaan masa yang kita rasakan sekarang, semuanya semakin cepat dan laju. Semacam kita pula yang tertinggal di belakang masa, dan seolah-olah masa pula yang mendahului kita.

Sebenarnya masa itu tetap beredar dengan ketetapan yang telah Allah berikan. Cuma, kita sahaja yang tidak dapat mengurus masa dengan betul dan konsisten. Kalau mengikut peribahasa Arab, ...masa itu umpama pedang...maksudnya, jika kita tidak mengurus masa dengan betul, masa akan menjadi musuh dan boleh merosakkan kita, dan jika kita pandai mengurus masa dengan betul, ia akan menyelamatkan kita. Peribahasa oarang Yahudi pula, ...masa itu umpama emas... maksudnya, jika kita tak menggunakan masa dengan betul kita akan rugi, dan jika kita mengurus masa dengan betul, ia akan mendatangkan keuntungan kepada kita.

Dan ada juga peribahasa yang sering aku dengar, dan aku tak pasti siapa yang mencipta peribahasa ini, tapi begitu sinonim juga dengan kehidupan kita. Iaitu, ...masa itu umpama ais batu...maksudnya, jika kita tidak menggunakan masa untuk tujuan yang baik, masa itu akan terus bergerak juga, dan jika kita menggunakan masa itu untuk tujuan yang baik, dan pasti masa itu bergerak juga. Tapi, bezanya masa yang digunakan untuk tujuan yang baik boleh memberi manafaat kepada seseorang itu, tapi masa ynag digunakan untuk tujuan yang tidak baik akan memudaratkan seseorang itu. Kerugian akan berlaku kepada seseorang yang tidak pandai menggunakan masa dengan betul dan tepat mengikut kehendak Pencipta yang sebenarnya, iaitu Allah swt.

Sebab itulah Allah telah anugerahkan kepada setiap manusia dengan masa yang sama iaitu 24 jam setiap seorang, tak berkurangpun dan tak berkecualipun daripada kurang 24 jam.

Kepandaian kita sahaja yang perlu untuk menguruskan masa dengan kaedah yang betul dan tepat. Dan kepandaian yang Allah berikan kepada setiap insan di muka alam ini terpulang kepada individu untuk merealisasikan dalam bentuk perlakuan yang betul dan lurus di mata agama.

Semakin kita lama duduk di dunia ini, semakin kurang masa untuk kita tinggal di dunia atau semakin dekat untuk kita berjumpa dengan mati. Dan seluruh kita yang berada di dunia ini sebenarnya bergerak dan bergerak ke arah kubur. Dan pergerakan kita ke tempat tersebut semacam tak terasa yang kita akan mati, seolah-olah kita nak hidup selama-lamanya di dunia ini.

Akupun semakin berkurang masa untuk berada di dunia ini, tapi aku semacam tak menyedari yang masa aku semakin pendek dan singkat. Namun, aku rasa yang aku semakin lama pula di dunia, mungkin sebab aku mempunyai usia yang semakin membesar ataupun angka yang aku miliki semakin membesar dan seolah-olah angka yang semakin besar bermaksud semakin lama untuk tinggal di sini.

Mungkin jika umur ini diterbalikkan pergerakkannya, pasti orang akan menyedari yang usianya semakin sikit, contohnya usia aku sekarang ini sudah 17 tahun lagi. Dan sudah pasti kita akan mengetahui yang jangka masa untuk kita tinggal di dunia ini hanya 17 tahun lagi. Pasti kita akan bersegera dan bersiap ke arah kematian yang semakin hampir. Namun, Allah telah rahsiakan tarikh kematian kita dan Allah nampakkan tarikh kelahiran kita agar persiapan kita ke arah kematian itu dibuat dengan kesedaran yang sedar benar-benar akan wujudnya alam akhirat.

Jadi, kita semua ini dalam keadaan yang tak sedar kerana kita telah mabuk, iaitu mabuk dunia, bila dah mabuk kita tak sedar lagi di sekitar kita. Kita akan membuat apa-apa yang kita suka tanpa peduli samada perkara itu betul atau tak betul sebab kita kita tengah mabuk. Orang yang tak mabuk adalah orang yang tahu apa yang telah dibuatnya dan menggunakan masanya di dunia dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya.

Dan aku masih juga di sini, bertemankan masa yang terus bergerak dengan laju ataupun perlahan yang bergantung kepada amal-amal yang kita amalkan. Jika kita dekat dengan Allah, pasti Allah akan "lebarkan" masa selebar-lebarnya dan jika kita jauh dari Allah, pasti Allah akan tak cukupkan masa dengan tak pandai cukup-cukup yang membuat kita gelisah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...