Friday, December 30, 2011

Menanti Untuk Melihat "Benak"

DALAM bulan ini tadi aku berada Sri Aman, Sarawak atas kapasiti sebagai penjawat awam. Sri Aman hanyalah sebuah bandar yang sederhana besarnya, lebih besar dari Limbang. Apa yang ada di Sri Aman ini? Benak! Pernah tak dengar perkataan ini, benak. Ia merupakan satu fenomena ombak sungai di mana air pasang dari laut pecah apabila bertembung dengan pulau dan membentuk ombak yang menghala ke arah sungai Batang Lupar. 

Masa aku berada di Sri Aman tiada kejadian benak yang berlaku, penduduk tempatan mencadangkan agar pergi pada lewat petang ataupun waktu air tengah nak pasang. Waktu itulah fenomena benak berlaku di sungai Batang Lupar ini. Fenomena ini juga hanya berlaku di Sri Aman bagi rantau sebelah Asean dan merupakan fenomena yang unik sekali.

Fenomena benak di Sri Aman
Bagi aku, ia merupakan kejadian yang diciptakan oleh Allah yang Maha Kuasa dan syukur ia berada di negara kita untuk memperlihatkan kekuasaan Allah s.w.t. 

Aku pernah mendengar dalam satu majlis penerangan(ataupun bayan), kata pembayan tersebut : "....setiap apa-apa kejadian yang kita lihat bergantung kepada sudut pemikiran kita untuk menafsir kejadian tersebut....". Contohnya tentang fenomena benak ini, jika seorang usahawan, dia melihat fenomena benak ini boleh mendatangkan keuntungan kepada mereka, jika seorang saintis ia melihat fenomena benak ini suatu yang begitu unik dan merupakan fenomena yang ajaib, jika seorang menteri, dia melihat fenomena benak ini boleh meraihkan bandar Sri Aman ini sebagai pusat pelancongan, jika seorang yang percaya kepada benda-benda tahyul, ia melihat fenomena benak ini merupakan suatu keramat kepada sungai Batang Lupar dan jika seorang yang imannya mantap, dia melihat fenomena ini merupakan salah satu daripada berjuta-juta ciptaan Allah yang ada di muka bumi ini.

Kesimpulannya di sini, kita sering melihat setiap ciptaan Allah s.w.t. sesuatu yang amat menarik, mengujakan hati kita dan begitu hebat bagi pandangan kita sehingga kita lupa bahawa sang pencipta sebenarnya lebih lagi hebat daripada segala cipta-cipta-Nya.

Kadang kala kita leka dengan apa yang ada dalam diri kita, kita anggap kitalah hebat kerana adanya ilmu yang kita miliki, kepandaian kita, pencapaian kita, kekayaan kita, darjat kita, kuasa kita dan apa-apa yang kita nampak di mata kasar kita.

Sebenarnya kita amat daif dan jahil tentang semua yang ada di muka alam ini, kita tidak pandai, kita tidak berilmu, kita tidak berpijak di bumi nyata dan kita mudah tertipu dengan apa yang kita lihat, dengar, rasa dan fikir sebab kita anggap kita ada ilmu, ada pengetahuan, ada pengalaman dan ada segalanya.

"...ia umpama jarum yang dicelup di permukaan lautan yang luas dan apabila ditarik jarum tersebut, titisan yang jatuh dari jarum yang diangkat itulah ilmu yang Allah peruntukan untuk semua manusia di muka alam ini berbanding ilmu yang seluas lautan yang masih dalam simpanan Allah s.w.t....."

Boleh tak kita bandingkan ilmu kita dengan ilmu Allah s.w.t.?

2 comments:

  1. Rasanya fenomena benak ni sama dengan tidal bore (pororoca), ombak setinggi 4 meter dan sepanjang 13km yang terjadi bila air laut masin bertemu dengan air sungai Amazon.

    http://www.youtube.com/watch?v=4ZuZiLuHM1A

    ReplyDelete
  2. zarch,
    betul tu, kat sebelah asean ni terjadinya fenomena "tidal bore" di sri aman, sarawak dan bahasa sarawaknya "benak"

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...