Thursday, January 3, 2013

Datang Dan Pergi

TAHUN 2013 bagi aku sama sahaja seperti tahun-tahun sebelumnya. Bezanya, pengisian dan perancangan yang dibuat dalam tahun tersebut yang akan memberi nilai kepada tahun tersebut. Tetapi, kita sering teruja dengan perjalanan masa dan kurang perhatian dengan pengawasan dan pengurusan masa.

Perumpamaan yang boleh untuk aku terangkan seperti sebiji botol. Sebiji botol boleh memberi nilai yang berbeza-beza hanya bergantung kepada isi yang terdapat dalam botol tersebut.

Botol yang berisi dengan air mineral mungkin nilainya RM1.00 dan botol yang sama jika diisi dengan air jus oren mungkin nilainya meningkat lagi iaitu RM3.50 dan jikalah botol yang sama diisi dengan madu yang asli dari Yaman mungkin nilainya meningkat kepada RM70.00.

Jadi, nilai sesuatu benda bergantung kepada apa yang terkandung dalam sesuatu benda tersebut. Begitulah juga nilai seorang manusia. Penilaian ke atas manusia yang dinilai oleh manusia sendiri hanya bergantung kepada bagaimana manafaat yang dapat diambil dari manusia tersebut dari sudut kebendaan ataupun benda yang boleh dicapai oleh keinginan manusia tersebut.

Dan, begitulah juga tahun yang sering bertukar ganti dan sering kita raikan atas tahun tersebut serta ucapan yang diberikan. Namun, kosong dan hampas.

Kini, tahun 2013 telah mendekati kita, kita hanyalah pelakon picisan yang kurang memberi lakonan yang membanggakan dan boleh membuat "pecah panggung". Hanya sekadar berlakon dalam "lakonan" yang dilakonkan kerana secebis kertas.

Akupun berlakon juga, kadang kala lakonan aku menjadi dan kadang kala tak menjadi juga. Tahun 2012 yang aku tinggalkan, sedikit sebanyak memberi aku kekuatan untuk memperbaiki lakonan aku dan hanya perlu untuk menghafal skrip dan penghayatan yang mendalam agar lakonan yang aku lakonkan nampak hidup sikit.

Tahun depan dah 2014, aku rasa semakin cepat pula masa beredar dan anak-anak aku dah semakin membesar. Anak yang sulung dah sama tinggi dengan ibunya dan tak lama lagi samalah tinggi dengan aku nanti. Bagaimana dengan aku punya iman dan amal dah kah bertambah...?


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...