Wednesday, February 1, 2012

Dajjal Melakukan Kerosakan Dan Huru Hara Di Muka Bumi Dan Nabi Isa 'Alaihissalam Membunuhnya Sehingga Mati

HUZAIFAH R. 'ANHU meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Dajjal pasti muncul dan benar ada bersamanya api dan air."

Disebut juga di dalam sebahagian Hadis bahawa Syurga dan Nerakanya juga bersama dengannya. Yang disangka orang ramai akan air sebenarnya itulah api yang menyala-nyala. Yakni orang-orang yang percaya kepadanya akan dibakar api neraka. Dan apa yang disangka oleh orang akan api, sebenarnya adalah air yang nyaman.

Maka mereka yang tidak mahu percaya kepada kata-katanya akan dibakar di dalam api, adalah sebenarnya akan mengecapi air manis dan nyaman di syurga. Dengan ini sesiapa yang hidup pada masa itu hendaklah terjun ke dalam apa yang dia nampak seumpama api kerana sebenarnya itulah air dan taman.
(Bukhari, Jilid 2, m.s. 1055)

Juga disebut di dalam Muslim bahawa huruf KAF.FA.RA---(KAFIR) akan tertulis di antara kedua matanya dan setiap orang Islam yang tahu membaca dan tidak tahu membacanya juga dapat membaca.

Juga disebut di dalam setengah hadis bahawa bersama-samanya bergunung-gunung daging dan roti dan terusan-terusan air. Apabila seorang naik marah terhadap Dajjal dan bergaduh dengannya, Dajjal akan mendakwa lalu muncul dari timur berhasrat ke Madinah. Namun dia tidak boleh memasuki Madinah kerana pada hari itu akan ada tujuh pintu masuk Madinah yang setiap satunya dikawal rapi oleh dua malaikat.

Dajjal akan berkhemah di belakang gunung Uhud. Di sana malaikat akan memalingkan mukanya ke arah Syria. Dia akan ke Syria lalu dibunuh oleh Nabi Isa 'alaihissalam.
(Bukhari Dan Muslim)

Sebuah hadis daripada Hakim sebagaimana dinukilkan daripada Fathul Bari yang menyatakan bahawa orang lelaki dan wanita fasiq juga akan sama-sama meninggalkan Madinah dan pergi bersama-sama dengan Dajjal.

Namun Dajjal tidak dapat memasuki Mekah dan Madinah. Apabila gegaran gempa bumi terasa di Madinah, mereka yang kafir dan munafiq akan keluar daripada Madinah. Pada masa itu seorang yang dikatakan terbaik daripada seluruh penghuni bumi akan muncul daripada Madinah lalu berkata kepadanya : "Aku bersaksi bahawa sebenarnyalah kamu Dajjal yang sama yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w. kepada kami."

Mendengar tuduhan ini, Dajjal akan berkata kepada orang ramai : Apakah kamu semua akan mensyaki akan diriku jikalau aku hidupkan dia kembali selepas aku membunuhnya?"

Orang ramai akan berkata tidak. Lalu orang itu dibunuh oleh Dajjal dan menghidupkannya semula. Selepas hidup kembali dia akan memekik : "Demi Allah pada hari ini aku lebih yakin lagi daripada sebelumnya bahawa kamu adalah pendusta."

Dajjal akan cuba untuk membunuhnya tetapi dia tidak dapat lagi melakukannya.

Peristiwa yang sama diriwayatkan di dalam hadis tersebut. Seorang Islam hendak pergi menemui Dajjal. Askar-askar Dajjal yang mengawalnya bertanya kepadanya : "Ke mana kamu hendak pergi?"

Orang itu dengan marah menjawab : "Kepadanya yang membuat dakwaan palsu."

Pengawal-pengawal itu akan melenting : "Apa! Kamu tidak percaya tuhan kami?"

Dia akan menjawab : "Tidak ada syak untuk beriman dengan Tuhan kami. Jikalaulah Dia tidak dikenali dan jika tidak ada bukti untuk Dia menjadi Rabb kami, maka mungkinlah kami akan mempercayai tuhan kamu."

Mendengar ini pengawal itu mahu membunuhnya tetapi perbezaan pendapat berlaku di antara mereka. Sebahagiannya akan berkata : "Tidakkah kamu tahu bahawa tuhan kamu telah melarang membunuh sesiapa tanpa keizinannya?"

Maka dibawalah orang itu kepada si dajjal, sebaik sahaja matanya bertembung dengan Dajjal orang itu pun memekik : "Wahai manusia, dialah Dajjal sebagaimana yang telah diberitahu oleh Rasulullah s.a.w."

Mendengar pekikan ini, Dajjal mengarahkan orang-orangnya meniarapkan dia ke bumi. Dajjal menyuruh orang-orangnya menyiksanya. Mereka memukul dan memukulnya sehingga pinggang dan perutnya luka parah dan terkoyak. Sekali lagi Dajjal menyoalnya : "Tidakkah lagi kamu mahu beriman kepadaku?"

Dia akan menjawab : "Kamulah Masihid Dajjal itu"

Ketika ini Dajjal langsung mengarahkan orang-orangnya menggergaji orang ini daripada kepalanya lalu terbelah dua. Dajjal akan berdiri di antara dua bahagian badan yang terbelah ini lalu memerintah : " Bangun!"

Orang itu hidup dan bangun. Dajjal akan bertanya orang itu : "Masihkah kamu tidak beriman kepadaku?"

Dia menjawab : "Sekarang aku yakin bahawa kamu adalah Dajjal."

Kemudian orang itu menyeru kepada orang ramai : "Wahai manusia, selepasku, Dajjal tidak akan dapat lagi menghidupkan orang selepas membunuhnya."

Mendengar ini Dajjal cuba membunuhnya tetapi tidak berjaya menyembelihnya kerana dengan pertolongan Allah, leher orang itu akan bertukar menjadi tembaga. Apabila Dajjal tidak lagi boleh menyembelihnya dia akan menangkap kedua-dua tangan dan kaki orang itu lalu dihumbannya ke dalam neraka ciptaannya. Orang ramai akan memikirkan bahawa dia dihumbankan ke dalam api sedangkan hakikatnya dia dicampak ke dalam Syurga.

Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda : "Si mukmin ini adalah dalam pandangan Allah, memperolehi kesyahidan peringkat tertinggi."
(Muslim)

Bab 74, Meniti Debaran Zaman - Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan - Abdul Aziz Bin Abdul Hamid


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...