Monday, June 28, 2010

Lenyapnya Kemanusiaan

ADALAH diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Manusia akan menjadi seolah-olah seperti seratus ekor unta yang tidak seekorpun daripadnya yang boleh dikenderai.”
(Bukhari)

Adalah diriwayatkan daripada Mirdas Aslami r.’anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Orang-orang yang soleh akan mati satu demi satu maka tinggallah hanya yang hampas-hampas seumpama kulit barli atau tamar yang tersisih. Allah Ta’ala tidak lagi akan memandang kepada mereka.”
(Ibid)

Renunglah dengan apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. daripada Hadis di atas. Sifat-sifat seumpama kemanusiaan, cinta, kasih sayang, menghormati orang-orang yang lebih tua, mengasihi yang muda, layanan baik terhadap sanak-saudara, maaf memaafkan, kesabaran, berterima kasih, akhlak mulia, kedermawanan dan adat resam akan hilang lenyap daripada manusia sepertilah membiaknya unta atau kuda tetapi nilai dan syarat-syarat untuk mengenderainya tidak ada. Tidak seekor unta atau kudapun yang sesuai untuk ditunggangi.

Begitulah juga manusia, begitu ramai di dalam masyarakat kampong, bandar tetapi nilai kemanusiaan yang mana dengannya perhubungan dapat dijalin, tanggungjawab dan pergantungan satu sama lain dapat dipelihara, perbincangan dari hati ke hati dapat dilakukan, nasihat dapat diambil, namun malangnya orang-orang yang bersifat begini tidak kedapatan lagi, sebagaimana sukarnya mendapat seekor kuda atau unta yang sesuai untuk ditunggangi. Beginilah keadaannya pada hari ini.

Di dalam hadis yang kedua, diberitahu bahawa orang-orang yang tidak berguna dan menjadi sampah masyarakat yang akan menjadi bebanan kepada orang-orang tempatan dan bandar serta kaum tersebut, seumpamalah kulit barli dan sekoi yang tidak berguna lagi maka begitulah manusia akhir zaman tidak berguna lagi. Untuk menagih kerja-kerja kebajikan dan meletakkan harapan yang tinggi kepada mereka hanyalah kerja sia-sia belaka.

Sebagaimana kulit barli tidak mempunyai apa-apa nilai, manusia akhir zaman akan ketandusan sifat-sifat kemanusiaan dan tidak mendatangkan apa-apa manafaatpun. Sebelum sesuatu kerja dibuat, orang-orang yang hidup di zaman itu akan memikirkan dulu apakah faedah yang dapat diperolehinya untuk dirinya.

Dia tidak akan melangkah kehadapan untuk memberi faedah kepada negara, masyarakat, bangsa dan institusi, tetapi hanya akan bergerak maju dan bersedia untuk bekerja apabila sudah dapat menganggar akan kepentingan dirinya di dalam usaha tersebut. Maka demikianlah lenyapnya rasa kemanusiaan dan perasaan insaniah.


(Bersambung.....)
Bab 46, Meniti Debaran Zaman – Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...