KEHANGATAN pilihanraya negeri yang sedang rancak di Sarawak semakin terasa suasananya. Kehangatan yang terhidang dengan pelbagai manifesto yang diwar-warkan oleh parti politik yang bertanding untuk memikat hati rakyat. Dengan pelbagai cerita yang disensasikan oleh pelbagai parti semata-mata untuk menunjukkan kelemahan parti tertentu dan mempamerkan kebaikan diri semata-mata adalah lanskap bagi politik kita.
Kedatangan individu tertentu dari tanah Malaya, dari parti samada dari pihak kerajaan yang memerintah atau pihak pembangkang menghangatkan lagi suasana pilihanraya di Sarawak. Ceramah sana, ceramah sini, janji sana, janji sini dan rakyat yang diumpan dengan pelbagai juadah politik "terhibur" dengan gelagat pengamal politik di tanah air yang saling hentam-menghentam, keji-mengeji, buruk-memburuk, hina-menghina dan pelbagai lagi kehodohan yang ditonjolkan antara mereka.
Antara mereka saling tuduh-menuduh bahawa dia salah, aku betul, mereka kotor, aku bersih dan pelbagai kehitaman yang dicontengkan ke arah lawan masing-masing untuk menunjukkan bahawa kebenaran di pihak mereka.
Dan jarang pula aku dengar antara mereka-mereka ini yang memuji-muji lawan mereka, mengapa ya? Adakah lapangan politik negara atau antarabangsa sememangnya begitu? Bahawa tiada kebaikan langsung yang ada pada lawan masing-masing, semua tak baik dan tak bagus. Jika adalah antara parti dan politikus ini yang menyanjung lawannya, pasti ada parti-parti yang menerima anugerah parti contoh dan politikus contoh. Tapi, belum ada lagi aku dengar perkara sebegini setakat ini, mungkin ada berlaku tapi tak ditonjolkan.
Begitu juga dengan gelagat penyokong dan pengikut parti-parti politik yang ada di Malaysia ini, begitu sayang dan cinta dengan parti dan individu tertentu sehingga sanggup berkorban untuk kejayaan parti dan individu tertentu.
Kita sebuah negara yang agamanya Islam sebagai agama rasmi, sepatutnya nilai-nilai Islam harus ada dipupuk apabila pemilihan ketua dibuat agar tidak berlaku "perebutan" jawatan antara yang bertanding secara tak bersopan-santun. Pemilihan ketua harus disandarkan kepada nilai-nilai yang ada pada individu tersebut bukannya nilai-nilai luaran yang tak dapat untuk membangunkan agama, bangsa dan negara.
Dalam Islam, jawatan bukannya untuk direbut, ia merupakan amanah yang harus dipikul oleh individu tertentu agar masyarakat dan makhluk-makhluk lain dipersekitarannya mendapat manafaat atas amanah yang dipikul itu agar mendapat keredhaan Allah swt dunia dan akhirat.
Jadi, aku akan balik ke Limbang untuk mengundi sebagai rakyat Malaysia yang telah cukup syaratnya untuk mencari siapakah pemikul amanah itu nanti.
sarawak jadi tumpuan...
ReplyDelete