Awal kebaikan umat ini adalah kerana yakin (yang shahih) dan zuhud (tidak mencintai dunia). Dan awal kehancuran umat ini adalah kerana bakhil dan angan-angan (kemewahan-kemewahan dunia). - Hadis Riwayat Baihaqi.
Apakah itu kebendaan? Kebendaan pada definisi aku suatu perkara yang nampak dan tak nampak, yang direkacipta oleh manusia sendiri kemudian diberi nilai mengikut standart dan kualiti ataupun ia boleh juga diterjemahkan dalam bentuk wang, kuasa dan kedudukan. Jadi, rangsangan daripada ini semua, standart kehidupan manusia ditentukan oleh keberadaan kebendaan itu dalam kehidupan manusia. Banyaknya dan bertambah kebendaan itu, maka dialah manusia yang berjaya, berkurangnya kebendaan itu, maka dialah orang yang gagal.
Jadi, jelas kepada kita perkara pokok yang melilit pemikiran kita sekarang adalah lebih ke arah kebendaan. Kerana bagi kita ia boleh memberi impak yang besar dalam kehidupan kita, masyarakat, negara dan dunia amnya. Itulah pemikiran yang sering kita dengar dan faham.
Cuma aku nak bawa pemikiran kita semua adakah kebendaan yang kita puja dan sanjung itu benar-benar memberi impak atau kesan yang begitu berpengaruh sekali?
Persoalan ini aku nak ketengahkan agar fikir dan gerak-geri kita tidak terlampau diarahkan ke satu dimensi yang statik serta kosong sahaja.
Aku ingin nak mengerakkan fikir kita semua bagaimana tanpa kebendaan kejayaan boleh dicapai juga dan tanpa kebendaan juga kegagalan boleh wujud. Bolehkah ia terjadi? Untuk aku jelaskan perkara sebegini perlu ada kekukuhan dari sudut logik sebab aku berdepan dengan orang yang berfikiran logik berkemungkinan ia boleh diterima oleh akal.
Cuba kita renung kehidupan manusia yang silih berganti dengan keadaan yang dianggap oleh mereka bahawa kebendaan itu merupakan pemangkin kepada kejayaan kehidupan manusia sejagat. Malah di serata dunia mengikthirafkan kebendaan yang ada memberi kejayaan yang sebenar, kita lihat kuasa-kuasa dunia serta individu-individu yang ada sekarang mempunyai kebendaan seperti kuasa, harta dan kedudukan yang tinggi. Mereka yang sebeginilah yang menguasai dunia sekarang dan mereka-mereka yang tiada kebendaan lantas dipandang tiada memberi apa-apa manafaat malah tiada memberi apa-apapun walaupun sikit.
Pandangan sebegini sudah begitu meresapi pemikiran semua manusia dan malah orang Islam sendiripun terikut dengan falsafah begini. Kebendaanlah segalanya penyelesaian kepada yang ada di muka alam ini. Masa 24 jam yang ada dalam setiap diri manusia yang Allah peruntukan, kebanyakan masa tersebut digunakan untuk mengejar kebendaan-kebendaan tersebut kerana keyakinan yang ada dalam diri kita sudah mengatakan jika aku ada harta, ada kuasa dan ada kedudukan aku dapat kemewahan, kemahsyuran, dipandang tinggi dan boleh menyelesaikan semua permasalahan di dunia.
Bagaimana kebendaan yang ada boleh memberi kesan dan impak yang besar kepada nilai seseorang manusia? Dari mata kasar yang kita lihat, orang yang berpangkat akan disanjung, orang berharta akan disegani dan orang berkuasa akan dituruti. Orang yang tiada apa-apa adakah disanjung, disegani dan dituruti? Jarang sekali kita dengar dan lihat hukum alam yang ada sekarang ini menyanjung orang yang tak berharta, berpangkat dan berkuasa. Mengapa ia berlaku? Kerana kecintaan kepada kebendaan menyebabkan semuanya berlaku.
Jika itulah ukuran kita tentang kejayaan atau kegagalan bagi menentukan nilai individu dan sesebuah masyarakat menjadikan ia suatu yang tidak adil dan berat sebelah. Kebendaan sebenarnya hanyalah kompenan yang boleh kita anggap sebagai hiasan luaran sahaja tanpa kebendaan kita boleh hidup lagi dan tiada kaitan dengan kemuliaan, ketenangan serta kebahagiaan.
Jika kita lihat para nabi terdahulu, ada dikalangan mereka yang kaya, penguasa, berkedudukan, miskin, sederhana, berpangkat, berkebolehan dan pelbagai lagi keadaan yang Allah letakkan dalam kehidupan mereka bukannya untuk menunjukkan status mereka di mata masyarakat dan manusia amnya. Tetapi merupakan suatu keperluan untuk dijadikan sebagai landasan untuk mereka menggerakkan nilai-nilai agama dalam masyarakat mereka agar masyarakat sekitarnya berkeyakinan bahawasa nilai-nilai agama lebih penting dari nilai-nilai kebendaan.
Begitu juga dengan penentang-penentang para nabi terdahulu, mereka membawa bendera kebendaan dan beranggapan dengan adanya harta, kuasa dan pangkat keseluruhan kejayaan telah dikuasai oleh mereka dan tiada siapa boleh meruntuhkan status mereka. Namun, kebanyakan mereka yang beranggapan bahawa kebendaan adalah penentu bagi kejayaan mereka biasanya akan gagal dan dihancurkan.
Sehingga sekarang method sebegini masih diamalkan oleh para pencinta kebendaan, yang masih beranggapan kebendaan yang ada merupakan segala-galanya. Selain dari kebendaan tidak memberi kelangsungan kepada kehidupan di dunia ini dan lebih mirip kepada penyembahan berhala yang bukan berbentuk batu ataupun patung-patung tapi berhala yang berbentuk pangkat, kuasa dan harta.
Kesimpulannya, kebendaan dan yang sama dengannya bukanlah faktor atas status seseorang samada dia tinggi atau rendah kedudukannya dan juga asbab kebendaan keyakinan kita terhadap Allah dan amalan-amalan agama telah terhakis serta bertuhankan ciptaan/makhluk Allah s.w.t.
menarik tulisan saudara
ReplyDeleteAPS,
ReplyDeleteterima kasih daun keladi