DI dalam riwayat Muslim terdapat satu gambaran bagaimana Yakjuj dan Makjuj keluar selepas Dajjal dibunuh oleh Nabi Isa 'alaihissalam. Baginda kemudian akan melalukan tangannya ke muka orang-orang yang diselamatkan oleh Allah. Gambaran terperinci Yakjuj dan Makjuj adalah seperti berikut:
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Isa 'alaihissalam akan berada di dalam keadaan yang sama(yakni menemui orang ramai dan bertanyakan khabar mereka) apabila datangnya wahyu Allah yang berfirman: "Aku sedang melepaskan hamba-hambaku(daripada terpenjara) yang tidak ada kekuatan untuk melawan mereka, maka bawalah orang-orang Islam ke Gunung Sinai untuk perlindungan."
Maka Isa 'alaihissalam akan membawa orang-orang Islam ini ke Gunung Sinai. Kemudian Allah Ta'ala akan melepaskan Yakjuj dan Makjuj di mana mereka akan meluru turun daripada tempat-tempat tinggi. Bilangan mereka begitu ramai sekali yang tatkala sesampai sahaja kumpulan pertama di suatu Tasik Tabriyah(menurut pengarang Mirqat, Tabriyah adalah suatu tempat di Syria sedangkan menurut pengarang Qamus ia adalah suatu tempat di Wasit yang tasik ini kira-kira 10 batu panjangnya) mereka akan minum habis semua air yang ada di dalam tasik tersebut sehingga kering kontang.
Apabila kumpulan kedua tiba kemudiannya mereka berkata dulu di sini ada air. Lalu mereka berlalu menuju ke satu tempat bernama "Khaimir" salah sebuah gunung daripada gunung-gunung Baitul Muqaddis. Sesampai sahaja mereka di sana mereka berkata: "Kita telah membunuh semua penghuni dunia ini, sekarang mari kita bunuh pula penghuni langit." Mereka lantas memanah ke arah langit dengan kuasa Allah, Dia menurunkan titisan darah. Yakjuj dan Makjuj lalu membuat angkara buruk di seluruh dunia.
Mereka mengepung Nabi Isa 'alaihissalam dan pengikut-pengikutnya di Bukit Sinai. Mereka begitu memerlukan bahan-bahan keperluan sehingga satu kepala lembu adalah lebih berharga daripada 1000 dinar pada hari ini. Untuk menghapuskan kesusahan mereka ini. Nabi Isa 'alaihissalam dan pengikutnya akan berdoa kepada Allah dengan menangis-nangis dengan tawaduk.
Mereka juga berdoa agar dibinasakan Yakjuj dan Makjuj. Hasilnya Allah akan menghantar satu jenis penyakit(1) yang terdapat di dalam hidung-hidung kambing dan unta-unta yang dipanggil "raghaf" oleh orang-orang Arab. Penyakit ini akan menyerang tengkuk-tengkuk mereka dan mereka mati serentak seperti matinya seorang sekaligus. Mereka mati terkapar seolah-olah dikerkah oleh harimau akan badan mereka. Selepas mereka mati Nabi Isa 'alaihissalam dan pengikut-pengikutnya akan turun dari Gunung Sinai tetapi tidak ada tempatpun yang tidak ditempati oleh bangkai dan bau Yakjuj dan Makjuj tadi.
Sekali lagi Nabi Isa 'alaihissalam dan pengikutnya menangis dengan merayu: "Ya Rabbana! selamatkanlah kami daripada bangkai dan bau busuk ini." Maka Allah Ta'ala menghantar burung-burung berleher panjang seperti unta yang mengangkat bangkai Yakjuj dan Makjuj lalu membuang mereka ke tempat yang Allah Ta'ala sukai. Hujan diturunkan oleh Allah sehingga tidak ada satu rumah dan khemahpun yang tertinggal. hujan ini akan membersih seluruh dunia ini sebersih-bersihnya seperti cermin agar Nabi Isa 'alaihissalam dan pengikut-pengikutnya dapat hidup selesa yang disertai kasih sayang, nikmat dan rahmat yang diturunkan oleh Allah ke atas mereka.
Pada ketika itu Allah memerintahkan bumi mengeluarkan buah-buahan dan mengembalikan keberkatannya. Justeru, bumipun ditumbuhi oleh pokok-pokok yang mengeluarkan buah-buahan yang merimpah-ruah dan penuh keberkatannya. Sebiji buah delima dapat memuaskan kelaparan seluruh kumpulan orang ramai kerana delima itu sangat besar yang kulitnya sahaja boleh dibuat payung.
Keberkatan juga terdapat di dalam susu yang mana susu daripada seekor unta cukup untuk menampung satu keluarga besar dan susu daripada seekor kambing dapat menampung satu keluarga kecil. Orang-orang Islam akan hidup selesa, gembira dan mewah sehingga kiamat merangkak semakin hampir.
Tetapi Kiamat akan berlaku ke atas orang-orang yang kafir sahaja. Jadi Allah akan menghantar satu bayu yang istimewa yang telah dinyatakan di dalam beberapa hadis bahawa ia terlebih lembut daripada sutera. Bayu ini akan menyentuh ketiak setiap orang Islam lalu mencabut nyawa mereka.
Yang tinggal hanyalah orang-orang yang paling jahat dan buruk laku, berperangai seperti keldai dalam kerja-kerja maksiat dan salah laku akhlak yang tidak bermaruah. Mereka bergembira ria dalam perzinaan, minum arak, perjudian, kekafiran, kemusyrikan dan menyembah berhala. Maka datanglah Kiamat ke atas mereka.
(Muslim)
Tersebut juga di dalam Tirmizi bahawa orang-orang Islam akan menggunakan busar dan anak panah Yakjuj dan Makjuj selama 7 tahun sebagai bahan api.
(1) Dikenali sebagai "anthrax". Maksudnya "didihan yang membunuh" dan juga demam limpa kambing dan lembu. Suatu bintil-bintil yang membunuh terjadi ke atas manusia hasil jangkitan daripada binatang yang berpenyakit itu. Ia dikenali juga sebagai penyakit pengumpul-pengumpul bulu. Tetapi ini adalah penyakit-penyakit yang jarang berlaku(Quraish)
Bab 79, Meniti Debaran Zaman
Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan: Abdul Aziz B Abdul Hamid
Bab 79, Meniti Debaran Zaman
Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan: Abdul Aziz B Abdul Hamid
No comments:
Post a Comment