Saturday, July 25, 2009

Hadiah Untuk Isterimu

Hadiah merupakan tanda kasih. Ia menjadi simbol atau ikatan kepada kasih yang dijalin. Seorang teruna yang kasihkan seorang dara dan ingin mengahwininya, maka pinangan akan dibuat dan tanda akan diberi. Maksud si teruna adalah mencintai si dara dan apabila cintanya diterima maka si teruna akan menghantar hadiah sebagai tanda.
Hadiah itu berupa perkara yang disukai oleh si dara. Si dara akan menjaga hadiah itu dengan baik. Umpamanya sebentuk cincin yang diberi oleh si teruna dan si dara akan menganggapnya sebagai tanda kasih. Cincin ini dipakai di jari manisnya, dilihat selalu, dijaga dan setiap kali direnungnya kasihnya akan bertambah.
Hadiah adalah penghubung kasih. Islam menggalakkan kita memberi hadiah. Hadiah boleh berupa benda atau makanan tapi lebih tepat memberi sesuatu yang disukai oleh si penerima. Apabila hadiah diberi, kasih akan bertambah. Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam suka jika kita memberi orang yang berpuasa walaupun sebiji kurma atau seteguk air. Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menjadi tabiatnya memberi sebagai tabiat yang lumrah. Beliau tidak meminta tetapi memberi.
Orang yang suka memberi akan dicintai oleh orang lain. Orang yang suka meminta tidak akan disukai oleh orang lain. Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam walaupun dalam keadaan miskin sentiasa memberi dan amalan ini diikuti oleh para sahabat baginda. Suatu ketika Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam tidak ada makanan di adalam rumahnya dan beliau memberitahu sahabat "Siapakah yang boleh melayani tetamuku?', Seorang sahabat berkata 'Saya bersedia". Setibanya di rumah, makanan yang ada hanyalah mencukupi untuk anak-anakanya. Anak-anaknya ditidurkan, seluruh keluarga berlapar dan tetamu diberi makan.
Keeesokan harinya, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam memberitahu bahawa ayat Al-Quran telah diturunkan untuk memuji sahabat yang memberi makanan walaupun dia dalam keadaan kelaparan dan kemiskinan. Hadith riwayat Bukhari dan Muslim dan Abi Hurairah Radhiallahu Anhu.
Kita sering memberi hadiah kepada orang lain tetapi kita jarang memberi hadiah kepada isteri kita. Kita menganggap isteri itu sebahagian daripada diri kita. Oleh itu kita tidak perlu memberi hadiah kepadanya. Sangkaan seperti ini tidak betul. Isteri kita adalah manusia yang asing dan mempunyai perasaan yang tersendiri. Kita diikat dengan tali perkahwinan. Kedua-duanya berjanji akan mengukuhkan tali itu dan tidak akan memeutuskannya. Kalaulah demikian, kenapa kita tidak melayan isteri kita seperti mana yang patut dia dilayani. Tidak ada manusia lain yang kita harus berusaha untuk menambahkan kasih sayang melainkan terhadap isteri kita. Isteri sentiasa berkhidmat kepada suami. Alangkah gembiranya isteri jika setiap khidmatnya dihargai.
Apakah hadiah yang patut diberi? Hendaklah hadiah itu berbentuk peribadi, umpamanya bunga, pakaian, alat solek mahupun barang perhiasan. Hadiah tidak perlu mahal tetapi mengikut kemampuan kita berilah hadiah untuk isteri.
Hadiah yang kecil tetapi mempunyai unsur keikhlasan dari suami adalah memadai. Ianya tidak perlu mahal. Apabila kita memberi hadiah berilah dengan tangan kita sendiri. Beritahu kepada isteri "Inilah hadiah dariku buatmu" dan nyatakan yang kamu sayang padanya.
Orang melayu malu untuk menyatakan perasaannya terhadap isterinya. Perasaan hanya diluahkan ketika di dalam percintaan. Setelah berkahwin perasaannya tidak dinyatakan lagi. Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam memberitahu 'Sekiranya kamu mencintai akan seseorang, beritahulah dia'. Hadith riwayat Bukhari dan Muslim dalam Adab Mufrad m.s. 80. Oleh itu berilah hadiah pada isterimu dan beritahu dia kamu cinta padanya. Jika tidak mahu bercakap, tuliskan saja bersam hadiahnya. Isteri apabila menerima hadiah daripada suami yang dibungkus dengan rapi dan cantik walaupun murah harganya dan tertulis bersam hadiah itu "Aku Cinta Padamu" tentulah hadiah seperti itu menggembirakannya. Kita disuruh oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam untuk menggembirakan orang lain dan dilarang daripad menyusahkan sama ada melalui perbuatan atau percakapan kita.
Siapakah orang yang patut kita gembirakan melainkan isteri kita. Apabila dia menerima hadiah daripada suaminya, isteri pasti merasai dalam hatinya bahawa khidmatnya di rumah dihargai oleh suaminya. Dalam hati kecilnya ia berkata, bahawa suamiku menyayangiku dan tidak ada orang lain yang disayanginya lebih daripada aku.
Bialkah hadiah patut diberi? Hadiah patut diberi setelah kembali dari berpergian jauh atau hari-hari istimewa seperti mengingati hari perkahwinan atau pada hari jadi isterimu. Walaupun ianya bukan adat orang Islam, tetapi kita boleh menggunakan detik-detik istemewa ini sebagai masa untuk memberi hadiah kepada isteri.
Sekali-sekala apabila pulang dari kerja kita boleh memberi hadiah. Berilah hadiah pada isteri dan janganlah meminta untk dibalas. Berilah dengan niat untuk menggembirakan isteri kerana Allah Subhanahu Wa Taala semata-mata. Bila seorang isteri memahami bahawa ia disayangi oleh suaminya maka ketaatannya kepada suami akan bertambah. Ia akan semakin kasih dan taat pada suaminya. Oleh itu berilah hadiah, tapi janganlah berlebihan.
Berlebihan dalam memberi hadiah juga boleh mengakibatkan kesan yang kurang baik. Isteri akan menjadi terlalu manja sehingga akan datang sifat meminta. Berilah hadiah pada masa yang tertentu, nescaya keluargamu bahagia.

-petikan Isteriku Tanggungjawabku - Dr. Nasoha BiN Saabin.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...