AKU pun tak tahu mengapa seseorang yang menunaikan perintah Allah swt sering digelar sebagai orang alim, ustaz, ustazah, sheikh dan pelbagai lagi gelaran. Akupun hairan mengapa mesti digelar begitu, adakah apabila seseorang yang mengerjakan perintah Allah swt mesti digelar begitu. Gelaran begini biasanya berlaku bila seseorang itu mengerjakan solat, berdakwah dan apa-apa yang berkaitan dengan agama. Adakah dengan mengerjakan perintah Allah swt mesti digelar begitu? Ataupun ia sebagai satu sindiran atau mainan untuk orang yang mengerjakan perintah Allah swt.?
Jikalah seseorang itu tawajuh dalam membuat kerja-kerja dunia, adakah kita akan memanggil si anu itu dengan orang dunia, ataupun orang kerajaan, orang swasta, orang kilang, orang bisnes, mungkin jarang kita mendengar orang memanggil seseorang dengan gelaran itu. Sebab, kita menganggap mengerjakan perkara tersebut bagaikan sesuatu yang semestinya, tidak boleh tidak, wajib dibuat. Ia bagai suatu yang perlu untuk setiap manusia membuat kerja-kerja begitu, dan jika kita tidak melibatkan diri kita dalam bidang yang berkaitan dengan perkara-perkara dunia maka macam menjadi suatu kesalahan yang besar yang akan diterima oleh orang tersebut.
Tapi bagi orang yang mengerjakan perintah Allah, seperti solah, puasa, haji, zakat dan perintah Allah yang lain serta sunnah Nabi saw seakan tidak dapat diterima ia sebagai suatu yang wajib dibuat dan jika tidak dibuat bagaikan ia sesuatu perkara yang biasa bagi seseorang itu. Dan seseorang itu rasa terhina apabila mengerjakan perintah Allah swt dan sunnah Nabi Muhammad saw. Adalah orang akan mengejek dengan memberi pelbagai gelaran untuk menunjukkan si pengerja perintah Allah swt itu semacam perbuatan yang tidak sepatutnya. Aku rasa macam terbalik pula, sepatutnya kita mengerjakan perintah Allah swt sebagai kerja yang wajib untuk kita buat dan perkerjaan dunia pula hanya harus kita buat.
Maksudnya lebih kurang begini, zaman kita ini,(maksud aku, kita semualah) dunia ini sebenarnya kita junjung, akhirat hanya kita jinjing, bila dunia kita bergoncang atau nak jatuh dari jemala kita, maka akhirat yang kita jinjing akan kita lepaskan dan tangan kita akan cepat-cepat membetulkan dunia di jemala kita, takut dunia akan jatuh. Zaman sahabat pula, akhirat mereka junjung, dunia hanya mereka jinjing sahaja, bila akhirat mereka bergoncang atau nak jatuh dari jemala mereka, maka dunia akan mereka lepaskan.
Menunjukkan dunia bagi mereka tiada apa-apa nilainya, bagi sahabat, akhirat begitu memberi impak yang besar kepada kehidupan mereka, sehingga sanggup mereka mengorbankan dunia untuk membetulkan akhirat mereka. Adakah ada lagi manusia-manusia yang hidup di muka alam ini yang menjaga akhirat mereka sehingga mengorbankan dunia mereka? Kalau adapun segelintir sahaja, itupun akan dipersendakan oleh manusia lain atau diperkecilkan sifat cintanya pada akhirat. Aku rasalah, kita ini masih lagi cintakan dunia dan tak sanggup lagi nak korbankan dunia untuk kesempurnaan akhirat kita. Kalau kita nak korbankan dunia kita untuk kepentingan akhirat, kita akan berkira-kira dan untuk kepentingan dunia, kita tak berkira sangat.
Berbalik lagi gelaran yang ditujukan kepada pengamal perintah Allah swt, di mana hanya disebabkan mereka menunaikan perintah Allah swt, mereka digelar ustaz, ustazah, orang alim dan pelbagai lagi. Bagi aku, pengamalan kita kepada perintah Allah swt merupakan tanggungjawab ataupun kewajiban seseorang yang beragama Islam. Ia merupakan tanggungjawab kita untuk menyempurnakan semua peritah Allah swt dan meninggalkan segala larangan-Nya. Bukan bermaksudnya kita alim tapi kewajiban kita, kita nak amalkan perintah Allah swt bukan untuk digelar alim atau sebaliknya tapi atas tanggungjawab kita sebagai seorang Islam dan juga kebaikan kita di dunia serta di akhirat kelak.
Kekeliruan inilah yang berlaku dalam diri seseorang yang mengelarkan dirinya sebagai seorang Islam. Begitu juga dengan kerja dakwah, bukan maksudnya kita buat kerja dakwah kita nak digelar sebagai ustaz atau kita ini bersih dari segala dosa tapi merupakan tanggungjawab kita atas kerja tersebut.
Yang biasa kita dengar dari mulut orang Islam, kita amal Islam 50-50, iaitu 50 dunia, 50 akhirat ataupun sederhana. Jika orang yang mengamalkan Islam atau akhirat lebih dari 50 akan dituduh ekterimis, seseorang itu kena amal agama 50-50.
Seingat aku, nabi tak suruh kita amal agama 50-50, tapi nabi suruh kita amalkan agama secara menyeluruh dalam semua lapangan kehidupan kita. Iaitu, nabi bermaksud, semua lapangan hidup kita di dunia ini perlu dibaluti dengan agama, barulah setiap gerak geri kita akan terpancar amalan nabi saw.
Kesimpulannya, amalan agama merupakan tatacara hidup kita, merupakan pakaian kehidupan kita dunia dan akhirat yang mesti kita gunakan, jika tidak, kita akan mudah dihinggapi pelbagai penyakit dan virus-virus yang boleh merosakkan kehidupan dunia kita dan juga akhirat kita buat selama-lamanya.
Dengan lebih mudah, agama merupakan kenderaan untuk kita bersiar-siar di dunia dan kegunaan kita untuk menuju ke destinasi yang abadi di akhirat nanti. Apa-apa yang selain dari agama hanyalah "eksesori", ia hanyalah pelengkap atau perhiasan untuk menyedapkan mata memandang dan kepuasan nafsu kita, bukan untuk kepuasan rohani dan jasmani kita.
No comments:
Post a Comment