Tuesday, November 9, 2010

Mengejar Mimpi

SEKARANG ini aku masih duduk di Kuala Lumpur, dan kebanyakan maklumat yang aku dapat hampir semuanya bersumberkan dari internet. Dan jika aku di Limbangpun, aku dapat maklumat yang sama juga seperti aku di Kuala Lumpur. Apakah bezanya keadaan yang ada sekarang ini, jika kita bandingkan Kuala Lumpur dan Limbang dengan input yang diperolehi yang sama bandingnya.

Mungkin suasana di Kuala Lumpur aku tak dapat menikmati masakan orang Sarawak, tradisi orang Sarawak, pergaulan yang intim seperti di Sarawak, kemesraan orang-orang di Sarawak walaupun tak kenal, senyuman di bibir tetap ada, gembira bersama keluarga dan suasana udara yang bersih dari kekotoran udara dan dosa. Tapi dengan adanya aku di Kuala Lumpur memang aku memperolehi maklumat tapi dengan iklim yang berbeza dan di Limbang aku pun dapat maklumat yang sama tapi dengan keadaan yang tenang dan santai.

Situasi yang berbeza tapi memperolehi perkara yang sama. Adakah perlunya lagi untuk kita untuk berjauhan dengan keluarga, makanan yang kita sukai, budaya yang kita ingin dampingi dan banyak lagi  dengan adanya pelbagai kemudahan-kemudahan yang boleh untuk menyenangkan keperluan kita dari hari ke hari. Dunia makin menyempit kerana kita tak perlu bergerak untuk mendapatkan maklumat yang kita ingin dengan adanya teknologi maklumat yang semakin canggih, murah dan mudah didapati di mana-mana.

Kos yang semakin murah dan tak perlu untuk kita bergerak sejauh mana, hanyalah dihujung jari, boleh untuk kita menjana apa-apa yang kita kehendaki.

Ini serba sedikit yang aku ingin beritahu tentang keadaan dunia yang semakin mengecil dan terdedah dengan pelbagai “sentuhan” oleh orang-orang yang tidak mengenali kita. Sebenarnya, makin intim kita dengan teknologi maklumat semakin terbentangnya peta dunia di mata kita, seolah-olah semua yang ada di serata dunia boleh kita “sentuh” dan “rasai” walaupun kita tidak berada di situ. Maksudnya, “keberadaan”  kita sama dengan masyarakatnya di serata dunia walaupun kita tak pernah menjejak kaki di negara mereka tapi kita boleh berkongsi tentang apa yang ada pada mereka. Di timur, barat, selatan dan utara dalam takluki kita dengan adanya teknologi maklumat yang semakin tersebar dengan gahnya.

Ini cerita serba sedikit tentang dunia yang semakin moden(betulkah kemodenan ditakrifkan melalui teknologi yang serba canggih) yang aku tenung di masa kini. Kadang-kadang aku terfikir juga, adakah lagi teknologi yang termoden lagi tanpa menggunakan alatan dan perkakasan yang terzahir oleh mata kita? Adakah kemodenan yang tercipta sekarang boleh terzahir tanpa apa-apa kompenan-kompenan bagi membentuk benda-benda ini semua?

Macamana dengan orang zaman dahulu? Biasanya kita anggap orang yang di belakang kita, orang zaman dahulu rendah teknologinya, adakah betul tanggapan kita ke atas mereka yang dahulu-dahulu?

Cuba kita lihat pada zaman Nabi Nuh a.s., ada tak teknologi yang digunakan pada zaman itu, cuma yang kita dengar dari buku-buku agama, Nabi Nuh a.s. telah membuat dakwah siang dan malam tanpa henti-henti, sehingga kaumnya membenci Nabi Nuh a.s. dan akhirnya atas perintah Allah s.w.t., maka Nabi Nuh a.s. telah membina sebuah kapal yang besar bagi menempatkan kaum-kaumnya yang beriman dan binatang-binatang yang berpasangan apabila berlakunya bah besar nanti. Dan yang kita nak fikirkan, apakah teknologi yang digunakan oleh Nabi Nuh a.s. membina kapal tersebut dan menjalankan kapal yang besar itu?

Dan kita jika jengahkan lagi sejarah umat-umat terdahulu, mereka begitu terkedepan dalam mengenengahkan ciptaan yang moden walaupun tiada kemudahan seperti yang dimiliki oleh kita sekarang.

Kaum Sabak cemerlang dalam pertanian, di mana mereka begitu arif tentang bila jatuhnya buah-buahan yang telah masak dan cuma menunggu untuk dimasukkan ke dalam bakul tanpa perlu dipetik dan diperam. (kaum ini gagal juga kerana jauh dari perintah Allah)

Kaum Adn membina rumah kediaman mereka di dalam gunung dan bukit, kejuruteraan yang begitu canggih yang belum lagi tercapai oleh sebahagian jurutera sekarang untuk membina rumah-rumah di dalam gunung dan bukit. (tetapi kaum ini telah digagalkan kerana tak taat perintah Allah)

Dan jika kita beralih ke zaman sahabat-sahabat  r. ‘anhum, kita pernah mendengar bagaimana para sahabat menyelesaikan permasalahan yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka hanya dengan “sistem yang tak nampak”.  Kisah Saidina Umar Khattab yang masyhur, mengalirkan air sungai Nil yang telah kering hanya dengan menulis surat kepada sungai Nil, iaitu di Mesir. Kandungan surat Saidina Umar cuma bertulis...Wahai Sungai Nil, jika engkau mengalir mengikut kehendak engkau, kami tidak berkehendakan, tapi jika dengan kehendak Allah swt, maka mengalirlah engkau. Surat yang dikirim kepada sungai Nil itu dilayangkan ke sungai Nil, belum sempat lagi surat tersebut sampai ke dasar sungai, air telah melimpah naik hingga 15-16 hasta dan tidak berubah-ubah sehingga sekarang. Inilah yang berlaku terhadap para sahabat r. ‘anhum dalam menyelesaikan masalah mereka menggunakan “sistem yang tak nampak”

Kisah Saidina Umar menghentikan gempa bumi di bumi Madinah dengan hentakkan kakinya sahaja, gempa bumi yang sedang bergoncang terhenti serta merta dengan hentakan kaki Saidina Umar. Adakah ada teknologi yang ada sekarang boleh untuk menghentikan gegaran gempa bumi? Setakat ini belum ada lagi, dan tak akan berlakupun yang teknologi baru untuk menghentikan gegaran gempa bumi. Yang ada dibuat hanyalah teknologi untuk mengesan kehadiran gempa bumi tapi itupun tak berkesan kerana tak dapat mengesan dengan lebih awal sebelum gempa datang.

Jadi, aku menyeru agar kita semua ikutlah cara yang digunakan oleh para sahabat untuk menyelesaikan permasalahan dunia dan akhirat iaitu amalan agama dan ia akan diselesaikan dengan sistem yang tak nampak lagi canggih tak apa-apa perkakasan dan peralatan, cuma berbekalkan taqwa, Insya Allah.

5 comments:

  1. InsyaAllah orang KL akan ke Limbang, 27 nov ni..

    ReplyDelete
  2. InsyaAllah, dialu-alukan kedatangan jemaah masturat tuan, InsyaAllah saya akan tunggu di sana nanti...

    ReplyDelete
  3. Aslmkm Wbt.

    Dengan penuh rasa kesyukuran kami mengundang tuan/puan/cik sekeluarga untuk ke Majlis Walimah kami, Ishak & Umu 18 & 26 Dis 2010. Bertempat di Gemas N9 dan Lachang Pahang. Mohon doakan kami juga. Jemput datang ye. Jazakumullah.

    ReplyDelete
  4. Eid Mubarak saya ucapkan pada tuan blog dan keluarga...

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...