Friday, August 7, 2009

Artikel JAKIM

MURTAD BUKAN HAK ASASI
Mohd Aizam Mas’od
Caw. Aqidah
Bah. Penyelidikan JAKIM

Malaysia adalah sebuah Negara Islam. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan
memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama
lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
Perkara 11 Perlembagaan pula memperuntukan “Tiap-tiap orang adalah berhak
menganuti dan mengamalkan ugamanya dan tertakluk kepada fasal (4)
mengembangkan ugamanya”. Daripada peruntukan ini jelas orang Islam berhak
menganuti dan mengamalkan agamanya, iaitu Islam sebagai cara hidup mereka.
Fasal (4) menyebut undang-undang boleh dibuat untuk mengawal atau menyekat
pengembangan apa-apa i’tiqad atau kepercayaan agama lain terhadap umat Islam.
Ini bermakna Islam di Malaysia bukan seperti Pancasila di Indonesia. Menurut prinsip
Pancasila tiada satu agama pun berhak memonopoli kehidupan rakyat. Ia berbeza
dengan Islam di Malaysia yang telah diberikan hak dan kedudukan istimewa oleh
perlembagaan. Dalam pada itu Islam tidak pula menyekat hak kebebasan
mengamalkan agama bagi penganut lain. Bagaimanapun itu tidak bermakna
kebebasan tersebut adalah mutlak kerana ia masih tertakluk kepada Perkara 11 (4)
iaitu supaya tidak menyebarkannya di kalangan umat Islam. Dalam bab lain,
kebebasan hak asasi manusia juga dijamin oleh Perlembagaan di bawah Bahagian
Dua. Namun ia tertakluk pula kepada syarat-syarat tertentu seperti ketenteraman
awam, kesihatan awam dan moral yang merupakan hak ramai.
Di peringkat antarabangsa, perjuangan menuntut hak asasi menjadi suatu agenda
suci. Malah sudah menjadi lebih suci daripada kesucian agama anutan
pendokongnya sendiri. Hak asasi manusia mulai mendapat tempat rasmi di arena
antarabangsa melalui Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (PHAMS
1948). Perisytiharan tersebut dipelopori oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
yang keahliannya terdiri daripada kebanyakan negara-negara merdeka di dunia.
Antara komuniti dunia terkuat yang mendokong perjuangan hak asasi ialah
masyarakat Eropah sehingga mereka telah memaktubkan Konvensyen Eropah
mengenai Hak Asasi dan Kebebasan Asasi 1950 yang mempunyai kuasa mengikat
dari segi undang-undang terhadap negara anggota Komuniti Eropah.
Keghairahan dunia Barat dalam memperjuangkan hak asasi menyebabkan mereka
lupa bahawa di sana ada hak yang dicabuli. Umat Islam adalah antaranya. Beberapa
perkara di dalam PHAMS 1948 ditolak oleh umat Islam kerana hak asasi mereka
untuk mengamalkan agama digugat. Antaranya Perkara 16 (1) yang berbunyi, “Men
and women of full age, without any limitation due to race, nationality or religion, have
the right to marry and to found a family. They are entitled to equal rights as to
marriage, during marriage and at its dissolution”. Bagi penganut Islam perkara ini
sudah tentu bertentangan dengan syariat Islam yang telah menentukan hukumhakam
berkaitan perkahwinan. Begitu juga Perkara 18 berbunyi, “Everyone has the
right to freedom of thought, conscience and religion; this right includes freedom to
change his religion or belief, and freedom, either alone or in community with others
and in public or private, to manifest his religion or belief in teaching, practice, worship
and observance”.

Bagi Islam, Perkara 18 tidak boleh diterima kerana telah mencabuli hak asasi umat
Islam dalam beragama. Islam menetapkan tujuan (maqsad) syariah yang pertama
iaitu memelihara agama. Sekiranya umat Islam dibenarkan keluar dan masuk agama
sesuka hati, ini bermakna hak umat Islam untuk memelihara agamanya telah
dicabuli. Hukum Islam juga menetapkan bahawa keluar agama atau murtad
merupakan suatu jenayah berat yang perlu diadili dan dihukum. Ini kerana,perbuatan
keluar agama melibatkan kepentingan umum iaitu maruah agama dan umat Islam
sendiri. Ia bukan sekadar hak individu.
Jangan pula ada pihak yang mendakwa Islam telah menyanggah hak kebebasan
individu untuk memilih agama. Bukankah PHAMS 1948 itu juga diasaskan atas dasar
menjaga kepentingan umum melebihi hak individu? Jika hak individu dibiarkan
bermaharajalela, apa gunanya lagi kerajaan-kerajaan di dunia menggubal undangundang.
Bukankah undang-undang itu dibentuk untuk menyekat kebebasan individu
yang ditafsirkan oleh undang-undang sebagai salah? Malah terdapat satu klausa
khas di dalam PHAMS 1948 iaitu Perkara 29 yang menyebut bahawa, “setiap orang
tertakluk hanya kepada batasan seperti yang ditentukan oleh undang-undang
semata-mata bagi tujuan menjamin pengiktirafan dan penghormatan yang
sepatutnya terhadap hak-hak dan kebebasan orang lain dan untuk mendekati
keperluan-keperluan sepatutnya bagi akhlak, ketenteraman awam dan kebajikan
umum dalam suatu masyarakat yang demokratik”.
Begitu juga Islam. Perundangan Islam telah menetapkan bahawa murtad adalah
suatu kesalahan dan ia tidak boleh disenaraikan di bawah hak asasi individu! Ia
adalah soal doktrin agama yang suci. Tidakkah penganut agama lain juga akan
tersinggung apabila terdapat di kalangan mereka yang melanggar kepercayaan
agama sendiri?
Fenomena ini tidak sukar sekiranya semua pihak sama ada umat Islam atau bukan
Islam saling memahami antara satu sama lain. Jika tidak, mereka akan saling
menyalahkan agama lain atas dasar melanggar prinsip hak asasi manusia. Dalam
konteks Malaysia, Seksyen 4(4), Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia
1999 (Akta 597), memperuntukkan bahawa rujukan harus dibuat kepada PHAMS
1948 setakat yang tidak berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu,
Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menentukan bahawa Islam ialah
agama bagi persekutuan, disokong pula dengan Perkara 121(1A) yang menyebut,
“Mahkamah-mahkamah yang disebutkan dalam Fasal (1) –mahkamah Sivil- tidaklah
boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang
kuasa mahkamah Syariah”, haruslah dihormati dan difahami oleh semua pihak.
Justeru itu amat menghairankan apabila masih kelihatan individu atau pertubuhan
yang mendesak supaya diberi kebebasan untuk keluar daripada Islam kononnya ia
diberi kebebasan oleh Perlembagaan Negara. Sedangkan mereka telah memahami
bahawa ‘murtad’ adalah satu kesalahan jenayah menurut syariat Islam.
Sememangnya menurut Perkara 18, PHAMS 1948 menetapkan bahawa manusia
bebas memilih dan menukar agamanya pada bila-bila masa. Bagaimanapun ini
bercanggah dengan syariat Islam yang telah diberi kedudukan istimewa oleh
perlembagaan. Bagi Islam soal pemeliharaan agama amat penting bagi menjamin
keharmonian negara dan masyarakat. Orang yang meninggalkan Islam dianggap
meruntuhkan negara dan masyarakat Islam secara kolektif.

Seperkara lagi yang perlu difahami, tidak timbul isu pelanggaran hak asasi sekiranya
hukuman Islam dikenakan terhadap orang Islam yang murtad. Ini kerana perilaku
murtad yang dikenakan hukuman hanyalah murtad yang diisytiharkan dan diketahui
oleh khalayak. Menurut al-Buti andaikata kemurtadannya didiamkan atau tidak
didedahkan kepada orang lain, maka hukuman di dunia tidak boleh dikenakan
kerana kaedah umum yang diamalkan oleh pemerintah Islam ialah bertindak
berdasarkan pandangan zahir, manakala urusan batin diserahkan kepada Allah SWT
yang akan membalasnya di akhirat kelak. (al-Buti, Sa`id Ramadhan, Dr. (2004),
Hurriyah al-Insan fi Zill `Ubudiyyah Li-Allah. Damsyik: Dar al-Fikr, hal. 85)
Hal seperti ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana fenomenafenomena
murtad boleh berlaku bukan sahaja dalam bentuk lazim difahami orang
seperti seseorang menganggap Islam yang dianutinya sudah tidak diyakininya lagi.
Malah ia juga berlaku dalam pelbagai bentuk lain seperti yang disebut oleh pemikirpemikir
Islam. Antaranya muslim yang memberikan hak penentuan hukum (alhakimiyyah)
dan perundangan kepada selain Allah. Membenci sesuatu sistem yang
ada dalam Islam. Melihat hukum-hukum ciptaan manusia sebagai yang terbaik dan
hukum-hukum syariat sebagai ketinggalan zaman. Melebihkan sistem yang lain ke
atasnya atau menyamakannya. Mempersendakan sesuatu yang datang daripada al-
Qur‘an dan al-Sunnah, atau syiar Islam. Mencela keperibadian Rasulullah SAW.
Menghalalkan apa yang diharamkan Allah SWT atau sebaliknya dan lain-lain lagi
(`Ulwan, `Abdullah Nasih, Dr.(1988), Hurriyah al-I`tiqad fi al-Syari`ah al-Islamiyyah.
Kaherah: Dar al-Salam, hal. 78-95; Ahmad Rasyad, Dr. (1998), Hurriyah al-`Aqidah fi
al-Syari`ah al-Islamiyyah. Kaherah: Itrak li al-Nasyr al-Tawzi`, hal. 334-339)
Bila mana kemurtadannya diwar-warkan kepada orang ramai dan diiklankan
kepercayaan barunya kepada khalayak, ia sekaligus telah mengisytiharkan serangan
berbentuk pemikiran (al-harb al-fikriyyah) ke atas Islam dan aqidahnya. Tindakan
tersebut boleh menimbulkan atau menanam bibit keraguan dalam hati orang ramai
yang masih menganut Islam. Ketika ini, tindakan murtad perlu dilihat bukan dari segi
hak peribadinya untuk menukar agama, tetapi dari aspek adanya unsur “hirabah’’,
iaitu serangan terhadap dasar-dasar agama yang menjadi tonggak utama kerajaan
Islam. Lantaran itu, langkah-langkah perlu diambil bermula dari proses memberi
penjelasan bagi merungkai keraguannya, meminta supaya bertaubat dan berakhir
dengan pelaksanaan hukuman bunuh atas dasar “hirabah’’ (al-qatlu hirabatan)
sekiranya ia tetap berdegil mempertahankan pendiriannya untuk murtad. Ertinya
murtad dibunuh bukan atas kekufuranya, tetapi atas dasar hirabah. (al-Buti, 2004:
85-87).
Ini jelas berdasarkan ayat 33 surah al-Ma‘idah bermaksud: “Sesungguhnya balasan
bagi orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan melakukan fasad (kerosakan)
di muka bumi ialah sama ada dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kakinya
secara bersilang atau dibuang negeri...”. Walaupun ayat ini difahami oleh
kebanyakan ulama sebagai ayat untuk menghukum penjenayah rompak dan samun,
tetapi tidak dinafikan bahawa perbuatan murtad secara terang-terangan adalah salah
satu daripada perbuatan memerangi Allah dan Rasul-Nya. Maka terdapat ulama
Salaf yang berpendapat hukum bunuh si murtad itu juga diambil daripada ayat ini,
selain hadith-hadith sahih lain yang bertindak sebagai penghurai. Antara yang
berkata demikian ialah Abu Qilabah dan lain-lain. (Lihat Ibn Rajab al-Hanbali, Jami`

al-`Ulum wa al-Hikam, hal. 32; juga Dr. Yusuf al-Qaradawi (1993), Malamih al-
Mujtama` al-Muslim Allazi Nansyuduhu, Kaherah: Maktabah Wahbah, hal. 41)
Bagaimanapun, mutakhir ini terdapat pula kes-kes murtad yang berpunca daripada
perceraian, kejahilan dan lain-lain yang dikatakan bersifat peribadi. Antara yang
menggemparkan negara iaitu apa yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah
Pulau Pinang pada 8 Mei 2008 yang membenarkan seorang mualaf iaitu Siti Fatimah
Tan Abdullah keluar daripada Islam. Siti Fatimah mendakwa dia memeluk Islam
hanya untuk berkahwin dengan seorang rakyat Iran bernama Ferdoun Ashanian.
Namun dia tidak pernah sekali-kali mengamalkan ajaran Islam malah masih
mengekalkan amalan agama asalnya, Buddha. Peguam bela Siti Fatimah, Ustaz
Ahmad Jailani menyifatkan permohonan yang dibuat oleh Siti Fatimah itu, bukan
permohonan keluar Islam, tetapi permohonan dalam menentukan status agamanya,
adakah Islam atau tidak. Walau apapun hujah yang diputuskan oleh mahkamah, kita
tetap menghormati keputusan tersebut atas dasar menjunjung prinsip keadilan.
Namun persoalan tetap timbul di kalangan bukan Islam, adakah Islam pada hari ini
telah mengiktiraf murtad sebagai satu kebebasan hak asasi manusia?
Dalam hal ini, ada baiknya kita merujukkan kes ini, dengan apa yang berlaku di Mesir
baru-baru ini. Senarionya tidak jauh berbeza. Ia berlaku apabila badan kehakiman
Mesir telah meminta fatwa daripada Universiti al-Azhar berkenaan permohonan
bekas penganut Kristian Koptik yang masuk Islam hanya untuk kepentingan peribadi,
seperti ingin berkahwin buat kali kedua atau menceraikan isteri (yang mana ditegah
menurut agama mereka), dan setelah tujuannya tercapai ia murtad dan kembali ke
agama asal.
Justeru itu, Universiti al-Azhar melalui Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar, Syeikh Abdul
Hamid al-Athrash telah mengeluarkan fatwa rasmi bahawa orang bukan Islam yang
memeluk Islam untuk kepentingan peribadi, lalu ia murtad setelah kepentingannya
tercapai, telah melakukan suatu jenayah besar, yang tidak boleh dibiarkan. Sesiapa
yang murtad, maka wajib baginya menerima hukuman syar’i, sesuai dengan batasbatas
yang ditetapkan jumhur ulama, setelah yang berkenaan diminta bertaubat. Jika
ada yang mengatakan bahawa hal ini bertentangan dengan ‘prinsip kebebasan
beragama’, maka pandangan itu tertolak, kerana Islam tidak memaksa sesiapa jua
untuk memeluk agama ini.
Syeikh al-Athrash juga memperingatkan bagi sesiapa yang berkeinginan untuk
memeluk Islam, dia perlu mempelajari Islam dengan baik dan memiliki tekad yang
kuat, kerana setelah menjadi muslim, dia tidak lagi dibenarkan murtad. Fatwa ini juga
secara tidak langsung menunjukkan Syeikh al-Azhar telah menarik kembali
kenyataannya yang mengatakan tiada hukuman bagi bukan Islam yang masuk Islam
lalu murtad kembali. Fatwa Syeikh al-Azhar itu dikaitkan dengan tekanan-tekanan
yang diterima beliau ekoran desakan daripada pertubuhan-pertubuhan sivil serta
para aktivis hak asasi manusia. Ini sekaligus menunjukkan bahawa al-Azhar tidak
pernah sekali-kali mengorbankan hukum syarak atas apa jua alasan yang diberikan.
(http://www.alarabiya.net/articles/2008/01/19/44427.html)
Fatwa al-Azhar ini jelas menunjukkan bahawa para ulama Islam sentiasa konsisten
mengatakan bahawa murtad adalah satu jenayah dan si murtad wajib dihukum.
Walaupun fatwa tersebut tidak menyebut bentuk hukumannya, apa yang pasti

2 comments:

  1. panjang gilak.. malas gilak kamek nak baca..

    ReplyDelete
  2. pendek jak ya, jambatan sirat panjang gik

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...