Saturday, June 4, 2011

Islam Dan Perintah-Perintah Agama Islam Menjadi Asing

TELAH diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Islam itu bermula sebagai seorang pengembara asing dan kemudiannya akan menjadi asing sebagaimana ia bermula. Beruntunglah bagi mereka yang asing."
(Muslim)

Telah juga diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Iman akan berlindung di dalam Madinah Munawwarah sebagaimana ular kembali berlindung di dalam lubangnya."
(Bukhari)

Nota
Lebih daripada 1,400 tahun yang lampau, Rasulullah s.a.w. telah melancarkan seruan agama di Kota Mekah. Baginda memberitahu manusia tentang ketauhidan, kerasulan, hari kebangkitan dan penghisaban amalan-amalan di hadapan Allah s.w.t. selepas mati.

Baginda menyatakan bahawa Allah itu Esa dan Muhammad itu adalah Pesuruh Allah. Baginda menyampaikan perintah solat, puasa, zakat, haji, kemurnian, kesabaran, kesyukuran, kemaafan, menyayangi kepada yang tua-tua, ketaatan terhadap kedua ibubapa. Baginda mengharamkan arak, riba', berdusta, menfitnah, hasad dengki, tipudaya, perzinaan, ketakburan dan bangga diri(ujub).

Sejarah telah menyaksikan apabila Baginda menyeru ke arah ini maka seluruh penghuni Mekah dan kawasan-kawasan di sekitarnya serta puak dan kaum malahan saudara-maranya menjadi musuhnya. Mereka tidak dapat memahami hakikat daripada dakwah dan juga hakikat Iman dan Islam.

Lantaran mereka tidak dapat memahami hakikat iman, agama berserta dengan perintah-perintah-Nya, maka agama menjadi asing seumpama pengembara asing. Apabila seorang pengembara aneh muncul di suatu tempat, seorangpun tidak akan memperlihatkan rasa kasih dan sayang terhadapnya. Pertolonganpun tidak diberikan. Apatah lagi perlindungan hanyasanya kerana dia tidak dikenali.

Sebaliknya mereka akan melihatnya penuh sangsi apabila dia berkata sesuatu atau mengajak kepada sesuatu. Jikalau dia menyarankan kepada sesuatu kepercayaan yang bertentangan dengan keyakinan umum maka sudah tentu dia akan digagalkan.

Ringkasnya tidak seorangpun akan memberikan apa-apa pertolongan atau perlindungan kepada si pengembara tersebut sebaliknya mereka akan menuduh, menghina, mengutuk dan membantah kepadanya.

Begitulah yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. menyifatkan Iman, Islam, perintah-perintah agama, kepercayaan dan usaha terhadap iman sebagai sesuatu yang terasing sebagaimana yang kita perhatikan sekarang ini.

Pertamanya lihatlah terhadap keadaan iman orang-orang Islam sendiri. Lantaran memandang sepi dan kekurangan pembelajaran agama maka iman menjadi begitu lemah terutamanya mengenai ketauhidan dan kerasulan. Orang ramai telah tidak lagi mempercayai Zat dan Sifat Allah, sebaliknya mula mempercayai wali-wali, jin, hantu dan sebagainya. Mereka meyakini benda-benda inilah yang mendatangkan manafaat dan mudharat lalu mula sujud kepada kuburan-kuburan.

Mereka juga tidak mempercayai kepada kerasulan Nabi. Pernyataan cinta terhadap Rasulullah s.a.w. hanyalah terhad kepada perayaan yang beriya-iya pada bulan Rabiul Awal(maulud), jika tidak maka amalan mereka terpesong daripada kebiasaan dan tingkah laku nabi dan tertambat kesukaan dan tiruan mereka kepada cara berpakaian, cara kehidupan, makan, minum serta setiap aspek hidup menurut gaya Kristian dan Yahudi.

Dalam keadaan-keadaan yang demikian jikalaupun cara pengajaran yang betul mengenai ketauhidan dan kerasulan diberikan dengan beribu-ribu, malahan berjuta-juta dakwaan ketauhidan, mereka tidak akan memahaminya atau mereka cuba-cuba untuk memahaminya. Malahan orang yang menawarkan pengajaran Islam dan ketauhidan Allah serta sifat-sifat-Nya akan dicap sebagai murtad. Orang ramai bersedia untuk menentanginya. Mereka ini jauh daripada perintah-perintah agama yang difardhukan (solat, puasa, zakat, haji).

Zakat dianggap mereka sebagai cukai dan penunaian haji mereka rasakan kerugian di dalam perniagaan dan kerugian wang ringgit. Mereka berpura-pura sakit untuk dijadikan alasan untuk tidak berpuasa. Mereka tidak dapat memahami tentang haramnya riba'.

Mereka juga syak dan ragu mengapa hanya pihak lelaki sahaja yang diberikan hak menceraikan isterinya. Mereka merayu dan menganggapnya sebagai suatu hak (yang mana ini bertentangan dengan syariat) bahawa seorang lelaki yang telah menceraikan isterinya bertanggungjawab menyara si isteri itu walaupun selepas masa iddahnya (masa larangan).

Mereka juga menimbulkan penentangan terhadap pemakaian purdah untuk wanita dan juga meragui tentang syarat dan keizinan bagi lelaki itu untuk mengahwini empat isteri. Tetapi pada pandangannya seorang yang dapat meyimpan setengah dozen perempuan simpanan dan bebas berzina dianggap seorang yang beruntung dan bernasib baik.

Betapa bertentangannya nilai yang dipakai. Menentang amalan yang halal tanpa segan silu menyokong perbuatan-perbuatan mungkar. Menyekat seorang wanita membuat perjalanan tanpa mahram dikatakan tidak baik tetapi membiarkan dia bercampur gaul tanpa mahram untuk ke pawagam, kelab atau hotel dikatakan baik tidak kiralah jikalau dengan itu maruah dan kesuciannya tergadai.

Mungkin mereka tidak sedar bahawa guru mereka sendiri yang terdiri daripada bangsa barat telah berkata bahawa tiga perkara yang tidak boleh dipergantungkan ke atasnya yakni wanita, cuaca dan kerja.

Tetapi setelah memberi kebebasan kepada wanita, orang lelaki menjadi dayus. Saraan bagi wanita - makanan, pakaian dan rumah(tempat perlindungan) adalah menjadi tanggungjawab dan kewajiban si suami sehingga tidaklah perlu si isteri keluar untuk bekerja dengan sesiapa(kerana ini adalah terlarang di dalam syariat). Namun mereta tidak mahu memahaminya mungkin mereka tidak kisah jika si isteri pergi bekerja lalu membuat hubungan dengan lelaki asing dan lari bersamanya.

Jikalau perzinaan dibuktikan dengan empat saksi yang adil, maka pasangan yang tidak berkahwin akan disebat dengan 100 sebatan seorang dan jika perzinaan bagi pasangan yang berkahwin dibuktikan dengan empat saksi yang mana pelaku tersebut hendaklah direjam dengan batu sehingga mati.

Timbul bantahan di dalam suratkhabar sehingga kini dan seterusnya bahawa hukuman Islam ini suatu yang kejam(1) tetapi aku ingin bertanya kepada orang-orang yang mendakwa sebagai juara kebijaksanaan yang sebenarnya, mengapakah mereka mengwujudkan ladang yang berasingan untuk memajukan dan menanam benih daripada berbagai-bagai bijirin seperti sekoi, gandum, barli, beras dan lain-lainnya?

Mengapa pula mereka mengadakan begitu banyak syarat untuk menumbuhkan setiap daripadanya dengan baik? Mengapa mereka memelihara benih kuda, unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri? Jikalau kedapatan banyak faedah daripada pemeliharaan bagi jenis-jenis ini maka sudah tentulah seribu atau lebih lagi faedah yang diperolehi daripada memelihara benih manusia.

Penduduk bagi sesuatu negeri, bahagian, kawasan malahan di dalam sesuatu daerah mempunyai kesamaan dari sifat-sifat yang tersendiri yang diwarisi. Mengapa tidak dipelihara setiap benih tersebut. Benih ini hendaklah ditanam pada musim yag sesuai (semasa isteri tidak haid dan lain-lain uzur syar'i) di tempat atau ladang yang betul (yakni isteri) yang memiliki segala syarat.

Tetapi malangnya, pendakwa-pendakwa kebijaksanaan ini tidak dapat memahaminya dan mereka tidak akan memahaminya. Alasannya ialah bahawa terdapat penyelewengan naluri dan sifat. Tidak berpada dengan yang halal sedangkan tidak terdapat padang ragutan yang haram maka wujudlah rasa tidak puas.

Maka dengan sebab inilah Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa : "Akan tiba suatu zaman apabila perintah-perintah agama akan menjadi sebagai pengembara asing. Bantahan dan keraguan akan ditimbulkan ke atas mereka yang menuruti agama dan perintahnya. Mereka akan dituduh dan difitnah. Orang yang menghidupkan sunnahku di kalangan kerosakan ummatku aka diganjari dengan seratus pahala mati syahid."
(Baihaqi)

Dengan adanya bid'ah (perkara yang diada-adakan di dalam agama) dan kejahilan maka sukarlah untuk mengamalkan sunnah. Lantaran kesukaran mengamalkan sunnah maka ganjaran baginya adalah begitu besar sehingga diberikan pahala seratus syahid (orang yang gugur di jalan Allah) menghadapi musuh dia mungkin gugur syahid apabila menerima sekali pukulan pedang atau sebilah panah atau sebutir peluru sedangkan seorang yang mahu menghayati sunnah terpaksa menerima begitu banyak kesukaran dan kesusahan. Setiap hari dan malam dia akan dihina, diejek oleh ahli-ahli rumahnya, kampungnya serta kawan-kawan dan rakannya yang tidak berfikiran agama. Orang-orang yang berpegang kepada sunnah ini memerlukan kesabaran Nabi Ayub 'alaihisalam.

Maka dengan ini seorang yang dapat berpegang kepada hanya satu sunnah sahaja akan memperolehi "ganjaran seratus pahala mati syahid" dan bagi setiap satu amalan baik yang dicapainya maka dia akan dikurniakan dengan 50 amalan baik para sahabat.

Justeru, Rasulullah s.a.w. telah memberi tahniah dan berita gembira kepada pengembara asing ini. Sesungguhnya dia layak menerima sanjungan ini kerana memperolehi ganjaran yang begitu besar!

Keadaan tidak beragama akan merata di negara Arab dan bukan Arab. Tetapi ketika hampir Kiamat agama akan kembali kuat di Hijaz, Makkah, Madinah dan Syria. Rasulullah s.a.w. telah bersabda bahawa Iman dan Islam itu seumpama seekor ular yang keluar daripada lubangnya pada waktu petang. Iman dan Islam yang muncul daripada Tanah Hijaz telah menjelajah ke seluruh alam tetapi setelah hampir Kiamat ia akan kembali ke Hijaz.

Nota
Pada ketika ini perintah-perintah agama dan ilmu-ilmu agama terpelihara dan wujud di India yang tidak kedapatan pada lain-lain bahagian dunia walaupun di Mekah dan Madinah. Hadrat Shaikhul Islam Maulana Hussain Ahmad Madani ketika mengajar kitab Hadis Tirmizi berkata kira-kira 350 hingga 400 tahun agama dan perintah-perintah agama masih terpelihara di India dan selepas ini ke mana pula ia akan pergi tidaklah diketahui. Tetapi menjelang Kiamat agama akan kembali ke tanah Hijaz.

(1) Satu jawapan yang kukuh terhadap bantahan ini telah diberi oleh Maulana sebelum ini apabila bantahan yang sama telah dihantar kepadanya dan mengatakan bahawa hukuman rejam adalah satu amalan yang tidak bertamadun. Maulana menjawab : "Syariah Islam menganggap perzinaan sebagai satu jenayah berat bertentangan dengan masyarakat dan tamadun. Rasulullah s.a.w. telah menasihat agar setiap orang muda supaya berkahwin, jikalau dia berkemampuan. Tetapi dia tidak mempunyai hak untuk merosakkah kehidupan gadis itu lalu memusnahkan nama baik keluarganya dengan membuat hubungan haram dengannya.


Begitulah juga seorang lelaki itu dibenarkan mengahwini sehingga empat isteri jika dia berkemampuan daripada fizikal dan kewangan tetapi dia tidak mempunyai hak untuk membinasakan kehidupan rumahhtangga orang lain dengan menggoda wanita yang berkahwin untuk melakukan persetubuhan haram. Lantaran jenayah terkutuk ini merosakkan keluarga dan masyarakat yang sihat dan bermoral maka Islam telah menjatuhkan hukuman yang berat ke atas kedua-dua  pesalah yang perbuatan mereka itu telah dibuktikan melalui persaksian empat orang yang adil. Jenayah ini mesti dihukum dengan berat demi kepentingan idividu dan masyarakat.


Namun dapat kiranya aku bertanya kepada si terpelajar itu apakah jenayah yang telah dilakukan oleh orang kampung yang tidak bersalah - lelaki, wanita dan kanak-kanak Vietnam yang mana kamu telah jatuhkan api dan bom ke atas mereka disertai dengan bom-bom kuman penyakit yang serius serta gas yang meledakkan nyawa manusia? Adakah mereka wajar menerima "rejaman" ini? Tolong beritahuku.
(Quraish)

Bab 60 - Meniti Debaran Zaman - Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat
Terjemahan - Abdul Aziz Bin Abdul Hamid

3 comments:

  1. Alhamdulillah, terima kasih atas post ni.. Aku terkesima kerana memang itulah yang aku terpaksa tempuhi dalam kehidupan seharian.. Semoga Allah berikan aku kekuatan berusaha untuk menjadi muslim sejati.. Amin..

    ReplyDelete
  2. z76,
    ...taat perintah Allah swt dan Sunnah Nabi Muhammad saw..

    anonymous,
    Amin...

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...