Wednesday, February 3, 2010

Siapa Superhero Sebenarnya?

     Di kaca TV dan pawagam sering kita lihat, cerita mengenai kepahlawanan hero-hero yang digambarkan sebagai penyelamat kepada manusia-manusia yang tertindas. Seperti Spiderman, Superman, Batman, Cicakman, Ultraman dan banyak lagi hero-hero yang dikatakan memberi keamanan kepada manusia sejagat.
  
     Namun, yang pasti semua hero-hero ini hanyalah khayalan yang pasti tidak wujud di alam nyata ini. Mereka ini wujud dalam cerita-cerita yang diolah oleh pembuat filem-filem. Tujuannya lebih kepada komersial dan sedikit impak kepada kesedaran iaitu perlu seorang hero bagi penyelamat kepada manusia. Namun, belum lagi kita terjumpa, terlihat atau tergambar watak-watak ini dalam kehidupan manusia sekarang ini. Mungkin juga ada di kalangan kita yang mempunyai watak-watak sebegini namun tidak ditonjolkan ataupun ditenggelamkan bagi mengelakkan kebaikan, keharmonian dan keamanan wujud.

     Wujudnya hero-hero yang ada di filem-filem sekarang ini sebenarnya imaginasi pembuat cerita yang berbentuk kepahlawanan yang inginkan dunia  ini aman dibawah kepahlawanan hero-hero tersebut. Mungkin juga sekadar memberi inspirasi di jiwa manusia untuk mewujudkan orang-orang yang akan menyelamatkan manusia dan dunia agar tidak berlaku kehancuran di muka bumi ini.

     Contoh yang terdekat yang boleh kita kongsikan, iaitu cerita superhero melayu iaitu Cicakman yang digarap oleh Yusri Abdul Hamid, yang mana sinopsisnya seorang superhero yang ingin menyelamatkan dunia ini dari cengkaman manusia-manusia jahat dan klimaks cerita ini berakhir dengan kemenangan kepada hero tersebut. Begitu juga dengan superhero-superhero yang ditonjolkan oleh pembuat filem di luar negara yang ingin menonjolkan kehebatan hero masing-masing sebagai penyelamat kepada umat manusia.

     Mukadimah kepada maksud yang ingin saya luahkan di sini adalah, siapakah superhero sebenar manusia di muka bumi ini? Macamana kita nak tahu seorang itu superhero atau penyelamat kepada manusia sekarang ini. Cuba kita luaskan skop kita antara empat kutub yang ada di muka bumi ini, kutub selatan, kutub utara, kutub timur dan kutub barat. Dan semua kutub-kutub ini diliputi oleh manusia yang pelbagai beza bentuk, saiz, pertuturan, warna kulit, pemikiran, agama, adat, kebudayaan, cara kehidupan dan banyak lagi perbezaan yang Allah ciptakan dalam diri manusia ini. Bagaimana kita nak manusia yang mempunyai pelbagai kehendak, sifat, sikap dan banyak lagi dibawah seorang superhero?

     Jika kita berbalik ke zaman dahulu, pasti kita akan terjumpa dengan manusia-manusia sebegini yang boleh menyatukan umat manusia di bawah satu bendera. Siapakah mereka itu? Sahabat-sahabat r. 'anhum. Di bawah bendera apa yang boleh untuk kita satukan umat manusia ini? Bendera Iman iaitu kalimah Laailaahaillah, Muhammadurrasulullah. Namun, zaman tersebut telah berlalu tapi kesan yang ditinggalkan oleh mereka-mereka yang berjuang untuk menyelamatkan manusia dari kehancuran di dunia malah di akhirat tidak dapat dinafikan sehinggakan manusia telah mengalami revolusi kehidupan yang agung dan moden di muka alam ini. Dan mereka inilah sebenarnya penyelamat kepada nilai-nilai kemanusiaan yang semakin pudar pada zaman itu dan menjulang nilai-nilai kebaikan yang mencorak kehidupan manusia ke arah yang diredhai oleh Allah s.w.t. Para Sahabat diumpamakan sebagai bintang-bintang di langit oleh Nabi Muhammad s.a.w. iaitu maksudnya mereka ini boleh dijadikan sebagai ikutan dalam kehidupan manusia yang ingin kejayaan dunia dan akhirat.

     Sekarang ini, adakah lagi manusia-manusia sebegini yang wujud di muka bumi ini? Adakah layak untuk kita memperbandingkan keadaan kita sekarang dengan keadaan para Sahabat r.'anhuma yang telah mencapai kegemilangan yang terbilang dan cemerlang?

     Kejayaan seperti yang diperolehi oleh para Sahabat r. 'anhuma masih boleh dikecapi oleh umat akhir zaman ini, jika kita ikut jejak yang telah ditunjukkan oleh para Sahabat r. 'anhuma. Rasulullah s.a.w tlah bersabda : "Suatu malapetaka besar akan menimpa umat ini yang mana manusia tidak dapat lagi mencari perlindungan daripada kezaliman. pada masa tersebut Allah akan menzahirkan seorang daripada keluarga dan keturunanku yang akan memenuhi dunia ini dengan keadilan sebagaimana dunia ini sebelumnya dipenuhi dengan kezaliman. Sebelum zamannya tidak terdapat apa-apa tanda adanya keadilan dan persamaan. Kezaliman akan berlaku di merata-rata tempat tetapi selepas kedatangannya bumi akan menikmati semula keadilan."

     Jadi, bilakah datangnya Imam Mahadi yang telah disebut-sebut oleh Nabi Muhammad s.a.w. iaitu superhero yang akan menyelamatkan keadaan dunia pada masa itu? Adakah kita sempat untuk berdamping dengan beliau? Atau adakah kita terpilih untuk bersama beliau menegakkan keadilan atau jadi penentang kepada beliau?

 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...